Cerpen : Cinta Takkan Hilang

Nama Pena : Ishatasya

Perlahan-lahan aku mengusap perutku yang semakin membesar. Hampir 8 bulan kini aku bergelar seorang isteri. Mencintai dan dicintai. Menemui takdirku disaat hati ini pasrah untuk mengenali erti cinta. Cinta yang buat hatiku terluka.
Kenangan yang lalu membuatkan hatiku begitu terusik. Tapi kini segalanya berakhir setelah aku temui erti cinta yang sebenar. Sesungguhnya tiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Dan aku bahagia dengan kehidupanku sekarang.

*****************************************

6 tahun yang lalu…
“Hai, boleh berkenalan?” itulah detik pertama aku mengenali insan bergelar lelaki. Dimana ianya bakal merubah kehidupanku seterusnya.
Aku mengenalinya bukanlah sekadar memandang rupa parasnya semata tetapi kerana keikhlasan yang terpancar dimatanya untuk mengenaliku. Sejujurnya hati ini takut untuk menerima kehadirannya. Memandangkan dia adalah salah seorang pelajar lelaki yang digilai oleh pelajar perempuan dikolejku. Tetapi semua itu bukan halangan untuk aku menambah kenalan aku.
“Ahmad Danial”
Ya, nama itu semakin lama semakin sebati dengan jiwaku. Keprihatinan dan sikap terbuka Danial membuatkan aku mulai membuka pintu hatiku sedikit demi sedikit. Semakin lama hati ini semakin tidak keruan bila bersamanya. Inikah cinta? Adakah perasaan indah ini adalah cinta? Adakah aku mencintainya? Adakah dia mempunyai perasaan yang sama? Dan entah kenapa pelbagai soalan sentiasa bermain dibenak fikiranku. Tetapi yang pasti aku senang berkawan dengannya.

*************************************************************

Penghujung semester 2 bermulalah satu sejarah dalam hidupku.
“Myra, saya berharap hubungan kita lebih dari seorang kawan,” aku terkesima. Tidak ku sangka aku turut mendapat tempat dihatinya.
“Errr……..” aku kelu. Tetapi hakikatnya hatiku menjerit!!
“Takpe Myra. Saya tak paksa awak beri jawapan sekarang. Tapi saya tetap akan nantikan jawapan dari awak,”
“Danial, apa yang boleh saya katakan saat ini, sekiranya kita ada jodoh kita pasti bersama,” Tidak! Bukan ini yang ingin ku katakan. Ya! Yes!! Itulah yang ingin aku ucapkan kepadamu. Tapi….
Namun, senyuman yan terukir dibibir Danial cukup melegakan hatiku. Sekurang-kurangnya dia tidak berkecil hati dengan jawapanku. Aku nekad! Aku akan mencari masa yang sesuai untuk meluahkan perasaanku padanya. Semestinya hari itu adalah detik yang paling manis dalam hidupku.

**************************************************************

3 minggu lagi bakal menjelang hari yang amat bersejarah dalam hidupku. Ulang tahun Danial yang ke 22. Aku sedang merangka persiapan untuk meraikan majlis itu. Rahsia ini aku sembunyikan baik Danial mahupun teman-temanku yang lain. Kerana saat ini aku nekad untuk meluahkannya. Sudah lama aku biarkan ia menjadi tanda tanya.
“Myra, kau buat apa tu?” tegur Azlin teman sebilikku.
“Eh, tak buat apa-apa. Baru balik ke?”
“A’ah, baru je. Tadi aku tengok futsal. Siapa lagi kalau bukan pemain kesukaanku. Hensemnya Danial,” kata Azlin sambil merebahkan tubuhnya ke katil.
Aku tersenyum. Ya, Azlin. Memang aku tak nafikan katak-kata kau tu. Sudah acapkali aku mendengarkannya baik dari mulut kau ataupun buah bicara teman-teman yang lain. Cemburu juga hati ini bila orang sedang memperkatakan insan yang kita sayang. Aku cuma mampu mendiamkan diri memandangkan aku dan Danial tiada ikatan janji.
“Myra, kau rapat dengan dia kan? Rekemen la aku dekat dia. Aku selalu jeling-jeling dia tapi dia buat tak tahu jer,” aku hanya tersenyum.
Berat rasa hati ini untuk menceritakan keadaan sebenar kepada sahabatku. Walaupun hakikatnya aku sudah tidak mampu untuk berahsia lagi.

*****************************************************************

Dua tiga hari kebelakangan ini aku jarang berjumpa dan berbicara dengan Danial. Sms yang ku hantar juga tidak berjawab. Adakah dia sibuk? Atau sesuatu terjadi kepada dia? Selalunya Danial sentiasa akan menunggu di luar bilik kuliahku tetapi kebelakangan ini dia tidak lagi menungguku.
Perasaan ingin tahuku meluap-luap. Aku memberanikan diri ke bilik kuliah Danial yang terletak 2 blok dari blok bangunanku. Buat pertama kalinya aku menjejakkan diri di blok bangunan Danial. Debaran kian terasa.
“Awak, tumpang tanya. Bilik kuliah Ahmad Danial di mana?” tanyaku kepada seorang pelajar perempuan yang kebetulan lalu berhampiranku.
“Bilik yang paling hujung sekali,” katanya dan aku mengucapkan terima kasih.
Sebaik tiba di bilik tersebut, hanya kelihatan beberapa orang pelajar sahaja. Tiada seorang pun yang menyerupai susuk tubuh yang aku cari. Aku memandang di persekitaran bangunan tersebut dan pandanganku terhenti disepohon pokok ditepi padang. Sesusuk tubuh yang aku cari ternyata ada di sana. Dia tidak kelihatan sakit atau sedih. Keadaannya baik sahaja. Malah dia sedang bergelak ketawa bersama seseorang. Seseorang yang aku kenali. Azlin!!
Apa yang sebenarnya berlaku? Mereka kelihatan sungguh mesra. Apa yang mereka bualkan? Macamana Azlin begitu mudah rapat dengan Danial sedangkan sebelum ini Danial tidak mengenalinya. Satu perasaan yang aneh hadir dalam hatiku. Rasanya perit dan sakit. Inikah yang dinamakan nikmatnya cinta?
Aku bagaikan patung yang tak mampu bergerak ketika ini. Menyaksikan drama yang terbentang di hadapan mataku. Walaupun jaraknya lebih 10 meter tetapi ianya amat jelas dipandanganku. Dadaku merasa sesak. Nafasku bagai terhenti tatkala melihat Danial tanpa segan silu membelai rambut Azlin yang jatuh diwajahnya. Tidak tahan rasanya untuk melihat adegan seterusnya. Aku menguatkan diri melangkah pergi membawa kemelut di hati.
Aku merebahkan diri dikatil sebaik tiba dibilikku. Perasaan ingin tahu semakin meluap-luap. Apa yang mereka bualkan? Apa hubungan mereka berdua? Entah kenapa tangan ini mudah sahaja menghubungi Danial.
“Hello…” suaraku sedikit bergetar.
“Hai Myra,”
“Awak sedang buat apa?”
“Herm…saya sibuklah hari ni Myra. Ada discussion dengan group di perpustakaan dari pagi. Makan pun tak sempat lagi. Kenapa Myra? Awak rindu saya ke?” Bohong!! Jeritan pertama yang bergema di dalam diriku. Kenapa awak berbohong Danial. Kenapa? Sampai hati awak sembunyikan pada saya. Hatiku sebak.
“Eh, takdelah. Ingat nak ajak awak makan malam hari ni,” aku cuba menahan sebak di dada.
“Alamak Myra. Malam ni tak bolehlah. Saya ada hal,” tanpa sedar air mataku sudahpun mengalir.
“Oh ye ke? Takde rezeki. Maybe next time,” aku segera menamatkan perbualanku sebelum Danial menyedari keadaanku.
Mana perginya janji dia untuk menanti jawapan dariku? Mana perginya kasih dia untukku? Atau semua ini adalah janji palsu semata? Entah kenapa aku rasakan hubungan aku dan dia selama ini adalah satu pendustaan. Atau Danial berkawan rapat dengan Azlin kerana dia teman sebilikku? Aduh, makin berat rasanya kepala ini. Semakin banyak persoalan yang tiada jawapannya. Semakin keliru kehadirannya dia dalam hatiku.
Semburan minyak wangi milik Azlin memenuhi disegenap ruangan bilik kami. Wanginya… Aku memerhatikannya. Azlin sedang memperkemaskan dandanannya.
“Kau nak keluar ke? Dengan siapa?” aku sekadar berbasa-basi.
“Keluar dengan someone special,” katanya sambil tersenyum.
“Siapa?”
“Adalah… Nanti dah tiba masanya aku bagitau okay,” kata Azlin lalu beredar.
Aku tidak mampu untuk berfikir lagi. Kejadian siang tadi masih bermain-main difikiranku. Setelah Azlin keluar aku merapati meja belajar Azlin. Bukan niatku untuk mencerobi batasan atau mencuri. Tapi hatiku betul-betul ingin tahu keadaan sebenar. Puas aku mencari dan akhirnya di salah satu buku Azlin terselit sekeping kad. Kad Undangan Ulang Tahun Ahmad Danial.
Aku terduduk. Kenapa? Kenapa aku tidak dijemput? Atau ini kejutannya kepadaku? Yang pasti aku tidak tersalah pandang ketika Danial membelai rambut Azlin. Hatiku semakin kusut.

*****************************************************************

Hari yang dinanti semakin tiba. Tetapi aku masih tidak menerima sebarang undangan ke majlis Ahmad Danial. Aku masih menunggu dan terus menunggu. Rancanganku untuk membuat kejutan kepada Danial terkubur begitu sahaja. Danial pula semakin menjauhiku. SMS dan panggilan yang ku terima darinya sekadar bertanya khabar.
Adakah aku bertepuk sebelah tangan? Adakah Danial bukan seorang yang benar-benar mencintaiku? Adakah ini semua silapku? Azlin tidak lagi bercerita mengenai Danial. Tetapi dia banyak menghabiskan hari minggunya di luar dan bergayut sehingga lewat malam. Adakah dia punya rahsia yang tidak aku ketahui?

*****************************************************************

Kini detik yang dinanti telah tiba. Hatiku pilu kerana sehingga kini memang tiada satu panggilan dari Danial untuk mengundangku ke majlisnya. Kini aku pasti bahawa aku bukan siapa-siapa buat dirinya.
Kerana sifat ingin tahu, aku gagahkan diriku mengunjungi rumahnya. Setibanya aku di sana, aku terpaksa menyembunyikan diriku dicelah-celah tetamu yang lain. Lagaknya seperti sang pencuri. Aku tidak mahu Danial melihat kehadiranku yang tidak diundang.
“Bukk!!”
Kerana terlalu asyik berwaspada dari dilihat orang yang aku kenali, aku terlanggar seseorang. Baju putihku bertukar warna dan basah.
“Maafkan saya,” hanya itu yang mampu aku ucapkan tanpa memandang ke arah empunya diri.
“Tak apa. Awak okay? Baju awak basah ni.” Kata lelaki itu. Risau.
“It’s okay. Salah saya. Saya pun memang nak balik ni. Maaf ya,” kataku lalu berlalu. Malu rasanya dengan kejadian yang berlaku.
Tiba-tiba langkahku terhenti. Dihadapanku kelihatan Ahmad Danial dan Azlin. Mesra. Tangan Danial dengan mesra merangkul bahu Azlin. Manakala Azlin sedang menyuapkan kek ke mulut Danial.
Tetamu yang hadir bersorak gembira dan tepuk tangan. Semuanya gembira melainkan aku. Aku hanya mampu menitiskan air mata melihat semua yang berlaku. Dan kini aku pasti….. Aku bukan untuknya..

*****************************************************************

“Termenung apa tu sayang?” suara itu mengejutkan lamunanku.
“Eh, abang. Bila balik?”
“Dah lama. Termenung jauh sampai abang balik pun tak sedar. Termenung apa tadi?” aku memeluknya.
“Sayang teringatkan kisah lama. Masa kita mula berjumpa dulu,” kataku sambil tersenyum.
“Owh, kisah sayang terhendap-hendap tu ye. Orang datang majlis ketawa dia datang majlis menangis,” perli suamiku.
“Alah, abang. Kisah lama,”
“Ya, memang kisah lama. Tapi kalau bukan kerana kejadian tu, mesti abang tak kenal dengan sayang,” kata suamiku dan aku tersenyum.
Ya, memang betul tu. Kalau bukan aku terlanggar dia dahulu mungkin sehingga kini aku masih bersendiri. Ahmad Danish. Itu nama suamiku. Abang kepada Ahmad Danial. Ketika ini aku berterima kasih kepada Ahmad Danial kerana dia, aku dipertemukan dengan jodohnya. Kini aku bahagia dengan kehadiran Ahmad Danish disisiku.
“Tapi susah juga nak tackle sayang. 2 tahun abang mencuba. Kita berkawan berkongsi rasa suka dan duka dan akhirnya sayang terima abang. Terima kasih sayang,”
“Sayang yang patut berterima kasih dengan Danial. Kalau bukan kerana dia semua ni takkan berlalu dengan pantas,” Danish mengangguk dan kami sama-sama tersenyum.
Benarlah kata orang cinta yang hilang akan tetap diganti dengan cinta yang baru. Dan cinta yang hilang itu tidak semestinya indah seperti yang diharapkan. Cinta sentiasa ada untuk setiap insan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: