Novel : Ku Relakan Segalanya 2

Nama Pena : Puteri Selendang Biru

BAB 4

Zila memandang jam yang tergantung di dinding ruang tamu kemudian beralih memandang jam di tangannya. Sudah hampir satu jam setengah dia menunggu Maya di situ. Rasa malu dan segan mula menguasai diri. Mujurlah Puan Suria ramah orangnya.
Sedari tadi juga dia cuba menghubungi Maya namun gadis itu tidak menjawab panggilannya..
“Kenapa? Risau je nampaknya,” tegur Puan Suria.
“Eh, tak delah mak cik. Cuma…….dah lama saya kat sini. Maya pun tak balik-balik.” Zila memaksa dirinya mengukirkan senyuman. “Saya rasa saya nak minta diri dulu.”
“Assalamualaikum….” Terdengar suatu suara dari luar.
“Waalaikumsalam.” Mereka berdua menjawab serentak.
“Zila tunggu dulu. Mak cik pergi tengok. Rasanya Maya tu……” Puan Suria melangkah bangun. Jangkaannya tepat. Kelihatan Maya berada di muka pintu sedang membuka kasut. Di tanggannya menggenggam beberapa beg plastik.
“Pergi mana tadi?” Maya berpaling mendengar suara di belakangnya.
“Ah, mak,” dia tersenyum. “Pergi kubur…….lepas tu singgah kedai buku,” ujarnya sambil menunjuk buku-buku yang dibelinya. Puan Suria menggelengkan kepalanya. Memang dari dulu anak gadisnya minat membaca.
“Engkau ni. Baru sampai tu, bawak-bawaklah berehat dulu. Ini tidak.” Puan suria menggelengkan kepalanya. “Baru lima hari kau sampai, pagi tadi dah hilang.”
“Alah mak ni. Maya tak ke mana-mana mak. Lepas melawat kubur arwah Mak Cik Salmah, Maya singgah kedai buku je. Kan Maya dah minta izin semalam.”
“Zila ada di dalam. Dah lama dia tunggu kau.”
“Zila?” keningnya berkerut. Maya bangun mengangkat punggung lalu beredar ke ruang tamu. Puan Suria membontotinya di belakang.
“Zie!” panggil Maya. “Kenapa kau tak call aku dulu? Kalau tak aku dah balik awal.”
“Apasal pulak aku tak call? Engkau yang tak jawab fon!” beritahu Zila. Maya segera mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg galas.
“Empat belas missed call!!” Maya tercengang. “Sorry…aku on silentlah.” Maya memohon maaf setelah menyedari kesilapannya.
Puan suria berlalu meninggalkan mereka berdua. Maya menghampiri Zila dan duduk berhampirannya.
“Ada apa kau datang cari aku ni?”
“Tak de apa yang penting. Cuma……Adam,” ayat Zila mati di situ. Wajah Maya mula kelihatan garis-garis kekeliruan.
“Apa sebenarnya ni?”
“Tadi, aku pergi shopping di Gama. Aku singgah Prangine Mall. Aku nampak Adam.” Kali ni, Maya memang benar-benar terkejut. Mulutnya ternganga sedikit.
“Kau nampak Adam di Prangine Mall?!” Dia terdiam seketika. Bibirnya ditarik cekang. “Aku ingatkan dia takkan datang ke sini lagi,” ujarnya perlahan namun masih boleh didengar.
“Aku pasti, lelaki yang aku nampak di sana tadi adalah Adam,” tegas Zila. “Dia masih macam dulu. Tak berubah.” Maya hanya terdiam tidak membalas kata-kata Zila. “Sebab tu aku datang sini. Nak beritahu kau.”
“Kau jumpa dengan dia?” tanya Maya. Zila menggelengkan kepala.
“Hanya dari jauh.” Zila memandang wajah sahabatnya yang mula kelihatan murung. “Maaf, aku bukan sengaja nak tambahkan penderitaan kau. Cuma, aku rasa kau perlu tahu. Aku nak kau bersedia.”
“Tak pe, Zie. Kau tak perlu nak minta maaf. Cuma, kalau boleh aku nak jauhkan Adam dari minda aku.” Maya memandang wajah Zila.
Zila menghembuskan nafasnya. Bolehkah Maya buang Adam dalam ingatannya. Sedangkan lima tahun dia membawa diri ke negeri orang pun, Adam masih belum hilang dari kenangannya.
“Ah…..sebenarnya kau ke mana tadi Maya?” tanya Zila mengubah tajuk perbincangan apabila melihat Maya kelihatan sedikit runsing.
“Aku ke kedai buku Popular. Saja beli buku sikit,” jelasnya.
“Kat mana?” tanya Zila lagi.
“Prangine Mall,” jawab Maya ringkas.
“Kau tak terserempak dengan Adam?” tanya Zila pantas. Maya menggeleng. Mujur dia tak terserempak dengan Adam di sana. Dia belum bersedia menghadapi kenangan silamnya sekali lagi.
“Zie!” Maya menarik nafasnya. “Aku dah tak nak ingat pasal Adam. Kerana dia aku jauh dari keluarga aku!” Maya bersuara sedih. “Aku menyesal sebab terlalu ikutkan perasaan.” Zila mula rasa bersalah melihat keadaan Maya.
Kalaulah dari dulu Maya bertegas untuk melupakan Adam, sudah tentu perkara sebegini takkan berlaku.
“Maafkan aku Maya.” Dia menyentuh tangan Maya. Cuba untuk menenangkan sahabatnya itu. “Aku sentiasa menyokong kau dan keputusan kau untuk melupakan Adam memang tepat! Tak guna kau masih ingatkan Adam. Nanti kau juga yang merana.”
“Aku benar-benar menyesal. Mujurlah keluarga aku masih terima aku walaupun aku dah banyak lukakan perasaan mereka.”
“Baiklah Maya. Aku janji. Aku takkan sebut apa-apa tentang Adam.” Maya mengukirkan senyuman padanya. “Okeylah. Aku balik dulu. Kalau ada apa-apa, call aku.” Maya mengangguk.
Setelah menghantar Zila hingga ke muka pintu, lantas Maya berlalu ke kamar tidurnya di tingkat atas. Dia menutup pintu dengan rapat lalu merapati tilam empuknya dan berbaring. Setiap butir kata-kata oleh Zila satu persatu terngiang-ngiang di telinganya.
‘Kenapa Adam perlu kembali lagi?’ Dia melepaskan keluhan. Sekilas dia teringat kembali pertemuannya dengan Kak Laila sebentar tadi sewaktu di kedai buku. Laila adalah kakak angkat dan juga teman rapatnya sewaktu dia berkerja separuh masa di sebuah pasar mini yang terletak di Bandar Bayan Baru.
Sedang dia membelek buku-buku yang terdapat di kedai tersebut, dia ditegur oleh seseorang.
“Eh, Kak Laila!” ujar Maya separuh menjerit. Terpancar cahaya kegembiraan diwajahnya. Sudah lama dia tidak bertemu dengan Laila.
“Akak ingat kau dah lupakan akak.”
“Mana boleh saya lupakan akak,” balas Maya. Setelah penat berpusing-pusing sambil bergelak ketawa di sekitar pameran, mereka berhenti rehat di sebuah gerai berhampiran.
“Kau hilang macam tu je. Kau balik pun tak beritahu. Sampai kenduri akak pun akak tak tahu macam mana nak jemput kau,” ujar Laila. “Akak ke rumah kau, tanya dengan mak kau. Katanya, kau dah lama tak balik Penang.”
“Saya bukan tak nak balik kak. Tapi saya sibuk.” Maya memberi alasan.
“Sibuk sampai langsung tak de masa nak balik?! Banyak sangat ke kertas kerja yang kau kena buat?” Laila menggelengkan kepalanya. Maya hanya mendiamkan diri. Mungkin ini adalah balasan padanya yang menghilangkan diri selama lima tahun. Ke mana-mana saja dia pergi, pasti orang yang mengenalinya akan mengutarakan pelbagai persoalan. “Atau…..kau masih ingat peristiwa lama?” Laila cuba menjerat Maya.
“Perkara tu dah lama berlaku, kak. Saya dah tak ingat lagi tentang semua tu.”
“Betul ke?” Laila cuba merenung mata Maya. Maya memandang ke arah lain. “Tapi…….Maya yang ada di depan akak sekarang adalah Maya yang akak jumpa lima tahun dulu. Sikit pun tak berubah.” Maya membatu. “Akak tahu apa yang ada dalam hati kau, Maya.”
“Kak,” Maya mengetap bibir menahan perasaan. “Saya tak nak ungkit kisah silam. Semuanya dah berakhir. Antara saya dan Adam tak mungkin lagi. Saya pasrah,” ujarnya. “Biarlah yang lepas tu lepas.”
Laila memerhatikan Maya yang sedang merenung ke tempat lain. Dia tahu dan dia yakin dengan gerak hatinya bahawa gadis itu masih kecewa dengan kisah lalu.
“Apa rancangan Maya?” Laila menukar topik perbualan.
“Buat masa ni, saya nak rehat dulu. Lepas tu baru saya nak atur perjalanan hidup saya,” balasnya.
Maya meletakkan tangannya di atas kepala. Otaknya masih ligat memikirkan tentang Adam. Dia tahu, dia tak berhak lagi untuk berfikir tentang lelaki itu. Namun, fikirannya masih diganggu dengan percintaan mereka.
Dia menghembuskan nafas sebentar. Dia memandang sekitar bilik tidurnya. Tiada satu pun peninggalan Adam yang masih tersimpan. Semuanya telah dibuang sebelum dia berangkat ke Johor Bahru. Tapi kenangan bersama Adam masih tersimpan kemas dilubuk hatinya.
Dia beristighfar sebentar.
‘Maya! Kau harus bakar semua kenangan kau dengan Adam! Mesti! Mesti! Mesti!’ Hati kecilnya memberi semangat.

BAB 5

Wes memandu perlahan. Seawal jam tujuh pagi begini, jalan raya masih lengang. Mudah baginya memandu dalam keadaan begitu. Sesekali matanya melirik, memandang matahari yang mula kelihatan di balik bukit. Dia tersenyum. Wajah Farahymma bermain di ruang mata. Dia bukanlah seorang pecinta alam sebenarnya. Namun, Farahymma yang membuka matanya untuk melihat jauh keindahan alam ciptaan Illahi.
Farahymma memang gemar bercerita tentang keindahan bulan dan bintang. Dia juga gemar melihat matahari terbit dan terbenam. Secara tidak langsung hatinya juga tertarik pada unsur alam.
Wes memerhati keadaan sekeliling. Sebaik saja sampai di simpang Jalan Sultan Azlan Shah, Wes membelok ke selekoh kiri menuju ke arah yang ingin ditujunya. Setelah sampai dia mematikan enjin.
“Assalamualaikum…….” Dia memberi salam sambil terjengok-jengok ke dalam untuk memastikan rumah itu ada penghuninya.
Laila yang kebetulan sedang menyiapkan anaknya ke sekolah, bangun lalu membuka pintu.
“Waalaikumsalam………Wes!!” jerit Laila. Sebentar kemudian Danial, anak Laila yang berusia tujuh tahun datang dan mencium tangan ibunya. Kemudian dia berlalu memasuki perut bas sekolah yang berhenti di hadapan rumahnya.
Laila melambai-lambai kepada anaknya sehingga bas sekolah itu hilang dari pandangannya. Kemudian dia beralih kepada Wes.
“Masuklah Wes,” jemputnya. “Tapi kita duduk di luar saja yek. Suami aku tak de kat rumah.”
“Tak pe. Kat sini pun dah cukup,” ujar Wes sambil melabuhkan punggungnya di kerusi halaman. Setelah itu, Laila masuk ke dalam dan kembali dengan secawan kopi di tangannya. Wes mengucapkan terima kasih.
“Bila kau pulang dari Sabah?” tanya Laila.
“Baru seminggu. Maaflah, tak sempat nak beritahu. Busy!” Laila menganggukkan kepalanya.
“So, macam mana dengan kau?”
“Macam yang kau lihat sekarang.” balas Wes. Laila memerhatikan Wes dari atas ke bawah. Lelaki ini sudah jauh berubah. Semakin kurus dan tak terurus. Jika dulu, misai dan janggutnya sentiasa dicukur bersih, tapi kini dibiarkan begitu sahaja.
“Kenapa kau sebenarnya? Kau dah tak macam dulu.”
“Kau tanya pada aku soalan yang sememangnya kau dah tahu.” Wes tersenyum sinis.
“Setelah lima tahun kau masih tak boleh terima pilihan keluarga kau dan tak dapat lupakan Emma?” soal Laila sambil merenung tajam lelaki di hadapannya.
“Aku dah cuba Laila. Tapi aku tak mampu nak tukar kasih sayang Emma dengan wanita lain. Aku masih sayangkan dia. Aku cintakan dia Laila!” Dia memandang Laila sayu. “Melakukan sesuatu tanpa ada kerelaan, takkan ada kebahagiaan menanti di hadapan.” Wes menarik nafas sebentar. “Aku dah cuba untuk rela.”
Laila memandang jauh ke dalam anak mata Wes. Ada garis-garis kelukaan. Ada sinar keredupan yang terselindung dibalik wajah yang bersahaja.
Wajah kemurungan dan kekecewaan yang sama dilihat dalam diri Maya sewaktu mereka terserempak di kedai buku.
“Aku kembali ke sini pun untuk cari dia Laila. Tapi, dia dah pindah. Aku tak tahu kat mana lagi nak cari dia.” Wes bersuara kesal.
Dua hari lepas dia ke Taman Metropolitan untuk mencari Farahymma. Tapi malangnya penduduk di situ memberitahu Farahymma telah lama berpindah ke tempat lain.
“Minggu lepas aku jumpa dengan Emma.” Pantas sahaja Wes memandang wajah Laila sebaik sahaja dia berkata begitu. Laila memandang wajah Wes yang penuh dengan harapan.
“Kat mana dia sekarang?”
“Aku tak tahu. Aku ingatkan dia masih tinggal di Taman Metropolitan. Aku tak tahu yang dia dah berpindah. Dia pun tak cakap apa-apa dengan aku. Nombor telefon pun dia tak beri pada aku.”
“Kenapa?” tanya Wes.
“Entahlah. Mungkin juga dia tak mahu diganggu.” balas Laila. “Tapi, untuk apa kau nak cari dia lagi. Sedangkan kau sendiri tak mampu menolak pilihan orang tua kau.”
“Aku bukan macam dulu. Aku akan berjuang demi cinta aku. Aku perlu jumpa dengan Emma.” Kenyataan Wes membuat Laila sedikit keliru.
“Kau dah berkahwin, kan?” soal Laila.
“Tak. Aku masih belum berkahwin.” Laila kelihatan terkejut dengan kenyataan Wes. Dia menyangka Wes sudah pun mendirikan rumahtangga. Malah, semua orang menganggap begitu termasuk Farahymma.
“Kau masih belum berkahwin?!” Laila menghembuskan nafas yang panjang. “Kalau aku tahu lebih awal, pasti aku beritahu Emma.” Mereka diam sebentar.
“Kau tak ubah macam adik angkat aku.” Wes mengerling Laila.
“Ya, dia pun macam kau juga. Pecinta setia yang kecewa. Kebetulan dia baru balik dari Johor, aku terserempak dengan dia. Masih setia dengan cinta lama. Kalau kau tak dapat Emma, kau kahwin saja dengan dia.” seloroh Laila.
“Boleh juga. Tapi dia nak ke kahwin dengan aku?” Laila ketawa kecil mendengar seloroh Wes.
“Kau dengan dia kena register dalam persatuan orang-orang yang kecewa bercinta.”sambung Laila lagi.
“Yelah tu. Aku tengah frust tak dapat cari Emma kau buat lawak pulak. Ada ke patut.” Laila diam seketika. Kasihan melihat Wes. Dia teringat pada Maya. Ya, gadis itu juga menderita kerana cinta. Betapa besarnya kekuatan cinta pada manusia.
“Dari dulu aku dapat rasakan yang…..Emma tak dijodohkan dengan aku. Tapi, aku tak tahu kenapa sampai sekarang aku masih belum dapat melupakan cintanya. Gila! Tapi itulah yang aku rasakan. Cinta yang tak pernah padam.” Ada sayu dari nadanya.
Memang benar, selama dia bersama dengan Farahymma sehinggalah sekarang, dia tak pernah merasakan yang mereka berdua akan bersama. Tetapi dia tetap mahu berusaha untuk mencapai cita-citanya yang ingin sehidup semati dengan gadis itu. Setiap malam dia sentiasa berdoa memohon kepada Illahi agar ditemukan semula dengan gadis itu.
“Kalau macam tu, kenapa kau masih mengharap pada dia?” Laili mengerutkan keningnya tidak memahami apa yang dirasakan lelaki itu.
Wes mengalihkan pandangannya kepada Laila sambil tersenyum lalu mengangkat kedua-dua bahunya tanda tidak tahu.
“Mungkin kerana aku terlalu cintakan dia.”

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: