Novel : Khilaf Semalam 1

Nama Pena : pena biru

Mentari merah menyuluh segenap alam. Bilik tidur yang didiami Liyana Balqis dan Hasbul Warits turut sama disirami cahaya merah itu. Seawal subuh kedua-dua mereka sudah bangun menunaikan kewajipan sebagai hamba Allah s.w.t namun kembali leka selepas kembali terlelap dihasut sang pemusnah hidup manusia. Selepas sejenak terlelap, kedua-dua pasangan pengantin baru ini terus ditemani mimpi indah sehingga tidak sedar matahari sudah terpacak di atas kepala.
Liyana Balqis berpusing mengubah posisi tidurnya. Secara tidak sengaja tangannya tersentuh tubuh Hasbul Warits menyebabkan dia terbangun. Tubuh suaminya yang tidak berbaju menyebabkan dia terkejut sehingga tersedar dari tidur. Sangkanya dia menyentuh sesuatu yang tidak sepatutnya. Jam yang tergantung pada dinding kamar dikerling. Sudah pukul 11 pagi.
“Ya Allah, dah lewat. Abul bangunlah. Dah siang ni. Abulll…”
Tubuh suami yang masih kaku di pembaringan segera digoncang-goncang. Sesekali Hasbul Warits merengus. Tangannya menarik selimut menutup ke muka. Mahu mengelak daripada cahaya yang singgah ke kamar. Liyana Balqis menarik kembali selimut itu. Dia membuka mata Hasbul Warits dengan jarinya.
“Bangunlah. Dah pukul 11. Apa pula cakap ibu dengan ayah nanti.”
“Mereka faham. Kita kan pengantin baru.”
“Kepala lutut awak! Mentang-mentang pengantin awak nak membuta sampai ke petang? Bangunlah cepat.”
Liyana Balqis menarik kasar tubuh suaminya, lantas tuala dicampak ke muka lelaki itu. Sementara dia mengambil tualanya serta merta keluar dari kamar dan menuju ke bahagian dapur, dimana terletaknya bilik mandi. Berhati-hati melangkah supaya tiada yang perasaan akan kehadirannya di ditu. Kalaulah ada sesiapa yang terlihat wajahnya yang baru bangun tidur pasti dia akan malu, dengan rambut yang agak kusut pasti wajahnya tidak menunjukkan dirinya.
Saat kakinya sampai ke muka pintu bilik mandi, wajah ibu mertuanya tersembul keluar dari situ. Wanita itu baru sahaja selesai membasuh pakaian. Sekadar tersenyum memandang menantu tunggalnya. Liyana Balqis kaget namun membalas senyuman itu seikhlas mungkin.
“Masuklah. Ibu nak pergi sidai baju dulu.”
“Baik.”
Sebaik sahaja wanita itu menghilang melalui pintu belakang, dia segera melangkah masuk ke dalam bilik mandi. Memastikan pintu dikunci barulah dia menyangkut tuala kemudian satu persatu pakaiannya dilucutkan dari tubuh. Perasaan malu masih bertakhta dalam dirinya. Sepatutnya hari pertama sebagai menantu di rumah ini dia harus menyediakan sarapan buat keluarga.
“Macam mana pula boleh terbabas tidur ni.”
“Qiss lama lagi ke?”
Pintu diketuk. Sabun di tangan terjatuh kerana terkejut namanya dipanggil. Suara Hasbul Warits sangat dikenalinya. Buih-buih sabun ditubuh segera dibersihkan. Selepas memastikan dirinya bersih, dia mengambil tuala dan mengelap tubuhnya sehingga kering lalu menyarung tubuhnya dengan sehelai t-shirt putih.
“Kejaplah.”
Terkial-kial Liyana Balqis memakai kain batik. Walaupun sudah biasa memakainya, namun jika dia tergesa-gesa pasti tidak sempurna pemakaiannya. Pakaian tidur dicapai kemudian pintu dibuka. Suaminya sedang bersandar pada dinding menunggu dia keluar. Kakinya melangkah dari bilik mandi, memberikan ruang kepada Hasbul Warits untuk membersihkan diri pula.
“Cepatnya mandi.”
“Awak tu nak mandi juga,takkan Qiss nak berkampung kat dalam tu.”
Perkahwinan yang dijalankan secara paksa menyebabkan Liyana Balqis agak kasar melayan suaminya. Malah Hasbul Warits juga tidak tahu apa yang patut dia lakukan. Selama ini dia dan isterinya adalah kawan baik. Tetapi selepas peristiwa senja beberapa bulan lalu, mereka terpaksa juga bernikah tanpa kerelaan hati.
Cepat-cepat kakinya melangkah ke bilik yang terletak tidak berapa jauh dari situ. Segera pintu ditutup dan dikunci. Rambut yang basah segera dilap. Agak lama dia membelek rambutnya. Sudah biasa dikeringkan dengan cara itu demi menjaga kecantikan rambut. Kemudian disikat rapi dan dibiarkan tidak diikat untuk membiarkan sisa-sisa basah kering dengan sempurna.
Liyana Balqis mengintai ke luar tingkap. Kelihatan ibu mertuanya sedang menyidai pakaian yang dibawa tadi. Kemudian wanita itu mengemas kawasan halaman rumah. Sisa-sisa sampah kenduri masih berteraburan di situ. Bersikap selamba, Liyana Balqis keluar membantu ibu mertuanya. Namun agak gugup juga mahu berdepan buat kali kedua pada hari ini.
“Biar Qiss tolong ibu.”
“Ish, takpe. Susahkan Qiss je, dah makan ke belum ni?”
“Belum. Takpe, biar Qiss tolong. Abul erm abang pun tengah mandi lagi. Nanti Qiss makan dengan dia.”
Liyana Balqis mengutip sampah-sampah yang besar lalu diletakkan di dalam plastik sampah yang dibawa oleh Puan Wardah. Sambil membantu ibu mertuanya, mereka berbual-bual. Sesekali bergelak ketawa kecil. Buat pertama kali Liyana Balqis berbual mesra dengan wanita ini selepas menjadi isteri Hasbul Warits. Dahulu ketika mereka kawan baik, selalu juga mereka berborak. Tetapi sekarang mereka pasti akan lebih akrab kerana mereka sudah mempunyai hubungan rasmi.
“Qishhhh…”
Suara kanak-kanak menyapa telinga mereka berdua. Serentak mereka berpaling. Kelihatan sebuah motoriskal yang dikenali Liyana Balqis berada di halaman. Seorang gadis bersama si kecil sedang tersenyum memandangnya. Segera tangannya dicuci dan menghampiri dua insan ini. Ibu mertuanya turut sama pergi kepada mereka.
“Bawa adik naik moto, abah dengan mama tau tak?”
“Taulah Qiss, mereka yang suruh Ayen bawa datang.” Jawab Lina Azreen adik Liyana Balqis.
Si kecil berusia hampir empat tahun segera memeluk tubuh Liyana Balqis. Lantas si kecil didukung. Mata adiknya itu bengkak. Mungkin kerana menangis. Si kecil yang comel dikucup mesra. Lina Azreen turun dari motosikal lalu menyalami ibu mertua kakanya. Si kecil yang diberi nama Lidya Maya juga turut menghulurkan tangan menyalami wanita itu.
“Qish jom alek, yaya nak dido engan Qish.”
“Esok Qiss balik eh? Hari ni Qiss tak boleh. Qiss kena pergi sekolah.”
“Qiss bawa adik masuk. Boleh makan sama. Mee goreng ibu buat tadi pun banyak lagi. Mari masuk Ayen.”
Mereka melangkah masuk ke dalam rumah. Langkah kanan sungguh dua beradik ini. Lina Azreen tersengih. Kebetulan mee goreng adalah makanan yang diminatinya. Sudah tentu dia tidak akan menolak pelawaan ini. Tambahan pula dia masih belum bersarapan. Selepas sahaja bangun dari tidur, adik bongsunya sudah merengek mahu datang ke sini bertemu kakak sulung mereka.
“Eh, Yaya datang!”
Hasbul Warits yang baru keluar dari bilik terus menghampiri mereka. Tangannya dihulurkan kepada Yaya. Si kecil bertukar tangan. Mereka sudah mengenali antara satu sama lain. Lidya Maya sudah biasa berada bersama Hasbul Warits. Malah sering sahaja dia mengikut lelaki itu pergi ke kedai jika kakaknya membawa dia pergi ke pondok untuk berlajar bersama-sama teman lain.
“Aboy…”
“Sayang, bukan Aboy. Panggil abang Aboy.” Liyana Balqis membetulkan percakapan adiknya.
“Otey, abang Aboy.”
Mee goreng diletakkan di dalam pinggan. Puan Wardah melayan tetamu dengan begitu baik. Lina Azreen sekadar tersenyum. Si kecil pula manja di atas ribaan Hasbul Warits. Sementara Liyana Balqis sedang membancuh minuman buat mereka semua. Tugasan kedua di rumah mertua masih lagi tugasan yang biasa dibuat di rumah.
“Sedapnya mee goreng makcik buat.” Puji Lina Azreen.
“Biasa je. Makanlah. Abul suapkan Yaya, tak pedas pun.”
“Takpe biar Qiss suapkan.”
Cepat-cepat Liyana Balqis membawa minuman datang ke meja. Terasa bersalah pula membiarkan lelaki itu menyuap adiknya sedangkan suaminya itu juga masih belum bersarapan. Selepas menuang minuman ke dalam cawan, Liyana Balqis mahu mengambil Lidya Maya ke ribaannya. Tetapi si kecil berkeras tidak mahu.
“Takpelah. Biar abang yang suapkan Yaya.”
Si isteri mencebik. Telinga terasa geli apabila mendengar Hasbul Warits membahaskan diri sendiri sebagai abang. Puan Wardah yang sedang meninggalkan dapur sekadar tersenyum mendengar anaknya begitu. Walaupun pada awalnya anak tunggalnya itu tidak bersetuju dengan cadangan mereka untuk dinikahkan dengan Liyana Balqis, tetapi kini semakin positif tindakan anaknya.
“Bila abang Abul nak bawa Qiss balik rumah? Yaya ni tak nak tidur malam tau.” Ujar Lina Azreen sambil mengunyah mee.
“Makan dulu nanti bercakap.” Marah Liyana Balqis.
Hasbul Warits tersenyum sahaja. Dia tahu adik kecil ini sangat rapat dengan isterinya. Sejak kecil lagi Lidya Maya sememangnya lebih selesa bersama Liyana Balqis. Isterinya juga menyayangi si kecil malah tidak pernah dia melihat si kecil ditinggikan suara. Pada hari pernikahan mereka, Lidya Maya asyik duduk bersandar pada tubuh kakaknya. Ketika Liyana Balqis mahu meninggalkan rumah untuk datang ke sini, si kecil menangis sehingga terpaksa dilarikan ke tempat lain.
“Aboy… Abang Aboy, nak air.”
“Nah, Qiss dah sejukkan teh ni!”
Hasbul Warits mengambil cawan berisi teh lalu disuapkan ke mulut si kecil. Dia seronok melayan Lidya Maya. Gadis kecil ini tidak banyak kerenah. Dengan sesiapa sahaja dia boleh duduk bersama. Sesekali jika ditinggalkan oleh Liyana Balqis barulah dia menangis dan merengek mahukan kakaknya.
“Qish jom alek.”
“Ayen dah siap makan nanti boleh balik. Tapi Qiss tak ikut tau. Qish nak pergi sekolah. Esok Qiss balik.”
Lidya Maya angguk. Jika dia tahu kakaknya akan ke sekolah dia tidak menangis. Dia memahami akan istilah sekolah. Acapkali dia akan diceritakan tentang sekolah. Malah dia pernah dibawa ke sekolah oleh abahnya. Sejak itu jika dia mahu ditinggalkan, pasti mereka akan mengaitkan sekolah supaya dia tidak menangis.
“Otey, Yaya tunggu di rumah esok.”
“Esok abang bawa Qiss balik rumah ye. Yaya tunggu aje.” Tambah Hasbul Warits sambil menyuap adik iparn ya.
Selepas selesai menjamah mee goreng, Lina Azreen membawa adik kecilnya pulang. Rindu sudah dilepaskan terhadap kakak sulung mereka. Adiknya itu sudah mampu tersenyum selepas bersama Liyana Balqis walaupun hanya sekejap. Hasbul Warits mendukung Lidya Maya sehingga ke motosikal. Selepas enjin dihidupkan barulah dia meletakkan si kecil dalam bakul motosikal.
“Tata Qish…”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: