Novel : Rasa Cinta Prolog

Nama Pena : Hany Nafisya

Mei 2005

Alisa bergegas masuk ke bangunan tempat tinggal adik bongsunya. Berita yang diterimanya beberapa jam yang lalu benar-benar membuatkan dia terperanjat dan risau. Sebaik saja menerima berita tersebut, segera dia mengambil kapal terbang ke situ dari London. Ibu bapanya masih belum dihubungi atas permintaan adiknya sendiri. Dia tidak mahu ibu bapa mereka terbang ke Manchester semata-mata kerana perkara itu.
“Zalia, macam mana dengan Arisya?” soalnya sebaik saja dia tiba di hadapan pintu rumah adiknya. Zalia yang kebetulan baru saja hendak keluar, segera membatalkan niatnya.
“Dia okey. Tapi… asyik menangis sejak tadi. Bila ditanya, dia membisu,” jawab Zalia. Dia membawa Alisa masuk ke bilik Arisya.
Sebaik saja mereka melangkah masuk, Arisya segera berlari mendapatkan kakaknya. Dia memeluk erat gadis itu. Tangisan berlanjutan.
“Angah…” ujar Arisya bersama esakannya.
“Shhh… It\’s okay. Angah ada kat sini,” pujuk Alisa. Kasihan dia melihat keadaan adiknya yang tidak terurus. Dengan rambutnya yang kusut, leher yang dipenuhi dengan kesan-kesan merah hadiah daripada Syafiq dan mata yang sudah mula membengkak akibat menangis sepanjang malam.
“Kak Lisa, saya keluar sekejap. Ada hal sedikit. Nanti saya datang semula,” kata Zalia sebelum berlalu keluar. Alisa sekadar mengangguk.
“Risya, tak nak ceritakan pada Angah ke apa yang terjadi?” tanya Alisa lembut. Dia tidak mahu adiknya itu terus-terusan berasa tertekan.
Arisya masih membisu. Tidak nampak tanda-tanda yang gadis itu akan membuka mulutnya. Terpaksalah dia menunggu sehingga Zalia pulang untuk mengetahui kisah sebenarnya.
“Risya dah solat?” tanya Alisa lagi sambil matanya melilau mencari jam. Sudah Subuh rupanya. Arisya menggeleng.
“Jom, kita solat dulu. Mudah-mudahan hati Risya akan tenang, tutur Alisa sambil menarik tangan adiknya untuk turut bangun bersamanya. Mereka sama-sama melangkah ke bilik air untuk berwudhuk.
Seusai saja mereka berjemaah, Arisya kelihatan lebih tenang. Dia tidak lagi menangis. Dia juga sudah mahu bercakap. Tidak seperti tadi. Setiap soalan hanya dibiarkan sepi. Tidak berapa lama kemudian, Zalia kembali ke rumah Arisya bersama Marina dan Nur Hanis. Mereka berempat duduk mengelilingi Arisya. Menanti bicara gadis tersebut.
“Macam mana Syafiq boleh berada di dalam rumah kau?” tanya Marina apabila Arisya masih lagi tidak mahu membuka mulutnya tentang peristiwa itu.
Arisya memandang kakaknya. Alisa mengangguk. Turut menyuruh adiknya bercerita.
“Entahlah. Selepas Zalia balik, dia datang. Dia cakap ada hal yang nak dibincangkan. Mula-mula, aku malas juga nak jemput dia masuk. Tapi memandangkan jiran-jiran aku tak suka kalau orang berbuat bising di koridor, aku jemput juga Syafiq masuk.” Arisya berhenti di situ. Dia mengambil nafas sedalam-dalamnya untuk bercerita dengan lebih lanjut. Segala kejadian yang menimpa dirinya diceritakan satu persatu.

* * *
“Apa yang you nak cakapkan, Fiq?” tanya Arisya setelah mereka berdua duduk di atas hamparan depan TV.
“Risya, I love you. You sayangkan I tak?” soal Syafiq sambil menggoda Arisya. Sebelah tangannya memeluk pinggang Arisya, kejap. Arisya berasa rimas. Tiba-tiba sahaja perangai Syafiq berubah begitu. Selalunya dia tidak begitu. Syafiq tidak pernah mengambil kesempatan. Tetapi malam itu, dia tidak seperti Syafiq yang pernah dikenalinya sejak setahun yang lalu.
“I love you too. Tapi… itu aje ke yang you nak cakap?” tanya Arisya lagi. Dia cuba melonggarkan pelukan Syafiq.
“Ada lagi. Tapi… takpelah. Lain kali aje I cakap. Yang penting, I dapat apa yang I mahu malam neh,” balas Syafiq sambil tersengih. Dia merenung anak mata Arisya. Jelas pada riak wajah gadis itu, dia tidak senang dengan kehadirannya pada malam itu.
“Fiq, can you please move your hand, please?” Arisya cuba melepaskan diri dari pelukan Syafiq. Tangan kanan Syafiq sibuk membelai wajah Arisya. Tiba-tiba saja, Arisya berasa seram. Takut jika Syafiq melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya. Sudahlah malam itu hanya mereka berdua saja di situ. Zalia sudah lama pulang ke rumahnya.
“Kalau I tak nak, apa you nak buat?” Syafiq sudah tersenyum gembira. Malam ini, Arisya pasti akan menjadi miliknya. Dan segala masalahnya akan selesai pada malam itu juga. Selama ini, sudah lama dia bersabar dengan kerenah Arisya. Itu tidak boleh, ini tidak boleh. Apabila disentuh sedikit, sudah melenting. Tidak pernah dia berpeluang untuk bermanja-manja dengannya.
“Syafiq! You tau I tak suka, kan? Please, Fiq.” Arisya meronta-ronta minta dilepaskan. Syafiq menolak Arisya sehingga gadis itu terjatuh ke lantai. Syafiq menghempaskan dirinya ke atas Arisya agar gadis itu tidak boleh berbuat apa-apa. Sudah puas Arisya cuba menolak Syafiq, tetapi tenaganya tidak sekuat pemuda itu. Dia tidak mampu untuk melepaskan diri dari cengkaman lelaki itu. Pada saat itu, dia hanya mampu berdoa agar segala yang difikirkannya tidak akan terjadi.
Pegangan tangan Syafiq semakin kejap. Lelaki itu sudah menggila. Mulut Arisya sudah dicekupnya agar gadis itu tidak boleh menjerit. Segera dicapai alas meja yang digumpal dan disumbatkan ke dalam mulut gadis itu. Tangannya yang sebelah lagi cuba membuka butang baju Arisya. Mujurlah gadis itu memakai kemeja pada malam itu. Memudahkan kerjanya.
Arisya cuba menendang Syafiq tetapi tidak mengena sasaran. Hendak dijerit, dia tidak mampu. Apa lagi daya yang dia ada untuk melepaskan diri? Otaknya ligat berputar. Kemejanya sudah berjaya ditanggal oleh lelaki itu menampakkan tubuhnya yang putih gebu itu.
Syafiq sudah menggila. Dia mencium leher Arisya dengan rakus. Dalam keadaan Syafiq sudah hanyut dalam dunianya, pintu bilik itu diketuk kuat. Disebabkan tiada jawapan, Zalia cuba memulas tombol pintu itu. Tidak berkunci! Segera dia menolak pintu tersebut dan terkejut melihat apa yang sedang dilakukan oleh Syafiq terhadap Arisya. Dia beristighfar berkali-kali. Syafiq langsung tidak sedar akan kehadirannya.
Tiba-tiba saja kepala pemuda itu terasa pening dihempap oleh sesuatu. Rupa-rupanya Zalia yang memukulnya dengan beberapa buah buku berkulit tebal yang dibawa bersamanya tadi. Dia cuba untuk menyerang balas. Namun, dunianya terasa berputar. Akhirnya, sebelum sempat dia menghayunkan tumbukan, Zalia sudah menghadiahkan tendangan tepat mengenai kepalanya. Dia jatuh terjelepuk di situ.
Segera Zalia menarik Arisya jauh daripada Syafiq. Kemeja milik gadis itu diserahkan kembali. Arisya yang masih lagi terperanjat dengan kejadian itu membisu seribu bahasa. Seketika kemudian, Arisya menangis teresak-esak seolah-olah baru menyedari apa yang berlaku ke atasnya.
\”Kita telefon polis!\” usul Zalia sambil memeluk Arisya. Arisya menggeleng laju.
\”Kenapa?\” tanya Zalia kehairanan. Sudah jadi begitu pun masih mahu membela lelaki keparat itu?
“Please, Zalia. Just let him go. Aku malu. Aku tak nak orang lain tau. Please… Lagipun, dia belum sempat…” Arisya tidak jadi meneruskan ayatnya. Dia kembali menangis.
“Kenapa kau neh bodoh sangat? Kau nak biarkan dia macam tu aje? Nanti kalau dia buat lagi macam mana? Kau tak takut ke?” tanya Zalia bertalu-talu. Dia benar-benar tidak berpuas hati dengan cara pemikiran Arisya. Kalau diikutkan hatinya, memang sudah lama lelaki itu mati dibelasahnya. Tidak pernah dia menyangka Syafiq akan berbuat begitu pada teman karibnya. Selama ini, dia menyangka Syafiq begitu menyayangi Arisya. Lelaki! Di luar aje nampak baik, tapi di dalam… hanya Allah yang tau!
“Zalia… biarkan aje. Dia mesti tak berani kacau aku lagi. Lagipun… kau kan ada? Kau boleh lindungi aku, kan?” pujuk Arisya lagi. Tidak sanggup dia hendak berdepan dengan orang ramai jika berita itu tersebar.
“Risya! Kenapa kau neh baik sangat? Kau masih sayangkan dia setelah apa yang dia dah buat pada kau?” Zalia mengeluh. Tidak memahami sikap Arisya itu. Arisya menggelengkan kepala. Tak mungkin dia akan terus menyayangi lelaki yang cuba merosakkan masa depannya. Yang cuba mengambil kesempatan ke atas kebaikannya.
“Aku call Kak Lisa dan parents kau, okey?” tanya Zalia lagi.
“Please, don\’t tell my parents. Biar aku sendiri yang beritahu,” rayu Arisya. Air mata kembali mengalir laju di pipinya. Bagaimana harus dia menjelaskan perkara tersebut kepada ibu bapanya? Bolehkah mereka menerimanya?

* * *
Alisa kembali ke London dengan hati yang berat. Sebenarnya, dia memang tidak bersetuju dengan keputusan Arisya. Tetapi… dia sudah tidak tahu bagaimana hendak memujuk adiknya yang keras kepala itu. Akhirnya, dia terpaksa mengalah. Biarlah Arisya dengan keputusannya, asalkan Syafiq tidak mengganggu hidup adiknya lagi.
Setelah kejadian itu, Syafiq menghilangkan diri. Selama seminggu Alisa di situ, selama itu juga kelibat Syafiq tidak kelihatan di kampus. Mungkin dia takut untuk berhadapan dengan mereka. Atau mungkin dia bimbang sekiranya Arisya melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.
Arisya kembali ke kampus dengan semangat baru. Dia baru saja mendaftarkan namanya untuk menyertai sebuah kelab mempertahankan diri di kampus. Dia tidak mahu lagi lemah di hadapan lelaki. Dia juga mula menjarakkan diri daripada lelaki. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu mempunyai apa-apa hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki. Biarlah apa sekalipun tanggapan mereka terhadapnya, dia tidak peduli. Yang penting, dia bahagia begitu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: