Novel : Tak mampu ku hindari 17

Nama Pena : sofi

Hisyam kini sedang melangkah seiringan dengan Salina. Mereka bercadang untuk makan malam di Hotel Istana. Tempat duduk telah ditempah awal-awal lagi. Langkah Hisyam kelihatan lemah dan tidak bermaya namun gadis di sebelahnya begitu riang bercerita. Sesekali, tersungging juga senyuman di bibir nipis lelaki itu.

Sudah acapkali mereka dilihat bersama. Berdua. Hisyam kini banyak sekali menghabiskan masa dengan gadis itu. Setiap kali Salina mengajaknya makan tengah hari, dia tidak menolak. Bila Salina mengajaknya makan malam, dia menurut. Bagi Hisyam kini, dia lebih suka berada bersama gadis ini daripada balik ke rumah menghadapi wajah isteri yang murung.

Mereka kini sedang duduk di sebuah meja yang sedikit tersorok. Sambil makan, Salina merenung Hisyam dengan mesra. Tangannya memegang jari-jemari Hisyam dan lelaki itu membiarkan sahaja.

“Sejak balik dari Cape Town, I tengok you selalu termenung. Kenapa, Syam?” Salina bertanya walaupun dia sudah dapat meneka.

Hisyam merenungnya sedikit terperanjat. “Nampak sangat ke?” Soalnya.

Salina menganggukkan kepala sambil menunggu penjelasan Hisyam. Nasi disuapkan perlahan-lahan ke dalam mulut. Dia tahu, Hisyam tidak gembira kebelakangan ini. Wajah yang kusut masai itu menjelaskan betapa dirinya mempunyai masalah.

“Maria! I tak tahu macam mana nak buat lagi. Dia dah berubah sangat sejak mak dia meninggal!” Hisyam menjawab.

Salina cuba memberi tumpuan. Wajah sedih Hisyam ditatapi. Rasa kasihan menyelimuti hati tetapi pada masa yang sama rasa gembira datang menyelit. Keretakan hubungan antara Maria dengan Hisyam adalah kebaikan untuk dirinya. Jika Hisyam sudah tidak gembira dengan isterinya, dia ada untuk membahagiakan lelaki ini. Malah sejak lama dia telah menanti Hisyam. Jadi, peluang yang sudah terbentang di hadapan mata tidak harus dilepaskan. Dia perlu bijak mengambil kesempatan!

“Berubah macam mana, maksud you?” Soalnya. Wajahnya penuh persoalan. “Kalau dia sedih, itu patutlah. Kan mak dan adik dia yang mati tu?” Katanya lagi, berpura-pura mengasihani Maria.

Hisyam menjawab dengan suara yang marah. “Itulah yang I marahkan ni. Dia sepatutnya berkongsi kesedihan tu dengan I bukannya semakin menjauhkan diri. I sayang mak, I pun sayang Muaz. Bukan dia sahaja yang kehilangan mereka. I pun terasa juga. I ni pun susah hati. Takkanlah dia tak tahu yang kesedihan dia kesedihan I jugak, Lin!”

Salina merenung wajah Hisyam dalam-dalam. Perlahan-lahan jari-jemari Hisyam yang dipegang, diramas.

“You kenalah berbincang dengan dia baik-baik!” Nasihatnya lagi.

Hisyam mendengus lagi. “Nak bincang? Tengok muka I ni pun dia tak nak, you tahu tak!” Jawabnya.

Salina tercengang-cengang. “Apa maksud you? Kenapa pulak jadi macam tu?”

“Entah, I tak tahu.” Hisyam menjawab lemah. Sesungguhnya, dia tidak mengerti perubahan sikap Maria. Sejak dia balik, wajahnya tidak sudi dilihat. Maria pasti membisu setiap kali mereka bersama. Renungannya, sentuhannya tidak berbalas. Sudah sebulan jarak waktu, namun di antara mereka, sunyi dan bisu. Diam dan beku. Bila Hisyam balik dari tempat kerja, Maria sudah pun tidur. Tidak seperti dahulu bila Maria sanggup menunggu walau selewat mana pun dirinya.

‘Ala, kalau Lia tidur dulu, bila masa Lia nak bercakap dengan abang? Esok pagi-pagi abang dah nak pergi kerja balik! Lia sunyi!’ Maria akan menjawab dengan suaranya yang manja itu. Dan dia? Dia akan terus memeluk Maria, membenamkan hidungnya ke dalam rambut isterinya yang sentiasa harum. Malam akan berakhir dengan indah!

Kini? Semua itu tiada lagi!

“Semua keindahan itu dah tak ada lagi!” Desah Hisyam. “Sampai bila dia nak diam macam tu, Lin? You tahu tak yang I geram sangat dengan sikap dia ni? I risau kalau-kalau satu hari nanti I tak dapat nak kawal perasaan marah dan sakit hati I ni. I takut kalau-kalau nanti kesabaran I ni hilang dan…”

Salina menggeleng-gelengkan kepala. Dia pura-pura marahkan Hisyam. “You ni kepala angin betul. Dia kan isteri yang you sayang?”

“Habis tu, you nak I buat macam mana lagi? I dah jenuh pujuk dia!” Nafas kasar Hisyam lepaskan.

Salina tersenyum. “You kena banyak-banyakkan bersabar dengan kerenah bini you tu. Jangan berkasar dengan dia. Satu hari nanti dia akan sedar dari mimpi sedih dia tu. Buat masa ini, ikut sahajalah rentak dia!” Nasihatnya.

Lama Hisyam memandang wajah ayu di hadapannya sebelum berbisik hiba, “You memang baik, Lin. You sentiasa ada dengan I walau macam mana keadaan I. I banyak terhutang budi dengan you. You are my true friend. Thank you so…much!”

Sejak itu, Salina menjadi tempat Hisyam meluahkan rasa hati. Kesedihan membuatkan dia rasa dipinggirkan oleh Maria. Maria dirasakan semakin jauh darinya. Kepada Salina dicurahkan perasaan kecewa. Baginya, Salina sanggup bersedih bersamanya. Salina seorang sahabat yang baik. Salina sudi mendengar luahan rasanya.

Marah kepada Maria semakin hari semakin menyemarak. Hisyam geram dengan sikap Maria yang tidak mempedulikannya. Hisyam benci bila Maria tidak lagi mahu bermesra dengannya. Dia sakit hati bila dirinya diabaikan. Memang dia benar-benar kecewa. Tidak terungkapkan rasa hampa di jiwa.

Entah sampai bila segala perasaan ini dapat ditahankan?

Hisyam menaiki anak tangga dengan perlahan-lahan. Dia tahu dia terlalu lewat malam ini. Selepas makan malam tadi, Salina mengajaknya duduk berehat di Bintang Walk. Di situ, dia meluahkan lagi perasaannya dan dia amat bersyukur kerana Salina sudi mendengar.

Hisyam masuk ke dalam bilik dengan langkah yang longlai. Dia menyandarkan diri di pintu bilik. Matanya merenung susuk tubuh yang kurus yang sedang lena di atas katil mereka. Perlahan-lahan, dia mendekati Maria.

Ingin sekali dia memeluk sekujur tubuh itu namun dia membatalkan niatnya. Dia tidak mahu lagi ditolak. Sejak kepulangannya, setiap kali dia ingin menyentuh, Maria akan mengeraskan tubuhnya. Tanda dia tidak mahukan Hisyam.

“Lia, abang sangat rindukan Lia abang yang dulu. Mengapa Lia buat abang macam gini? Lia dah tak sayang abang? Lia dah tak sayang pada perkahwinan ini? Kenapa kita jadi begini? Kenapa, Lia?

Apa sebenarnya? Apa yang Lia fikirkan? Atau….. apa kesalahan abang? Lia marahkan abang? Tapi kenapa? Apa yang dah abang buat? Apa, Lia?

Hisyam tidak dapat memejamkan mata. Dia tidak mampu lagi baring di sebelah Maria dan tidak berbuat apa-apa. Dia terlalu rindu untuk menyentuh isterinya. Dan dia sedih bila dirinya tidak dipedulikan. Dia kecewa! Dia hampa!

Sampai bilakah mereka harus begini?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: