Novel : Cinta Itu Miliknya 1

Nama Pena : Anilza Rohan

ADILA DARLINA melangkah masuk ke rumah agam itu. Dia memusatkan pandangannya. Rumah itu besar,namun sepi dan sunyi.Dia dibawa oleh pemandu yang digelar Pak Mail berjumpa dengan Datin Sofea di ruang dapur .Adila bersalaman dengan wanita yang pada pandangannya berumur lewat 40-an.Mungkin sebaya dengan ibu, desis hati nuraninya.

‘Pak Mail boleh keluar dulu.” Kata Datin Sofea dengan sopan.

Pada pandangannya, Datin Sofea baik hati dan merendah diri walaupun bergelar datin, bukan macam sesetengah orang kaya.Dia tidak tahu bagaimana dia boleh berada di situ, dan tidak pasti keputusan yang diambil betul atau salah. Lantaran lamaran kerja daripada Izani temannya yang berkerja di Kuala Lumpur, dia setuju berkerja di rumah Datin Sofea sebagai pembantu rumah, sedangkan dia baru keluar universiti dan sedang memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah. Izani kawan kepada Mimi, anak buah Datin Sofea.

“Baik. Tinggal kat rumah saudara. Dia kerja kat Bangsar.” Kata Adila selepas diajukan beberapa soalan.

Dia masih ingat pesanan Izani, supaya merahsiakan identitinya.Katakan saja kau sudah 2 tahun tamat STPM, dan sangat memerlukan kerja ini kerana nak bantu keluarga. Bohong sunatlah kiranya. Mampus kalau diketahui majikannya suatu hari nanti.

” Begini, Dila tinggal jer kat bilik sebelah dapur ni. Tugas Dila mudah saja, menguruskan keperluan anak saya , Sarah. Dia masih belajar , darjah dua.” Kata Datin Sofea terang.
Adila mengangguk-angguk tanda faham. Dila masuk ke bilik dan berehat selepas disuruh.
Pagi yang tenang memulakan harinya. Adila termenung di meja dapur. Teringatkan musim buah yang sedang melanda seluruh kampung halaman. Teringatkan manis dan ranumnya buah rambutan kampung, terkenangkan manisnya manggis di belakang rumah nenek.

“Mama!! Mama!!” Satu suara kasar mengejutkan lamunannya, serentak kedengaran bunyi kaca dihempaskan ke lantai.Berterabur gamaknya.Adila bangun tiba-tiba.Dia bergegas ke ruang makan di bahagian tengah rumah agam itu.

“Kenapa ni Pian?? ” Suara Datin terlebih dahulu menangkap gegendang telinganya ketika dia berdiri betul-betul di belakang seorang pemuda yang duduk di kerusi roda.

“Mama!! Siapa yang alihkan barang-barang Pian kat sini?? Lukisan Pian semalam mana?? ” Lelaki yang membahasakan dirinya Pian bersuara keras.

Longgar kepala lutut Adila serta-merta.Ya!! Dia ingat semua lukisan itu, dan perkakasan melukis dia simpan di stor di belakang dapur.Dia tidak tahu hendak letak di mana.Padanya mungkin itu tempat yang betul.
‘ Dila nampak barang-barang melukis Pian? ” Datin bertanya tiba-tiba memecahkan lamunannya.

“Di…Di..Dila simpan di stor Da..Datin” Dila bersuara perlahan.

Lelaki bernama Pian berpaling memusingkan kerusi rodanya.Matanya tertancap ke wajah Adila. Merah matanya seperti biji saga. Sekali lagi Adila terasa lututnya longgar.Mukanya terasa pucat lesi.Lelaki bernama Pian itu benar-benar marah.

“Lain kali jangan pandai-pandai .Beritahu dia, Pian tak suka dia usik barang-barang Pian. Faham ?? ‘ Tambah Pian dan matanya sekali lagi mencerlung marah.

Adila tunduk tatkala anak mata itu menikam kejernihan bola matanya. Dia takut. Dia benar-benar takut pada lelaki bernama Pian itu. Dia tidak tahu, Datin Sofea ada anak bujang . Pian masuk ke biliknya, sementara Datin Sofea dan Datuk Maliki makan bersama Sarah anak mereka.

Sejak peristiwa itu berlaku, Adila cuba untuk tidak terlibat dengan Pian lagi . Dia cuba seboleh mungkin mengelak bertembung anak bujang Datin Sofea yang kacak dan segak itu. Namun adakala hatinya dilanda pertanyaan hebat kenapa lelaki sekacak itu dan sekaya itu perlu berada di kerusi roda? Apa yang berlaku dalam sejarah hidupnya masa lalu.

Petang menjelma. Adila melipat kain dan mengemas almari di bilik Sarah di tingkat atas.

” Cuba teka??” Sarah bersuara manja dengan menutup mata Adila.

” Sarah ek…” Kata Adila .

Dia menangkap anak comel itu dan memeluknya manja.Selepas sebulan anak itu begitu manja dengannya.Datin Sofea pula terlalu baik, begitu juga Datuk Maliki dan Pak Mail. Cuma lelaki bernama Pian itu yang masih dingin. Dia juga cuba untuk tidak memecahkan tembok kedinginan lelaki yang diketahuinya berumur 28 tahun itu.

“Kak Dila, Abang Pian suruh turun. Dia nak cakap.” Petah bilah-bilah bicara dari mulut Sarah. Sebiji-sebiji perkataan itu ditelannya kelat.

Apa maunya Pian dengan dia, Fikir Adila.

‘Akak ada kerja ni Sarah .”Gumam Adila lagi.

“Abang cakap kalau kakak tak turun, dia akan mengamuk.Sarah tak tahu.Nanti Abang Pian pecahkan pasu-pasu tembikar mama.” Kata Sarah mengugut.

Mungkin ini idea gila lelaki bergelar Pian itu, desis Adila .Apa barang mahunya lelaki itu. Dahlah garang tak bertempat! Nak mengarahkan orang sesuka hati. Datin Sofea tak pernah pula pesan supaya menguruskan Pian, orang dah besar tahulah jaga diri, kata Datin Sofea dulu.

“Encik panggil Dila? ” Adila bersuara perlahan.

Sarah cepat-cepat datang dan memeluk abang kesayangannya .Dia duduk di kerusi berdekatan. Adila resah. Ada persoalan berlegar di benaknya. Lelaki itu merenungnya atas dan bawah, dengan tajam.Mujur Sarah ada di situ, dan Pak Mail sedang mengerjakan taman mini di halaman rumah .Dia tahu Datin Sofea tak pernah tinggalkan mereka berdua.Kalau dia ada hal, pasti Pak Mail diamanahkan berada di rumah.

“Duduk!!” Kata Pian tegas.

“Terima kasih. Encik , nak makan?” Tanya Adila lagi.

Dia tahu, Datin Sofea keluar ke butiknya tengah hari tadi. Dia dan Datuk makan di luar. Datin Sofea menjenguk butiknya sekali-sekala. Dia mengupah orang lain menguruskan butik itu, yang berada berdekatan pejabat Datuk Maliki .

“Pertama, Saya tak suka awak panggil saya encik! Saya arahkan awak panggil saya Pian sahaja. Kedua, jangan sombong kalau duduk dalam rumah ni, awak tak pandai ketawa ker? Ketiga, saya nak makan ikan merah masak asam pedas, Pak Mail dah beli barang-barang, ada kat dapur.” Bersahaja Pian memberi arahan. Adila tunduk dan mengangguk. Lalu bergerak ke dapur.

Sepetang dia menyiapkan asam pedas, nasi dan sayur.Lauk kegemaran Sarah lain lagi. Berhabis-habisan lelaki muda itu menikmati masakannya. Mengidam ker mamat ni! Adila berkira-kira dalam hati. Selepas mandi, dia ke ruang depan dan bermain-main dengan Sarah di halaman.

Mereka bermain seperti anak-anak kecil. Berkejaran ke sana ke mari, melompat girang, ketawa riang dan tiada prasangka. Pian memerhati semuanya dari jendela biliknya .

Dia tahu gadis itu tidak sedar dia diperhatikan. Gadis bernama Adila Darlina itu cukup istimewa.Sejak sebulan yang lalu, ada sesuatu mengusik hatinya setiap kali memandang wajah mulus Adila. Wajah yang putih bersih, tanpa sebarang helah solekan, wajah yang polos, wajah yang istimewa, mata yang bersinar-sinar bila ketawa riang.Wajah yang mendamaikan siang dan malamnya yang sepi.

” Anak Datin tu, bukan lumpuh. Dia akan pulih selepas sebulan dua lagi. Dia kemalangan jalan raya dengan tunangnya dua bulan lepas. Tunangnya selamat tetapi, minta putus sebab dia fikir Pian akan lumpuh. Perempuan hipokrit. ” Cerita Datin Sofea suatu petang ketika mereka sedang minum di ruang makan.

” Dia kecewa Dila. Selepas putus tunang, dia banyak berubah. Dia pendiam, cepat marah, memberontak, orang patah hati kan! ‘ Tambah Datin.

” Tapi, kita manusia Datin, kita mesti menerima apa yang telah ditakdirkan.Bukan menghukum diri atas semua kejadian yang berlaku.Bukankah ini sebahagian dari dugaan hidup?” Kata Adila memberi komen tanpa dipinta.
Datin Sofea mengangguk-angguk tanda setuju tanpa menyedari Pian berdiri di belakang mereka.

“Betul kata awak Dila.” Dia melontarkan suaranya.Adila hilang punca .Malu menerpa bila renungan tajam dan menusuk kalbu singgah di matanya. Renungan itu bukan seperti selalu. Redup, bersahaja dan memukau .Lama-lama nanti, boleh cair! Detik hati kecilnya.

“Maaf! Dila minta diri.Ada kerja.” Kata Adila dan menolak kerusi ke belakang sedikit untuk bangun.

“Temankan Pian minum boleh ? Boleh Ma? ” Tanya Pian bersahaja.Memandang muka Datin Sofea, kemudian singgah di wajah Adila.

“Boleh!!…Duduklah Pian, mama nak panggil Sarah kejap.” Kata Datin sofea yang memberi ruang anaknya itu mendera Adila. Dia tahu, dan dia nampak dari mata tuanya, Anak bujang itu kian berubah sejak Adila kerja di rumah itu.

Dia tidak tahu kuasa apa yang Adila ada, tapi cukup kalau dia mengerti anak lelakinya itu ada hati pada Adila.Dia tak pernah kisah siapa pilihan Pian, asalkan sopan dan sedar diri. Bukan kemewahan ukuran kebahagiaan kerana dia juga berasal dari kampung sebelum berkahwin dengan Datuk Maliki.

” Dila masih marah?” Tanya Pian lembut.

Adila terasa di awangan setiap kali renungan lelaki itu singgah di matanya. Sukmanya berlagu rindu.

“Tak…Pian tak buat salah. Kenapa Dila nak marah.” Kata Adila lembut. Wajahnya tenang kini, setenang air di kali.

Dia sudah boleh mengawal debarnya bila bertemu lelaki ini. Pian kini sudah lebih selesa dengan sebelah topang ketiak sebelah kanan dan tidak perlu berkerusi roda lagi. Baru dia nampak jelas, lelaki ini begitu tinggi berbanding lelaki Melayu biasa.Wajahnya juga. Wajahnya juga begitu. Orang kata wajah golongan kelas atasan.Dia bermain dengan perasaan sendiri.

“Pian nak minta tolong. ” Pian bersuara semula.Sepi mengepung. Adila Cuma diam.Menanti bilah-bilah suara lelaki itu.

” Jadi teman wanita Pian untuk sehari ! ” Kata Pian tiba-tiba.

Terangkat wajah Adila. Memandang buntang ke mata lelaki itu. Ini lah kali pertama mereka bersua begitu dekat. Dia nampak jelas wajah kacak Pian, dan mata redupnya yang memukau. Pian, nama penuhnya Sufian Iskandar Bin Mohzani. Baru dia tahu Pian ialah anak Datin Sofea dengan suami dahulu, Sarah dan Mimi anaknya dengan Datuk Maliki. Sufian lepasan luar negara, kerja dengan bapa tirinya , Datuk Maliki.

Genap 3 bulan dia membanting tenaga mudanya menguruskan rumah agam itu.Pian kini sudah boleh berjalan. Petang itu, mereka keluar bersama buat pertama kali. Dila dibawa ke Midvalley . Kata Sufian, esok Adila akan diuji. Dia akan berlakon sebagai kekasih Sufian di hadapan bekas tunangnya Shakira. Dia tidak tahu, apa alasan Pian berbuat begitu. Ego kah Sufian kerana mahu tunjuk kuasa di hadapan Shakira sedangkan hatinya berduka lara.

Adila bersetuju selepas berjanji merahsiakan hal itu daripada Datin Sofea. Dia tidak tahu kenapa dia bersetuju. Akalnya mengutuk rasa hatinya yang tidak waras.Mungkinkah natijah hati yang menyuruh dia menerima tawaran Sufian. Dan, pada masa itu, kasihnya mekar.Mekar buat lelaki bernama Sufian Iskandar itu. Dia tidak tahu, bolehkan cinta itu menjadi hak mutlaknya.

” Pian!! ” Satu suara memanggil Pian.

Pian berdiri. Terkejut. Seorang gadis cantik, tinggi, persis model dalam majalah menerpa kepadanya. Memeluk Sufian tanpa segan silu, lalu pipi bertemu pipi lagak pertemuan sepasang kekasih orang putih.

” Ira minta maaf. Kalau boleh Ira nak kita jadi seperti dulu ” Kata gadis itu . Menangis dan memeluk Pian.

Sufian hilang punca. Lemas dengan rayuan dan tangis Shakira. Ah….Lelaki !! .

” Dila tunggu Pak Mail di sini. Pian ada hal dengan Ira, ” Kata Sufian tiba-tiba. Hilang renungan redupnya selama ini. Ini kah lelaki yang cuba berdiri selepas hatinya patah dan selepas 3 bulan Adila mengubati luka itu perlahan-lahan.Adila sedar, dirinya melukut di tepi gantang.

Seminggu, hanya seminggu keluar bersama dan menjadi pasangan kekasih semula, hati Sufian terubat dengan 3 bulan kelukaan yang Shakira tinggalkan. Murahnya lelaki itu menilai cinta. Mudahnya definisi kasih sayang pada mata Sufian.

Datin Sofea dan Datuk Maliki sibuk menguruskan majlis perkahwinan Sufian dengan Shakira. Adila tidak tahu, kiranya itulah takdirnya. Itulah jodoh Pian, pujaan hatinya dalam diam.Dia melepaskan Sufian dalam rela . Mujurlah jawapan kepada permohonan KPLI yang dinantikan selama ini positif .

” Dila nak berhenti??Kenapa? Tak cukup gaji? Tunggu sampai lepas Pian kahwin ya!!. ” Kata Datin Sofea. Hairan melihat Dila hanya membisu.
” Datin pun tak faham. Pian ni berubah-ubah . Datin ni ikut saja demi kebahagiaan anak.” Kata Datin Sofea bersahaja namun dalam maknanya.

” Tolong ya Dila! Lepas Pian kahwin, Dila boleh berhenti, Kesian Sarah. Susah nak cari orang baru.” Tambah Datin Sofea. Baik budi Datin dan Datuk mengheret Adila untuk tidak berhenti serta-merta. Masih ada masa lagi, fikir Dila.

” Masuklah ….Tak beritahu nak datang ? ” Kata Datin kepada seorang lelaki muda.

” Sepupu Pian, dari Pahang.” Kata Datin Sofea.

Adila bersalaman . Berbual ringkas dengan Fakrul Razi, anak buah Datuk Maliki. Sifat baik dan mudah mesra lelaki itu membuatkan mereka senang berkawan. Kegembiraan itu merentap kebahagiaan Sufian.Dia hairan, tiba-tiba dia cemburu melihat kemesraan itu.

Dia cemburu melihat Adila berbual mesra dengan sepupunya itu, walhal tak lama lagi dia akan berkahwin dengan Shakira. Dia pening dengan perasaan sendiri.

” Mama tak tanya diorang pergi mana??” Kata Sufian yang ke hulu ke hilir tak senang duduk. Jam sudah memaut angka 11 malam.Malam semakin tua dan kelibat Adila dan Fakrul Razi belum nampak.

” Kamu susah hati kenapa?? Fakrul tu, kata nak ajak Dila keluar makan kat Putrajaya. Tu yang lama tuu…mungkin pergi shopping sekali kot.” Tambah Datin Sofea kehairanan. Anak bujangnya ini panas punggung semenjak Fakrul berada di rumah agam itu, walhal dia yang mengajak lelaki itu bertandang menemaninya sebelum akad nikah.Apa yang merasuk jiwa anak itu? Gumam hatinya.

” Datin? Maafkan Dila, lambat sikit, kereta Fakrul rosak tengah jalan tadi.” Kata Adila selepas bersalam dan menutup pintu. Bajunya basah gara-gara hujan lebat. Dia kelihatan dengan pakaian yang kebasahan, blaus lengan panjang putih dan berskirt labuh juga warna sedondon. Sufian melihat atas dan bawah , seperti berbau curiga.

” Tak apa, masuklah. Dah jauh malam. ” Katanya memandang Fakrul dan Adila berganti-ganti.
” Bateri habis, tak boleh call tadi” Kata Fakrul Razi sambil menunjukkan telefonnya yang basah.

Sufian benar-benar cemburu. Darahnya terasa menyirap ke muka. Dia benar-benar dirasuk marah.

” Kalau dasar orang kampung memang begitu. Ikut saja ke mana-mana dibawa. Yang penting poket penuh, gadai maruah pun tak kisah.” Kata Sufian tiba-tiba dengan wajah membara. Tajam matanya mencerlung ke wajah Adila Darlina.

Adila tersentak. Tidak diduga itu ramalan dan tomahan Sufian padanya kerana kejadian itu. Hati Adila hancur. Benar-benar hancur. Terasa kolam matanya basah.
” Kau cakap apa ni Pian? ” Fakrul Razi membela gadis yang mula diminatinya itu.

” Salah aku cakap? Kau dengan Dila ni, kalau tak ada niat lain, tak kan lambat macam ni? “

” Pian cukup. Cukup…..” Fakrul Razi mula mendidih.

Dia tahu dan hati lelakinya benar mengatakan Sufian ada hati pada Adila tetapi egonya tinggi. Dia ingin memiliki Shakira kerana egonya. Dan , dia tidak sedar hatinya terikat pada Adila.
Adila menahan sebak. Memeluk Datin Sofea yang juga kaget dengan perilaku Sufian.

” Kalau Pian tak suka Dila, tak apa, Esok Dila boleh keluar, jangan tuduh Dila gadis murahan. Dila bukan gadis kampung yang mudah lupa diri .” Kata Adila lalu berlari ke biliknya.Melepaskan rasa sedih dan air mata yang bertakung.

Adila keluar rumah sesudah subuh. Pak Mail dan Fakrul menghantarnya ke Stesen Bas di Jalan Pudu. Selepas bertemu Sarah, Datin dan Datuk, dia tak sanggup terus berada di situ. Dia sempat memberitahu datin, siapa dirinya dan meminta maaf kerana berbohong untuk kerja di situ. Dia tak sanggup dihina oleh Sufian.

Adila terasa bahagia di kampung. Masih ada sebulan, untuk dia bersiap sedia sebelum menyambung KPLI . Wajah Sufian berganti-ganti di benaknya. Rindunya kepada lelaki itu membuak. Semakin dibenci , makin kuat bayangan itu datang menjenguk.

” Mama! Kita ke rumah Adila.” Kata Sufian suatu pagi. Lelaki itu berubah 360 darjah selepas pemergian Adila. Dia tahu anak bujangnya itu telah membuat pilihan yang betul.
Fakrul Razi juga sudah pulang ke rumahnya di Damansara selepas yakin Pian dan Adila memang layak bersama. Sejauh soal Shakira, datin tidak kisah. Gadis itu kembali juga kerana wang. Bukan kerana cinta!

Mereka berkereta ke negeri Perlis . Sampai di sebuah kampung .

” Jemputlah naik, rumah kami ni biasa saja, sila lah. ” Ibu bersuara berganti-ganti dengan ayah. Dan kedengaran suara tiga atau empat orang lain. Termasuk suara Izani dan Mimi. Adila berdebar kuat.Dia yakin suara yang baru menusuk ke hatinya itu milik Pian! Ya milik Sufian Iskandar! .

“Dila! Dila! Bawa air keluar kalau dah siap! ” Kata Ibu dari ruang depan. Adila berhempas –pulas dengan perasaan sendiri.Marah dan rindu bercampur baur.

Akhirnya dia keluar membawa minuman dan kuih. Dia meletakkan hidangan. Bersalaman dengan tetamu yang hadir, memeluk erat Sarah yang lama dirinduinya. Kemudian meminta diri untuk ke dapur.

” Dila….dengan Pian, tak nak cakap? ” Pian bersuara tanpa segan- silu.
Datuk dan Datin tersenyum. Ibu dan ayah juga tersenyum. Mereka dah berpakat kot! Fikir Adila.

” Pian minta maaf Dila ! Pian tak berniat nak mengguris hati Dila. Maafkan Pian. Pian tahu siapa Dila. Pian tahu semua kisah hidup Dila,Pian tak marah dan Pian nak minta maaf sekali lagi. ” Kata-kata Sufian menggetarkan sukma Adila.
Sedang cairkah aku dengan pujuk rayu lelaki yang tak tahu malu ini. Mencanangkan cintanya di hadapan tetamu yang ramai.Adila diam membungkam.

” Pian cintakan Dila. Ini. Cincin. Mama hantar untuk pertunangan kita.” Kata Sufian lancar.

” Budak zaman moden. ” Kata Datuk Maliki. Serentak ketawa memecah suasana yang hening.

” Adila berlari ke ruang tamu. Menahan getar di hati. Benarkah?? Benarkah cinta itu datang bersujud kepadanya. Benarkah cinta itu datang menyerah diri padanya dengan ikhlas.

” Dila..” .Basah kolam mata Adila. Adila hilang punca ditenung sebegitu . Dia menundukkan wajahnya yang ayu. Menahan debar kian memuncak.

” Pian cintakan Dila. Sudi terima Pian sebagai tunang Dila? Lepas Dila habis belajar kita kahwin. Pian tahu kita menyimpan rasa yang sama. Izinkan Pian menjadi sebahagian dari kisah hidup Dila.” Kata Sufian lembut.Menusuk ke ulu hatinya dan getaran itu berlari-lari tanpa notasi. Cinta itu memang miliknya. Adila mengangkat wajahnya. Tersenyum manja.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: