Novel : Ku Relakan Segalanya 1

Nama Pena : Puteri Selendang Biru

BAB 1

Fikirannya melayang jauh mendengar lagu kegemarannya yang diputar di corong radio. ‘Kerana hati ini telah dilukai’ nyanyian Kris Dayanti, cukup menyayat hati. Dia menutup radio sebaik saja lagu itu habis dimainkan. Lantas diarinya dicapai. Pena mula bergerak menulis, mencorakkan rahsia hati.
Dalam kehidupan ini, penuh ranjau dan duri yang terpaksa kita tempuhi. Suka dan duka adalah lumrah kehidupan kepada insan yang bergelar manusia. Hanya semangat yang kental dan ketabahan yang tinggi saja yang mampu menetapkan hati seseorang itu agar terus berada di landasan kebenaran.
In life, we cannot be too greedy. Sometimes we must choose and sometime we doesn’t have any choose. Pengorbanan, inilah yang dinamakan pengorbanan. Kadang-kala kita terpaksa membuat pilihan walaupun pilihan itu akan melukakan perasaan kita sendiri. Tapi kita harus berani menanggung risiko, kerana melakukan sesuatu tanpa kerelaan takkan ada kebahagiaan menanti di hadapan.
Yang penting, doa dan tawaqal harus diiringi dalam setiap langkah kita. Kita harus yakin pada Yang Maha Esa. Tuhan itu Maha Adil. Suatu hari nanti kebahagiaan pasti menjelma. Hanya masa dan keadaan saja yang akan menentukan bila hadirnya ia.
Maya menutup diari biru yang sentiasa menjadi sahabat setianya.
‘Adam…..’ nama itu meniti di bibirnya. ‘Kenapa aku masih ingatkan dia? Lima tahun dah berlalu. Mungkin kini dia bahagia bersama isteri dan….anak-anaknya….mungkin. Mana tahu dia telah menerima gadis pilihan keluarganya sebagai isteri.’
Zila yang baru melangkah ke bilik memandang Maya sambil tersenyum.
“Hai Maya. Termenung jauh nampak. Ingat orang kat bulan ke?” usiknya. Maya tersedar lalu berpaling ke belakang memandang suara yang menegurnya.
“Ingat orang kat bulan tak pe, Zie. Jangan jadi pungguk rindukan bulan sudah,” sampuk Nina yang baru keluar dari bilik mandi sambil mengeringkan rambutnya dengan tuala.
Maya tersemyum lalu bangun dan duduk di atas katil bujang yang menjadi penemannya di waktu malam selama di hostel itu.
“Aku bukannya apa, cuma berfikir tentang masa depan. Tak lama lagi kita semua akan berpisah. Masing-masing bawa haluan masing-masing.” Maya menghembus nafasnya. “Aku ingat, sebelum pulang aku nak spend masa lebih sikit kat sini.”
Itu bukanlah niat sebenar mengapa Maya ingin berada lebih lama di Johor Bahru. Tetapi keyakinan yang cuba dikumpulnya masih belum mencukupi. Berat rasa hati untuk kembali semula ke Pulau Pinang yang banyak menyimpan memorinya bersama Adam. Dia masih ingat lagi kata-kata Adam di pertemuan terakhir mereka.
“Kenapa dunia ni tak pernah adil? Setiap orang yang saya sayang akan tinggalkan saya.” Dia bukanlah cinta pertama Adam, namun Adam adalah cinta pertamanya. Adam….

BAB 2

Wes memandang jauh keindahan yang terbentang di depan matanya. Ombak saling berkejaran memukul di persisiran pantai. Setelah lima tahun meninggalkan negeri ini, akhirnya dia kembali. Di sinilah cintanya pada Farahymma berputik dan disinilah cinta yang disemai terkubur meninggalkan kenangan yang tak mungkin dilupakan.
‘Di mana gadis itu menghilang?’ Terasa kerinduan bagai menyucuk-nyucuk tangkai kasihnya yang masih berbunga.
Dia menyeluk koceknya lalu mencapai telefon bimbitnya yang sedang menyanyi. Panggilan dari Sabah. Lantas dia mematikan talian. Tak ingin dia menjawab panggilan dari tunangnya. Tunang yang tak pernah dicintai walaupun dicuba berkali-kali. Pertunangannya bersama Manisa tidak pernah dipersetujui. Semuanya telah dirancang dan dia terperangkap dalam kehendak keluarganya sendiri.
‘Ya….melakukan sesuatu tanpa kerelaan takkan ada kebahagiaan menanti dihadapan. Di manakah gadis itu? Apakah dia sudah berkahwin?’
Farahymma atau gadis yang dikenali sebagai Emma, seorang gadis yang amat dicintainya. Walaupun tanpa bicara, Farahymma tahu sama ada dirinya menghadapi masalah atau tidak. Yang penting Farahymma mempunyai sifat penyayang dan menghormati dirinya sebagai seorang lelaki. Jauh berbeza dengan tunangnya.
“Cinta perlukan pengorbanan, kan? Tak salahkan kalau saya berkorban untuk orang yang saya sayang.” Masih kukuh kata-kata Farahymma diingatannya.
“Emma!!!!!”
Wes melepaskan nafas yang panjang. Puas hatinya dapat menjerit sebegitu. Dia memandang sekeliling. Mujurlah di awal pagi begini masih tiada orang di sana.
Sekali lagi Nokia N90 miliknya menyanyikan lagu ‘Beautiful Girl’. Pantas dia mengeluarkan dari kocek seluar. Tertera nama Manisa, tunangnya. Dia menekan punat hijau, menjawab panggilan Manisa dengan rasa tidak senang.
Wes mendengus geram. Hatinya mula terbakar dengan sikap Manisa. Dia menghempas telefon bimbitnya dengan kasar sebaik sahaja bercakap dengan tunangnya itu.
“Ketenangan!! Ketenangan!! Di mana ketenangan?!” dia bersuara keras.
Manisa sentiasa membuat hari-harinya suram. Manisa dan keluarganya sering memaksanya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendaknya. Keluarganya memang suka menyebelahi Manisa. Bukan dia tak pernah cuba untuk menyayangi Manisa. Tapi Manisa tak seperti Farahymma. Mereka sering bertelagah sesama sendiri walaupun mengenai hal yang sebesar kuman.
Pada mulanya sewaktu dia memberitahu tentang pertukarannya ke Pulau Pinang, Manisa melarang keras dia ke sana. Namun setelah melihat dia bersungguh-sungguh Manisa mendesak agar mereka dikahwinkan segera agar dia boleh mengikutinya ke Pulau Pinang. Mujurlah semua itu masih belum menjadi kenyataan.
Sebentar tadi Manisa menghubunginya untuk memberitahu kedatangannya ke Pulang Pinang pada bulan depan. Dia bertekad, dia akan bertegas. Kini dia kembali semula semula di sini. Di mana hatinya di tinggalkan. Kesempatan ini akan digunakan untuk menjejaki semula Farahymma.
‘Tapi….masih adakah ruang untuk diri ini setelah lima tahun aku menghilang?’

BAB 3

Maya dan Zila mempercepatkan langkah. Hari-hari terakhir macam ni memang ramai pengunjung yang bersesak-sesak untuk menyambut kepulangan mereka yang dinanti. Di satu sudut kelihatan beberapa orang pelajar perempuan sedang bergembira mengambil beberapa foto kenangan. Di sudut lain pula mereka menyaksikan pertemuan antara keluarga. Berpelukan dan bertangis-tangisan. Bertembung pipi sesama sendiri.
Tiba-tiba hati Maya terusik. Kini dia sedar, kerana peristiwa silam dia tidak pulang ke Pulau Pinang selama lima tahun walaupun pada cuti semestar. Hanya pada hari perkahwinan kakaknya dan sewaktu Mak Cik Salmah, pengasuhnya meninggal dunia sahaja dia pulang ke sana.
Mak Cik Salmah meninggal dunia pada tahun lepas. Kematian Mak Cik Salmah meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri Maya. Dia tidak sempat menatap wajah Mak Cik Salmah buat kali yang terakhir.
Sebaik sahaja dia tiba di rumah, Mak Cik Salmah telah pun selamat disemadikan. Keluarganya begitu marah padanya kerana mengasingkan diri dari mereka sehingga menyebabkan mereka tidak dapat menghubunginya. Khabar itu pun diketahui melalui sepupunya, Fauzan.
Ayahnya, Tuan Malik langsung tidak menghiraukan Maya. Kehadiran Maya di rumah itu bagai tidak diperlukan. Maya tahu, itu semua disebabkan oleh sikapnya yang mementingkan diri.
Sejak dari itu, sesekali dia menghubungi keluargannya jika ada kelapangan. Tetapi Tuan Malik dan Puan Suria langsung tidak mahu menjawab panggilannya. Hanya Almi dan Ariff yang masih bersimpati padanya.
Mereka mula menaiki teksi ke perhentian bas ekspress. Perjalanannya mengambil masa yang panjang. Bas yang dinaiki akan bertolak pada jam lapan malam. Masih ada lebih kurang setengah jam untuk menunggu.
Setelah hampir sepuluh jam mereka berada di dalam bas, akhirnya mereka tiba di destinasi yang dituju. Badan pun terasa lenguh.
Di sana Zila berpisah dengan Maya kerana keluarganya datang menunggu kepulangannya. Manakala Maya pula, akan mengambil teksi dan pulang sendirian ke rumah yang telah lama ditinggalkan. Bukan keluarganya tidak sudi menjemputnya, namun dia sendiri tidak memberitahu tentang kepulangannya kepada mereka.
Tidak susah untuk mendapat teksi di Perhentian Bas Ekspress Sungai Nibong. Terlalu banyak teksi di sini yang sedia menghantar penumpangnya ke tempat yang ingin dituju. Setelah mendapat sebuah teksi yang akan membawanya pulang, Maya pantas menyerahkan bagasinya kepada pemandu dan terus memasuki perut teksi itu.
Maya memandang di sekelilingnya. Pulau Pinang sudah jauh berbeza. Cuaca semakin panas. Mungkin kerana banyak pokok-pokok telah ditebang untuk tujuan pembangunan.
“Pak cik, sampai di selekoh depan tu, Pak cik belok kanan ye,” beritahu Maya. Pemandu teksi yang usianya hampir mencecah enam puluhan itu mengangguk tanda memahami permintaan penumpangnya. Jiwa Maya bergelora. Perasaan rindu pada mak dan ayahnya semakin membuak-buak. Tidak sabar rasanya ingin bersua dengan orang yang amat bermakna dalam hidupnya.
Teksi itu berhenti didepan sebuah rumah teres dua tingkat yang halamannya dihiasi dengan pelbagai bunga-bungaan. Maya membayar upah lalu mengeluarkan barang-barangnya dari but teksi dengan dibantu oleh pemandu tersebut.
Maya memandang persekitarannya. Segala-galanya telah berubah termasuklah rumahnya. Sekiranya dahulu rumahnya dihiasi dengan warna hijau natura, kini dihiasi dengan warna biru langit pula. Pasu-pasu bunga yang menjadi hiasan halaman juga sudah berubah tempat. Malah, rumahnya kelihatan lebih menarik dari dulu.
“Assalamualaikum…..” Maya memberi salam sambil terjenguk-jenguk ke dalam mencari kelibat orang tuanya.
“Waalaikumsalam…” Setelah salam bersambut, muncul seorang wanita yang separuh umur di muka pintu.
Puan Suria memandang gadis di depannya. Dari atas hingga ke bawah. Dia mengukir senyuman. Hatinya berbunga riang.
“Maya!!” garis-garis kegembiraan jelas terukir diwajahnya.
“Mak!” Mereka berpelukan dan bertangis-tangisan.
Hati ibu mana yang tak merindui anaknya. Walaupun anaknya itu melakukan kesalahan, namun anak tetap anak yang tidak dapat dibuang dari hidup seorang ibu.
Setelah pelukan dileraikan, Maya bersalaman dan memberi ciuman kepada emaknya. Berkali-kali kata maaf diucapkan. Puan Suria sekadar mengangguk-anggukkan kepalanya sedia memaafkan anaknya itu.
“Mak, ayah mana?” tanya Maya setelah melangkah masuk bersama ibunya.
“Ayah kau ke masjid. Ada bacaan Al-Quran lepas Subuh,” balas Puan Suria. “Mari duduk,” tangan Maya ditarik. Lantas mereka melabuhkan punggung di perkarangan tamu.
“Kenapa tak bagi tahu nak balik?” Puan Suria bertanya.
“Saja je nak suprisekan mak dan ayah.” Maya melentokkan kepalanya di bahu emaknya. Lama rasanya tidak bermanja dengan ibu kesayangannya. Puan Suria memeluk erat bahu anak bongsunya.
“Mak Yam! Oh Mak Yam!” Puan Suria memanggil pembantu rumahnya. Tak lama selepas itu kelihatan seorang wanita berlari-lari anak menghampiri mereka berdua. Maya agak terkejut melihat pembantu rumahnya.
“Ini pembantu baru?” dia merenung wajah emaknya. Wajah Mak Yam tidak tumpah seperti wajah arwah Mak Cik Salmah.
“Mak Yam ni adik arwah Mak Cik Salmah,” beritahu Puan Suria. Maya bangkit lalu bersalaman dan mencium tangan Mak Yam.
Mak Yam tersenyum. Ternyata anak bongsu Tuan Malik dan Puan Suria sama seperti abang dan kakaknya yang menghormati orang tua tanpa mengira status dan pangkat. Hati kecilnya memuji Puan Suria yang pandai mendidik anak-anak.
Walau pun Mak Yam dan arwah Mak Cik Salmah hanya pekerja di rumah itu, namun mereka semua telah menganggap Mak Yam dan juga arwah Mak Cik Salmah sebagai saudara sendiri.
“Mak Yam, Mak Yam tolong buatkan lepat pisang dan teh tarik untuk anak saya. Kemudian, minta Pak Mat angkat barang-barang diluar tu ke atas ya.” Mak Yam menganggukkan kepalanya lalu beredar menuruti perintah. Maya terharu, emaknya masih ingat makanan dan minuman kegemarannya.
“Kenapa selama kau ada di sana kau tak pernah balik? Lima tahun Maya! Hanya dua kali saja kau balik.” Ada nada terkilan dari suaranya. “Hari raya pun kau tak balik. Kau langsung tak fikirkan perasaan kami semua.” Maya mula rasa bersalah. Dia diam sebentar. Sukar baginya untuk menjelaskan perkara sebenarnya.
“Maya minta ampun, mak. Kan Maya dah beritahu mak yang Maya nak tumpukan perhatian pada pelajaran. Lagipun, tiap-tiap pagi raya Maya telefon mak, kan?”
“Tapi tak sama, Maya!” Puan Suria memandang Maya. “Kau belum menjadi ibu. Tentu kau tak faham perasaan mak. Walaupun mak sedih dengan kehilangan Mak Cik Salmah yang selama ini menjadi sahabat mak, tapi disebalik tu mak bersyukur. Kerana kehilangan dialah Maya mula kembali menghubungi kami.”
“Maya minta ampun! Maya memang pentingkan diri sendiri. Maya menyesal!” Maya menitiskan airmata. “Lepas kehilangan Mak Cik Salmah, baru Maya sedar kesilapan Maya. Maya mohon keampunan dari mak!” Dia sudah tersembam di pangkuan Puan Suria.
Puan Suria membelai dan mengusap-ngusap rambut Maya tanda telah memaafkan segala kesilapannya.
“Raya tahun ni masih ada, kan. Tahun ni kita raya sama-sama. Tentu meriah, kan.” Maya melangut memandang Puan Suria. Puan Suria tersenyum lalu menganggukkan kepalanya.
“Maya janji dengan mak. Maya takkan ke mana-mana lagi.” Maya mengangkat tangannya bersumpah.
“Janji?”
“Janji?!” tegas Maya.
Tiba-tiba Maya merasakan ada seseorang sedang memerhatikan mereka. Perlahan-lahan dia memalingkan wajahnya ke belakang.
Kelihatan Tuan Malik sedang berdiri di muka pintu. Matanya tepat memandang jauh ke dalam anak mata Maya.
Walaupun ada perasaan takut dalam hatinya untuk berdepan dengan ayahnya, namun Maya tetap menghampiri Tuan Malik.
Sebaik sahaja dia sampai di depan Tuan Malik, langkahnya terhenti. Dia cuba untuk bertentang mata dengan ayahnya namun dia tidak mampu. Lalu wajahnya ditundukkan ke bawah memandang lantai. Menantikan dirinya dimarahi dan dijatuhkan hukuman.
Tanpa di sangka, Tuan Malik terus mendakap erat tubuh anak bongsunya itu. Maya tergamam sebentar. Tetapi kemudian airmata gembira menitis di pipinya. Dia membalas pelukan Tuan Malik sambil bibirnya tak henti-henti memohon ampun dari ayahnya.
Puan Suria yang masih memerhati mengukir senyuman bahagia bersama linangan airmata.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: