Cerpen : Hingga Akhir Hayat

Nama Pena : MADINATUL HURI

AKU menunggu kedatangan sahabat karibku Imran di tepi pantai dengan sabar. Janji lima minit, tapi sekarang sudah hampir dua puluh minit aku menunggu. Memang janji mamat ni tak boleh pakailah! Geram betul aku! Sehingga sekarang kelibat Imran masih lagi belum kelihatan. Rambutku menari-nari mengikut irama bayu yang menghembus lembut. Deruan ombak yang sangat mendamaikan dapat membuatkan aku leka seketika. Kelewatan Imran untuk menemuiku, segera dilupakan kerana fikiranku sekarang sedang hanyut dibuai perasaan yang sedang ayik menikmati suasana yang indah itu.

“Hoi!”

Terkejut badak aku dibuatnya! Aku menoleh ke belakang dan melihat Imran yang sedang tersengih memandangku.

“Kau ni dah tak reti nak bagi salam ke? Nasib baik tak gugur jantung aku ni. Kenapa kau lambat? Kau kena merangkak ke nak datang sini?”

“Alah…sorilah. Yang kau tu tak sedar aku datang. Bukan main lagi berangan sampai aku bersin macam harimau tadi pun kau tak dengar. Aku lambat sebab aku ingat nak naik motor tadi, tapi ayah aku nak guna motor pulak dah sebab nak pergi bandar jumpa kawan dia. Aku pun terpaksalah naik basikal buruk aku tu. Kau faham-fahamlah basikal tua aku tu, baru kayuh sikit, rantai dah tercabut. Kau tengok tangan aku ni, hitam!”

Aku menepis tangan Imran yang ditunjukkan pada muka aku. Aku mengeluh lantas mengeluarkan sapu tangan lalu kau berikan kepadanya. Dia mengambilnya lalu mengelap tangannya yang kotor itu. Aku memberikan ruang kepada Imran untuk duduk di sisiku.

“Basikal kau tu layak masuk muzium je. Belilah basikal baru.”

“Hish..mana boleh. Basikal tu aku guna duit aku sendiri tau nak beli waktu mula-mula dulu. Aku ingat lagi, setiap hari aku kena potong rumput rumah orang lain sebab nak dapatkan upah beli basikal. Sayang woo nak jual! Kau jangan lupa jasa basikal tu pada kau! Setiap hari aku boncengkan kau pergi sekolah dengan basikal tu tau! Setiap petang pun aku bawa kau jalan-jalan dengan basikal aku tu!”

Aku hanya tersenyum apabila mendengar Imran berkata sedemikian. Memang benar bahawa Imran bermatian-matian mengumpul duit untuk membeli basikal itu. Aku masih lagi ingat yang setiap hari aku akan bawa bekal lebih ke sekolah untuk berkongsi dengan Imran sebab Imran tidak mahu membelanjakan duitnya untuk membeli makanan. Ini semua gara-gara mahu membeli basikal barulah. Aku juga masih tidak lupa bagaimana setiap hari aku akan pergi ke sekolah bersama-sama dengan Imran dengan basikal itu. Tapi, hanya dari Darjah Enam hingga Tingkatan Satu sajalah. Dah besar-besar ni aku naik basikal sendirilah, tapi setiap pagi akan ditemani oleh Imran yang turut mengayuh basikalnya.

“Aku dah korek rahsia si Amar tu. Confirm! Dia tak ada makwe. Ada canlah kau nak masuk line!” kata Imran yang masih lagi sedang berusaha memebersihkan tangannya.

Aku menoleh kepadanya lantas tersenyum gembira. Tidak sabar aku mahu mendengar apakah berita yang bakal disampaikan oleh Imran kali ini tentang Amar. Ya, Amar. Amar adalah lelaki kegilaan ramai sewaktu di sekolah dulu. Dia baru berpindah ke sekolah aku dan Imran pada Tingkatan Empat. Dia bertukar sekolah kerana Amar terpaksa tinggal dengan datuk dan neneknya di kampung kerana ayah dan ibunya telah berpindah ke London atas urusan pekerjaan.

Amar tidak mahu mengikuti ibu bapanya ke London kerana dia lebih suka tinggal di Malaysia, negaranya yang tercinta. Cerita ini pun aku tahu daripada Imran! Selama ini Imran akan cuba berbaik-baik dengan Amar dan mengorek rahsianya dan rahsia itu akan disampaikan kepadaku. Aku menyukai Amar sejak dari pertama kali aku berjumpa dengannya. Bukan aku sahaja, malah hampir kesemua kawan perempuan aku di sekolah menggilai Amar.

Wajah Amar tidaklah setampan mana, tetapi mungkin disebabkan Amar ada daya tarikannya yang tersendiri. Tambahan pula, dia berasal dari bandar, jadi itu mungkin kelebihannya yang tidak dimiliki oleh lelaki-lelaki lain di kampung ni. Kiranya Amar ni ada style yang tidak dapat ditandingi oleh lelaki lain di kampung ini.

Kedatangan Amar sewaktu mula-mula dahulu di kampungku menjadi buah mulut bagi setiap gadis. Mereka semuanya berebut-rebut ingin berkenalan dengannya dan ada juga yang bertindak lebih berani dengan meluahkan perasaan cinta kepadanya. Tetapi semuanya ditolak dengan sopan oleh Amar. Aku juga berasa hairan mengapa Amar menolak semua cinta gadis-gadis itu kerana ada diantaranya merupakan pelajar yang tercantik di sekolah. Dan bermula dari situlah, aku telah menyuruh Imran supaya mengorek rahsia untukku. Amar menceritakan kepada Imran, lalu Imran menceritakan kepadaku mengapa Amar tidak suka bercinta ketika masih bersekolah. Sebabnya ialah kalau boleh biarlah dia selesai mengambil peperiksaan SPM, kemudian barulah dia akan memikirkan soal cinta. Dan oleh sebab itu jugalah aku menunggu selama dua tahun ini dengan sabar sebelum membuat pengakuan cintaku kepada Amar.

Segala kegemaran dan kebencian Amar sudah berada di dalam genggamanku. Penghargaan terima kasih diucapkan kepada Imran. Dia sebagai perisik rahsia aku telah menolong aku untuk lebih mengenali Amar dengan lebih dalam.

“Apa lagi yang kau tahu pasal Amar? Cepatlah bagitau aku!” gesaku kepada Imran.

” Ya Allah, budak ni. Kalau pasal Amar bukan main lagi seronok! Upah aku bagi dulu!”
Imran menghulurkan tangannya meminta upah seperti yang dijanjikan. Aku mencebik kepadanya lalu aku membuka sebuah bekal yang di dalamnya berisi popiah basah. Aku sendiri yang membuat popiah basah ini dan aku pelajarinya daripada ibu. Inilah punca rezeki keluargaku, selain daripada ayah yang bekerja sebagai kerani, ibu turut membantu mencari wang lebih dengan menjual popiah basah. Aku sebagai anak sulung selalu membantunya, dan Alhamdulillah, walaupun kepandaian aku tidaklah setanding ibu, tetapi kemahiranku semakin meningkat.

Tetapi aku pelik, ibuku membuat popiah basah lagi sedap daripadaku, tetapi Imran tetap berkeras mahu merasa popiah bassah yang aku sendiri buatkan. Setiap kali dia ingin memakan popiah basah, aku jugalah yang harus buatkan untuknya. Pelik betul aku! Imran ingin mencapai popiah basah itu, tetapi pantas aku menepis tangannya. Dia memandangku dengan hairan.

“Kenapa ni? Aku nak makanlah. Kang aku tak bagitau rahsia Amar nanti.” Imran mengugutku.

“Tangan kau kotorlah. Laplah bersih-bersih,”marahku pula.

“Aku dah lap betul-betullah ni. Tapi tak mau hilang jugak yang hitam-hitam ni. Kalau basuh dengan air laut pun tak mau hilang, kena basuh dengan sabun jugak,” jawabnya.

Aku mengeluh kecil. Lantas aku mengambil sebiji popiah basah itu lalu ku suakan kepada Imran. Imran memandangku.

“Kenapa ni?” Imran bertanya.

“Kenapa apanya? Makanlah cepat. Aku suapkan untuk kau.” Kataku selamba.

“Malulah…”

“Nak malu apanya? Ni aku jelah. Bukannya orang lain.” Kataku sambil tergelak kecil melihat kelakuan Imran tu. Macam tak biasa pulak dia!

Imran masih lagi teragak-agak. Lambat-lambat dia merapati popiah yang masih lagi kusuakan kepadanya. Oleh kerana aku geram, aku terus menyuapkan popiah itu ke dalam mulutnya. Terkejut Imran dibuatnya.

“Hhmmph..hmmph..hufff..” kata-kata Imran tidak dapatku dengar dengan jelas kerana dia bercakap sambil makan.

“Ya Allah, tak senonoh betullah kau ni. Habiskan dulu popiah dalam mulut tu. Lepas tu baru cakap. Aku tak paham sepatah haram pun apa yang kau membebel tadi.”

Imran mengunyah-mengunyah makanan di dalam mulutnya. Kemudian, barulah dia mengulangi apa yang dicakapkan kepada ku tadi, “Kau ni nak bagi aku mati ke? Tercekik aku kau tau tak?”

“Kalau tercekik apa susah? Kau telan je air laut kat depan ni. Siapa suruh kau lembab sangat nak makan tadi.”

“Aku malulah. Kau tak malu ke suap-suap aku?” tanya Imran kepadaku dengan nada suaranya yang tinggi sedikit.

Aku hairan melihat gelagat imran. Sejak akhir-akhir ini perubahan sikapnya kadangkala merunsingkan aku. Kalau dahulu kami bebas untuk melakukan apa sahaja bersama-sama. Tetapi kini, Imran seakan-akan meletakkan satu garisan kepadaku. Ada ketika garisan itu aku lepasi, cepat-cepat dia akan menegurku ataupun meninggikan suaranya kepadaku seperti tadi. Walhal, jikalau dulu tidak pernah ada garisan di antara kami. Sehingga sekarang aku masih lagi tertanya-tanya mengapa sikap Imran telah berubah?

“Nak malu apa pulak? Kita kan bestfriend. Memang biasalah tu. Lagipun sebelum ni bukannya aku tak pernah suapkan kau makan,” balasku pula.

“Sebelum ni kita kecik-kecik lagi, sekarang dah besar,” jawab Imran dengan nada suaranya masih lagi tinggi sedikit seperti tadi.

“Tak ada beza pun? Kita…” belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, Imran telah memotongnya.

“Ada bezalah! Kau ni tak faham-faham ke hah?”

Aku terkedu mendengar tengkingan Imran. Ini adalah kali kedua aku melihat dia dalam keadaan marah sebegini. Kali pertama adalah sewaktu dia memukul Sopi dan rakan-rakannya kerana cuba membuli aku. Teruk Sopi telah dikerjakan olehnya. Dan inilah kali kedua. Belum pernah Imran menengkingku. Sebelum ini, adalah beberapa kali nada suara suara di tinggikan kepadaku, tetapi aku tidak kisah. Mungkin Imran terlepas cakap jadi aku hanya biarkan ianya berlalu. Tetapi kali ini Imran sudah melebihi batasan. Puas aku bersabar dengan perubahan angin sikapnya. Apakah salah ku? Aku terlalu sedih kerana belum pernah Imran menengkingku lantas air mata ku gugur perlahan-lahan. Semakin lama semakin deras ia mengalir.

Dapatku lihat wajah Imran yang berubah serta-merta. Dirinya aku lihat dalam keadaan serba salah. Dia cuba memegang bahuku untuk memujuk, lantas aku menepis. Aku menangis teresak-esak di hadapannya.
“Kenapa kau marah aku? Apa salah aku?” soalku dalam tangisan.

“Sorry…aku tak sengaja. Aku betul-betul minta maaf. Aku terlepas cakap tadi. Maafkan aku ye? Kau ni dah besar-besar pun nak nangis. Buruk tau kalau kau menangis. Nenek aku lagi cun daripada kau kalau kau menangis.” pujuk Imran bersungguh-sungguh.

Aku masih lagi menundukkan kepalaku. Imran menarik nafas dalam-dalam sambil menghembusnya perlahan. Imran mengangkat mukaku untuk menghadapnya. Aku terpaku dengan kelakuan Imran. Entah mengapa perasaan aku berdebar-debar di saat itu. Imran mengesat air mataku dengan ibu jarinya sambil berkata, “Tolong jangan menangis. Hati aku pedih kalau aku tengok kau menangis. Setitis air mata kau boleh buat hati aku ni hancur. Maafkan aku. Aku janji tak buat lagi.”

Aku terpegun melihat kelakuan Imran. Imran yang berada di hadapanku ini aku rasakan seperti orang lain. Aku terpegun di hadapannya. Tanpaku sedari air mataku telah kering sendiri, sementara Imran masih lagi memegang daguku. Mataku bertentangan dengan Imran tanpa berkedip. Dapatku rasakan jantungku berdegup laju, entah mengapa aku tidak pasti. Apabila sekawan unggas berkicauan di udara, kami berdua lekas-lekas kembali ke realiti. Imran melepaskan tangannya sementara aku mengalihkan pandang daripadanya. Aku tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara dan Imran pula masih lagi diam membisu.

“Er..er… kau nak dengar tak pasal Amar?” soalan Imran telah memecahkan kesunyian di anatara aku dan dia.

“Nak!” jawabku ringkas tetapi masih lagi gugup.

“Petang esok lepas asar kau pergi tunggu di jeti, barulah kau tahu.” Arah Imran.

“Buat apa?” tanyaku hairan.

“Pergi ajelah. Nanti dah sampai sana baru kau tahu.” Imran bingkas bangun dan bersedia untuk pulang ke rumah. Aku memanggilnya sebelum dia sempat pergi. Aku menghulurkan bekal yang diisi popiah basah tadi. Masih ada tiga keping popiah basah lagi di dalamnnya.

“Nasib baik kau ingatkan aku. Ini kali terakhir aku makan popiah yang kau buat,” Imran mengambil huluran aku lalu pergi meninggalkan aku bersendirian. Aku ingin memnaggilnya semula kerana aku tidak faham maksud ayatnya yang terakhir tadi, namun mulutku terkunci. Kelibat Imran akhirnya hilang daripada pandanganku. Hatiku risau, jiwaku kacau…

AKU menghempaskan tubuhku ke atas katil. Sejak tiga minggu yang lalu, ini adalah kali yang ke berapa entah aku keluar bersama-sama dengan Amar. Sudah banyak kali aku keluar berdua dengannya. Pertemuan aku dengan Amar di jeti tempoh hari, telah melahirkan bibit cinta di antara kami. Amar meluahkan perasaan cintanya kepadaku. Katanya dia sudah lama memendam perasaan cinta kepadaku. Dia hanya menunggu masa yang sesuai untuk meluahkan kepada aku, jadi selesai sahaja keputusan peperiksaan SPM dikeluarkan, dia mengambil keputusan untuk berterus terang denganku. Dan Imran sudah lama mengetahui akan hal ini. Aku ingtakan Imran hanya bekerja untuk aku seorang, tetapi rupa-rupanya Amar juga turut memasang perisik iaitu Imran untuk mengetahui hal mengenai aku. Bertuah punya Imran! Ini semua rancangannya. Dialah yang telah merancang pertemuan kami berdua di jeti tempoh hari.

Sebut pasal Imran, aku sudah lama tidak berjumpa dengannya. Mana tidaknya, aku asyik berkepit dengan Amar sahaja sehingga ke hari ini. Tiba-tiba aku terus teringat perbualan terakhir aku dengan Imran, ‘Ini kali terakhir aku makan popiah yang kau buat’. Aku terus terduduk di atas katil. Tiba-tiba aku menjadi gelisah apabila memikirkan kembali kata-kata Imran. Peluh dingin mula membasahai tubuhku. Aku menjadi tidak senang duduk. Aku nekad untuk berjumpa dengan Imran pada saat ini juga. Baru sahaja aku menuruni tangga rumah yang terakhir, Hassan Posmen datang ke rumahku. Dia menghulurkan beberapa pucuk surat kepadaku lantas aku mengucapkan terima ksaih kepadanya. Dia tersenyum lalu pergi dari situ.

Aku membaca nama-nama yang tertera di atas setiap keping surat di tanganku lalu mataku tertancap pada sepucuk surat yang tertera namaku di atasnya. Aku membuka surat itu dengan gopoh sekali, hatiku berdebar-debar untuk mengetahui sama ada aku berjaya atau tidak untuk melanjutkan pelajaran ke UKM. Aku membaca dengan penuh terliti lantas aku menjerit kegirangan. Ibu yang berada di dapur segera berlari mendapatkan aku apabila aku menjerit kepadanya bahawa aku telah diterima masuk ke UKM. Ibu memeluk dan mengucup aku dengan sepuas-puasnya.

“Ibu, telefon pejabat ayah cakap orang dah dapat masuk UKM,” kataku sambil berlari ingin meninggalkan ibu.

“Along nak pergi mana tu?” jerit ibu kepadaku yang telah pun berada di luar pagar rumah.

“Along nak pergi bagitau Imran,” jeritku girang. Ibu masih lagi memanggil namaku, tetapi tidak ku endahkan. Aku tidak sabar untuk berkongsi berita gembira ini dengan Imran. Tetapi apa yang aku tidak tahu bahawa kesedihan dan kehibaan yang bakal menantiku di sana nanti.

Ibu Imran iaitu Mak Yah menjawab salamku. Dia membuka pintu rumahnya dan mempelawa aku masuk. Aku duduk di kerusi rotan yang berhampiran dengan tingkap. Mak Yah ingin membuatkan air untukku, tetapi aku melarang, lantas aku menyatakan tujuan aku ke situ.

“Mak Yah, Imran mana?” soalku setelah aku tidak melihat Imran di dalam rumah itu.

Mak Yah diam membisu. Aku perasaan air mukanya segera berubah apabila aku bertanyakan mengenai Imran. Aku sudah tidak senang duduk. Aku berdiri lalu menghampiri Mak Yah.

“Mak Yah, Hani tanya ni, Imran mana?” soalku lagi.

“Imm..Im..Imran tak ada di sini Hani,” jawab Mak Yah tersekat-sekat.

“Dia pergi mana? Ke kebun? Ke pantai? Cakaplah dia pergi mana. Hani boleh pergi cari dia.” Aku sudah tidak tentu arah. Diriku semakin cemas apabila Mak Yah masih lagi membisu.

“Hani, Imran tak ada di sini lagi. Dia telah pergi ke Kuala Lumpur untuk berlepas ke luar Negara. Imran dapat melanjutkan pelajaran ke luar Negara.”

Kata-kata Mak Yah bagaikan halilintar yang telah menyambarku. Aku menggeleng-gelengkan kepala seakan tidak percaya.

“Mak Yah jangan tipulah. Takkanlah Imran pergi tak bagitau Hani?” suaraku sudah bergetar. Riak ku sudah menunjukkan bahawa air mata bakal menitis sebentar lagi.

Mak Yah menarik tanganku dan membawaku ke sebuah bilik. Seingatku itu adalah bilik Imran. Ini adalah kali pertama kaki aku melangkah masuk ke dalam bilik Imran. Sejurus aku berada di dalamnya, mataku terpegun. Aku sungguh terkejut apabila melihat keadaan di dalam bilik itu. Setiap sudut di dalam bilik itu dipenuhi dengan lukisan wajahku. Ada ketikanya wajah aku sedang tersenyum, ada yang sedang ketawa, ada yang sedang termenung dan berbagai-bagai aksi lagi.

“Ini semua Imran yang lukiskan,” beritahu Mak Yah.

“Imran?” soalku hairan. Mengapa Imran melukis semua gambarku?

Mak Yah membuka salah sebuah laci meja dan mengeluarkan sepucuk surat lalu diberikannya kepadaku.

“Ambillah surat ni. Imran pesan pada Mak Yah supaya berikan surat ini pada Hani kalau Hani dah tahu yang Imran sudah tiada di sini lagi. Imran kata, dia telah terangkan semuanya dalam surat ni.”

Aku mengambilnya lalu Mak Yah meninggalkan aku seorang diri di dalam bilik itu. Aku duduk di atas katil milik Imran. Tanganku terketar-ketar membuka surat itu. Aku mengumpulkan sepenuh tenaga lantas aku tabahkan diriku untuk membacanya,

‘Di saat surat ini sudah berada di tangan kau, ini bermakna aku sudah tidak lagi berada di kampung. Aku berasa sedih kerana kita terpaksa berpisah dengan cara ini, tetapi aku juga berasa gembira kerana kau juga akhirnya telah mengingati aku setelah sepanjang masa kau dihabiskan dengan Amar. Maklumlah, sejak kau bercinta dengan Amar, asyik berkepit berdua saja sampai aku pun kau lupakan. Maafkan aku Hani kerana pergi tidak memberitahu kau terlebih dahulu.

Aku telah lama menerima tawaran untuk sambung belajar di luar Negara iaitu di United Kingdom ni. Aku tidak mahu memberitahu kau kerana kau sedang asyik mengejar cinta Amar. Ditambah pula sekarang ini kau sedang hangat bercinta dengannya, jadi, aku tak mahu mengganggu keasyikan kau.

Aku juga ingin minta maaf di atas perubahan sikap aku sejak kebelakangan ini. Aku tahu kau telah terasa hati. Tetapi kau masih lagi sabar dengan anginku yang sentiasa berubah. Maafkan aku….

Sejujurnya aku bukan sengaja untuk membuat kau begitu. Tetapi itu adalah salah satu cara aku untuk menghalang kau daripada terus rapat dengan diriku. Ini kerana aku menyintai kau Hani. Aku menyintai kau sejak dari dulu lagi. Sejak kita masih kecil lagi aku sudah pasang angan-angan untuk medirikan keluarga bersama-sama kau. Namun, impianku musnah di saat kau menyatakan perasaan cinta kau terhadap Amar. Terus, hatiku hancur! Apa yang lebih menyakitkan apabila kau sendiri menyuruhku menjadi orang tengah di antara kau dan Amar. Hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana aku menangis tiap kali aku terpaksa berpura-pura tersenyum dan bergembira di hadapan kau dan Amar. Lantas, peluang aku untuk melanjutkan pelaran di sini adalah merupakan salah satu cara untuk aku berjauhan daripada kau. Aku berharap dengan tiada kau di sisi, aku akan cepat-cepat melupakan kau walaupun aku tahu hasilnya adalah sia-sia. Aku terlalu menyintai dan menyayangi kau Hani. Hingga akhir hayatku.

Akhir kata dariku, semoga kau berbahagia di samping orang yang tercinta dan selamat melanjutkan pelajaran di university idaman kau iaitu di UKM. Aku yakin kau akan dterima masuk ke unversiti itu.
Salam persahabatan,

Imran Salihin Bin Abdul Mustafa.’

Air mataku mengalir deras tanpa henti. Aku mengambil bantal tidur Imran lalu aku memeluknya rapat ke dadaku. Aku menangis, menangis dan terus menangis tanpa henti…

AMAR menemuiku seperti yang di janjikan di pantai. Aku sudah membuat kata putus, dan hari ini akan ku berikan keputusannya.

“Maafakan saya,” kataku memulakan bicara.

Amar yang berdiri memeluk tubuh di hadapanku masih lagi berwajah tenang. Aku memandangnya lalu menyambung kata-kataku.

“Maafkan saya Amar. Saya sangka saya cintakan awak, tetapi itu sebenarnya adalah perasaan yang sama seperti wanita lain. Perasaan yang hanya terasa kagum apabila melihat awak kerana karisma dan keterampilan awak yang tidak sama seperti lelaki-lelaki di sini. Maklumlah, awak dari Bandar, ada sesuatu yang berbeza di anatar awak dengan lelaki di sini. Saya sedar bahawa saya hanya mengagumi gaya dan personaliti awak, namun tidak lebih dari itu. Maafkan saya,” ujarku kepadanya.

“Saya faham. Awak tak perlu minta maaf. Sebenarnya dari awal lagi saya sudah tahu bahawa saya bukanlah lelaki yang awak cintai tetapi Imran. Hanya awak saja yang belum sedar tentang perasaan awak tu.”

“Saya tak sedar? Apa maksud awak?”

“Setiap kali kita keluar bersama, hanya nama Imran yang awak sebutkan. Sepatutnya bila kita keluar berdua, ini adalah peluang untuk kita mengenali di antara satu sama lain, tetapi awak asyik menceritakan tentang awak dan Imran. Sehingga kadang-kadang saya pun rasa rimas bila mendengar nama Imran. Lagipun, waktu di sekolah dulu, biarpun awak menyatakan keakraban awak dan Imran hanyalah sebagai sahabat, tetapi saya sudah lama tahu bahawa hubungan awak dan Imran bukan setakat itu saja. Bukan saya sahaja, tapi semua orang di sekolah juga turut menyatakan perkara yang sama.”

“Kalau awak dah rasa macam tu, kenapa awak masih lagi mahu bercinta dengan saya?”

“Kerana saya fikir jikalau Imran masih tidak menyatakan perasaannya kepada awak, saya masih ada peluang. Tetapi nampaknya usaha saya hanyalah sia-sia,” suara Amar kedengaran sungguh kecewa di telinga ku.

“Maafkan saya,” hanya itu sahaja yang mampu aku ungkapkan di saat ini.

“Kita lupakan saja. Jadi, apa yang awak mahu buat sekarang?”

“Saya akan pergi ke UKM dan di samping itu saya akan terus menantikan kepulangan Imran. Saya akan menunggunya hingga ke saat akhir. Jikalau Imran sudah pulang ke sini semula tetapi dia sudah mempunyai pilihan hatinya selain saya, saya pasrah. Jika tidak, saya akan terus setia menanti Imran hingga akhir hayat saya. Itulah janji saya….”

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: