Novel : Aurabidadari 4

Nama Pena : Nazrina Hussin

Penulis sudah menulis 3 buah Novel di pasaran sejak tahun 2000 – 2005, antaranya Sepenuh Hati Sepenuh Jiwa, Mencintaimu dan Janjimu Kepadaku terbitan rhythm publishing

“Apa kena dengan kamu berdua ni?” Mak Senah menegur Audra dan Muzammil hanya mendiamkan diri apabila mengadap sarapan pagi itu. Selalunya pantang berjumpa ada saja bahan yang menjadi perbualan.
“Entahlah Mak Senah. Ada orang tu sejak balik dari Outward Bound School dia jadi bisu,” balas Audra lalu menuang susu yang berisi cornflakes ke dalam mangkuknya. Muzammil tidak memberikan sebarang reaksi. Dia tekun mengunyah mi hoon goreng yang dimasak oleh Mak Senah.
“Audra tidak ke mana-mana hari ni?” soal Mak Senah.
“Hari ni Audra hendak pakai kereta. Audra ada janji hendak makan tengahari dengan kawan hari ni,” ucapnya ditujukannya kepada Muzammil.
“Semalam keluar dengan siapa tu….errr Muhkriz. Audra hendak keluar dengan dia lagi?” Ucap Mak Senah tanpa disangka. Audra meletakkan jari tunjuknya ke bibir. Muzammil mendongakkan wajahnya memandang Audra apabila mendengar pertanyaan Mak Senah itu. Kenapa aku tidak tahu dia keluar dengan Mukhriz?
“Mil hendak keluar hari ni. Ada urusan penting yang patut dibuat,” jawabnya selamba.
“Esok sajalah Mil keluar. Audra sudah janji dengan errr…hmmm Mukhriz hari ni,” katanya merayu. Mahu tidak mahu dia terpaksa menyebut nama lelaki itu.
“Mil hendak servis kereta.” Muzammil memberi alasan. Audra memandang tajam ke arahnya. Tadi dia beri alasan ada urusan penting hendak dibuat dan sekarang pula dia beri alasan hendak servis kereta. Mana satu yang betul ni?
“Sebelum servis kereta Mil hantarlah Audra ke Promanande. Balik nanti Mil singgah ambil Audra,” cadang Mak Senah hairan sikap Muzammil itu. Selalunya pantang Audra buka mulut dia pasti akan mengikutnya tanpa sebarang bantahan. Mak Senah memandang wajah Muzammil dan Audra silih berganti.
“Mil ikut jalan lainlah Mak Senah. Lagipun tengahari kereta banyak hendak patah ke tempat servis kereta jauhlah, Mak Senah,” Muzammil memandang geram wajah Audra.
“Kalau macam tu Audra suruh Mukhriz ambil di rumah,” kata Audra sebal. Memang tidak boleh harap dia ni. Kalau sudah kerja tu jadi drebar ikut sajalah. Banyak keretalah, tempat servis kereta jauhlah. Alasan yang dia beri tu memang tidak boleh dipakai langsung. Nampak sangat Muzammil cuba menyekat pergerakannya.
“Bukankah lagi elok kalau Audra jangan pergi. Menyusahkan Mukhriz hendak ambil dan hantar Audra,” balas Muzammil tidak puas hati. Pantang diajak oleh lelaki lain pasti tidak menolak. Apa dia ingat Mukhriz seorang yang mampu mengajak makan di hotel tu?
“Woww…sudah pandai hendak mengarah orang. Ingat Mil, Audra ni siapa dan Mil tu siapa?” bentak Audra marah. Mukanya merah menyala apabila Muzammil membantah kehendaknya hendak keluar bersama dengan Mukhriz. Mentang-mentanglah ayah menyuruh dia menemaninya setiap masa, pandai pula Muzammil hendak mengatur kehidupannya.
“Audra ingat Mil suka sangat hendak jadi drebar ni?” jawab Muzammil kuat. Berderau darah Muzammil mendengar pengucapan gadis itu. Memang aku sedar siapa diri ini. Lagipun dia bukannya untuk menjadi suruhan orang setiap masa. Apa dia ingat aku suka menemaninya setiap masa? Menjadi pak turut yang tidak membantah apabila minah celup itu memberi arahan. Kalau bukan kerana permintaan Datuk Azri sudah tentu Muzammil tidak akan berada di rumah itu.
“Apa kena dengan kamu berdua ni?” Mak Senah memandang muka Muzammil. Muzammil pun satu. Kenapalah dia hendak melarang Audra keluar dengan kawannya itu?
“Mil ni Mak Senah…Audra hendak keluar pun dia marah. Minta hantar macam-macam alasan dia beri. Kalau menyusahkannya Audra naik teksi sajalah.” Ucapnya perlahan. Dia sendiri pun terkejut mendengar suara Muzammil itu. Inilah kali pertama Muzammil meninggikan suara kepadanya.
“Ahhh, suka hati Audralah,” Muzammil menghentak meja lalu berlalu pergi. Audra mengurut dadanya.
Mak Senah terkejut melihat reaksi Muzammil itu. Sampai begitu sekali dia marahkan Audra? Ini mesti ada yang tidak kena dengan budak berdua ni? Agaknya Muzammil cemburu Audra keluar dengan lelaki lain? Mak Senah memandang wajah Audra yang menahan tangis itu.
“Get lost!” Audra berteriak lalu berlari. Mak Senah menggelengkan kepalanya. Macam-macam perangai budak berdua ni? Dia meneruskan kerja-kerjanya yang tertangguh tanpa memperdulikan Audra dan Muzammil yang sedang berperang dengan perasaan sendiri.

AUDRA menghumbankan dirinya di atas katilnya. Bantal tidurnya dilemparkannya merata-rata tempat. Suka hati akulah hendak keluar dengan Mukhriz atau sesiapa pun. Kenapa pula dia tiba-tiba naik angin?
Audra duduk bersila di atas katilnya lalu menumbuk-numbuk dengan rasa geram tilamnya. Kemarahannya mula surut apabila memerhatikan ruang biliknya yang berupaya menyejukkan hatinya. Bilik yang dihiasi mengikut selera emaknya sungguh nyaman sekali. Sentuhan inggeris tetap tidak ketinggalan dengan pilihan perabot yang menghiasi kamar tidurnya. Audra terpandang cermin mejanya yang sedikit retak itu. Senyuman menghiasi di bibirnya. Audra pernah melempar kasutnya ke cermin itu lantaran ayahnya membatalkan janji hendak membawanya dan emaknya menonton wayang. Akhirnya Audra mengalah dengan pujukkan emaknya. Hilang kemarahannya sebaik saja dia dan emaknya balik daripada menonton wayang.
Audra kerap ditegur oleh ayahnya kerana kenakalannya. Pernah dia dimarahi kerana tidak mahu belajar piano sedangkan ketika itu cikgu yang mengajarnya sudah pun berada di bawah. Emaknya tidak pernah memaksa dirinya untuk apa yang tidak diingininya. Berbeza dengan ayahnya yang sentiasa mendesak walaupun dia sudah memberitahu yang dia tidak mempunyai minat dan bakat untuk belajar piano.
Setiap kali dia menunjukkan kedegilannya ayahnya semakin memaksa dirinya. Akhirnya dia mengurungkan dirinya di bilik. Berhari-hari dia sanggup mogok lapar untuk menunjukkan ketidakpuasan hatinya. Setiap kali itulah emaknya akan memujuknya dan membelikan dia barang permainan ataupun coklat.
Audra mendengus. Sekarang tiada siapa lagi yang akan memujuknya. Muzammil sendiri pun melancarkan perang dingin kepadanya. Audra bingkas bangun menuju ke arah lap topnya yang sudah lama tidak disentuhnya. Sudah tentu ada email baru yang diterimanya.
Audra melonjak kegembiraan apabila mendapat email daripada Gadis Ayu dan Claudia Anne. Sudah tentu ada khabar baik yang akan disampaikan oleh Jesnita dan Claudia tentu akan menceritakan percutiannya di Switzeland.
“Keluarga Luqman sudah pun datang merisik. Pertunangan kami akan dilangsungkan dalam masa yang terdekat. Akulah orang yang paling bahagia dalam dunia ni Audra. Orang yang aku kasihi ternyata amat mencintai aku. Buktinya tidak lama lagi kami akan menjadi suami isteri. Hari-hari yang aku lalui bagaikan tidak lengkap sekiranya tidak mendengar suara Luqman. Mesti kau dan Reena ketawakan aku bila membaca email aku ini tapi itulah hakikat yang sebenarnya apabila mempunyai insan yang menyayangi diri ini. Dia sentiasa bersamaku ketika aku memerlukannya. Kau bila lagi?” Audra mengetapkan bibirnya setelah habis membaca email yang diberi oleh kawan karibnya itu.
Aku bila lagi? Pandai pula dia bertanyakan soalan itu. Bertuahlah kau Jes kerana ada Luqman yang menyayangi kau. Audra sendiri tidak tahu dengan apa yang bakal ditempuhinya dalam kehidupan ini? Hubungan dengan ayah sendiri pun tidak serapat mana. Hendak mengharapkan kasih orang Audra sendiri tidak tahu siapa yang sudi menghulurkan rasa kasih dan sayang itu?
Tangannya menekan tetikus ke arah email yang disampaikan oleh Claudia Anne. Gambar Claudia dipeluk mesra oleh kekasihnya Eddie terakam.
“Tiada apa yang paling membahagiakan jika sentiasa bersama oang yang dicintai.” Audra membaca ayat yang ditertera di bawah gambar Claudia dan kekasihnya. Audra tersenyum membacanya. Semoga berbahagialah kamu duhai teman-temanku.
Telefon bimbitnya berbunyi lalu dicapainya. Nombor telefon Mukhriz tertera di skrin. Dibiarkannya telefon itu terus berbunyi. Kata-kata Muzammil tadi menggamit perasaannya.
“Audra….”
“Mukhriz, Audra minta maaf sebab tidak dapat keluar hari ni. Audra ada hal penting hendak dibuat hari ni. Audra minta maaf…” ucapnya tiba-tiba berasa lega. Seolah-olah dia baru saja melepaskan satu beban yang dihadapinya. Penolakkannya untuk keluar bersama Mukhriz tengahari itu sungguh melapangkan hatinya.

“YOU look so untidy,” ucap Audra sebaik saja mendapatkan Muzammil yang sedang menikmati sarapan nasi goreng pagi itu.
“Assalamua’alaikum Audra. Bagilah salam dulu sebelum tegur orang tu,” Muzammil mengingatkan. Audra mengambil tempat di hadapan Muzammil. Kata-kata pemuda itu dibiarkan bagaikan angin yang berlalu. Dia menjawab salam yang diberi di dalam hati.
Audra merenung Muzammil. Masih menantikan balasan daripada jejaka itu. Selalunya dia nampak kemas dengan uniformnya. Seakan-akan sedar dirinya diperhatikan Muzammil memandang Audra.
“Mil lambat bangun sebab tu baru selesai cuci kereta.” Ohhhh…Audra membulatkan mulutnya. Mak Senah orang gaji dalam rumah itu membiarkan dua teruna dan dara tu berbual.
“Mak Senah tidak minum sekali?” katanya memandang Mak Senah yang sedang mencuci cawan. Sejak melihat Muzammil bersarapan seorang diri di dapur sejak itulah Audra rajin minum pagi.
“Minumlah Audra. Mak Senah baru lepas minum. Audra pun lambat bangun hari ni bukan? Mil tu kalau Audra tiada mulutnya bukan main macam murai tercabut ekor. Mata tu asyik memandang ke pintu menantikan Audra hendak sarapan bersama. Ni bila Audra sudah depan mata lidah pun kelu hendak berkata-kata,” usik Mak Senah. Macamlah dia tidak tahu perasaan yang sedang dialami oleh Muzammil dan Audra. Cuma kedua-duaya masih belum menyedarinya lagi.
Mata Muzammil tu memang tidak lepas memerhatikan Audra yang ada bersamanya. Macam hendak ditelannya saja Audra. Lagi pun Audra ni nakal. Pantang Muzammil tersalah cakap mesti jadi bahan usikannya. Silap haribulan boleh jatuh cinta mereka berdua ni. Nampaknya macam Muzammil yang terlebih perasaan dengan Audra.
“Really?” kata Audra apabila mendengar penerangan daripada Mak Senah itu. Muzammil tidak menidakkan tidak juga mengiyakan. Matanya melekat ke arah bidadari yang berada di depan itu.
“Mak Senah mula buat gosiplah tu…” Ujar Muzammil.
“Kamu ingat kamu tu artis Mak Senah hendak buat gosip.” Balas Mak Senah tidak mahu kalah. Muzammil terdiam mendengar jawapan Mak Senah itu. Makin dipanjangkan makinlah orangtua itu galak mengusiknya.
Audra ketawa mendengar perbalahan kecil antara mereka berdua. Perbalahan yang mencetuskan kemesraan antara mereka semua. Muzammil dan Mak Senahlah yang selalu menceriakan kehidupannya kini. Hanya dua orang inilah temannya bergaduh dan bercerita.
“Mak Senah layan kamu berdua ni alamatlah kerja tidak siap-siap,” katanya hendak mengoreng telur. Hazri tu mesti ada telur goreng setiap hari. Jika tidak ada alamatlah budak tu tidak mahu bersarapan.
“Mil tidak sibuk hari ni?”
“Hendak ke mana lagi ni?” Pagi-pagi pukul lapan macam ni kedai belum buka lagi. Hendak keluar tunggulah matahari tinggi. Hari-hari berjalan mengukur kedai, Audra tidak penatkah?”
Audra kalau bab berjalan mana pandai penat. Kata arwah emaknya kalau ada tahi lalat di tapak kaki tanda orang tu kuat berjalan. Macam Audra setiap kali cuti mesti dia pergi ke Paris, tidak pun ke London. Kalau dia duduk diam mesti Grandma berasa hairan.
“Amboi…kalah boyfriend Audra. Boyfriend Audra pun tidak banyak soal macam Mil ni. Kita tengok wayang melayulah Mil. Lama Audra tidak tengok wayang Melayu. Boleh kan Mil?” rayunya manja.
Amboi Audra kalau hari-hari kau buat macam ni alamat cair lelehlah dia dibuat dek perangainya yang manja ni. Betulkah Audra ada boyfriend? Alamat kepunanlah aku bergirlfriendkan perempuan secantik Audra.
“Boleh tiada masalah tapi Audra yang belanja.”
“Bab belanja Mil jangan risau. Asalkan Mil sanggup temankan Audra, itu sudah cukup baik.”
“Memang tugas Mil menghantar Audra ke mana saja.”
“Audra bukan mahu dihantar. Audra mahu Mil temankan Audra. Dua perkataan yang berbeza maknanya.” Usik Audra. Setakat hendak menghantar baik dia naik bas. Lagipun dia bukannya kenal sangat dengan shopping complex yang ada di KK ni.
Harus difahami sebab dia baru saja balik. Dulu masa di sini pun Audra bukannya suka berjalan-jalan keluar ni. Balik sekolah dia ada tuisyen. Sebelah malam Audra kena pergi mengaji. Apa yang Audra tahu adalah mendapatkan keputusan yang cemerlang setiap kali ada peperiksaan.
“Mak Senah hendak ke dalam dulu. Hendak bersihkan apa yang patut,” Mak Senah memberitahu. Biarlah mereka berdua bergurau-senda. Manalah tahu gurauan boleh mencambah perasaan sayang. Muzammil pun apa kurangnya, memang secocok dengan Audra.
“Okey Mak Senah…” sahut Audra.
“Mil kena pakai smart. Audra tidak mahu tengok Mil dengan uniform tu. Macamlah Audra berjalan dengan budak sekolah. Budak bawah umur ni tak sesuai berjalan dengan Audra.” Katanya sambil meneguk air kopinya.
Banyak cantik!! Dia dikatakan budak bawah umur bila memakai pakaiaan tu. Yalah, memang sudah tugasnya jadi pemandu dan memang sudah dikhaskan baju tu untuknya. Apalah dia ni? Ikut suka hati dia saja hendak aku pakai pakaiaan yang lain.
“Mil apa pandang-pandang. Pandang lama-lama nanti jatuh cinta,” Audra perasan yang Muzammil menatap wajahnya sejak tadi lagi. Hendak tunjuk beranilah tu kononnya cuba depan ayah, muka tu asyik tunduk saja. Berdebar hati Muzammil mendengar usikan Audra.
“Siapa yang jatuh cinta ni?” Datuk Azri menyampuk. Patutlah diketuk pintu biliknya tiada respon. Audra senyap. Tidak bagi peluang langsung. Kacau! Cepat-cepat Muzammil menghabiskan nasi goreng yang berada di hadapannya itu. Dia tidak berasa selesa dengan kedatangan Datuk Azri itu. Segan!!
“Audra duduk dulu ayah hendak cakap dengan Audra ni.” Kata Datuk sebaik saja melihat Audra berdiri. Sejak makan malam bersama hari itu baru kini dia dapat bercakap dengan anaknya itu. Bila dipanggil untuk makan malam bersama, alasan yang diberi dia tidak makan selepas pukul lapan.
Isterinya ada memberitahu yang Audra akan keluar sekiranya dia berada di rumah tapi Senah memberitahunya Audra akan makan bersama orang gajinya itu bila isterinya tidak ada di rumah. Hmmm…anak, susah sangat aku hendak mengatur yang seorang ini.
Hati anaknya itu harus ditatang. Dia tidak mahu anaknya itu terus membencinya. Dia akan berusaha memenangi hati anaknya itu walau terpaksa menunggu sepuluh tahun lagi. Biarlah dia memusuhi aku asalkan dia sentiasa berada di depan mataku setiap hari.
“Saya mohon diri dulu Datuk.” Beritahu Muzammil yang menyedari ketegangan keadaan itu. Audra memuncungkan mulutnya. Manakala Datuk Azri berdoa di dalam hati agar sabar melayan kerenah anaknya itu.
“Tidak mengapa Mil. Habiskanlah dulu nasi tu.”
“Masuk sebulan Audra berada di sini. Ayah kalau boleh hendak sangat Audra ke pejabat membantu ayah menjalankan perniagaan. Audra ada ijazah dalam Business Corporate. Bila lagi hendak mengunakan ilmu yang ada jika tidak menolong ayah.” Katanya lembut. Muzammil hanya menjadi pendengar. Bukan calang-calang gadis rupanya Audra ini. Siap ada ijazah korporat lagi. Agaknya Audra ni memang otak bisnes.
“Oh please…I’m not ready yet.” balasnya selamba. Audra memandang langsir dapur yang berwarna hijau itu. Tidak mahu memandang muka ayahnya Audra mengalihkan pandangannya ke arah kabinet dapur.
“Kalau Audra ni membebankan baik Audra balik ke tempat Grandma.” Ucapnya sedikit marah.
“Bukan itu maksud ayah.” Datuk Azri terkilan dengan jawapan anaknya itu. Tidak pernah dia menganggap Audra sebagai beban dalam hidupnya. Harta yang ada cukup untuk dia menyara Audra seumur hidup tapi dia ingin melihat Audra membantunya menguruskan syarikat. Itu salah satu hasrat arwah isterinya Salmah. Walaupun dia mempunyai keluarga baru tapi dia tidak pernah mengenepikan hak Audra.
“Ayah tidak pernah berasa Audra ni beban kepada ayah. Audra anak ayah sudah semestinya ayah bertanggungjawab ke atas Audra. Malah ayah gembira Audra sudi balik ke sini semula.” Datuk Azri berharap anaknya itu mengerti. Dia tidak pernah menganggap kedatangan Audra ke rumah itu adalah beban. Rumah ini adalah milik Audra.
“Hmm…”
“Syarikat itu milik arwah emak Audra. Dia sendiri pernah berpesan agar Audra diberi tempat di syarikat itu…” Kata Datuk Azri sabar melayan kerenah Audra yang sememangnya boleh mencetuskan kemarahannya. Selama ini setiap tindak-tanduk anaknya itu dibiarkannya.
Audra melirik ke arah ayahnya apabila arwah emaknya disebut. Memang dia tahu syarikat itu adalah milik emak bersama dengan ayahnya tapi entahlah dia sendiri sukar hendak membuat keputusan sama ada hendak bekerja di syarikat ayahnya atau mencari pekerjaan yang lain. Audra masih tidak dapat melupakannya dan dia tidak boleh memaafkan perbuatan ayahnya itu.
Muzammil memerhatikan suasana tegang di antara Datuk Azri dan Audra itu. Dalam hal ini dia tidak masuk campur dan dia hanya jadi pemerhati ketika itu.
“Gajikan sajalah orang lain. Selama ni pun tanpa Audra syarikat itu terus berjalan dengan baik.”
“Ayah tahu tapi masalahnya sekarang ni Audra sudah pun balik ke sini. Audra ada ijazah yang boleh membantu syarikat kita. Apa salahnya Audra bekerja dengan ayah? Sampai bila Audra terus macam ni?”
Benci dengan situasi yang dihadapinya Audra bangun lalu hendak meninggalkan ayahnya dan Muzammil. Audra kalau boleh tidak mahu bekerja dengan ayah. Biarlah dia membina kerjayanya sendiri. Lagi pun siapalah dia di mata ayahnya? Bagi Audra ayahnya lebih pentingkan keluarganya berbanding dirinya. Geram hati Audra ketika terkenangkan Datuk Azri memberitahu kepadanya yang dia hendak berkahwin lagi. Tanpa memikirkan perasaan anaknya ketika itu, Datuk Azri membawa isteri barunya balik ke rumah.
“Audra jangan pergi selagi belum mendengar apa yang ayah hendak cakap ni.” Datuk Azri tidak dapat menahan kemarahannya. Biadap! Dia hendak bercakap anaknya itu boleh lari macam tu saja.
Audra memberhentikan langkahnya. Lalu berpusing ke belakang menentang wajah ayahnya. Wajahnya kelihatan tegang.
“What more do you want Datuk Azri?” katanya menjawab. Terpempan Datuk Azri mendengar jawaban anaknya itu. ‘Datuk Azri’ dia panggil aku ‘Datuk Azri’. Kecewa dia dengan perilaku anaknya itu. Seorang anak memanggil ayahnya dengan menggunakan nama.
Muzammil mengucap panjang melihatkan perangai Audra itu. Sejahat-jahatnya pun masa kecil melawan bapa sendiri, tidak pernah dia memanggil namanya. Di mana letaknya tatasusila seorang anak terhadap ayahnya. Muzammil mengeleng kesal dan kecewa akan sikap Audra itu.
“Audra, we need to talk honey. Do you hear me?” kata Datuk Azri dengan kuat. Di harapnya Audra sudi bercakap dengannya. Salmah,mengapa begini jadinya? Apa dosa abang sehingga anak kita membenci ayah kandungnya sendiri. Audra terus melangkah tanpa menperdulikan kata ayahnya itu. Hatinya sakit dengan perlakuan ayahnya itu.
“Sabarlah Datuk. Perasaan marahnya masih belum padam lagi. Lambat laun pasti Audra akan sedar akan kesilapannya itu” kata Muzammil simpati. Terkilan dengan sikap keras kepala gadis yang mula dicintainya itu. Tergamam dia melihat sikap biadap gadis pujaan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: