Cerpen : Kasih Maisara

Nama Pena : missnera

“Saya sayangkan Maisara.” Pelahan tapi jelas dek pendengaran. Tegas nadanya.

Maisara berpaling. Memandang lelaki di sisinya yang kiranya sebaya Hafiz, adiknya. Senyuman terukir dihujung bibir Maisara. Berduan begini walaupun dalam keadaan persekitaran terbuka membuatkan Maisara sedikit kekok walaupun lelaki itu dianggap seperti adiknya.

“Ya, saya sayangkan umar seperti mana saya sayangkan Hakim, Rozana, Adam, Jocelyn, Kumar dan Sharina.” Maisara balas dengan penuh yakin. Satu persatu nama anggota kumpulan yang diketuainya disebut. Tidak tinggal walau seorang.

Seminggu berkampung di pantai yang serba indah ini serta mengenali setiap dari anak buahnya, Maisara rasa cukup bertuah. Tidak disangka ajakan Nadia yang hampir sahaja ditolaknya memberikannya seribu satu pengalaman.

“Saya cintakan Maisara.” Kali ini nadanya sedikit bertukar rentak. Agak kuat dan disebut satu persatu patah perkataannya. Maisara terkesima. Langkahnya yang tadinya bermain dengan air di gigi pantai terpaku. Kali ini dia memusingkan badan, menghadap Umar yang sudah terlebih dahulu kaku langkahnya. Lelaki itu memandangnya lunak. Ada keikhlasan di mata itu.

“Jangan bermain dengan perasaan Umar. Saya tahu itu bukan yang awak rasa.” Balas Maisara pelahan dan tenang. Menidakkan rasa lelaki itu.

Pertama kali melihat lelaki itu, hatinya terdetik rasa kurang suka. Dengan rambut yang diwarnakan keperangan, telinga yang bertindik buatkan hati Maisara sakit. Tambahan pula hari pertama lelaki itu mendaftar setelah diberikan taklimat dan agihan kumpulan lelaki itu mengamuk. Hanya kerana dia perlu berkongsi bilik dengan rakan lain.hampir lebur kesabaran Maisara bila mana lelaki itu menengkingnya. Nasib baiklah ada Najib dan Ridwan. Pada Najib, selaku ketua fasilitator program dimintanya supaya Umar ditukarkan dibawah fasilitator lain. Najib menolak dengan alasan tidak adil untuk yang lain. Akhirnya Maisara akur.

“Tak, saya memikirkan sejak dari hari pertama lagi. Sejak hari pertama saya nampak awak di lobi.”

Umar mendekat. Renungan matanya masih belum berganjak dari merenung anak mata Maisara. Menghantar isyarat betapa dia benar-benar memaksudkan kata-katanya. Maisara mengeluh. Dia tidak bisa menghadapai hal ini. Hal yang melibatkan hati dan perasaan. Tambahan pula dengan lelaki yang jauh lebih muda. Gila ke apa!? Fikir Maisara.

“Saya anggap awak seperti adik saya sendiri. Sayang saya pada awak tidak lebih daripada itu. Saya ni lebih tua dari awak.” Ada penegasan dalam bicara Maisara. Dia mahu lelaki itu tahu sayangnya sekadar sayang seorang kakak kepada adiknya.

“Siapa kata awak lebih tua dari saya?” soalan itu diaju Umar Qayyum. Dikalangan rakan-rakannya Umar lebih dikenali dengan nama Qay. Maisara yang memanggilnya Umar. Kata Maisara, Umar lebih nampak macho dan kuat. Lebih gagah dan berani. Seperti Saidina Umar, khalifah Islam ke dua yang membawa kejayaan dalam memajukan umat Islam pada zaman pemerintahannya.

Mata Maisara sedikit mengecil. Kurang jelas dengan nada soalan Umar. Bukankah semua peserta program jati diri terdiri daripada pelajar Universiti Malaya peringkat diploma? Soal Maisara kepada diri sendiri.

“Saya tak tipu perasaan saya pada Maisara. Kalau awak rasa umur yang menghalang awak untuk menerima saya, tengok betul-betul nombor kad pengenalan saya pada borang senarai ahli kumpulan. Maisara kata, Maisara sayangkan kami tapi hal seperti ini pun terlepas dari pandangan.”

Umar mengatur langkah meninggalkan Maisara yang kebingungan. Kata-kata Umar sebentar tadi terngiang-ngiang di telinga. Terasa dirinya diperli lelaki itu. Matanya masih tidak lepas dari memandang susuk tubuh Umar yang akhirnya menghilang disebalik gerai-gerai kecil.

**************************

“Woit, asal kau ni?”

Pertanyaan Nadia dibiarkan sepi tanpa jawapan. Di terus mencari helaian kertas putih yang tertera senarai nama dan maklumat anggota kumpulannya. Dia sendiri yang menyediakan maklumat tersebut. Mahu mengenali anak buahnya dengan lebih dekat tetapi seperti kata Umar, hal kecil seperti umur lelaki itu pun dia terlepas pandang.

Setelah menemui apa yang dicari, dibeleknya satu persatu senarai nama berserta nombor kad pengenalan anak-anak buahnya yang tertera dia situ. Terang dan jelas. Maisara menepuk dahi. Baru sedar dia begitu cuai dalam hal itu.

“Kenapa?”soal Nadia lagi, tidak berpuas hati bila pertanyaannya tidak bersambut. Terbantut niatnya mahu menghubungi Sazwan apabila melihat gelagat pelik rakannya. Masih tanpa jawapan, kertas putih itu dihulurnya kepada Nadia. Hendak tak hendak Nadia menyambut. Dibaca satu persatu apa yang tertera. Namun, fikirannya masih buntu. Tidak dapat mengagak apa yang membuatkan Maisara berkeadaan begitu.

“Kenapa dengan senarai ni?”

Maisara mengaduh. Ya, nampaknya Nadia juga ‘buta’ sepertinya. Jari telunjuknya diletakkan pada nama Umar Qayyum Bin Hanafi. Kemudian, dibawa jarinya ke kotak yang tertera nombor kad pengenalan lelaki itu. Dia memandang Nadia. Nadia pandang dia. Nadia mengangkat bahu dan mengerutkan dahinya. Masih tidak dapat menagkap maksud Maisara. Apa kenanya dengan nombor kad pengenalan Umar Qayyum?

“Kau tengok la betul-betul nombor kad pengenalan Umar.”

Sekali lagi mata Nadia mendarat di kotak tertera nama Umar Qayyum. Matanya membulat bila mana dapat menangkap nombor-nombor tertera. Mulutnya melopong. Dipandang Maisara dengan pandangan tidak percaya. Maisara tersengih. Nadia lebih teruk daripadanya.

“Kau biar betul Sara!”

Kali ini Maisara tertawa kecil. Apa yang tak betulnya? Dia bersoal sekadar di dalam hati. Ruang matanya penuh dengan wajah-wajah Umar. Dari mula lelaki itu dikenalinya sehingga saat sebentar tadi, di tepi pantai.

“Dan yang paling harunya sekarang, si Umar ni baru jer bagitahu aku yang dia cintakan aku.” Luah Maisara, sedikit bergetar suaranya. Dengan Nadia, dia tidak mampu untuk merahsiakan walau apa pun. Terkejut beruk juga Nadia mendengarnya. Terasa tidak tertelan air liurnya saat itu.

“Habis tu kau jawab apa? Kau terima dia?” Laju sahaja pertanyaan Nadia. Maisara menepuk peha Nadia, sedikit kuat. Gila apa mahu terima semacam itu sahaja?!

“Kau ingat aku ni desperate sangat ke nak ada boyfriend!? Aku anggap dia macam adik aku.”

“Dan dah sah-sahlah dia bukan macam adik kau. Umur dia dengan umur kau termasuk aku sebaya.”

Di ruang mata ke dua-duanya terbayangkan Umar Qayyum. Lelaki itu berbadan tidak kurus tidak juga gemuk. Sasa? Tegap? Maisara tidak dapat mendefinisikan lelaki itu sebegitu. Sedang-sedang sahaja. Begitu juga Nadia. Anak orang berada. Tentu sahaja apa yang dipakainya berjenama mewah. Mungkin kerana sudah terbiasa hidup mewah bila datang ke program begini semuanya tidak kena.

Tiga hari pertama lelaki itu mengikuti program, tidak langsung dijamah makanan yang telah disediakan. Sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk makan di hotel berhampiran. Geram Maisara dengan sikap lelaki itu.

“Hari ini kita akan makan bersama. Satu kumpulan, makan apa yang disediakan. Umar, serahkan dompet kamu berserta semua duit kamu kepada saya sekarang. Mulai hari ini kamu kena belajar untuk makan makanan murah. Tak ada bezanya makanan kat hotel tu dengan yang disediakan. Jangan asyik mahu berlagak dengan kekayaan keluarga kamu. Ingat, itu duit keluarga kamu. Kamu ada apa? Jangan mahu menghabiskan harta yang selama ini penat-penat ayah kamu cari dan kamu habiskan untuk benda-benda yang tak sepatutnya.” Panjang lebar dia memberikan ‘ceramah’ pagi itu. Dia tidak peduli apa yang akan Umar lakukan. Dia mahu lelaki itu belajar memahami erti hidup yang sebenar. Bukan hanya untuk bergembira sahaja.

Dia bagaikan terkejut bila sebaik sahaja dia habiskan kata-katanya, Umar menghulurkan dompet kulit berwarna hitam kepadanya. Tergamam dia seketika sebelum meneruskan kata-katanya untuk aktiviti pada hari itu.

“Habis tu macam mana?” pertanyaan Nadia mematikan lamunan Maisara. Maisara menggeleng. Ah, hanya tinggal esok sahaja! Getus hati Maisara. Selepas esok, dia tidak akan bertemu lagi dengan lelaki itu.

“Aku rasa dia sengaja nak kenakan aku. Akukan asyik marah dia.” Kesimpulan itu akhirnya melucur dari mulut Maisara. Dia malas mahu memikirkannya. Nadia tidak terkata apa. Dia sendiri terkejut. Bukan terkejut yang umar Qayyum jatuh hati dengan Maisara tetapi terkejut bila mana mengetahui umur sebenar lelaki itu. Dari pandangannya, lelaki itu sebaya sahaja dengan yang lain. Paling tidak pun kalau lebih tua pun setakat setahun dua. Ini empat tahun!

*************************

Sebaik sahaja selesai solat isyak kesemua peserta berkumpul. Malam terakhir Program Jati Diri di Pantai Port Dickson. Malam itu, kesemua fasilitator yang terlibat memberikan nasihat dan ingatan terakhir mereka termasuk Maisara. Kemudiannya, sesi bermaaf-maafan antara peserta dan fasilitator masing-masing. Mengalir juga air mata Maisara mendengar kata-kata maaf dari anak-anak buahnya. Didakapnya erat tubuh Sharina, Jocelyn dan Rozana. Tiba Umar Qayyum dihadapannya. Maisara terdiam seketika. Tidak tahu mahu ungkapkan kata-kata apa. Peristiwa petang tadi bermain di fikiran Maisara.

“Semoga awak terus membawa nama Umar sebaiknya.” Akhirnya hanya patah-patah perkataan itu yang muncul difikirannya dan dizahirkan dimulutnya. Umar Qayyum sekadar mengangguk. Tidak ada walau secebis senyuman dari wajah itu.

Malam itu, setelah tamat sesi bermaaf-maafan mereka diberikan kebebasan untuk membuat sebarang aktiviti.

“Saya mahu bercakap dengan Cik Sara sekejap.” Sapaan Umar Qayyum dari belakang sedikit mengejutkannya. Nadanya sedikit kuat memecah kebisingin kawasan pantai dek bunyi irama muzik. Maisara memandang Nadia. Nadia membalasnya sebelum pandangannya beralih kepada Umar Qayyum.

“Sekejap je.” Pinta Umar Qayyum. Maisara mengeluh. Dia bangun dari duduknya, mengikut langkah Umar Qayyum yang sedikit menjauh dari kumpulan peserta.

“Sudah tahu umur saya berapa?” pertanyaan itu bagaikan nasa sindiran bagi Maisara. Kedengaran gelak kecil dari lelaki itu. Malam ini, oleh kerana tiada aktiviti lelaki itu sekadar memakai seluar pendek paras lutut dipadankan dengan sweater berkait berlengan panjang. Umar Qayyum berpeluk tubuh. Mungkin terasa sejuk.

“Saya mahu mengenali Maisara. Lebih dari seorang kawan.”

“Kita jauh berbeza, Umar.” Kata-kata itu dilontarkan dengan penuh yakin. Dia mahu perbualan tentang hati dan perasaan ini tamat secepat mungkin. Walaupun dia sudah tahu tentang umur sebenar lelaki itu, perasaan cinta untuk Umar tidak wujud langsung.

“Berbeza? Maksud Sara?” kali ini Umar memanggilnya dengan nama itu pula. Maisara mengeluh. Sejak petang tadi, entah berapa kali dia mengeluh. Semuanya gara-gara Umar Qayyum.

“Erm, awak sendiri tahu Umar. Kita amat jauh berbeza dan untuk pengetahuan awak, saya tak boleh mencintai awak. Saya hanya boleh menjadi kawan awak. Tak lebih daripada itu.”

“Kenapa?” tenang Umar bertanya. Kedua-dua belah tangannya sudah berada di dalam kocek seluar. Dia langsung tidak memandag Maisara sebaliknya pandangan di lemparkan jauh-jauh menghadap pantai yang kelam. Malam ini bulan malu untuk menjelmakan diri. Dada langit yang terbentang kosong tanpa ditemani bulan mahupun bintang.

“Saya mohon maaf. Cukuplah. Balik KL nanti Umar tentu akan lupakan perasaan itu. Kita tak mungkin akan bertemu lagi.” Tutur Maisara. Dia tidak mahu lama-lama dengan lelaki itu. Takut nanti disedari rakan-rakan fasilitator yang lain. Walaupun ada antara mereka baru sahaja baru bertemu muka tetapi Maisara tidak mahu ada anggapan-anggapan kurang enak terhadapnya.

“Saya tak akan lupakan seorang gadis seperti Maisara.” Sebaris ayat itu sudah cukup menyesakkan Maisara. Ingatkan kata-katanya tadi akan menjadi penamat bicara mereka.

“Sudahlah Umar. Lupakanlah. Saya perlu kembali ke sana.” Ujar Maisara akhirnya sambil matanya melirik ke arah kumpulan pelajar dan fasilitator yang berkumpul. Maisara sudah mula melangkah bila Umar memanggil namanya.

“Saya tidak akan sesekali melupakan semua ni. Saya sayangkan awak. Saya cintakan awak.” Tegas dan agak kuat lontaran suara Umar. Menjadikan Maisara panik, takut ada yang terdengar. Dia kembali mendekatkan diri dengan Umar. Dalam samar itu, wajah tegang Umar masih mampu dilihatnya.

“Jangan jadi bodoh Umar. Awak sendiri tahu kita jauh berbeza. Saya Cuma boleh jadi kawan awak!” tegas Maisara. Suaranya cuba dikawal.

“Berbeza! Berbeza! Semuanya alasan awak. Bagi saya sebab kenapa kita berbeza? Awak bukan manusia ke?”

Maisara mendengus. Umar sudah mula meninggikan suara. Kalau ada yang perasan heboh nanti! Fikir Maisara.

“Awak anak orang kaya. Awak ada rupa. Ramai lagi perempuan yang lebih layak dan mahukan awak.” Alasan itu yang terfikir dek fikiran Maisara saat itu. Dia teringat cerita Sharina tentang Umar. Lelaki itu menjadi bualan di seluruh universiti. Anak Tan Sri Hanafi, pemilik rangkaian perniagaan terbesar di Malaysia. Ramai yang mahu jadi teman wanitanya.

“Saya tak mahukan dorang. Saya tak pernah layan pun. Apa yang saya tahu saya mahukan awak dan saya akan pastikan awak milik saya.”

“Awak terlalu yakin Umar. Saya bukan terbaik untuk awak. Awak akan menyesal.”

Saat itu Maisara mula terbayangkan Hakimi. Lelaki itu meninggalkannya hanya untuk perempuan yang jauh lebih cantik dan menarik. Baru-baru ini dia mendapat tahu lelaki itu putus tunang dengan gadis pujaannya itu. Gara-gara perempuan itu berlaku curang dengannya. Sedikit pun Maisara tidak simpati.

“Saya yakin kerana saya pasti awak akan jadi milik saya dan saya tak akan menyesal.” Kali ini pelahan sahaja Umar menuturkan kata. Pelahan sehingga Maisara seperti mendengar lelaki itu berbisik sahaja.

“Umar, hidup awak sudah biasa dengan kemewahan. Awak dikelilingi dengan kawan-kawan yang sama taraf dengan awak. Awak akan menyesal bila satu hari nanti orang akan mengata. Saya dengan awak bagai langit dan bumi. Saya tak menarik. Saya tak cantik.” Maisara melepaskan jauh-jauh pandangannya ke arah pantai. Entah kenapa dia rasa sendu tiba-tiba. Penghinaan yang pernah dia terima satu ketika dahulu bagai mengamitnya. Penghinaan itulah yang menjadikan dia tabah dan menanam impian.

“Saya perlukan teman hidup bukan model. Awak cantik apa?!” Maisara menelan air liur. Kali ini, dia merasakan bibir Umar dekat benar dengan telinganya. Dengusan nafas lelaki itu terasa di pipinya. Terus sahaja Maisara menjauhkan diri. Kedengaran ketawa kecil dari lelaki itu.

“Saya tak akan apa-apakan awak. Sejahat-jahat saya tak pernah lagi ‘makan’ anak dara orang.” Ujar Umar, masih bersisa ketawanya.

“Amboi, dah tu anak orang yang tak ada dara tu awak makan lah ya?” serius sahaja pertanyaan Maisara. Umar tergelak lagi.

“Maisara.. Maisara, awak ni kan! Bertambah cantik bila marah. Sebab tu saya sukakan awak. Saya tidak pernah buat benda tu malah terfikir sekalipun. Erm, tapi dengan awak pernah lah!” Umar gelak lagi dihujung bicaranya, sengaja mahu mengenakan Maisara agaknya. Terbeliak mata Maisara mendengar ayat terakhir Umar. Terus sahaja dia memusingkan badan mahu mengatur langkah meninggalkan Umar.

“Saya sayangkan awak. Saya cintakan awak dan saya akan buat apa sahaja untuk awak.” Sempat Umar capai jari-jemari Maisara. cepat-cepat juga Maisara menarik tangannya. Tanpa sebarang kata, dia meninggalkan lelaki itu keseorangan.

“Ehem, ehem.. cinta sudah berputik ya?”tegur Najib, ketua fasilitator. Maisara jadi terkejut dengan teguran itu. Serasa mahu tumbang di situ juga. Adakah lelaki itu memerhatikan dia dan Umar sedari awal.

“Er,..er.. mana ada Bang. Borak-borak kosong jer.” Tersekat-sekat Maisara menjawab.

“Jauh benar borak kosongnya. Abang tahu Qay sukakan Sara.”

“Abang tahu?”

Najib sekadar mengangguk. Senyuman penuh makna diberikan kepada gadis yang baru dikenalinya itu. kalau tidak kerana Maisara, dia terpaksa merombak balik pembahagian kumpulan peserta.

“Esok sebelum balik Sara jumpa abang. Ada benda abang nak bagi.”

Tanpa sempat Maisara bertanya, Najib sudah berlalu. Meninggalkan Maisara yang tertanya-tanya. Sempat Maisara melirik ke arah Umar sudah menyertai rakan-rakannya.

**********************

Dua hari sudah berlalu. Maisara kembali meneruskan kerjanya sebagai Pengurus Pemasaran dan Promosi di salah sebuah restoran terkenal yang terletak di pantai Port Dickson.

Tengah hari itu, setelah habis mesyuarat dengan pihak atasan hotel terus sahaja Maisara menghilang ke dalam biliknya. Dia tersenyum apabila melihat gambar dia bersama anak-anak buahnya yang terletak di atas meja. Merenung wajah setiap daripada mereka buatkan Maisara puas. Walaupun sekejap Cuma mereka bersama tetapi Maisara amatlah gembira. Matanya kaku bila terpandang wajah Umar. Gambar itu di ambil pada hari terakhir mereka bertemu. Nadia yang menghantar ke semua gambar melalui emel kepadanya.

“Kau dah lupakan perasaan kau kan!?” Maisara tergelak kecil. Dia pasti selama ini perasaan Umar padanya adalah sementara sahaja.

Tiba-tiba Maisara teringatkan kertas yang diberikan Najib kepadanya. Terus sahaja dia mencapai beg tangannya. Dia terlupa untuk membaca isi kertas tersebut. Kertas berlipat dua dan sudah berkerunyuk sejak dari mula bertukar tangan dengan Najib diperhatinya seketika. Dia tidak sempat untuk membacanya akibat terlalu sibuk menguruskan hal-hal yang telah dipertanggungjawab kepadanya.

Terbeliak mata Maisara bila kertas itu di bukanya. Figura wajahnya yang dilukis menggunakan pen berdakwat biru itu benar-benar membuatkan degupan jantungnya berdegup lebih pantas. Namanya bertulis berselerakan disetiap penjuru kertas. Terdapat juga nama Ummar Qayyum di hujung kertas.

“Abang tahu Qay sukakan Sara.” Kata-kata Najib, lelaki tua tiga tahun daripadanya itu terngiang-ngiang ditelinganya. Tentu sahaja Najib sudah melihat dan membaca terlebih dahulu apa yang tertera di atas kertas. Dia terasa malu tiba-tiba.

Bunyi deringan telefon menambahkan lagi kejutannya. Maisara mengurut dadanya pelahan sambil menghela nafas. Nasib baik aku tak ada sakit jantung!

“Ya, Maisara bercakap.” Tutur Maisara pelahan.

“Kak, Ada orang nak jumpa akak kat lobi.” Kedengaran suara Syahrul, penyambut tetamu di hujung talian.

“Siapa?”

“Entah. Dia cakap dia kawan akak.”

“Erm, ok. Akak turun sekarang.”

Maisara bergegas meninggalkan biliknya. Benaknya puas memikir siapa gerangan yang mahu menemuinya waktu-waktu begini. Sampai sahaja di lobi dia menemui Syahrul sebelum lelaki itu menunjukkan seorang lelaki yang duduk di kerusi bulat membelakangkan Maisara.

“Ya, encik.” Sapa Maisara. Saat lelaki itu berpaling hampir sahaja Maisara terjerit. Cepat-cepat dia menutup mulutnya. Lelaki itu hanya tersengih melihat reaksi Maisara.

“Janganlah sampai macam tu teruja. Tahu lah awak rindukan saya!”

“Awak buat apa kat sini?” tanya Maisara, membiarkan usikan Umar tidak bersambut.

“Nak jumpa awak.” Balas Umar terus terang. Maisara menggeleng. Telahannya salah rupanya. Lelaki itu masih belum putus asa mahu mendapatkan cintanya. Benarkah lelaki itu mencintainya atau sekadar mahu mengenakannya?! Soalan itu pula yang muncul di benaknya.

“Tak ada kelas ke?”

“Kelas tak ada untuk tiga hari. Cuti. Student penat.”

Maisara mengangguk-anggukkan kepalanya mendengar jawapan Umar. Sempat dia mencuri pandang lelaki itu. Sedikit berbeza perwatakannya hari ini! Getus Maisara. Masih lagi dengan seluar bermudanya berwarna khaki di padankan dengan t-shirt berkolar berwarna putih. Cermin mata berwarna hitam diletakkan dikepalanya.

“Saya rindukan awak dan hari ini awak kena temankan saya makan. Boleh kan?”

“Saya banyak kerja ni Umar.” Maisara memberi alasan.

“Alasan. Kita makan kat sini je. Bukan nak bawa lari awak ke mana pun.”

Maisara mengeluh. Akhirnya dia mengangguk tanda setuju. Kedua-duanya melangkah masuk ke dalam restoran.

“Saya nak kenalkan awak pada seseorang. Come.”

Belum sempat pun Maisara membuka mulut, Umar sudah menaraik tangannya menuju ke arah penjuru restoran. Maisara menelan air liur bila Umar berhenti di sebuah meja. Seorang lelaki dan perempuan sedikit berusia hanya tersenyum memandangnya. Secara spontan juga Maisara menyalami wanita dan lelaki itu.

“Jadi inilah Maisara yang selalu Qay cerita tu?” soal wanita itu. Maisara jadi tidak keruan. Dia masih berdiri bila Umar menarikkan kerusi dan menyuruh dia duduk.

“Duduklah, Sayang.” Mendengar sahaja perkataan itu diungkapkan Umar membuatkan Maisara merasakan panas menyerbu mukanya.

“Sara jangan takut. Uncle dengan auntie ni bukan makan orang.” Usikan lelaki yang dihadapannya membuatkan Maisara tersenyum. Merah padam mukanya di usik begitu.

“Sara, ini saya kenalkan mummy dan daddy saya.”

Bertambah pantas degupan jantung Maisara saat Umar menghabiskan kata-katanya. Serasa mahu sahaja dia lari meninggalkan tempat itu.

“Qay ni sejak balik dari PD hari tu, asyik bercerita pasal Sara. Pagi, petang dok cerita. Yang jadi mangsa auntie lah.” Ketiga-tiga mereka ketawa kecil. Maisara hanya mampu tersenyum. Serasa tidak percaya Umar begitu serius mahukannya.

Sepanjang masa itu, Maisara bagaikan ditemuramah. Itu dan ini ditanya oleh ke dua-dua ibu bapa Umar. Puan Sri Hazlina memang ramah. Senyuman tidak lekang dibibirnya.

“Qay nak ke toilet jap.”

Maisara jadi tidak keruan bila Umar meninggalkannya keseorangan bersama ibu bapanya. Dia tidak tahu apa yang harus dituturkan.

“Sara tak perlulah risau. Auntie tak kisah siapa pun pilihan Umar. Yang penting bagi auntie, Sara telah mengubah Qay. Dia jadi lebih baik. Selama ni dia tak mudah di tegur. Auntie dengan uncle ni dah penat tegur dan marah dia. Tak sekali pun dia dengar cakap. Belajar pun kena paksa sebab tulah umur dah dua puluh empat diploma pun tak lepas lagi.” Ujar Puan Sri Hazlina bila melihat Maisara seperti tidak selesa.

Dua hari lalu anaknya asyik bercerita perihal Maisara. Naik penat dia mendengar tetapi terbit rasa gembira dihatinya dengan perubahan Umar. Melihat Umar mula berubah menjadikan dia teringin benar menemui gadis bernama Maisara itu.

“Uncle pun sama. Uncle tak kisah siapa Sara kalau itu yang membimbangkan Sara. Siapa keluarga Sara tak penting bagi uncle. Yang penting siapa Sara. Uncle tak pernah tetapkan bagaimana calon-calon suami atau isteri untuk anak-anak uncle. Yang uncle mahu orang tu boleh menjaga nama baik keluarga.”

Saat jari jemarinya disentuh Puan Sri Hanizah, Maisara rasa cukup terharu. Gugur juga air matanya saat itu. Dia tidak mahu sesiapa melihatnya menangis terutama rakan-rakan sekerjanya. Selama ini dia cukup kuat untuk tidak menangis.

“Usahlah menangis. Nanti Qay tuduh uncle dengan auntie sakiti buah hati pengarang jantung dia pulak. Tak pasal-pasal roboh restoran ni!” pecah ketawa Tan Sri Hanafi mendengar kata-kata isterinya. Maisara jadi tersenyum. Air matanya di kesat dengan hujung baju kurung modennya.

*************************

Tan Sri Hanafi dan Puan Sri Hanizah sudah kembali ke Kuala Lumpur kerana ada urusan penting yang harus dilakukan. Tinggal Maisara dengan Umar.

“Sekarang Maisara percaya?” tanya Umar setelah lama berdiam diri. Lama di renungnya gadis yang cukup menarik pada pandangannya itu. Maisara diam tanpa sebarang reaksi. Langkahnya di atur pelahan-lahan. Tudung yang dipakainya sesekali ditiup angin pantai. Waktu-waktu begini tidak ramai yang berkuncung ke pantai kerana bukan waktu cuti.

“Maisara sayang, saya bertanya perlukan jawapan.”

“Saya tak tahu, Umar.” Jawab Maisara akhirnya. Kepalanya masih menunduk. Memandang kakinya yang tidak berkasut. Kedengaran jelas keluhan Umar.

“Nadia ada bagitahu saya tentang awak.”

Kali ini Maisara memanggungkan kepalanya. Memandang lelaki disebelahnya dengan pandangan yang sukar dimengertikan Umar. Marah atau terkejut?!

“Tentang apa?”

“Tentang cinta awak untuk lelaki bernama Hakimi. Tentang keperitan yang awak tanggung akibat dikhianati dan dipersenda cinta Hakimi. Segala-galanya tentang awak.”

“Jadi?” Maisara cuba berlagak tenang. Sedangkan hatinya bergelora bila nama lelaki yang pernah dicintainya itu disebut.

“Saya mahu awak tahu saya bukan Hakimi. Saya tidak mahu janjikan apa-apa kepada awak Cuma saya tak akan jadi seperti Hakimi.” Tegas nada bicara Umar.

“Awak boleh berkata macam tu hari ni. Esok, lusa entahkan lebih teruk dari tu.” Provok Maisara. Umar ketawa kecil. Bukan lucu dengan kata-kata Maisara tetapi dia merasakan Maisara sengaja mengunci pintu hatinya untuk lelaki lain kerana Hakimi. Terasa tidak adil.

“Maisara binti Zahari, sebelum saya bertemu awak, saya sudah bertemu dengan bermacam perempuan. Yang cantik bagaikan model atau puteri raja pun sudah tetapi sesaat pun saya tak pernah terpikat seperti mana saya terpikat dengan awak.”

Yakin benar dia mengatakan itu. Ya, selama ini dia tidak pernah terpikat dengan mana-mana wanita. Mungkin tiada siapa akan percaya kalau dia katakan dia tidak pernah jatuh cinta. Dengan segala kelebihan yang dia ada senang sahaja untuk dia mendapatkan mana-mana wanita yang diingininya.

“Saya tunggu jawapan awak esok. Tengah hari esok saya balik. Saya jumpa awak pukul sebelas pagi kat tempat tadi. Kalau awak tak ada, saya cari awak sampai jumpa.” Umar putuskan begitu lalu dia meninggalkan Maisara sendirian. Sempat dia menoleh sambil melambaikan tangan ke arah Maisara dengan senyuman. Maisara hanya memerhati sehingga lelaki itu menaiki keretanya.

*************************

“Akak, tadi ada someone suruh bagi surat ni kat akak.” Nurin yang berada di meja penyambut tetamu menghulur sekeping surat kepada Maisara. Maisara mengambilnya tanpa banyak soal lalu terus naik ke pejabatnya. Lama juga dia bersendirian di pantai sebelum kembali ke restoran.

Maisara..

Sya xtau mcm mana lagi harus yakinkan awak.

Sya cintakan awak. Sya mahukan awk.

Sya mahu awk mnjadi teman hidup sya selamanya.

Bukan setakat untuk sehari dua.

Sya tak mahu jadi spti Hakimi.

Dan sya yakin sya xakan jadi spti dia.

Kerna sya cintakan awk bukan kerana rupa.

Klu kerana rupa, sya blh pilh yang lbh baik… ttpi sy mahukan awk…

Sya mahukn awk sbg kekasih, teman dan isteri sya..

Maisara…

Sya tunggu jawapan awk dan harap jwpn itu xkecewakan sya…

Ummar Qayyum Hanafi

Maisara mengeluh. Figura Umar bermain diruang matanya. Berselang seli dengan wajah Puan Sri Hanizah dan Tan Sri Hanafi. Senyuman yang tidak lekang dari bibir ibu bapa Umar itu menenangkan Maisara.

Tetapi perasaannya sekarang berbelah bahagi. Kesan luka bertahun lamanya yang ditinggalkan Hakimi masih berparut. Parut yang tak mungkin hilang selama-lamanya.

“Bukakan pintu hati kau untuk orang lain, Sara. Kalau dah macam tu serius Umar mahukan kau, tak akan kau mahu lepaskan dia?” persoal Nadia bila Maisara menghubunginya menceritakan betapa Umar nekad mahu memilikinya. Diceritakan jugat tentang kehadiran ibu bapa Umar.

“Aku.. aku tak tahu.”

“Banyakkan berdoa dan minta petunjuk dari ALLAH, Sara. insyaALLAH, kau akan dapat petunjuk.”

“Tapi Umar mahu keputusannya esok.” Luah Maisara. Terasa mahu menangis dia saat itu.

“Kau mintalah dia bagi kau masa. Kalau dia benar-benar ikhlas mahukan kau, dia akan tunggu tapi kau pun kena ingat. Jangan ambil masa terlalu lama.”

*******************

assalamualaikum Umar..

sya mohon maaf klu emel ni ganggu awak..

sya mohon maaf juga kerana mmbiarkan awak menunggu..

sya tidak tahu dari mana harus mulakan..

Umar,

Sya sdh mmikirkan dgn sewajarnya.

Sya juga sudah mohon petunjuk dri ALLAH yang Maha Penyayang

Dengan ini..

Sya mahu memulangkan kembali cincin yang awk berikan pada sya pada pertmuan t’akhir kita dahulu. Sya xmahu membuangnya sptmana permintaan awk andai sy ttp menolak cinta awk. Mahal harganya, Umar. Bagi orang xberduit spt sya ini, cincin emas putih itu terlalu mahal harganya.

Terima kasih kerana sudi mencintai sya dan sya amat berharap andai cincin emas putih ini akan tersarung di jari sya nanti, pada mjlis pertunangan ataupun pernikahan kita nanti. Buat masa sekarang, sya mahu awk menyimpannya. Sampaikan salam penuh kasih untuk mummy dan daddy awak. InsyaALLAH satu hari nanti mereka akan menjadi mummy dan daddy sya juga.

Terima kasih Umar kerana sudi menjadi Umar saya.

Maisara Zahari.

Maisara tersenyum membaca bait kata yang baru sahaja ditaipnya. Dia puas. Terbayang wajah Umar di ruang mata. Tentu sahaja lelaki itu melonjak kegembiraan. Dia menekan butang ‘send’. Di dalam hati dia berdoa, agar ALLAH terus merestuinya.

Baru sahaja Maisara mahu bangun dari kerusinya, telefon bimbitnya berbunyi. Nombor yang tertera di skrin tidak dikenalinya. Namun, Maisara tetap menjawab panggilan itu.

“I love you. I love you. Love you so much, Maisara.” Riang bunyi suara di hujung talian membuatkan Maisara ketawa kecil.

“Erm, tak ada bagi salam dah terus serbu!”

“Er.. assalamualaikum Maisara. Excited sangat tadi.”

“Waalaikumsalam, Umar. Cepatnya baca emel?!”

“Saya tengah siapkan assignment tadi. Tiba-tiba emel masuk. Awak hampir-hampir buatkan saya kecewa Maisara. Rasa tak mahu baca sampai habis.”

Maisara tersenyum mendengar kata-kata Umar. Dia sengaja berbuat begitu. Sengaja mahu mengenakan Umar.

“Terima kasih Maisara. Awak telah melengkapkan diri saya tapi saya harap awak berikan saya masa untuk jadikan awak suri hidup saya. Saya harap awak tak bosan menunggu saya.” Pelahan suara Umar menuturkannya. Kedengaran sayu di telinga Maisara.

“Saya akan tunggu awak. Saya tahu dan amat faham. Cuma awak janji dengan saya, awak tak akan mempermainkan saya.”

“Saya tak akan persia-siakan seorang wanita semulia awak, Maisara. Itu janji saya. Pada awak, pada diri saya.”

Maisara tersenyum. Tanpa sedar ada air mata yang mengalir dari tubir matanya. Dia berharap Umar adalah lelaki yang telah tercipta untuk mendampinginya sebagai suami suatu hari nanti. Lelaki yang menjadi ayah kepada anak-anaknya. Lelaki yang membimbingnya dunia dan akhirat. Lelaki yang melengkapi kehidupannya. Amin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: