Cerpen : Kerana Kasih-Mu, Tuhan

Nama Pena : satu_sentuhan

Engku Murni terduduk. Gagang telefon diletak perlahan sebelum dia menekup muka dengan kedua tangannya dan menangis teresak-esak.
“Ya Allah. Ya Allah…”
Itu sahaja perkataan yang mampu dilafaznya.
Ini bukan kali pertama air matanya tumpah dalam seminggu dua ini. Sejak kebelakangan ini, dia menerima berbagai berita buruk yang cukup meruntun perasaannya. Hari ini, terasa bagaikan terputus tangkai jantungnya apabila diberitahu bahawa pelaburannya sebanyak 25 ribu ringgit hangus begitu sahaja di tangan orang yang sangat dipercayainya. Apa lagi yang mampu dilakukan Engku Murni selain menangis.
“Tuhan, hamba Mu ini sudah tidak berdaya. Tak sanggup lagi nak berdepan dengan semua dugaan-Mu ini. Tolonglah aku,” rintihnya dalam esak tangis yang berpanjangan.
Kepalanya berdenyut-denyut mengingatkan hutang yang terpaksa ditanggung akibat dari bisnesnya yang kerugian. Minggu lalu, anaknya Salina menghubunginya untuk memaklumkan tentang pemecatannya dari jawatan Pengerusi Eksekutif Syarikat Rampai Corporation Sdn Bhd. Dia tidak terkilan kehilangan satu jawatan penting, tetapi ada faktor lain yang cukup memedihkan hatinya berkaitan dengan pemecatan itu.
“Mama yang cetuskan Rampai Corporation. Sepatutnya mama jangan mudah menyerah kalah. Kita kena fight. Tuntut hak kita,” pujuk Salina dalam telefon semalam.
Bagi Engku Murni, apa yang berlaku ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa. Yang memecatnya dari Rampai Corporation pun bukan orang lain. Anak menantunya sendiri. Syarikat yang asalnya ditubuhkan sebagai satu projek keluarga, kini menjadi rebutan anak-anak, setelah melihatkan prestasi Rampai Corporation yang meningkat mendadak.
Syarikat itu menjadi pengeluar produk rawatan herba tradisional. Hasil kerja keras dan promosi yang meluas, produk keluaran syarikat itu mendapat sambutan hangat. Engku Murni yang asalnya dilantik oleh anak-anak sebagai Pengerusi Eksekutif, menarik nafas lega dengan perkembangan perniagaan keluarganya.
Bagaimana pun langit tidak selalunya cerah, Tuhan mentakdirkan suatu dugaan yang pahit kepadanya. Semuanya bermula apabila salah seorang anak dan menantunya sendiri mula berminat mencari jalan singkat mendapat untung lumayan. Anak bongsunya Zila dan menantunya Fuad, yang merupakan sebahagian daripada ahli lembaga pengarah, telah didatangi oleh seorang wakil dari satu syarikat gergasi Cina. Mereka menawarkan bayaran yang lumayan untuk membeli hak milik resepi asal produk herba dari Rampai Corporation.
Lantaran terpesona dengan wang ringgit yang banyak itu, Zila dan suaminya Fuad, beriya-iya hendak menjual resepi produk syarikat. Sedangkan syarikat itu bukan hak peribadi mereka tetapi adalah milik keluarga dan masing-masing ada sahamnya di situ. Engku Murni tidak setuju dengan tawaran itu kerana tidak mahu bisnesnya dilumpuhkan oleh orang lain suatu hari nanti. Begitu juga Salina.
Namun siapa dapat menghalang bila keinginan nafsu mengatasi pertimbangan akal dan perasaan. Demi memenuhi kehendak nafsu, Zila dan Fuad telah memecat Engku Murni dan Salina dari menjadi ahli Lembaga Pengarah.
Hati Engku Murni amat terguris dengan sikap anak menantunya itu. Namun sebagai ibu, dia lebih mementingkan kasih sayang dan kerukunan keluarga dari berebut wang ringgit dengan anak-anaknya. Salina tidak dapat menerima tindakan Zila terhadap Mama mereka. Dia sendiri bukanlah memikirkan sangat soal duit ringgit tapi dia geramkan Fuad yang dianggapnya tidak sedar diri. Dia tahu, selama ini Zila hanya mengikut telunjuk Fuad.
“Biarlah Ina. Doakan saja mereka tu insaf. Mama tak nak kamu adik-beradik bergaduh,” pujuk Engku Murni waktu Salina meledakkan kemarahannya semalam.
“Zila tak patut buat mama macam ni. Semua resepi produk Rampai Corporation dari mama. Mama lagi berhak ambil alih syarikat itu.”
“Mama tak kisah. Insya-Allah, selagi hidup, adalah rezeki dari Tuhan.”
Kesedihan Engku Murni tidak terhenti di situ sahaja. Sewaktu berlaku pergolakan di dalam Rampai Corporation Sdn Bhd, Engku Murni telah merancang persiapan untuk menjalankan perniagaan sendiri. Setelah bertemu dengan rakan kongsi yang dirasakan mampu mengurus perniagaannya dengan baik, Engku Murni telah mengeluarkan kesemua baki duit simpanannya sebanyak RM 25 000 sebagai modal permulaan. Dia merancang untuk mengeluar satu produk tradisional yang resepinya masih belum jatuh ke tangan Zila dan Fuad. Sewaktu perbincangan diadakan antara Engku Murni dan rakan kongsinya itu, dia cukup yakin bahawa masa depannya tetap cerah di dalam dunia perniagaan. Bagaimanapun Allah juga yang mengkehendaki dia ditipu dalam usahasama itu. Rakan kongsi itu menghilang diri setelah dua puluh lima ribu ringgit bertukar tangan. Hampir pengsan Engku Murni waktu menerima berita itu. Untuk seketika, dunia dirasakan terlalu sempit.
Engku Murni memang tiada tempat mengadu. Suami telah lama meninggalkannya sejak beristeri muda. Dia tidak sanggup berkongsi rasa sedihnya itu dengan Salina kerana Salina sendiri telah berkeluarga. Meskipun dia sering menasihatkan Salina supaya bersabar dengan setiap dugaan yang datang, hakikatnya dia sendiri hampir rebah. Cuma pengaduannya pada Tuhan yang mampu menenangkan sedikit perasaannya. Begitupun ada waktunya, dia rasa tidak berdaya untuk meneruskan hidup.
Hari itu, ketika dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dari Johor Bharu, Tuhan mempertemukan Engku Murni dengan Sharifah Khairiah. Empat puluh lima minit di dalam kapalterbang, membuka ruang untuk mereka berkenal-kenalan. Wajah bersih dan tutur lembut Syarifah Khairiah seakan magnet yang menarik sepenuh perhatian Engku Murni kepadanya. Entah mengapa, Engku Murni yang selama ini lebih suka menyimpan rahsia peribadinya sendiri, mudah sahaja meluahkan segala yang terbuku di hati.
“Untunglah Puan Engku. Besarnya perhatian Tuhan pada Puan. Sayangnya Allah pada Puan,” kata Syarifah Khairiah sambil menguntum senyuman manis.
“Saya dah kehilangan segala-galanya. Suami tak peduli, anak buat saya musuh, bisnes lingkup, Syarifah masih kata saya untung?” tanya Engku Murni dengan senyum tawar.
“Tuhan tu, kalau Dia sayang seseorang, Dia akan ‘menyusah-nyusahkan’ orang itu. Mungkin dengan ditakdirkan orang lain suka menyakitkan hatinya, mengganggu kehidupan, merosakkan perniagaannya.”
Engku Murni memandang Syarifah Khairiah dengan kening berkerut. “Macam mana pulak tu…”
Syarifah tersenyum lagi mendengar pertanyaan dari Engku Murni. Kasihan dia melihat seorang insan di hadapannya itu yang terkapai-kapai, tidak nampak jalan keluar dari kemelut masalahnya.
“Puan Engku, bila hamba itu telah disusah-susahkan, tentulah dia terpaksa mencari Tuhan untuk mengadu dan minta tolong. Sebenarnya Tuhan sangat suka mendengar hamba-hamba-Nya merintih, merayu-rayu dan menangis meminta pertolongan-Nya. Sebab itu Tuhan susah-susahkan Puan Engku. Dia nak Puan Engku datang kepada-Nya.”
“Tapi saya rasa ujian ini terlalu berat. Kadang-kadang saya bertanya pada Tuhan. Kenapa aku yang Kau pilih, Tuhan. Kenapa bukan orang lain?”
Air mata Engku Murni mula menitis berjuraian di pipinya.
“Jangan putus asa, jangan buruk sangka dengan Tuhan. Mintalah bantuan dari-Nya. Dia pasti membantu.”
“Memang saya selalu bangun tahajud. Minta Tuhan bantu saya selesaikan masalah saya. Tapi setakat ni, saya masih buntu. Rasa macam Tuhan tak dengar pun doa saya,” keluh Engku Murni sambil menyapu air matanya.
“Mungkin, apa yang Puan Engku minta pada Tuhan, bukan itu yang Tuhan mahu Puan Engku faham dari ujian-Nya. Saya agak Puan Engku cuma mahu segala-galanya kembali seperti asal. Keluarga yang harmoni dan kejayaan dalam bisnes, bukan begitu?”
“Ya. Memang itu yang saya minta dari Tuhan. Salah ke permintaan saya tu?”
Syarifah Khairiah tidak menjawab. Dia membiarkan Engku Murni dengan perasaannya.
“Ujian yang Allah beri kepada manusia ni sebenarnya untuk memaksa manusia buat post mortem. Supaya cari salah sendiri. Mungkin ada sesuatu pada kita yang Allah tak suka, sebab tu, Allah tarik apa yang ada. Allah nak bersihkan dosa kita di dunia, supaya di Akhirat kita selamat.”
“Dalam hal ini saya tidak bersalah. Mereka yang menzalimi saya, mengapa pula saya yang menerima akibatnya?” tingkah Engku Murni, kurang puas hati.
“Tentang orang yang menzalimi kita, tak payah kita fikir. Tuhan ada cara-Nya sendiri untuk ‘memproses’ mereka pula. Yang penting, kita kena anggap, kerana dosa kitalah, Allah datangkan segala ujian, kesusahan dan kesakitan. Tuhan berhak mengatur hidup kita dan Maha suci Tuhan dari menzalimi.”
Untuk beberapa ketika, Engku Murni terdiam.
“Mungkin betul kata Syarifah tu. Saya bukan muda lagi dan baru peringkat umur inilah saya rasa dekat dengan Tuhan. Sedangkan dulu…” Engku Murni menelan air liur.
“Itulah sebenarnya dosa kita. Sudah lama kita tidak mempedulikan Tuhan. Sedangkan Tuhan setiap hari mengurus kehidupan kita, mengurniakan rezeki, memberi kesihatan, ilmu dan lain-lain lagi. Dia tidak pernah lupa kepada kita. Tapi kita sering melupakan Tuhan,” kata Syarifah Khairiah lembut.
Engku Murni tersentak. Betul juga, fikirnya. Masa senang dulu, dia tidak pernah terfikir hendak bersyukur kepada Tuhan. Memanglah mulutnya berkata Alhamdulillah, tapi mana bukti syukurnya? Dia tidak pun menggunakan segala kesenangan yang diperolehi itu untuk berkongsi dengan makhluk Tuhan yang lain. Semua digunakan untuk kesenangan dan keselesaan diri dan keluarga semata-mata, manakala yang selebihnya disimpan untuk kepentingan diri sendiri juga.
“Tanyalah pada diri kita, adakah kita semakin khusyuk beribadah kepada-Nya apabila semakin banyak nikmat Tuhan yang kita terima?” khutbah Syarifah Khairiah lagi.
Engku Murni tersentak lagi. Dia teringat ketika menguruskan Rampai Corporation dulu, sembahyang pun macam ayam patuk padi. Kadang-kadang kerana sibuk menjalankan perniagaan, tertinggal sembahyang.
“Oh Tuhan, memang benarlah aku berdosa pada-Mu,” rintih hati Engku Murni.
“Kita berdosa kerana tidak pedulikan Tuhan. Padahal kita telah berjanji kepada Tuhan di alam roh dulu, bahawa kita akan menjadi hamba-Nya yang sentiasa beribadah kepada-Nya. Kita juga berjanji untuk menjadi khalifah-Nya yakni menunaikan segala amanah yang dipikulkan ke atas kita di dunia ini.”
Engku Murni tersedar kini. Rupa-rupanya dia telah begitu jauh dari Tuhan. Hidupnya penuh kelalaian. Patutlah Tuhan susah-susahkan hidupnya, lantaran dosa yang begitu banyak.
“Sebab itu saya kata Puan Engku beruntung. Di dunia lagi Tuhan sudah hukum Puan, dengan tujuan agar Puan sedar dan bertaubat,” kata Syarifah Khairiah lagi.
Engku Murni mengangguk-angguk. Kini dia mula nampak hikmah ujian yang menimpa. Dia rasa bersyukur kepada Tuhan kerana menyedarkannya dari kelalaian selama ini. Andainya Tuhan biarkan dia dalam kemewahan dan menjayakan perniagaannya, belum tentu dia akan ingat kepada Tuhan.
Sewaktu kapalterbang hampir mendarat di KLIA, Engku Murni sempat bertukar-tukar business card dengan Syarifah Khairiah. Sewaktu bersalaman, Engku Murni memeluk Syarifah Khairiah.
“Terima kasih atas segala nasihat Syarifah itu,” kata Engku Murni separuh sebak.
Sewaktu melangkah turun dari pesawat, Engku Murni merasakan dadanya lapang. Ibarat seorang pesakit yang sesak nafas, diberi bekalan oksigen.
“Ya Allah, semoga aku mampu jadi hamba yang faham setiap maksud takdir-Mu ke atasku. Semoga aku bukan lagi hamba yang selalu buruk sangka pada-Mu. Ampunkan aku kerana biadabnya aku pada-Mu selama ini hingga aku menyalahkan-Mu di atas setiap ujian yang menimpa. Ampunkan aku, wahai Tuhan,” bisik hati Engku Murni penuh syahdu.
Seminggu kemudian, Syarifah Khairiah menerima panggilan telefon daripada Engku Murni. Rupa-rupanya setelah dia bertaubat dan mendekatkan diri kepada Tuhan, anak dan menantunya tiba-tiba saja berubah hati dan menyesal dengan perbuatan mereka. Mereka telah berjumpa Engku Murni meminta maaf dan mengajaknya untuk bersama kembali dengan Rampai Corporation.
Demikianlah kasih Tuhan pada hamba-Nya. Bila seseorang itu selesai hubungannya dengan Tuhan, maka Dialah yang akan menyelesaikan masalah hamba-Nya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: