Novel : Antara Benci dan Rindu 35

Nama Pena : Ida Farisya

Sudah hampir jam 12 malam batang hidung suamiku langsung tidak kelihatan. Sedari tadi aku sudah puas menunggu. Sehingga mataku terasa teramat berat untuk dibuka. Katanya tadi cuma sekejap. Tapi sekarang sudah hampir tiga jam aku menunggu, wajahnya masih jua tidak kunjung tiba. Entah kemana suamiku pergi? Sanggup dia meninggalkan aku keseorangan di sini sedangkan dia hilang entah ke mana.
Tanpa sedar air mataku menitis. Pantas aku menyekanya. Tiba-tiba saja hatiku diruntun hiba bila mengenangkan kemungkinan suamiku keluar berjumpa bekas isterinya itu. Sebab itulah dia tidak mahu aku turut serta. Adakah kemunculan wanita itu petanda tidak baik kepada hubunganku dengan Yusrizal yang baru sahaja hendak melangkah ke alam bahagia? Ya Allah, aku mohon jauhkanlah semua itu. Berilah peluang untuk aku mengecapi bahagia. Aku tidak mahu terluka dan kecewa lagi dalam kehidupan berumahtangga.
Aku sedar aku terlalu menurutkan rasa marahku terhadap suamiku sehingga terlupa tanggungjawabku terhadapnya. Tapi bukankah aku telah cuba sedaya-upaya membukakan sedikit pintu hatiku untuk dirinya. Aku melaksanakan tugas dan kewajipanku sebagai seorang isteri seadanya. Cuma layanan batin yang tidak mampu aku sediakan. Aku masih samar dengan ketulusannya memperisterikan aku. Aku takut sekiranya aku sekali lagi dilukakan sekiranya sepenuh jiwa dan raga aku serahkan buatnya. Bantulah aku Ya Allah. Pulangkan Yusrizal kepadaku. Aku janji selepas ini aku cuba menjadi isteri Yusrizal dalam erti kata yang sebenarnya. Aku janji Ya Allah!
Dalam keghairahan aku meratapi nasib diri, tiba-tiba kedengaran loceng suite berbunyi beberapa kali. Pantas aku menghampiri pintu. Mungkin Yusrizal sudah pulang. Tapi kalau suamiku kenapa mesti membunyikan loceng. Sedangkan dia punya kunci sendiri.
Aku mengintai pada lubang kecil menerusi pintu. Hairan pula rasa hatiku bila melihat beberapa orang pekerja hotel sedang berdiri di luar. Kesemuanya wanita. Bukan Yusrizal seperti yang aku harapkan.
“Siapa?” Aku memekik dari dalam. Rasa gusar pula hendak membukakan pintu walaupun sudah jelas mereka mengenakan uniform hotel ini.
“Room service!”
Room service? Rasanya aku tidak ada memerlukan apa-apa. Malah aku juga tidak ada memesan apa-apa. Pada jam 12 malam pulak tu! Salah bilik agaknya. Lebih baik aku jelaskan. Lalu aku mencapai tudung dan membukakan pintu.
“Ma…”
“Surprise!!” Beterbangan rasa semangatku bila mereka semua terpekik begitu. Terkejut gila! Seakan mahu terduduk aku kerana terlalu terkejut.
Namun mataku sempat juga memandang sebiji kek yang agak besar yang dipegang oleh salah seorang daripada mereka.
“Happy birthday to you. Happy birthday to you. Happy birthday to Kak Ifa. Happy birthday to you.”
Sekali lagi aku terpana apabila kedengaran lagu selamat hari lahir itu dinyanyikan mereka. Dalam kepala ligat berfikir apakah tarikh hari ini. 28 Disember. Tapi sebab sudah menjangkau 12 malam bermaksud 29 Disember. 29 Disember? Aku menepuk dahi. Macam mana aku boleh terlupa tarikh lahir sendiri?
“Kak Ifa, cepatlah tiup,” kata salah seorang daripada mereka. Aku yang masih kaget pantas melakukan seperti yang mereka kehendaki. Lilin yang terpacak di atas kek itu aku tiup kesemuanya.
“Yeayyy….” Mereka bertepuk tangan kesukaan apabila kesemua lilin sudah habis terpadam.  
“Emm..mana kamu semua tahu hari ni birthday akak? Ni sebahagian daripada service hotel ni ke?” Tanyaku. Kalau telahanku benar bermakna hotel yang aku nginap ini terlalu mengambil berat akan perkhidmatan mereka dan juga kepuasan pelanggan. Hatiku sedikit tersentuh. Pihak pengurusan hotel sanggup membuat kejutan pada hari lahirku. Sedangkan suamiku……….? Hilang entah kemana. Dan mungkin juga langsung tidak tahu hari ini usiaku genap 28 tahun.
Mereka hanya tersenyum sambil membuang pandang ke luar pintu. Aku yang tidak tahu apa-apa hanya melakukan perkara yang sama. Tiba-tiba muncul seorang disebalik pintu. Aku mengintai siapakah gerangan orang itu. Wajahnya tidak dapat aku lihat kerana ditutupi dengan jambangan mawar merah yang kelihatan cantik sekali. Tapi dari segi pakaian aku kira aku sudah tahu siapakah gerangan orang itu.
“Rizal?”
Lelaki itu perlahan-lahan mengalihkan jambangan mawar yang menutup wajahnya tadi. Serta-merta hatiku melonjak girang apabila telahanku mengena. Terasa mahu sahaja aku berlari ke dalam pelukannya saat itu. Namun akalku menghalang. Hanya senyuman manis yang terukir di bibirku buat tatapannya.
Aku hanya menanti langkah suamiku yang semakin mendekat. Bibirnya juga mengukir senyuman.
“Happy birthday, sayang,” ucap Yusrizal bersama ciuman hinggap di kedua belah pipiku. Kemudian dia menghulurkan jambangan mawar yang dipegangnya kepadaku. Malu aku dibuatnya dengan perlakuan spontan suamiku itu. Apatah lagi apabila mataku sempat mengesan senyuman-senyuman nakal dari pekerja-pekerja hotel yang sedari tadi memerhatikan gelagat kami berdua. Makin membuatkan pipiku terasa seperti dipanggang-panggang.
“Okay girls, boleh mulakan kerja sekarang.” Kata Yusrizal. Mungkin menyedari ketidaksenanganku tadi.
Sebaik saja menerima arahan daripada Yusrizal, mereka mula bergerak. Troli yang dibawa ditarik ke meja makan. Kemudian segala isi yang terdapat di dalamnya dikeluarkan dan diletakkan di atas meja makan itu. Aku memandang hairan. Masih tidak mengerti dengan apa yang sedang berlaku di hadapanku ini.
“Apa mereka buat tu Rizal?” tanyaku.
“Nanti Ifa tahulah,” katanya sambil tersengeh. Tidak dihiraukan langsung perasaanku yang diselubungi rasa ingin tahu. “Dah lama abang hulurkan bunga ni. Tak nak sambut ke?”
Pantas aku menyambut jambangan mawar yang sudah beberapa minit dihulurkan kepadaku. Aku mencium baunya yang begitu harum itu.
“Thanks Rizal. Buat susahkan awak aje.”
“Apa yang susahnya sayang? Hari ni kan birthday Ifa. So, abang sebagai suami ingin meraikan isterinya.”
Aku tersenyum. “Jadi awaklah rancang semua ni?”
“Untuk isteri abang yang tersayang, abang sanggup lakukan apa saja untuk membahagiakan sayang.”
Mataku bergenang. Terharu! Tidak kusangka suamiku akan bersusah-susah begini semata-mata ingin menyambut hari lahirku. Sedangkan aku pula, sudah memikirkan yang bukan-bukan terhadapnya tadi. Sehingga sanggup berjanji kepada Tuhan yang aku akan menjalankan tanggunggjawabku sebagai isteri sepenuhnya dek kerana bimbang suamiku akan beralih-arah. Persoalannya sekarang mampukah aku menunaikan janjiku?
“Nina dan Fong, tolong siapkan isteri saya. Saya nak dia kelihatan cantik malam ni.”
Aku semakin keliru. Apa pula yang mahu dilakukan suamiku ini?
“Jom kak,” ajak gadis yang digelarkan sebagai Nina dan Fong itu. Aku memandang Yusrizal meminta kepastian. Tapi suamiku itu hanya tersenyum senang sambil menganggukkan kepala.
 
“Wah, cantiknya Kak Ifa. Mesti abang Rizal tak lena tidur la malam ni,” ujar Nina. Manakala Fong menganggukkan kepala tanda setuju dengan kata-kata temannya itu. Mereka kelihatan kagum memandang penampilanku di hadapan cermin.
Aku memandang tubuhku yang hanya dibaluti dress hitam tanpa lengan dan bertali halus. Bahagian dada pula terbuka lebar sehingga menampakkan lurahku. Labuhnya pula hanya menyapa lutut. Seksi habis! Tidak pernah aku memakai pakaian yang terdedah seperti ini. Terasa teramat janggal.
“Jomlah kak. Abang Rizal mesti dah lama tunggu.” Nina menarik tanganku agar menuruti langkahnya. Aku menarik tanganku kembali. Enggan melangkah keluar dari kamar tidur ini.
“Kenapa kak?” tanya Fong. Mungkin hairan dengan gelagatku itu.
“Akak seganlah,” terangku.
“Laa..apa yang nak disegankan? Kami semua perempuan la kak. Yang lelaki pun suami akak jugak. Takkan dengan suami pun nak malu?”
Betul juga! Yang lelaki cuma Yusrizal suamiku. Bagi Nina dan Fong mungkin ia perkara biasa. Tapi bagi aku? Ia terlalu luar biasa. Yusrizal tidak pernah melihat aku dalam keadaan seksi begini. Sudah tentulah aku berasa malu. Tapi mungkinkah mereka memahami apa yang bergolak dalam hatiku ini? Sudah tentu tidak!
“Jomlah kak. Kesian abang Rizal. Penat-penat dia sediakan semua ni untuk akak. Akak tak tahu betapa susahnya dia nak dapatkan dress ni untuk akak tadi. Satu bandar dia pusing!”
Aku sedikit terkejut. Benarkah sampai begitu sekali Yusrizal bersusah-susah untuk malam ini?
“Betul ke Nina, Fong?”
“Betullah kak. Takkanlah kami nak menipu pulak. Akak beruntung tahu dapat suami macam abang Rizal. Kalaulah Nina dapat suami macam tu…hai, memang sayalah orang yang paling bahagia.”
“Betul cakap Nina tu akak. Akak memang beruntung,” kata Fong pula.
Aku terdiam sejenak. Memikirkan kata-kata Nina dan Fong tadi. Benarkah aku begitu beruntung memilikinya sebagai suami?
“Jomlah kak. Kita keluar.” Sekali lagi tanganku ditarik. Dan kali ini aku hanya menurut. Langkah kakiku diatur kemas menuju ke luar bilik. Walaupun perasaan segan masih bermaharajalela, tapi aku gagahkan jua. Tangan yang terasa sejuk ku genggam erat. Tidak dapat aku bayangkan reaksi Yusrizal apabila melihat aku dalam dress seksi ini. Dalam kegugupan sempat pula aku tersenyum mengenangkan kenakalan suamiku kerana memilih dress ini untukku.

Novel yang akan berada di pasaran, yang akan di terbitkan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: