Novel : Inikah takdir 2

Nama Pena : saidatul firdaus

Badariah kelihatan sibuk mengemas rumah, dia perlu memastikan rumahnya kelihatan baik ketika tetamunya datang berkunjung nanti. Walaupun mempunyai pembantu rumah, tetapi Badariah lebih suka mengemas rumahnya sendiri. Pembantu rumahnya hanya bertugas memasak sahaja di rumah itu. Sebenarnya Badariah tidak mahu mengambil pembantu rumah, tetapi suaminya berkeras juga. Akhirnya Badariah mengalah dengan permintaan suaminya. Tetapi dia tidak betah duduk diam, oleh itu dia lebih suka menguruskan rumah tangganya sendiri.
“Puan, ada apa-apa yang boleh Mak Jarah bantu?”
“Tak ada apa-apa, macam mana dengan menu malam nanti?”
“Semua sudah diaturkan puan,”
“Baguslah, Mak Jarah boleh pergi, nanti kalau saya perlukan bantuan Mak Jarah, saya akan panggil.”
“Baik puan,”
“Yah, cuba awak duduk, sakit mata saya tengok awak yang tak duduk diam tu. Nanti sampailah diaorang tu, yang awak risau sangat kenapa? mereka janji nak datang pukul 8.30, ini baru 8.15, nanti mereka sampai lah.”
Mazlan menggeleng kepala melihat gelagat isterinya, terlalu bimbang akan tetamu yang akan hadir sebentar lagi.
“Awak cakap senang, saya ni dah tak sedap hati, kalau jadi apa-apa tengah jalan ke, mana kita tahu. Sulaiman jarang lambat macam ini.”
“Ha.. tu macam bunyi kereta saja, dah sampai mereka agaknya.”
Badariah segera menuju ke pintu utama, senyuman terukir di bibirnya apabila tetamu yang dinanti telah selamat sampai.
“Minta maaf lah Kak Long, lambat sikit, tadi masa di rumah, kereta buat hal pula, itu yang lambat sikit. Lama Kak Long tunggu kami?”
“Jemput masuk, Kak Long kau ni memang suka risau tak tentu fasal, tak lah lama sangat, sempat habis secawan kopi saja.”
“Mana Iskandar?”
“Amboi Kak Long, tak sabar-sabar nak jumpa bakal menantu,”
Badariah sekadar tersenyum mendengar kata-kata Anita, adik iparnya.
“Tak lari ke mana bakal menantu awak tu, ada di luar tu ha, nanti masuk lah dia tu.”
“Apa khabar Mak Long, Pak Long, ni ada buah tangan sikit saya bawa,”
Iskandar sekadar berbasi-basi sambil menghulurkan bungkusan hadiah kepada ibu saudaranya itu. Badariah pula, tersenyum meleret sambil menyambut hadiah daripada Iskandar.
“Kita makan dulu lah, nanti tak sedap pula kalau tunggu lama-lama, perut pun mesti dah lapar.”
“Betul sangat tu Abang Long, saya pun dah lapar, tak boleh tunggu lama dah ni. Eh, Huda mana?”
“Dia tak balik cuti kali ni, dia terlibat dengan aktiviti di kolejnya, kalau tidak adalah dia di rumah hujung-hujung minggu ni.”
Badariah memberi penjelasan dengan sedikit rasa kecewa, dia berhajat sangat untuk mempertemukan Iskandar dengan anak perempuannya. Tetapi keadaan yang tidak mengizinkan, Badariah akur, lagi pun masih banyak peluang untuk mempertemukan mereka berdua.
Namun kadang-kadang Badariah terasa hati juga dengan sikap anaknya itu yang lebih mengutamakan aktiviti di kolej berbanding ibunya sendiri. Anak lelakinya pula, nama saja tinggal serumah, tapi jarang sekali dapat bertentang mata. Asyik sibuk dengan kerjanya sahaja. Sama saja dengan perangai suaminya, akhirnya tinggallah Badariah seorang dirumah besar itu di temani pembantu rumahnya.
“Mak Jarah, tolong panggilkan Johari turun makan sekali,”
“Baik tuan,”
“Entah-entah tak bangun lagi anak bujang awak tu.”
“Anak bujang awak juga, dia penat lah tu, banyak kerja di pejabat. Lagipun petang tadi dia pergi jogging, penat tak hilang lagilah tu.”
“Man, kau tengoklah Abang Long kamu ni, asyik menangkan anak dia saja, kita tegur sikit pun tak boleh.”
“Awak ni, depan rezeki pun nak membebel, tu Johan dah turun, depan rezeki tak elok banyak bercakap.”
“Pandailah abang tu, nak tukar topik.”
“Ini semua gambar Huda yang terbaru, Is pun dah lama sangat tak jumpa dia kan? Kali terakhir kamu berjumpa pun masa Huda tingkatan 5, dah tujuh tahun.”
“Mama ada juga tunjukkan pada Is gambar Huda sebelum ni.”
“Gambar yang Kak Long bagi pada saya masa raya yang lepas, gambar itulah saya tunjukkan pada Is.”
Anita menyampuk perbualan mereka sambil tangannya ligat meneliti gambar-gambar anak gadis yang bakal menjadi menantunya itu. Manis dan ayu, sedari anak itu kecil lagi dia sudah berangan untuk bermenantukan anak gadis itu. Lebih menggembirakannya, keluarga kakak iparnya pula langsung tidak membantah. Hubungan diantara dua keluarga perlu dirapatkan lagi.
Ketika menyertai satu lawatan ke rumah kebajikan yang menempatkan anak-anak yatim, anjuran Puspanita, sebuah persatuan wanita. Hati Badariah tersentuh melihat tubuh kecil yang masih merah dan tidak mengerti apa-apa terdampar di rumah kebajikan itu. Kedua ibu bapanya maut dalam sebuah kemalangan, tiada pula saudara terdekat yang boleh diharap untuk bergantung. Naluri keibuannya begitu kuat untuk memeluk tubuh kecil itu. Sekembali dari lawatan itu, pada suami tercinta disuarakan kehendak hatinya, tambahan pula anak lelaki tunggalnya begitu kepingin akan seorang adik. Sebulan berlalu, Badariah kembali semula ke rumah kebajikan itu, tetapi kali ini dengan tujuan lain.
Atas persetujuan semua pihak, termasuk ahli keluarganya, Badariah mengambil anak kecil itu sebagai anak angkatnya. Kepulangannya disambut meriah oleh keluarga, terutama anak lelakinya yang begitu gembira mendapat seorang adik baru. Kasih sayangnya tertumpah kepada anak kecil itu, sehingga kadangkala menimbulkan rasa cemburu di hati si abang. Intan Shuhada, nama diberi kepada anak kecil itu, anak itu sudah sebati dengan keluarga Badariah, tidak timbul langsung soal anak angkat. Namun pada usia 12 tahun, hakikat sebenar terpaksa di beritahu kepada anak itu, Badariah dan Mazlan tidak mahu menipu anak itu. Namun sehingga kini, dua puluh empat tahun sudah berlalu, tetapi akhirnya mereka tetap berbahagia.
“Jauh mengelamun Kak Long ?”
“Mama tengah ingatkan Huda lah tu Pak Ngah, saya yang depan mata ni langsung tak diingat.”
“Macam merajuk saja bunyinya,”
“Bukan merajuk papa, tapi kenyataan. Maklumlah, dah sebulan Huda tak balik, itu baru sebulan, kalau dah kahwin dengan Is nanti, tak tahulah macam mana.”
Seisi keluarga tertawa mendengar kata-kata Johan, bunyinya seakan berkecil hati dengan mamanya yang begitu mementingkan adik perempuannya itu, walaupun hakikatnya tidak begitu. Badariah tidak pernah membeza kan kasih sayang di antara kedua-dua anaknya itu.
“Han ni, dengan adik pun nak cemburu.”
“Ha.. kan betul, mama tengah ingatkan Huda.”
Bukan dia tidak kenal dengan fiil ibunya itu, jika masuk dua minggu tidak berjumpa dengan adiknya, pasti riuh mulut mamanya menyuruh dia menjemput Shuhada dari rumah sewanya. Johan faham, bagaimana kehidupan seorang mahasiswa, dia juga pernah mengalaminya, tetapi ibunya seakan langsung tidak mengerti. Kalau boleh, ibunya mahu adiknya itu berulang dari rumah ke kolejnya. Namun sepatuh-patuh Shuhada, ada juga degilnya, mamanya terpaksa akur dengan kehendak Shuhada yang mahu tinggal sendiri bersama kawan-kawannya yang lain.
**********************************************************************
Iskandar menghempaskan tubuhnya ke atas sofa, sebal di hatinya masih belum hilang. Meluat sungguh dia kerana terpaksa menjadi hipokrit. Ikut kan hatinya, hendak saja dia angkat kaki tadi, benci dengan pujian melambung yang diberikan kepada sepupu angkatnya itu.
“Macam mana Is? Cantik kan Huda tu, dah lama tak jumpa ni, mesti lagi cantik.”
“Tak ada lah cantik mana pun, cantik lagi Sally.”
Iskandar berkata perlahan, bimbang didengari oleh bapanya.
“Apa dia Is?”
“Tak ada apa lah mama, Is kena kahwin juga ke dengan budak kolot tu?”
“Is..! tak baik cakap macam tu, budak kolot apa pula? Dia tu kan bakal isteri Is.”
“Kolot lah, pakaian macam budak kampung, baju kurung, baju kebaya, tak ada baju lain ke? Pakai lah dress ke, skirt ke, baru lah nampak moden..”
“Macam si Sally pakai skirt tak cukup kain tu?”
Terkejut Iskandar mendengar jerkahan papanya, mulutnya terkunci rapat.
“Itu yang kamu suka sangatkan? Jangan harap lah Sally tu nak jadi menantu dalam rumah ni, papa tak suka..!”
“Why papa? What’s wrong with her? Apa yang hebat sangat dengan anak pungut tu kalau nak dibandingkan dengan Sally tu?”
“Iz..! Jangan nak jadi kurang ajar, Huda tu bukan anak pungut, dan keputusan papa tetap, kamu kena kahwin dengan dia, atau satu sen pun harta papa kamu tak akan dapat.”
“Hah..! Apa ni papa, mana boleh main ugut macam ni? Is tak cintakan dia, macam mana Is nak kahwin dengan dia?”
“Suka hati lah nak cakap apa, keputusan papa muktamat, full stop..”
Anita hanya memandang sepi, tidak mahu menyampuk, perangai suaminya saling tak tumpah dengan Badariah, putih katanya, putih lah, jangan lah orang lain suka-suka hati nak tukar warna lain, pantang sungguh bagi mereka.
“Mama, tolong lah Is, Is tak nak lah kahwin dengan Huda, Is cintakan Sally.”
“Mama pun tak tahu nak tolong macam mana, tapi mama rasa Huda tu calon yang sesuai untuk Is, cantik, hormat orang tua, cerdik, apa lagi yang Is cari?”
“Ish..! mama ni tak faham ke, Is tak cintakan dia..”
“Nanti dah kahwin, belajar-belajar lah bercinta. Ni mama nak tanya, bukan dulu kamu dah putus dengan Sally ke sebelum kamu ke London?”
“Bukan putus, bergaduh sikit saja, dia pun pernah jumpa Is kat London.”
Iskandar menelan liur, matilah dia kalau mama dan papanya tahu apa yang telah dibuatnya bersama Sally di negara orang tu, bukan sekali dua Sally datang berjumpanya di London, Sally pun anak orang berada, setakat tiket kapal terbang tu, ibarat tiket bas saja kepadanya.
“Sudah lah, mengelamun pula dia, mama naik atas dulu, nanti bising pula papa kamu tu, dah pukul berapa ni, jangan tidur lewat.”
“Ye lah..”
Acuh tak acuh saja Iskandar menjawab, hatinya masih sakit dengan keputusan papanya. Dulu dia tak pernah bencikan Shuhada, mereka pun pernah membesar bersama-sama, tapi tiba-tiba rasa bencinya mula bercambah, hatinya sakit kerana terpaksa berkahwin dengan Shuhada.

Walaupun penat ketika di Perak masih tidak hilang lagi, Shuhada terpaksa juga mengagahkan diri untuk pulang ke rumahnya. Mamanya sudah beberapa kali menyuruh dia pulang, rindu kata mamanya. Kadang-kadang Shuhada naik rimas dengan perangai Badariah yang tidak mahu berenggang dengannya. Tetapi jika tidak di ikut, bimbang pula jika Badariah berkecil hati.
Shuhada mesti balik ke rumahnya, paling kurang dua kali sebulan. Itu adalah syarat yang diberikan oleh Badariah jika Shuhada ingin tinggal di rumah sewa. Mujurlah Johan ada, dialah yang mengambil Shuhada dari rumah sewanya dan menghantarnya pulang semula. Walaupun mereka mempunyai pemandu peribadi, tetapi Johan lebih suka jika dia yang mengambil sendiri Shuhada, dia mahu keselamatan Shuhada terjamin. Sayangnya kepada Shuhada melebihi segala-galanya.
Shuhada tergesa-gesa menghampiri kereta proton Waja milik abangnya, jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Pasti abangnya itu sudah lama menunggu, janjinya pukul 9.30, tetapi dia terlewat bangun pula.
“Hai, dah lama tunggu?”
“Lama lah juga, tak nampak ni, dah tumbuh janggut pun.”
“Alah, tu janggut semalam tak sempat nak buang kan?”
Johan tertawa sendiri mendengar kata-kata adik kesayangannya itu.
“Sorry lah, Huda lambat bangun tadi, semalam stay sampai pukul 3 pagi, ada kerja sikit.” Ujar Shuhada, memohon maaf.
“Lewatnya tidur, ni nak balik ni ada apa-apa yang tertinggal ke?”
“Emm… tak ada, jomlah. Tapi kita singgah makan dulu, Huda laparlah, dari tadi tak makan apa lagi.”
“Tapi hari ini mama masak nasi ayam tau, nanti dah sampai rumah, tak larat nak makan pula, rugilah.”
“Nasi ayam? Eeii.. sedapnya.! Tak apalah, kita makan alas perut saja, lapar sangat ni. Perut Huda dah menyanyi-nyanyi ni..”
“Yelah, yelah..”
“Assalamualaikum..”
“Dah balik pun, Huda ni kalau mama tak bising suruh balik, tak baliklah ke rumah ni.” Shuhada segera menyalami tangan Badariah, kedua pipi Badariah dikucupnya.
“Huda sibuk lah mama, lepas balik dari Perak hari tu, tak sempat nak rehat, kena siapkan assignment pula. Semalam stay sampai pukul 3 pagi, penat tau..”
“Alahai, kesiannya, itulah, yang sibuk sangat nak pergi Perak siapa yang suruh?”
“Mama ni nak mula lah tu, papa mana mama? Tak balik makan sekali ke?” “Pandai lah nak tukar topik, macam tak biasa dengan papa kamu tu, malam nantilah baru baliknya.”
“Mama, Huda laparlah..” Shuhada memeluk pinggang mamanya sambil kepalanya dilentokkan di atas bahu mamanya itu.
“Dari pagi tak makan apa-apa.”
“Alah nak bermanja lah tu, tadi yang Huda makan nasi lemak sebelum sampai rumah tu apa? Bukan makan namanya tu?”
“Itu tadi, tapi tengah hari ni Huda tak makan lagi, he..”
“Dah, dah.. mama ada masak nasi ayam hari ini, Huda makan lah kenyang-kenyang.”
“Eeii.. perut tempayan betul lah Huda ni, tadi baru makan nasi lemak, ini nak makan nasi ayam pula. Nanti gemuk baru tahu.”
“Sibuk lah abang ni, perut Huda kan perut tempayan, tak apa isi banyak-banyak, he..”
Selepas menjamu selera, Shuhada menuju ke bilik untuk merehatkan badannya. “Boleh abang masuk?”
“Eh, masuklah, tak bertutup pun pintu tu.”
Johan memasuki bilik Shuhada dan duduk di tepi katil.
“Kenapa abang pandang Huda macam tu?” Shuhada bangun dari pembaringannya, dia bersila di atas katil menghadap Johan.
“Saja, dah lama tak sembang dengan Huda, dah besar adik abang ni.”
“Apa abang ni tiba-tiba cakap macam tu. Baru tiga minggu tak jumpa Huda, kenapa dengan abang ni? Atau abang nak kahwin cepat-cepat dengan Kak Jas ke?” “Merepek je, mana ada tukar tarikh, kan dah rancang hujung tahun ni.”
“Manalah tahu, kalau dah tak sabar.”
“Mama ada tanya apa-apa tentang Huda pergi Perak?”
“Tak ada pun, dia percaya cakap anak kesayangan dia ni. Huda tak perlu risaulah.”
“Yelah, mati Huda kalau mak tahu Huda pergi kenduri kat rumah Nab, bagitahu kat dia ada program dengan kolej. Tak boleh nak bayangkan kalau mama tahu Huda tipu dia.”
“Emm.. Huda ingat lagi tak dengan Iskandar?”
“Iskandar mana pula ni? Manalah Huda ingat semua nama kawan abang.” Otaknya ligat berputar mencari nama Iskandar,
“Macam pernah dengar..”
“Bukan kawan abang lah, Iskandar, anak Mak Ngah Nita, ingat tak?”
“Oh, Is, yelah, lupa pula nama dia Iskandar. Emm.. kenapa dengan dia?”
“Dia dah balik Malaysia, dah seminggu pun, minggu lepas dia ada datang sini.” “Is dah balik Malaysia?”
Shuhada tersenyum lebar, rindu pula rasanya kepada sepupunya itu.
“Hai, senyum lebar nampak bila dengar nama Is, ada apa-apa ke?”
“Ish, tak ada apa lah, Huda dah lama tak jumpa dia, kalau dapat jumpa mesti seronok kan?”
“Abang nak tanya sikit boleh?”
“Tanya apa? Lain macam je abang hari ni, tanya la.”
“Huda dah ada special?”
“Ish.. abang ni, tak ada soalan yang lagi bagus ke? kenapa tanya soalan macam tu?”
“La.. tak boleh tanya ke?”
“Dulu adalah, sekarang ni Huda dah available balik..”
“Tak ada pengganti ke?”
“Abang ni banyak tanya lah, nanti kalau Huda dah ada special, Huda bagitau abang okey? Buat masa sekarang ni tak ada lagi.”
“Yelah, jangan lupa bagitahu okey. Huda rehat lah, abang tak nak kacau dah, lagi pun abang nak pergi office ni.”
“Malam ni balik awal tau, papa sekali, papa tu asyik kerja saja, dah tak tahu nak balik awal.”
“Yelah makcik..”
“Eeii..!! teruk la abang ni..!! panggil Huda makcik..!!”
Johan segera melarikan diri sebaik saja ternampak Shuhada hendak membaling bantal kearahnya.
Selepas menunaikan solat zohor, Shuhada terlena, mungkin kerana kurang rehat menyebabkan mudah saja dia melelapkan matanya. Dia terjaga dari tidurnya apabila mendengar bunyi ketukan dari pintu biliknya. Dengan malas, dia membuka mata dan melihat jam di atas meja disi katilnya. Matanya menjadi segar apabila terpandangkan jam yang sudah hampir menunjuk ke angka 8.
“Err.. siapa?”
“Mama ni, boleh mama masuk?”
“Masuklah, pintu tak berkunci.”
Badariah menuju kearah Shuhada sambil tersenyum lebar.
“Kenapa tak kejut Huda, Huda tidur sampai terlajak asar.”
“Maaflah, mama pun tak sedar tadi, ni nak kejut Huda lah. Dah mandi belum? Malam ni ada orang nak jumpa Huda tau.”
“Siapa?”
“Is, dia nak ajak Huda keluar makan malam ni.”
“Eh, kenapa tiba-tiba pula? Huda penatlah mama..”
“Tak baik menolak, lagipun mama dah bersetuju bagi pihak Huda, nanti apa pula kata Is. Huda pergi mandi dulu, maghrib pun dah nak habis ni, nanti tak sempat pula.” “Yelah, yelah..”
Shuhada merungut di dalam hati, penat siang tadi belum hilang, terpaksa pula keluar malam ni. Dia terpaksa menurut kehendak mamanya, bukan dia tidak faham mamanya yang seorang itu. Putih katanya, putihlah, hitam katanya, hitamlah. Selesai menunaikan solat maghrib dan bersiap ala kadar, Shuhada segera turun ke ruang tamu. Kelihatan seorang lelaki sedang duduk bersama mamanya. Mungkin itu Iskandar, bisik hati kecil Shuhada. Dia sendiri tidak dapat mengecam Iskandar kerana sudah lama tidak berjumpa dengan lelaki itu, hampir tujuh tahun.
Shuhada yang mengenakan blause biru lembut bersama gaun hitam labuh dan dipadankan dengan tudung berwarna putih.
“Cantiknya anak mama malam ni, sepadan dengan Is.”
Shuhada tersenyum malu.
“Mama ni kalau nak puji pun, janganlah depan Is, malulah Huda.”
‘Cantik sangat lah tu, berlakon baik, entah-entah pergi kolej pakai skirt pendek.’
Iskandar mengutuk di dalam hati, kalau tak kerana papanya yang beria-ia menyuruh dia keluar dengan Shuhada, dia sendiri pun tak ingin.
“Emm.. Kami pergi dululah, nanti keluar lewat, balik lewat pula.”
Iskandar segera meminta diri, malas hendak berlama-lama di rumah itu.
“Baiklah, bawa kereta tu elok-elok.”
Senang hati Badariah melihat Iskandar dan Shuhada, harapannya agar impian dia dan adik iparnya akan termakbul.
Shuhada sedikit kekok apabila berdua-duaan bersama Iskandar, dia sekadar membisu apabila berada di dalam kereta. Mungkin kerana sudah lama tidak bertemu. Akhirnya Iskandar memecah kebisuan antara mereka.
“Kita nak makan ke mana ni?”
“Emm.. ikut Is lah,”
“Huda sekarang belajar tahun berapa?” Iskandar cuba membuka topik, walaupun dia sendiri sudah tahu yang Shuhada kini sudah di tahun akhir pengajiannya. Bosan pula asyik membisu, di kepalanya asyik terbayangkan Sally sahaja.
“Tahun akhir dah, lagi empat bulan habis lah.”
“So, lepas ni nak kerja mana?”
“Emm.. papa suruh kerja dengan dia, kebetulan pula pekerja lamanya nak berhenti dalam dua tiga bulan lagi.”
“Oh, ye ke..”
Mereka berhenti di sebuah restoran yang terkenal dengan masakan ala Perancis. Bagi Shuhada, ini merupakan pengalaman baru baginya, kerana dia jarang sekali mengunjungi restoran seperti ini. Shuhada cuba menyesuaikan diri dengan keadaan, Iskandar seakan tidak berminat untuk melayannya.
‘Penat kerja siang tadi kot.’
Shuhada membuat telahan sendiri, tidak mahu berfikir yang bukan-bukan. Iskandar di depannya kini bukan seperti Iskandar dahulu, dimatanya Iskandar sudah banyak berubah, tidak semesra dahulu.
Selepas bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur, hampir 11 malam baru Iskandar menghantar Shuhada pulang ke rumah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: