Cerpen : Emas

Nama Pena : Muhammad Jefri bin Mohd Yusof

“Pak cik, makan tengah hari dah siap. Mari kita. Lepas itu, makan ubat ya.”
Manis jururawat itu berkata-kata.
Aku mengangguk.
Perlahan-lahan aku menuju ke dewan makan.
Semua yang di situ memandangku. Kami berbalas pandang.
Berkongsi cerita yang sama. Bahagian penamatnya.
Ada segelintir yang mempunyai babak selingan di antaranya.
Hiburan daripada generasi di bawah mereka. Warisan mereka.

Sapaanku ditegur lemah oleh mereka. Aku juga sebelumnya.
Bubur itu gigih kami hirup. Sisa-sisanya dibiarkan. Persis kami.
Roda kehidupan kami kini di bawah.

Dengan cermat, aku menitip sarung ubat yang diberikan doktor. Perlahan.
Ajal kurasakan hampir memanggilku. Kupegang erat jari-jemari isteriku. Dia setia. Satu-satunya yang setia. Sentuhan yang sama kasihnya.
Sedikit pudar kurasakan. Entah.

……..

Angin malam itu berhembus mesra.
Malam yang kelam bertemankan bintang.
Si pungguk setia menanti si rembulan.
Teratak di hujung kampung itu bertukar suasana pada malam itu.
Sunyi bertukar hingar. Berani berubah gentar.
Aku berdebar. Menanti kehadiran anak pertama yang memberi seribu satu makna.
” Din, lekas bawa air panas itu ke dalam. Tak lama dah ni,” sahutan bidan Temah sedikit sebanyak memecah kebingunganku.
“Sudah diletak daun mengkuang di bawah rumah? Setanggi itu perlu dibakar lagi. Masih kurang baunya.”
Arahan bertalu-talu membuatkan aku sedikit panik. Peluh jantan semakin bercucuran. Emosiku bertambah kacau tatkala teringatkan kisah isteri Ramli yang meninggal dunia sewaktu melahirkan anak pada minggu lepas. Ramli keluar ke laut malam itu.
Benar tiada daun mengkuang di bawah rumahnya, juga setanggi tidak diasapkan.
Ada betulnya kisah hantu penanggal yang sering dikhabarkan bidan Temah. Telahanku.

……………

” Allahuakbar, Allahuakbar…”
Iqamatku berkumandang pada gegendang telinga anak perempuanku. Tangisannya meragut jiwaku untuk menghamburkan kegembiraan. Isteriku masih lesu.
Kejayaannya berjuang dengan kehidupan diraikan dengan sepasang tangisan.
Kupegang erat jari-jemari isteriku. Sentuhan yang sama kasihnya.

………..

“Cantik anak ayah hari ni. Dah siap nak ke sekolah?” senyumku disambut cebikan manja anak kesayanganku itu.
“Cantik apa macam ni? Baju tahun lepas. Kawan-kawan Nur mesti bergaya hari ini. Dengan pakaian baru, sepatu baru, beg baru, semuanya baru! Nur saja yang lama. Semua lama!” keluhan anakku membuatkan aku sedikit terkilan.
Tanggungjawabku tidak berjaya dilunaskan sepenuhnya.
Lantas kumengusap ubun-ubun anakku. Tanda kasih.
“Janji semangat Nur sentiasa baru kan? Tahun lepas Nur jadi pelajar terbaik Tahun 5 kan? Tahun ini Nur UPSR, Nur buat baik-baik. Ayah janji ayah akan belikan baju baru menjelang sekolah menengah nanti,” janjiku yang boleh menjuruskan aku menjadi munafik.

Kasihan. Anakku dipandang sepi pagi itu. Aku apatah lagi.
Sementara menunggu sesi pembayaran yuran, aku memandang keliling.
Ada juga senasib denganku.
Bercompang-camping, kusut-masai dan menghembus asap tembakau.
Beberapa kerat.
Anakku dilihat bergaul mesra. Syukur.
Cuma dia si pipit dalam kawanan merak.
Merak yang belum tahu mengembangkan ekornya.

Aku membayar yuran persekolahan anakku dengan linangan air mata.
Bermakna aku perlu menongkah arus untuk beberapa purnama.
Mujurlah diberi kesempatan.

Aku pulang selepas itu.
Sambil memerhati alam ini. Percuma.
Beburung riang berterbangan. Rama-rama bebas menghisap madu.
Deruan air sungai yang jernih mencuit jiwaku.
Kehijauan alam mendamaikan sanubariku.
Alangkah indahnya jika hidupku sebegini. Aku reda.

Kayuhanku bertambah perlahan sewaktu menaiki bukit.
Jerih.
Namun memberi kebahagiaan untuk keluarga jauh lebih lelah daripada itu.
Lebih mudah untuk aku menjadi pengembala di tanah datar.
Berdiam jika keseorangan. Berteriak jika berkawanan.
Aku inginkan perubahan.
Langit perlukan bumi seperti laut perlukan darat.
Anjakan itu perlu tetapi aku tiada kemudinya.

Aku sedikit emosi tengah hari itu.
Aku tiba di rumah.
Melihat isteriku merebus ubi kayu.
Segera kumendapatkannya.
Kupegang erat jari-jemari isteriku. Sentuhan yang sama kasihnya.

………..

“Mak, Nur nak duit belanja lebih esok. Nur nak ke pekan. Nur nak beli sedikit hadiah buat guru Nur.”
“Nur, kelmarin sudah mak beri duit lebih. Nur bilang mahu membayar yuran tertunggak? Mak beri lebih kan.”
“Ala, kan kelmarin Nur ke pekan selepas mendapat keputusan SRP. Mak pun tahu Nur pelajar terbaik kampung kita. Nur dan kawan-kawan meraikan kejayaan Nur. Mak tengok Intan anak Tok Penghulu. Ayahnya belikan sebuah basikal sempena kejayaannya. Basikal yang ada bakul di depan itu. Macam yang Nur selalu minta tu.”
“Nur, ukur baju di badan sendiri. Jangan disamakan kita dengan mereka. Berapa besarlah periuk nasi kita kalau dibandingkan dengan kawan-kawan Nur yang berada itu.
Kenapa Nur nak beri hadiah pada guru Nur pula? Kan Nur dah berjaya. Itu sudah memadai bagi guru-guru Nur, bukan?”
“Mak… Kawan-kawan Nur semua beri hadiah pada guru masing-masing sebagai tanda penghargaan. Malulah Nur kalau pelajar terbaik sekolah dikatakan lupa diri dan asal-usul.”

Perbualan mereka di bawah pohon pelam sayup kudengar.
Anakku berjaya. Dada kudabik serata kampung. Syukur bercampur bangga.
“Dah. Ambil duit ni. Ayah baru lepas jual hasil laut pagi tadi. Baguslah Nur ingat jasa orang sekeliling. Petang ini ayah ke pekan. Ayah nak belikan basikal untuk Nur. Macam yang Nur selalu minta tu kan,” senyumku disambut senyuman manis anak daraku itu.
Isteriku hanya tersenyum kelat.
“Terima kasih, ayah! Nur ke rumah Intan dulu ya. Nur nak beritahu dia,” seakan bersorak anakku itu meninggalkan kami berdua di bawah pohon pelam.

Kupegang erat jari-jemari isteriku. Sentuhan yang sama kasihnya.

“Anak kita dah berjaya, Mah.”
“Semoga dia berjaya di dunia dan di akhiratlah hendaknya.”

Isteriku bingkas ke dapur memadam puntung kayu yang marak menyala.
Ubi kayu rebusku siap tersedia, sebagai minum petang juga makan malam. Tiada beza dengan hari sesudahnya. Hari mendatang diisi dengan harapan.

…………………

“Surat apa ini encik? Pak cik tak tahu membaca. Tolong bacakan untuk pak cik, nak,”
pintaku dalam nada kebingungan.
“Tawaran kemasukan ke Universiti Malaya dalam jurusan doktor pergigian. Nursarah binti Samsudin….Anak pak cik ke ni? Tahniah la. Beruntung pak cik. Senang masa depan pak cik kelak,” ungkapan anak muda itu membungakan hatiku.

Dinihari itu aku masih tidak dapat melelapkan mata.
Anakku masih belum pulang dari lawatan ke Kuala Lumpur.
Rombongan sekolah bersama rakan-rakannya.
Kubiarkan hasratnya tertunai.
Biar dia merasa semua yang tidak pernah kukecapi.
Aku mahu itu. Kebahagiaan di wajahnya.

Isteriku lena diulit mimpi.
Pengkhabaran tadi turut mengusik kegembiraannya.
Namun disertai kekhuatiran. Kewangan.
Padaku semuanya akan menjadi andai kita tekad.
Ya. Aku sanggup berhempas-pulas mengerah keringat demi menjamin masa depan anakku.
Sebagai penebus masa silamku.
Kelopak mata isteriku dilihat terbuka. Sedang aku masih berkaca.
Kupegang erat jari-jemari isteriku. Sentuhan yang sama kasihnya.

……………..

” Bang, Nur telefon rumah Mak Limah tadi. Dia suruh masukkan lagi RM300.”
” Bukan abang baru masukkan RM500 ke minggu lepas?”
” Pensyarahnya minta la tu. Kalau belajar di universiti, memanglah duit mengalir macam air.
Nak buat macam mana bang…terpaksa la kita berkorban dahulu.”
” Hmm..tahulah saya. Awak punya barang emas dah habis ke? Muka abang dah tebal sangat nak pinjam duit pada Tok Penghulu lagi. Abang tak dapat turun ke laut dah. Musim tengkujuh sekarang ni.”
” Mah pun tak tahu lagi mana nak cari duit. Upah menjahit Mah pun tak memadai. Duit upahnya sudah diambil sedangkan kain pun belum digunting lagi. Rantai emas pusaka ibu Mah ni sajalah yang tinggal. Ambillah dulu dibuat pajak. Ada rezeki nanti kita tebus lah balik.”

Berat hatiku melihat pengorbanan isteriku. Berat juga kakiku melangkah ke kedai pajak di pekan. Barang kemas yang terdahulu sudah tergadai, kukira. Memang itulah gunanya sewaktu kecemasan sebegini walaupun sekadar beberapa.
Aku percaya akan ada cahaya di hujung kehidupan kami yang berliku ini. Berharap.
Aku pulang ke rumah dengan kepingan not yang boleh dijadikan perbelanjaan isi rumah. Namun bukan nafsu sendiri yang perlu diturutkan. Kejayaan anakku wajib diutamakan.

Aku menyerahkan not-not berwarna itu kepada isteriku. Isteriku akan mengirim duit tersebut kepada anak jiran kami yang turut belajar di universti yang sama dengan Nur.
Aku memandang isteriku. Betapa mata kami saling berkaca.
Kupegang erat jari-jemari isteriku. Sentuhan yang sama kasihnya.

……………..

“Ayah, buat apa kat sini? Kan Nur tengah sibuk ni. Tak nampak ke? Ada ramai pesakit hari ni,” jegil anakku dalam nada yang tidak semesra dulu. Lama dahulu.
” Nur, ayah datang jauh dari kampung ke klinik Nur di kota besar ini. Mak sakit. Demam. Rindukan Nur. Bila Nur nak balik kampung?” kataku sambil memandang wajah anakku yang sekian lamanya tidak kutatap.

Anakku ternyata tidak mengendahkanku dan terus membelek fail-fail di atas mejanya.
Pura-pura atau memang benar kesibukannya itu. Salah satu.

” Ayah, Nur ni doktor gigi. Mana lah Nur tahu nak ubatkan mak yang demam tu. Duit yang Nur kirim tiap-tiap bulan tu tak cukup lagi ke? Ke nak Nur tambahkan lagi? Nur sibuk la. Nur mana ada masa nak balik!” dengus anakku membuatkan aku sedikit tersentap.
“Tapi Nur, ayah tengok Intan tu selalu juga pulang ke kampung kurang-kurang dua minggu sekali. Dia pun doktor gigi juga.”
” Ah, Intan tu dia kerja waktu pejabat sahaja. Nur ni, kerja siang malam, 24 jam, 7 hari seminggu. Nak cari duit. Nak kirim pada mak ayah juga kan. Kalau tak, nanti Nur dicop anak derhaka pula” jeling anakku seakan menghukum aku yang menyebabkan dia menjadi hamba wang.
” Ayah dan mak tak mengharap sangat Nur mengirim duit pada kami. Nur pulang menjenguk kami pun sudah mencukupi,” aku cuba memujuk supaya hatinya lembut semula.
“Apa-apa sajalah. Ayah pulang lah. Nur banyak kerja. Nur tak ada masa nak layan ayah. Dah..dah…balik!” permintaannya diturutiku sebagaimana aku menurut kemahuannya sebelum ini.

Aku pulang ke teratak lamaku. Isteriku masih terlantar ditemani jiranku.
Aku tahu kasih dan rindu seorang ibu amat dalam sekali.
Gelengan kepalaku disambut linangan air matanya yang mengerti situasi ini.
Kupegang erat jari-jemari isteriku. Sentuhan yang sama kasihnya.

……………

Petang itu indah sekali.
Sudah lama aku tidak merasakan sebegini.
Nur pulang.
Kepulangannya diiringi hajat yang besar.
Dia mahu mengakhiri zaman bujangnya bersama jejaka dari golongan berada.
Ingin sekali aku menemui pemuda yang berjaya menambat hati anak gadisku.
Sibuk katanya.
Aku pura-pura mengerti.

Petang itu kami menjamah juadah biasa. Ubi kayu rebus.
Namun Nur tidak menyentuhnya.
Mahu lekas katanya. Pelbagai urusan.
Masyarakat lebih memerlukannya berbanding ibu bapa kandungya sendiri.
Kami pilu dalam kegirangan sementara.

Aku diberikan satu amanat penting.
Mewalikan anak sendiri melalui panggilan telefon.
Pernikahannya dijadualkan diadakan di luar negara.
Hanya kerabat terdekat yang berkesempatan hadir.
Ternyata kami tidaklah antara yang rapat dalam hidupnya.
Kami sebagai ibu dan bapa yang telah banyak bersusah-payah membesarkannya berasa gembira kerana tahu masa depan anak kami telah terang-benderang.

Melihat anakku memandu keluar kereta mewahnya keluar dari perkarangan rumah, membuatkan aku sedikit berbangga.
Aku memandang isteriku. Dia juga.
Kupegang erat jari-jemari isteriku. Sentuhan yang sama kasihnya.

……………

Majlis resepsi belah lelaki diadakan di ibu kota.
Aku pun hairan mengapa tidak diadakan di belah perempuan.
Intan. Dia mengkhabarkan perihal majlis resepsi anak tunggalku itu.
Gembira.
Walau tidak disampaikan oleh empunya badan aku menganggapnya sebagai satu kejutan yang akan menjadi kenangan seumur hidup.

Majlis itu meriah.
Sayup kelihatan di atas pelamin anakku cantik didandan menjadi raja sehari. Begitu juga menantuku yang segak bergaya.
Aku dan isteriku, memakai pakaian terbaik kami menghampiri ke pelamin.
Ternyata ramai yang memandang pelik, jelek. Aku sudah biasa dengan itu.

Hairan.
Raut senyuman anak gadisku berubah serta-merta tatkala terkesan kami.
Bukan itu riak wajah yang kami harapkan.
Seorang lelaki separuh umur, mungkin sebayaku menegur kami dengan ramah.
Baik pekertinya.
Inilah bisanku. Sangkaku.
Segera ku berjabat tangan dengannya. Kemas.

Tiba-tiba anakku segera mendapatkan kami, untuk memperkenalkanku barangkali kepada bapa mertuanya itu.
“Ayah, ini pembantu rumah Nur. Er…mereka ni wakil dari keluarga Nur. Lihat saja pakaian mereka.
Ayah pun tahu kan ayah Nur di luar negara. Ayah Nur yang di luar negara itu saja lah keluarga Nur di dunia ni,” kata-kata anakku itu seakan melumpuhkan segala sendi dan nadi.

” Oh begitu! Em..kita kan dah jadi satu keluarga sekarang, Nur. Nur jangan terlalu sedih. Kami akan layan Nur macam ahli keluarga kami sendiri. Emm..silakan menjamu selera kamu berdua,” pelawaan ikhlasnya tidak mampu merawat luka di hati kami.

Aku meminta untuk beredar dan hanya menyatakan bahawa kedatangan kami adalah untuk merestui perkahwinan ‘anak Tuan’ kami.
Di luar dewan awan mendung mula berarak.
Namun kami sudah lama kebasahan dihujani air mata kekecewaan.
Aku menenangkan isteriku.
Kupegang erat jari-jemari isteriku. Sentuhan yang sama kasihnya.

…………..

Pagi itu seperti biasa.
Hampir lima tahun kami mendiami rumah ini.
Rumah yang diduduki mereka yang tidak mendapat kasih-sayang anak-anak.
Salahkah kami yang membesarkan anak-anak dengan sepenuh hati?
Demi kebajikan, aku dan isteriku ditempatkan di sini setelah tiada sesiapa yang mampu menjaga kami sebaiknya.
Terima kasih, Intan!

Menghitung hari ke hari.
Meniti usia emas kami.
Sifat emas itu sendiri.
Dibiarkan selepas habis digadai apabila tiada gunanya jika mahu dipajak semula.

Pandanganku semakin kelam. Lalu gelap sepenuhnya.

“Pak cik, sarapan dah siap. Mari kita. Lepas itu, makan ubat ya.”
Manis jururawat itu berkata-kata. Isteriku tersenyum sebagai tanda memahami. Isteriku memegang erat jari-jemariku. Dia setia. Satu-satunya yang setia. Sentuhan yang sama kasihnya. Sedikit pudar dirasakan. Entah.

…………….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: