Cerpen : Aku Desperate..!

Nama Pena : norain ishak

” Hish, bengang betul lah!” jerit aku tiba-tiba sambil menghempaskan iPhone ku ke atas katil. Alin tersentak melihat tingkah ku yang tak tentu pasal itu lalu memandangku tajam.

” Ika, kau ni apasal mengamuk tiba-tiba ni? PMS ke apa kau ni? ” sapa Alin kepada aku. Sorry lah Alin, aku kacau study, tapi aku memang tengah bengang ni, kata aku dalam hati.

” Alin, apa kau rasa kalau kau mesej orang, orang tak balas. Kau call orang, orang tak angkat? Tak ke bengang namanya tuh?” kata aku menyoal Alin pula.

” Bengang sikit. Tapi takde lah sampai nak hempas-hempas handphone. Kau ni pun, kalau bengang sangat, jangan lah hempas iPhone kau tu atas katil, baling kat dinding, lagi syok,” kata Alin. Hish budak Alin ni, macam perli aku pulak. Arghh!

Aku mendiamkan diri seketika sambil mencebikkan bibir. Saja nak merajuk. Kejap nanti, mesti si Alin pujuk punyalah. Aku dah faham sangat dah dengan sifat si Alin ni. Mulutnya memang suka memerli, tapi hati dia baik.

” Wowo..Ika, kau tak payah nak buat muka merajuk kau tu, aku dah lali. Haa, apa yang buat kau bengang tu? Meh, cerita kat aku. Alalalala..,” kata Alin tiba-tiba sambil mencuit manja lengan aku. Haish, Alin memang pandai baca betul lah. Tahu-tahu je aku buat-buat merajuk.

” Pasal Amar lah,” kataku pendek. Alin membulatkan mata ke arah aku. Apasal perempuan ni, macam terkejut beruk je aku tengok.

” Amar? Lorh, aku ingat kau dah give up dengan dia, ” kata Alin pula. Oh, patutlah dia terkejut, dia ingat aku dah tak kisah pasal Amar dah.

” Give up? Banyak cantik kau! Bersusah payah tau aku jadi stalker dia. Buat muka tak malu tanya pasal dia kat Zamir. Curi-curi nombor handphone dia. Takkan aku nak mengalah macam tu je,” kata aku dengan penuh perasaan. Memang banyak perkara aku lakukan dalam usaha mengenali Amar dengan lebih mendalam. Mencabar tau!

” So, kau tadi bengang sebab Amar tak reply mesej kau lah, macam tu? Kau ni pun satu, sabarlah sikit. Dia takde kredit nak reply kot,” kata Alin kononnya nak menenangkan perasaan aku yang tengah berkocak ni.

” Takkanlah takde kredit kot. Dia tu bukannya datang dari family papa kedana ke apa. Memang dia tu saja taknak reply mesej aku. Ingat aku nak mengorat dia sangat ke. Perasan betullah mamat skema tu,” jawab aku dalam nada geram.

” Jadi yang nak bengang tu buat apa? Buat sakit hati je kan. Dah dia taknak layan kau, kau stop je lah dari kacau dia. Kau ni pun satu lah, desperate betul!” ujar Alin. Sengal punya Alin, suka-suka je dia cakap aku desperate. Tapi, memang betul pun! Aku tergelak kecil.

” Takpe Amar. Kau ingat aku ni pengecut. Siap kau esok!” kata aku dengan penuh bersemangat. Alin cuak mendengar kata-kata yang tak semena-mena keluar dari mulut aku.

” Hei, kau ni nak buat apa plak ni?” tanya Alin ingin tahu.

” Aku akan berhadapan dengan dia esok. Aku nak dia explain kenapa dia tak reply mesej aku, tak angkat call aku. Aku nak tahu jawapan dari mulut dia sendiri. Lepas tu, baru aku puas hati, dan aku takkan kacau dia dah,” kata aku penuh berani.

Alin tercengang mendengar kata-kata aku. Mulutnya seakan terkunci tuk berkata-kata. Mesti dia terkejut gila dengan kenyataan yang aku buat tadi. Aku pula buat muka bajet yakin gila.

Eh, berani betul aku. Betul ke aku berani nak jumpa Amar ni. Kalau aku tarik balik kata-kata aku ni, mesti Alin gelak besar and hebohkan dekat satu kolej. Tak boleh jadi. Aku boleh lakukan. I can do it!

********************

‘Bismillahirahmanirrahim..’sebutku perlahan sebaik melangkah masuk ke dalam perpustakaan kolej ku yang sangat indah. Buku-buku rujukan A Level kelihatan tersusun rapi. Meja-meja study bersama kerusinya pun tersusun rapi. Aku menoleh sekilas jam di pergelangan tangan. Baru pukul 9 pagi. Patutlah perpustakaan masih lagi lengang.

” Awalnya kamu datang hari ni,” sapa Pakcik Hasnul yang bertanggungjawab menjaga perpustakaan pada hari Sabtu hari ini. Eh, pakcik ni, tegur aku tiba-tiba. Terkejut aku dibuatnya ketika aku melintasi kaunter peminjaman dan pemulangan buku. Aku tersengih macam kerang busuk.

” Study pagi-pagi ni mudah meresap sikit, pakcik. Hehe ,” jawabku tipu sunat. Banyaklah punya study. Tujuan saya nak jumpa Amar lah pakcik. Tapi, takkan nak cakap macam tu pulak. Pakcik Hasnul turut tersenyum mendengar kata-kata aku.

Buku Step-by-Step Chemistry dan pencil case aku keluarkan dari beg sandang lalu membawa langkah ke tingkat atas perpustakaan. Aku tahu benar, Amar tak suka study dekat bawah, sebab bila ramai orang, mesti tingkat bawah perpustakaan bising macam pasar malam. Dekat tingkat atas, senyap sikit.

Sampai di tingkat atas, aku menjenguk-jenguk kan kepala mencari kelibat Amar. Mana mamat skema ni, selalunya waktu awal-awal pagi macam ni dia dah tercongok kat sini. Aku meneruskan pencarianku sehinggalah, ‘ Haa, itupun dia!’ ucapku dalam hati.

Aku mengatur langkah sesopan mungkin ke arah Amar. Amar kelihatan khusyuk mengulangkaji pelajaran. Kepalanya dari tadi aku perhatikan menunduk saja. Tidur ke apa. Aku tersengih lagi.

” Assalamualaikum, ” aku memberi salam. Jangan tak jawab salam aku sudah. Memang nak kena kalau tak jawab.

Kepalanya mendongak ke arah aku. Pelik. Dia memberi pandangan pelik kepada aku. Apahal dia ni, muka aku macam muka alien ke apa?

” Waalaikumsalam,” jawab Amar macam nak taknak. Alamak, dia dah jawab salam. Nak cakap apa pula ni. Malam tadi dah penat practise nak bercakap dengan dia. Sekarang macam dah lupa nak cakap apa. Rileks Ika, jangan panik. Aku berkata sendiri.

” Saya..saya Ika,” kataku tergagap-gagap memperkenalkan diri. Aku menarik nafas sedalam mungkin untuk meneruskan bicara. Tapi belum sempat aku berkata-kata, Amar awal-awal lagi memotong cakapku.

” Oh, awak ni la Ika ya? Yang selalu kacau hidup saya! Mesej saya! Call saya!” marah Amar tiba-tiba. Hish, garangnya! Aku belum cakap apa-apa, dia dah mengamuk macam singa. Tak suka!

” Hey, yang awak ni tiba-tiba marah saya ni kenapa? Saya datang nak jumpa awak, bukan nak kena marah. Saya cuma nak penjelasan dari mulut awak je kenapa tak reply mesej saya, tak angkat call saya, itu je,” kata aku tegas. Apa dia ingat aku jumpa dia ni nak menggatal dengan dia ke, getus hati aku.

Amar melepaskan pandangan ke arah tingkap lutsinar menghadap taman hijau. Suasana diam seketika. Pertanyaan aku masih belum dijawab. Mungkin Amar sedang memikirkan jawapan yang sesuai. Mungkin juga dia rasa bersalah kerana menengking aku tiba-tiba.

” Kita discuss benda ni dekat luar,” kata Amar ringkas lalu melangkah menuruni tangga dan keluar dari perpustakaan. Aku sekadar membuntuti langkahnya demi mengharapkan sebuah penjelasan.

Taman menghijau di sebelah perpustakaan tidak mampu menenangkan perasaan yang bercampur-baur dalam hati aku. Berdebar-debar pulak nak mendengar penjelasan Amar.

” Saya dah ada girlfriend. Saya tak reply mesej awak, tak angkat call awak sebab saya taknak girlfriend saya salah sangka dekat saya, ” kata Amar memulakan bicara. Aku sedikit terkejut dengan kenyataan dia. Ada girlfriend? Biar betul. Budak skema macam Amar ada girlfriend.

” Tipu! Zamir kata awak mana ada girlfriend!” kata aku meninggi suara. Memang aku tak percaya. Dusta belaka lah!

” Oh, jadi selama ni, awak jadi stalker saya menerusi Zamir lah? Hei, awak ni perempuan jenis apa haa? Desperate sangat nak berboyfriend!” marah Amar kepada aku.

” Mulut awak tu jaga sikit. Apa, awak ingat saya ni kemaruk sangat ke nak berboyfriend. Saya cuma nak berkawan dengan awak je, bukan nak bercinta pun! Haih, malang betullah girlfriend awak ada boyfriend mulut kurang ajar,” puas aku membidas kata-kata Amar yang begitu mengguris hati perempuan aku. Sampai hati dia herdik aku macam tu.

” Habis tu, yang awak kacau saya kenapa? Kenapa? Alasan berkawan tu dah lapuklah! Sudahlah! Buang masa je saya bertekak dengan perempuan desperate macam awak. Saya taknak tengok muka awak dah. Menyampah! Mulai saat ini, awak jangan nak mesej saya, call saya, ambil tahu pasal saya melalui Zamir.Dah pergi dari sini!” tengking Amar lagi.

Betapa terasa hinanya aku, bila lelaki yang aku puji-puji selama ini memarahi aku, mengherdik aku, menengking aku dan paling aku kesali melabelkan aku sebagai perempuan desperate. Desperate sangatkah aku? Besar benarkah salah aku hanya untuk menjadi kawan dia? Aku bertanya pada diri sendiri.

” Baik, terima kasih atas penjelasan awak. Saya amat menghargainya,” kataku lalu berlalu pergi dari situ sambil menahan sebak di dada. Terasa bagai air jernih mahu mengalir dari kolam air mataku. Tapi ditahan. Aku takkan nangis sebab Amar!

Amar melihat aku berlalu dari taman hijau itu. Dia sendiri tak sedar bagaimana dia boleh jadi garang sebegitu rupa sedangkan dia terkenal dengan sikap coolnya. Dia menggeleng-gelengkan kepala memikirkan apa yang baru terjadi, lalu membawa diri ke dalam perpustakaan semula.

**************************

‘ Kamu tak tahu,
Hancurnya hatiku..
Saat berhadapan kamu..
Kamu..tak bisa bayangkan rasanya jadi diriku..
Yang masih cinta…hooo..’

Haih. ‘Sedap jugak suara aku,’. Aku memuji suara aku sendiri. Ya lah, siapa nak puji kalau bukan diri sendiri. Oh ya, tajuk lagu ni ialah Masih Cinta yang dinyanyikan oleh kumpulan Kotak. Aku baru je tahu pasal lagu tu. Minggu lepas selepas kena ‘reject’ terang-terangan dengan Amar, aku terus minat untuk layan lagu jiwang.

Pintu bilik aku tiba-tiba dikuak. Siapa pula nak kacau aku layan perasaan ni. Ganggu betul. Eh, Alin! Dah lama dia tak datang ke bilikku untuk study bersama. Takde la lama sangat. Seminggu je.

“Huh! Lagu apa yang kau dengar ni, jiwang betul,” kata Alin lalu duduk di atas kerusi ku. Jarinya ligat menekan-nekan mouse laptop ku. Lagu lain dimainkan.

“Weyh, kau ni. Masuk tak bagi salam. Pastu tukar lagu pulak.” Kata aku buat-buat marah. Alin tak mempedulikan kata-kata aku.

“Ah, lantaklah. Eh, sejak bila kau layan lagu-lagu indon ni? Pelik aku tengok. Haih, macam ada something wrong je kau ni. Demam ke?” ujar Alin selamba lalu melekapkan belakang tapak tangannya ke dahi ku. Kononnya nak test aku demam ke tak lah. Poyo!

“Eh, mana ada. Saja ubah selera, tak boleh ke?” kata aku pula. Alin senyum tiba-tiba . Apahal pulak ni, aku ada salah cakap ke?

“Ika, kau boleh luahkan apa-apa aje kat aku. Aku ni kan member kau,” kata Alin pula. Aku buat-buat tak faham. Alin pulak buat muka simpati.

” Apa kau ni Alin, nak luahkan apa kat kau?” kataku pula sambil menoleh ke tempat lain. Aku mengagak sesuatu. Alin tau apa yang terjadi anatar aku dan Amar ke.

“Aku nampak apa yang terjadi minggu lepas kat taman hijau sebelah perpustakaan,” kata Alin lembut. Sah, memang benar tekaan aku. Alin tahu pasal kes hari itu.

Aku menunduk lemah. Pabila mengenangkan peristiwa pertelingkahan antara aku dan Amar, diri aku dengan automatiknya jadi down, jadi lemah, jadi tak bersemangat. Masih aku ingat lagi setiap bait-bait kata-katanya yang bila dikenangkan semula, cukup buat aku rasa kecewa yang amat.

Alin menghampiri aku dan memeluk aku tiba-tiba. Kenapa dengan Alin ni? Jangan lah buat macam ni. Nanti aku nangis. Dia mengusap-usap belakangku. Aku tiba-tiba jadi terharu mengenangkan betapa ‘concern’nya sahabatku seorang ini terhadap aku. Dan akhirnya, air mata yang aku tahan sejak minggu lepas terburai juga. Di bahu Alin, aku meluahkan segala rasa yang tersirat dihati aku.

“Aku malu dengan kau Alin. Malu. Aku selama ni terhegeh-hegeh dekat dia. Aku puja-puja dia. Tapi, perkara sebaliknya yang terjadi. Dia herdik aku. Dia kata aku desperate. Aku sedih sangat-sangat. Tak pernah ada orang marah aku macam mana dia marah aku. Dia buat aku rasa terhina sangat,” luah aku teresak-esak kepada Alin. Kepada Alin lah tempat aku mengadu.

“Ala, rileks la Ika. Siapa lah dia untuk buat kau rasa terhina. Kau adalah kau. Kau lebih kenal diri kau sendiri. Jangan nak ambil peduli kata-kata dia,” kata Alin cuba meredakan tangisan aku.

” Macam mana aku tak peduli, kau tahu kan, aku memang admire gila kat dia,” kata aku pula.

” Kau ni, dia dah marah-marah kau pun, takkan kau masih nak admire dekat dia? Lupakan je lah dia. Anggap lah satu hari nanti kau akan dipertemukan dengan orang yang lebih baik dari dia,” kata-kata Alin sedikit sebanyak memberi aku semangat untuk melupakan Amar. Terima kasih Alin, kau memang memahami aku.

” Sekarang aku nak marah kat kau pulak,” kata Alin lagi. Aku jadi pelik. Tiba-tiba nak marah aku, kenapa?

“Apsal pulak?”tanya kehairanan.

” Kau lah! Ada masalah taknak cerita. Geram aku!” ujar Alin pura-pura bengang. Aku tersengih memandang Alin. Lalu mengundurkan diri dari Alin dan berlari-lari anak keluar dari bilik. Alin mengejar aku.

Bukannya apa, dulu kami dah janji, setiap masalah kena kongsi. Tapi aku dah mungkir janji. Aku ketawa mengekek sambil berlari. Sorrylah Alin, aku segan nak beritahu kau kena reject! Haha.

**************************

” Ika, ika..!” Alin memanggil-manggil nama aku sambil tercungap-cungap berlari ke arahku yang sedang leka bermain badminton bersama Zamir di gelanggang badminton kolejku.

” Alin, kau apsal ni? Tercungap-cungap aku tengok,” kata aku lalu merehatkan diri yang keletihan dek kerana membalas smash berkali-kali dari Zamir. Aku dan Zamir menghampiri Alin. Sedia menunggu berita yang ingin disampaikan Alin.

” Amar..Amar..” kata Alin tersekat-sekat.

“Alin, tarik nafas dulu,” kata Zamir pula. Risau dia melihatkan keadaan Alin yang macam orang semput.

” Amar, Amar tengah kena belasah teruk dek geng MARIO dekat belakang gimnasium,” kata Alin satu nafas. Apa? Amar kena belasah. Aku diburu rasa khuatir. Ya Allah, kesian Amar.

Meskipun Amar tak suka dekat aku, aku kena selamatkan dia daripada terus dibelasah. Kalau dibiarkan, teruk dikerjakan geng MARIO yang bengong tu.

Siapa yang tak kenal dengan geng MARIO. Terdiri daripada Malik, Amri, Rizal, Ikmal dan Osman. Makan bergabunglah mereka atas nama MARIO. Ketua geng MARIO yakni Malik merupakan anak pengetua kolej ini sendiri. Tiada siapa yang berani melawan. Cubalah lawan, masuk hospital jawabnya. Aku takut juga, tapi demi Amar, aku sanggup beranikan diri berhadapan dengan geng MARIO.

Aku terus berlari menuju ke arah belakang gimnasium. Tempat itu sunyi, dan memang itulah port geng MARIO untuk membelasah pelajar yang mereka rasa tak puas hati. Dan mangsa mereka kali ini adalah Amar.

Zamir mengikut langkahku. Begitu juga Alin. Berilah aku semangat untuk menolong Amar meskipun kalian sendiri takut dengan menghadapi geng MARIO.

Sampai di tempat kejadian, ku lihat Amar tidak lagi berdaya. Badannya longlai menerima tumbukan dan tendengan bertubi-tubi . Kurang ajar betul!

Aku menghampiri mereka perlahan-lahan. Dengan sepenuh tenaga, aku melibas setiap belakang badan geng MARIO dengan raket Yonex. Bush! Bush! Bush! Bush! Bush! Bush! Lima libasan aku lakukan. Dari mana tenaga itu datang, aku sendiri tidak pasti. Barangkali kerana Amar, tenaga ku jadi kuat tiba-tiba.

Geng MARIO mengaduh kesakitan. Buat pertama kali dalam sejarah gangster mereka, seorang perempuan begitu berani melawan mereka. Mereka kelihatan terkejut melihat aku yang sedang menyinga memandang mereka sambil menggertak untuk memukul mereka lagi. Lalu tanpa membuang masa, mereka berlari terkontang-kanting dari situ. Zamir dan Alin tercengang melihat tindakan aku.

Aku menghampiri Amar yang sedang menahan kesakitan. Bibirnya berdarah teruk. Mukanya lebam ditumbuk. Amar cuba berdiri, tapi tak berdaya. Mujur ada Zamir di situ. Zamir membantu Amar untuk berdiri.

“Kenapa datang tolong saya? Kalau awak kena pukul sekali macam mana?” kata Amar perlahan. Sempat lagi dia memarahi aku dalam menahan kesakitan. Telingaku masih peka menangkap kata-katanya. Zamir kemudian memapah Amar pulang ke asrama kediaman mereka lalu mengisyaratkan Alin untuk menyuruh aku turut pulang.

Tidak dapat aku gambarkan perasaan aku ketika itu. Tiada ucapan terima kasih dilafazkan Amar. Terasa pertolongan yang ku hulur langsung tak dihargai. Sampai hati kau buat aku macam ni Amar!

*************************

Malam pertama. Jangan fikir lain. Aku belum berkahwin dengan siapa. Dan aku juga belum berboyfriend lagi. Masih single-mingle. Selepas kejadian aku menjadi heroin, aku tak pandang siapa-siapa. Amar pun aku dah tak hirau. Apa nak jadi dengan dia, lantaklah. Aku dah tak peduli.

Selepas berjaya dalam peperiksaan A Level Cambridge International Examination, aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di University of Edinburgh. Gembira tak terkata! Alin pun dapat sama dengan aku. Alhamdulillah kami berdua berjaya.

Dan malam ini, merupakan malam pertama aku bertugas sebagai doktor pelatih di wad 7U Pusat Perubatan Universiti Malaya. Aku masih lagi bertenaga melayan kerenah pesakit yang sekejap-sekejap meminta ubat bius. Hari pertama lah katakan. Tenaga masih banyak lagi.

Handphone diatas meja dipandang sekilas. Eh, ada mesej masuk. Punat view message ditekan, ‘Hoi, Ika. Buat apa tuh? Tak takut ke duk hospital malam-malam. Kalau jumpa hantu, baca ayat Kursi tau. Bye, aku nak tdo,’.Aku tersenyum sendiri. Mesej daripada Alin. Sempat lagi dia mengusik aku. Pasal Alin pula, dia jadi doktor pelatih di Kelana Jaya Medical Centre. Taklah jauh sangat dari Petaling Jaya ni.

Setelah menyiapkan laporan perubatan untuk hari itu, aku berjalan sekitar wad yang meregangkan otot-otot badan. First day,boleh lah buat macam tu. Sampai di hujung wad, aku berpatah balik ke ruangan depan wad yang menempatkan kaunter dan meja untuk nurse dan para doktor membuat kerja-kerja masing-masing.

Dari kejauhan, kelihatan seorang lelaki di ruangan doktor membuat laporan perubatan. Gayanya tak ubah seperti Amar. Aku terlalu ingatkan dia ke. Takkan Amar kot. Takpun, takkan hantu Amar. Tiba-tiba teringat mesej Alin tadi mengenai hantu. Alin, kau buat aku takut plak.

Aku memberanikan diri melangkah ke arah ‘makhluk’ itu.

” Awak ni siapa?” tanya aku. Makhluk tu memandang aku. Tidak !!! Terkejut aku melihat muka Amar yang dilumuri darah. Mata kanannya tersembul keluar. Mulutnya senget-benget. Hidungnya pula penyek .Ya Allah, gelinya aku melihat wajah Amar , hanya Tuhan saja yang tahu. Aku terus menjerit ketakutan sambil menekup mukaku dengan kedua belah tangan.

Bahu aku tiba-tiba digoncang kuat. Aku membuka mata terjaga dari igauan entah apa-apa.

” Amar!” aku menjerit sebaik melihat Amar di hadapanku. Huh. Aku bermimpi rupanya. Tapi, betul ke Amar di hadapan aku ni, atau aku masih bermimpi lagi.

” Ya, saya Amar. Pergilah cuci muka, awak bermimpi pagi-pagi buta. Kalau patients nampak, buat malu je,” kata Amar selamba. Jam ditangan menunjukkan pukul 3 pagi. Entah bila masa aku terlelap, aku pun tak sedar.

Alahai malunya aku rasa. Boleh pulak nak mengigau. Malu. Malu dengan Amar. Mesti hodoh gila reaksi aku waktu mengigau tadi.

Aku bangkit dari kerusi dan menuju ke sinki berhampiran dan membasuh muka. Sekembalinya aku ke ruangan doktor, Amar tiada di situ lagi. Ke mana dia pergi,aku pun tak pasti. Tapi yang pasti, yang tadi itu Amar. Mukanya tak banyak berubah. Masih seperti enam tahun yang lalu. Dia macam tak kenal aku je. Ah, buat apalah dia nak ingat perempuan desperate macam aku! Aku memerli diri sendiri.

**************************

Ngap! Aku mengunyah sandwich tunaku. Aku breakfast seorang diri di cafeteria yang terletak di tingkat 1 bangunan utama PPUM. Takde siapa yang nak teman. Makan sorang-sorang pun syok jugak.

Aku mengunyah sandwich ku sambil memamndang sekeliling cafeteria. Apa yang dapat ku lihat, cafeteria ni memang bersih. Berwarna-warni pulak tu, kalau stress, pun jadi kurang stress. Mataku kemudiannya pantas menangkap kelibat Amar yang sedang membayar makanannya di kaunter. Amar kemudian menuju ke arah meja aku. Alamak!

” Hei, saya duduk sini eh,” kata Amar kepadaku lalu menarik kerusi dan duduk dihadapanku. Aku sekadar mengangguk. Jantungku tiba-tiba berdegup kencang. Apahal pulak ni? Amar je pun, yang aku nak berdebar-debar ni kenapa pulak. Aku berbisik pada diri sendiri.

” Awak mimpi apa pagi tadi sampai mengigau tu? Kelakar betul saya tengok,” kata Amar sambil tergelak. Ek’eleh. Dia ingat aku suka-suka nak mengigau ke. Pastu, boleh gelakkan aku pulak.

” Saya mimpi makhluk tuhan yang berada di hadapan saya sekarang ni mata kanannya tersembul keluar. Mulutnya senget-benget. Hidungnya pula penyek. Puas hati?” kata aku sedikit geram dek kerana Amar menggelakkan aku.

” Eh, jangan lah marah. Orang tanya je. By the way, betul ke? Mungkin sebab awak terlalu teringatkan peristiwa saya kena belasah dengan geng MARIO kot,”kata Amar lagi. Geng MARIO? Maksudnya dia masih ingat lagi lah dekat perempuan desperate ni,aku berkata dalam hati.

” Awak masih kenal saya lagi?” tanyaku pura-pura tak tahu.

” Of course lah saya masih kenal. Awak perempuan yang paling berani pernah saya jumpa. Sanggup datang selamatkan seorang mamat yang garang dekat awak. Lepas tu tak reti cakap terima kasih kan?” ujar Amar lagi. Oh, dia sedar rupanya dia tak cakap terima kasih kat aku. Tapi kenapa baru sekarang?

” Hmm.. Itu cerita lama lah. Tak perlu nak diungkit-ungkit. Lagipun, pertolongan saya tu ikhlas. Tak bermaksud apa-apa,” kataku dalam nada malas. Perasaan aku kepada Amar tiba-tiba hadir semula. Tidak! Aku tak boleh suka dia! Aku menghabiskan sisa air Nescafe ku. Lalu, bangkit dari kerusi.

” Ika, terima kasih,” ucap Amar sebelum aku berlalu pergi.

Dah macam dalam drama pulak kejadian di cafeteria. Si gadis membawa hati yang lara meninggalkan jejaka idaman hatinya. Aku khuatir jikalau perasaan cinta akan berputik semula untuk Amar. Aku trauma mengenangkan peristiwa Amar memarahi aku. ‘Saya taknak tengok muka awak dah. Menyampah!’. Kata-katanya bermain semula di gegendang telinga ku. Kuatkanlah jiwamu , Ika.

*************************

Masa memang pantas berlalu. Rawat patient tu, rawat patient ni. Kerja kat department tu, kerja kat department ni, dah nak masuk setahun aku jadi doktor pelatih. Doktor pelatih? Ala, senang je. Itulah anggapan orang kampung aku. Mereka tak tahu betapa mencabarnya kerja aku. Penatnya, hanya Allah je tahu. Stress tak usah cakap. Setiap hari, tekanan ke tension ke, dah jadi asam garam kehidupan. Tak sempurna hari seorang doktor pelatih, kalau tak tertekan.

Medical Officer (MO) yang menyelia aku pula ada macam ragamnya. Ada yang cakap lembut. Ada yang cakap kasar. Ada yang suka marah-marah. Ada yang penyayang. Pendek kata, macam-macam jenis MO lah yang pernah aku jumpa. Mula-mula tu, memang asyik rasa nak nangis je lah kena herdik semua, tapi lama-lama dah jadi biasa.

Bukan nak kena mengadap perangai MO je, perangai patients pun aku tak larat nak layan. Ada patients yang tak tahan sakit, menjerit-jerit macam orang gila. Patients yang baran pun ada, aku punyalah baik dengan dia, rawat dia,dia pulak suka-suka nak mengamuk dekat aku. Huh! Apa nak buat, terima aje lah!

Amar? Aku okey je dengan dia. Dia pula layan aku dengan baik sekali. Walaupun dia sendiri sibuk sebagai doktor pelatih, dia sempat curi masa nak bertemu dengan aku dan bagi aku kata-kata semangat. Kadangkala secara kebetulan, aku bekerja dengan dia. Cekap betul dia ketika merawat patients. Oh lupa pula aku nak bagitahu, Amar ni sebenarnya senior aku, jadi dia memang cekap lah sebab dia jadi doktor pelatih dulu dari aku .Aku tengok skill dia, dan aku aplikasi bila aku rawat patients aku pula. Sedikit sebanyak, kemahiran yang aku ada sehingga kini, datang dari Amar.

Kadangkala terdetik di hati aku, kenapa Amar jadi baik dengan aku. Sedangkan waktu zaman kolej dulu, dia layan aku dengan kasar. Garang! Tapi sekarang lain pulak ceritanya. Mungkin dia nak balas budi aku selamatkan dia kot, aku membuat andaian sendiri.

*************************

‘ Turun kat tempat emergency sekarang juga!’ Mesej yang aku terima dari Amar. Ada kes kecemasan apa pulak ni sampai nak suruh aku turun. Mengada betul lah. Aku baru je free, dah ada case pulak. Kacau betul!

Aku mempercepatkan langkah menuju tempat kecemasan PPUM. Kelihatan sebuah kerata Honda Civic di parking ambulance. Itu macam kereta Amar. Dan Amar pun ada dalam kereta itu. Saja nak menyusahkan aku lah dia ni.Aku berjalan malas ke arah keretanya. Tingkapnya diturunkan.

“Ika, masuk dalam kereta kejap,” arah Amar kepadaku. Aku hanya menurut. Dah jadi kebiasaan ketika bekerja, setiap apa yang Amar ucapkan, umpama satu arahan kepada aku dan aku perlu mematuhinya.

Keadaan sunyi seketika. Aku tak mengeluarkan suara. Begitu juga Amar. Kereta mewah itu dipandu laju menuju Taman Jaya yang terletak berhampiran dengan hospital tempat ku bekerja. Amar keluar dari kereta. Aku mengikutinya keluar dan menuruti langkahnya ke salah satu gazebo yang terdapat di taman itu.

” Awak dah ada boyfriend?” tanya Amar selamba. Aku terkesima mendengar pertanyaannya tiba-tiba. Apsal, nak jadi boyfriend aku ke. Namun,kata-kataku sekadar tersimpan dalam hati saja.

” Awak bawak saya ke sini semata-mata nak tanya tu je?” kataku pula.

” Awak tak jawab pertanyaan saya!” kata Amar dalam nada tegas.

” Takde! So, what?!” oh, dia nak tegas dengan aku, aku pun boleh lah.

” Bagus lah macam tu. Minggu depan saya akan hantar ibu ayah saya untuk merisik awak. Lepas tu kita bertunang dan berkahwin,” kata Amar penuh keyakinan.

” Merisik? Bertunang? Kawin?” kataku seakan tak percaya. Kenapa mesti tiba-tiba? Gila ke apa? Macam desperate sangat je nak beristeri.

” Habis tu, apa nak jadi dengan ‘girlfriend’ awak tu?” saja aku tekankan perkataan girlfriend agar dia ingat lagi peristiwa di kolej dulu.

” Hey, awak masih ingat ke kata-kata saya tu? Saya tipu je lah. Saya kan budak skema waktu tu. Saya memang nak fokus pada belajar. Sebab tu saya tak layan awak. Bagai saya, perempuan-perempuan yang kacau saya tu cuma nak mengorat saya je. Maklumlah, saya kan smart,” kata Amar penuh bangga. Mamat perasan!

“Termasuklah saya?” tanya ku cuba menduga Amar.

” Mula-mula saya ingat awak pun tergolong dalam budak perempuan macam tu, tapi sangkaan saya silap. Bila awak datang tolong saya melepaskan diri dari geng MARIO, baru saya sedar awak sebenarnya ikhlas nak berkawan dengan saya. Maafkan saya, okey?” terang Amar tentang keadaan yang sebenar.

” Saya maafkan. Awak bukan sengaja nak marahkan? Tapi, saya pelik, kenapa tiba-tiba awak nak merisik saya ni? Desperate sangat ke?” kata aku sambil tersengih. Inilah masa untuk aku kenakan dia . Amar tersenyum malu. Barangkali, masih ingat lagi dia melabelkan aku sebagai perempuan desperate.

” Desperate? Awak ejek saya pulak eh? Memang! Memang saya desperate nak berkahwin dengan awak. Sejak bertemu dengan awak semula, saya dah bertekad untuk memenangi hati awak. Dan, saya harap saya berjaya!” kata Amar pula. Aku tersenyum puas. Amar mengaku juga yang dia tu memang desperate nak kahwin!

Minggu seterusnya, Amar menunaikan janji untuk merisik aku. Ibuku terkejut gila. Apa taknya, setahu dia aku ni takde boyfriend, tiba-tiba ada orang datang nak meminang. Setelah aku tamat housemanship, aku dan Amar pun berkahwin. Alin dan Zamir orang paling gembira bila dapat tahu bahawa jodoh aku dengan Amar juga. Tapi, orang yang paling, paling, paling gembira sudah tentulah aku. Tak sia-sia aku tutup pintu hatiku untuk mana-mana lelaki, sehinggalah Amar ku yang skema melamar aku. Alahai, bahagianya hati!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: