Novel : Endless Love 1, 2

Nama Pena : Hana Kimi

DOKUMEN yang baru sahaja dibaca diletak kembali di atas meja. Sehelai kertas kosong dicapai, begitu juga dengan sebatang pen. Mata pen menari di atas kertas itu. Tiada apa-apa yang ditulis mahupun lukisan yang spesifik. Hanya sekadar contengan. Sedang dia asyik melayan perasaan, pintu diketuk dari luar. Tangannya berhenti bergerak. Statik.

” Masuk,” suaranya jelas memberi arahan.

Pintu dibuka. Seorang lelaki tua berpakaian kemas masuk ke dalam pejabat yang dihias indah itu. Sebelah tangannya memegang beberapa buah fail. Dia tunduk hormat sebelum mendekati majikannya.

” Dah dapat rumah kat sana?” tanya Ji Hoon terus-terang tanpa berdalih. Fail-fail yang diserahkan dibelek sekilas lalu sebelum perhatiannya kembali tertumpu kepada lelaki tua itu. Pak Cik Nam Gil segera mengangguk.

” Sudah. Bila tuan nak berangkat ke Pulau Jeju?”

Ji Hoon bangkit dari duduknya dan berjalan sekitar pejabatnya tanpa menjawab pertanyaan lelaki tua yang sudah lama berkhidmat dengan keluarganya itu. Dia menggaru kepalanya beberapa kali. Fikirannya sedang mencerna sesuatu.

” Saya nak selesaikan urusan syarikat dulu. Mungkin minggu depan. Mak saya tahu ke pasal rancangan ni?” tanya Ji Hoon.

Pak Cik Nam Gil hanya menggeleng. ” Saya laksanakan mengikut arahan tuan. Tiada siapa yang tahu pasal ni.”

Ji Hoon tersenyum. ” Terima kasih, pak cik.”

Setelah menunduk hormat, tanpa berlengah-lengah lagi lelaki tua itu keluar dari pejabat pewaris utama rangkaian Royal Imperial Hotel itu. Sudah lebih 40 tahun dia berkhidmat dengan keluarga Park. Sebelum Ji Hoon lahir dan semasa nenek dan datuk Ji Hoon masih hidup.

Park Ji Hoon. Satu-satunya anak lelaki Park Kim Chul dan Park Da Hae. Dia membesar dalam kemewahan sejak berusia satu hari lagi dan segala kehendaknya dapat dipenuhi tanpa halangan. Namun itu tidak bererti dia membesar sebagai seorang lelaki yang sentiasa bertindak liar. Dia sentiasa mendahulukan orang tuanya dalam segala hal. Tetapi tidak kali ini. Kali ini dia tidak dapat mengikut kehendak orang tuanya lagi.

Masih dia ingat kata-kata ibunya kali lepas. Ibunya meminta dia mengahwini Lee Chae Rin, anak Encik Lee. Encik Lee merupakan sahabat lama mendiang bapanya dan memiliki dua buah restoran Itali yang terkenal. Ji Hoon sudah lama mengenali Chae Rin. Mereka berdua pernah bergelar pasangan kekasih, tetapi semuanya musnah tidak lama dulu. Angkara Chae Rin.

Dia akan tinggal di Pulau Jeju buat sementara waktu ini. Menenangkan fikirannya, dan mungkin… mencari cinta di sana? Tiada siapa yang tahu. Jika jodohnya ada di sana, dia akan menerima. Dia tidak akan maafkan perbuatan Chae Rin. Sampai bila-bila. Dan Chae Rin bukanlah gadis yang akan dikahwininya. Tidak akan sekali-kali.

Ji Hoon percaya, ibunya tidak akan memaksa dia untuk berkahwin dengan perempuan yang pernah curang dengan dirinya. Tetapi, buat masa sekarang lebih baik dia menyepi diri dahulu buat seketika. Lebih-lebih lagi, perkahwinan itu bukannya atas permintaan Encik Lee sendiri. Ibunya yang terlebih dahulu merancang.

Dia melempar pandangan ke luar tingkap. Langit kelihatan sungguh tenang hari ini. Dia mengukir senyum. Masa untuk berangkat ke Pulau Jeju hampir tiba. Selamat tinggal, Seoul.

—————————

DIA melangkah masuk ke dalam banglo dua tingkat itu. Hanya warna putih yang melatari ruang luar banglo itu. Ji Hoon tersenyum puas hati. Pak Cik Nam Gil benar-benar faham akan cita rasanya. Konsep hitam putih yang menghiasi ruang dalam banglo itu pula benar-benar cantik. Lengkap dengan perabot.

Ji Hoon memusingkan badannya ke belakang. Menghadap lelaki tua itu.

” Terima kasih, pak cik. Rumah ni memang cantik,” katanya. Pak Cik Nam Gil mengangguk. Ji Hoon berjalan masuk ke dapur rumah itu. Terdapat kabinet dapur yang lengkap dengan peralatan dan satu set meja makan daripada kaca yang mempunyai empat kerusi. Peti sejuk dibuka. Di dalamnya hanya tersedia minuman dan makanan dalam tin sahaja. Nampaknya, dia perlu ke pasar raya untuk membeli makanan basah.

” Apa yang pak cik cakap pada mak saya sebelum kita ke sini?” tanyanya. Dua buah gelas dicapai. Karton jus oren itu dibuka, jusnya dituang ke dalam gelas sebelum dihidangkan di hadapan Pak Cik Nam Gil.

” Pak cik cakap, pak cik kena temani tuan ke luar bandar. Asalnya, Presiden Park curiga, tapi dia biarkan je,” kata Pak Cik Nam Gil. Jus oren itu diminum sedikit. Ji Hoon mendongak menengadah siling.

” Biarlah macam ni dulu. Sah mak marah kalau dia tahu. Saya nak relaks kat sini dulu, jalan-jalan tepi pantai. Pantai pun tak jauh dari sini. Boleh nampak dari beranda bilik saya. Agaknya, kalau jalan kaki je pun dah boleh sampai,” kata Ji Hoon lagi. Jus dalam gelas dihabiskan sebelum dibawa ke sinki.

Air mencurah keluar daripada paip sebaik sahaja dibuka. Gelas itu dibasuh. ” Saya tak nak kusutkan fikiran pasal Chae Rin. Biarlah dia dengan dunianya. Saya dah malas nak masuk campur.” Gelas itu ditiarap pada alas pinggan mangkuk. Ji Hoon berdiri bersandar pada sinki.

” Saya betul-betul berterima kasih dengan pak cik. Pak cik dah banyak tolong saya. Tolong carikan rumah, uruskan jual beli, sorokkan benda ni daripada mak saya. Saya rasa, kalau pak cik tak ada, mungkin waktu ni saya tengah uruskan soal perkahwinan saya dengan Chae Rin.” Pak Cik Nam Gil hanya tersenyum.

” Pak cik dah jaga tuan sejak tuan kecil lagi. Pak cik rasa bertanggungjawab dalam hal yang melibatkan tuan.”

Ji Hoon ketawa. ” Pak cik pulang ke Seoul lusa, kan? Bolehlah pak cik teman saya jalan-jalan dulu.”

” Huh? Kat mana?”

” Kita ke hospital dulu, okey tak?” tanya Ji Hoon.

” Hospital?”

EUH HEE memegang erat jambangan bunga mawar itu. Matanya melilau mencari sesuatu. Wad yang dicari masih belum ditemui. Mahu menanyakan perkara itu kepada orang lain, dia segan. Sudahnya, hampir setengah jam dia berjalan-jalan di dalam hospital itu.

Kakinya terus melangkah. Orang ramai yang turut berada di dalam hospital itu tidak dipedulikan. Tanpa disedari, dia terlanggar bahu seseorang. Dia segera menoleh. Lelaki itu turut berhenti daripada berjalan. Eun Hee berdiri berhadapan dengan lelaki itu.

” Cik tak apa-apa?” tanya lelaki itu lembut, tanpa perasaan marah. Wajah gadis berambut panjang melepasi pinggul itu ditenungnya tidak berkelip. Hanya anggukan Eun Hee sahaja yang diterima sebagai jawapannya.

” Cik tak apa-apa?” tanyanya lagi. Kali ini, Eun Hee tunduk berulang kali. Tanda memohon maaf. Lelaki itu menggaru kepalanya. Tidak tahu apa lagi yang patut dicakapnya. Masih tiada butir percakapan yang terluah daripada bibir mungil gadis itu.

” Tak apalah, cik. Saya…” Kata-katanya mati di situ. Eun Hee sudah berjalan pergi daripadanya. Gadis itu hilang dalam kelompok orang ramai. Dia mengeluh.

Lelaki itu kembali mengatur langkah. Tetapi, tiba-tiba sahaja dia berhenti. Kakinya terpijak sesuatu. Dia tunduk merenung lantai. Sebuah dompet berwarna putih. Tangannya lekas mencapai dompet itu. Dia tertanya-tanya dompet siapakah itu. Dompet itu dibuka. Ada sekeping kad nama berserta dengan kad pengenalan diri. Kad nama itu dikeluarkan.

Paradise Florist

Song Eun Hee

Kad nama itu kembali disimpan. Mungkin milik gadis tu. Terjatuh masa aku terlanggar dia agaknya, hatinya terdetik. Tanpa berlengah, kad nama itu kembali dicapai. Alamat yang tertera padanya dibaca berulang kali.

” Tuan?”

Lelaki muda itu berpaling ke arah suara itu.

” Urusan pendermaan dah selesai, ada apa-apa lagi yang boleh dibantu?”

Lelaki itu diam sejenak. Kad nama itu kembali dibaca. Song Eun Hee.

” Tolong bawa saya ke satu tempat. Penting.”

” Baiklah.”

PARADISE FLORIST.

Papan tanda nama kedai itu dibaca berulang kali. Pak Cik Nam Gil yang berada di sisinya langsung tidak dihiraukan. Dompet putih itu kembali dikeluarkan. Kad nama dibaca kembali. Ji Hoon langsung tidak bersuara.

” Kenapa tuan nak ke sini?” tanya lelaki tua itu.

Semasa mereka berada di rumah Ji Hoon tadi, dia sudah hairan kenapa Ji Hoon mahu ke hospital. Kehairanannya terjawab selepas tahu bahawa Ji Hoon mahu menderma wang kepada tabung hospital itu. Kini, mereka berada di hadapan sebuah kedai bunga. Apa lagi yang lelaki muda ini mahukan?

” Ada barang yang perlu dipulangkan kembali,” kata Ji Hoon sambil tersengih. Wajah gadis itu kembali bermain dalam mindanya. Dia berjalan memasuki kedai bunga itu. Semerbak haruman bunga segar menusuk hidungnya. Dia memerhati sekeliling.

Bunga-bunga disusun rapi pada tempatnya. Patung-patung beruang daripada pelbagai saiz pula berderet disusun di atas para. Ji Hoon berjalan menuju ke kaunter. Tiada orang yang menunggu di kaunter itu. Ji Hoon mengeluh.

” Selamat datang,” sapa seseorang dari belakang. Ji Hoon tersentak. Dia segera menoleh.

Seorang kanak-kanak perempuan berdiri di belakangnya. Kanak-kanak itu erat memeluk sebuah patung beruang. Kelihatan comel dengan rambut ditocang dua.

” Abang perlukan apa-apa tak?” petah si kecil itu bertanya. Ji Hoon mencangkung sambil merenung wajah si kecil itu. Dia ketawa kecil.

” Abang nak beli bunga. Ada bunga apa?” tanya Ji Hoon. Kanak-kanak perempuan itu ketawa.

” Ada banyak bunga kat sini. Marilah tengok,” kata kanak-kanak itu lagi. Ji Hoon mengangguk. Kanak-kanak itu menarik dia ke sudut yang menempatkan bunga mawar.

” Bunga ni cantik. Abang suka tak?” tanya kanak-kanak itu. Wajah Ji Hoon dipandang. Ji Hoon hanya tersenyum.

” Okey. Abang nak… “, Ji Hoon memerhati bunga-bunga yang tersusun rapi itu. Cantik! Gubahan bunga yang telah diletakkan juga cantik. Tentu gadis itu seorang yang kreatif, fikirnya. Lama dia memilih bunga-bunga itu sebelum dia membuat keputusan, “…bunga kat dalam bakul ni. Boleh?” tanya Ji Hoon. Kanak-kanak itu ketawa. Gembira dia apabila melihat wajah polos kanak-kanak itu.

” Okey!” Kanak-kanak itu ketawa gembira. Bakul yang dihias dengan mawar putih dan merah itu dibawa ke kaunter. Ji Hoon hanya menurut langkah kanak-kanak itu. Matanya melilau ke sekitar kedai bunga itu. Gadis itu tiada di sini. Sedangkan dia mahu bertemu dengan gadis itu.

” Adik?” panggilnya. Wang diletakkan di atas kaunter.

” Ya?”

” Adik kenal tak Song Eun Hee? Abang nak pulangkan barang dia,” tanya Ji Hoon. Dompet itu dikeluarkan dan ditunjukk pada kanak-kanak itu.

” Kenal. Dia pemilik kedai ni. Kakak sepupu saya. Dia tak ada sekarang ni. Dia ke…”

Kedengaran pintu dibuka. Kanak-kanak itu menjerit gembira secara tiba-tiba. Dia meninggalkan kaunter dan berlari menuju ke pintu. Ji Hoon menoleh. Gadis yang ditemuinya tadi baru sahaja masuk ke dalam kedai itu. Tanpa berlengah lagi, dia segera mendekati gadis itu.

” Awak tercicir dompet awak masa di hospital tadi.” Dompet itu disuakan. Ji Hoon merenung wajah gadis itu. Gadis itu hanya tersenyum sambil mengambil dompet itu. Dia mengangguk perlahan.

” Abang?” Kanak-kanak itu mencelah. Ji Hoon mengalih pandang pada kanak-kanak itu.

” Ada apa?”

” Bunga tu,” bibirnya menjuih pada kaunter. ” Abang nak beli lagi ke?” tanyanya.

Ji Hoon ketawa. ” Ha’ah. Abang masih nak beli.”

Kanak-kanak itu segera berlalu ke kaunter. Lelaki muda itu masih berdiri di hadapan Eun Hee. Eun Hee hanya menguntum senyum. Dia teragak-agak. Sama ada mahu meninggalkan pelaggannya itu dilayan oleh adik sepupunya atau tunggu sahaja di sini sampai lelaki itu pergi?

Ji Hoon menghadiahkan senyuman pada gadis itu. Sejak di hospital lagi, dia sudah tergamam apabila melihat gadis itu. Seolah-olah dia dipanah sesuatu. Tapi, bagi Ji Hoon… dia sudah terkena panah cinta. Dirinya khayal seketika. Khayalannya lekas ditolak jauh. Wajah Eun Hee ditenung lama,

Senyap je. Gadis ni tak boleh bercakap ke? Takkanlah…

” Maaf, boleh tak kalau saya nak tanya?” Ji Hoon mula bersuara.

Eun Hee masih tidak berkata apa-apa. Hulung bajunya dipintal. Dia teragak-agak. Akhirnya, dia tunduk hormat sebelum pergi ke bilik belakang yang terletak dalam kedai bunga itu. Ji Hoon terkedu.

” Maaf. Kak Eun Hee mungkin tak sihat sikit hari ni,” kata kanak-kanak itu. Bakul itu dihulur pada Ji Hoon. Ji Hoon hanya mengangguk perlahan.

” Nama saya Ryu Min. Abang?” tanya kanak-kanak itu lagi. Masih kelihatan gembira.

” Panggil je Abang Ji Hoon, abang pulang dulu ye?” Matanya fokus pada bilik kecil itu sebelum melangkah keluar dari kedai itu.

” Selamat tinggal, Abang Ji Hoon.” Ryu Min melambai dari dalam kedai. Ji Hoon membalas lambaian kanak-kanak kecil itu sambil tersenyum sebelum mendekati keretanya yang diparkir tidak jauh dari kedai itu.

Pintu kereta dibuka. Pak Cik Nam Gil segera menyoal sebaik sahaja ternampak bakul berisi bunga mawar itu di tangan Ji Hoon. ” Tuan nak buat apa dengan bunga tu?”

Ji Hoon tersengih. Enjin kereta dihidupkan. ” Pak cik bawa balik untuk Mak Cik Yu Soo, ye?” Bakul itu dihala pada Pak Cik Nam Gil. Pak Cik Nam Gil kehairanan.

” Tuan tak apa-apa ke ni?” tanyanya risau. Tiba-tiba sahaja Ji Hoon berubah sikap. Riang gembira je hari ni. Risau juga dia dengan perubahan sikap pemuda itu.

” Pak cik percaya tak kalau saya kata saya dah jumpa cinta saya kat pulau ni dalam masa sehari je?” katanya sambil tersenyum penuh makna. Hatinya riang. Wajah Eun Hee kembali menjengah minda. Ji Hoon ketawa gembira.

Pak Cik Nam Gil tersenyum. ” Patutlah gembira betul tuan hari ni. Maksudnya, cinta pada pandangan pertamalah ni?”

Pertanyaan Pak Cik Nam Gil tidak dijawab. Ji Hoon masih tersenyum gembira. Hatinya berbunga riang. Hampir sahaja tidak percaya, dia boleh jatuh cinta dalam masa satu hari sahaja! Mustahil. Tapi itulah apa yang dirasakan oleh dia sekarang. Perasaan dilamun cinta. Malah, lebih kuat berbanding ketika bersama Chae Rin dahulu. Ji Hoon ketawa kecil.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: