Novel : Cinta Itu Milik Kita 3

Nama Pena : Tun Teja

Hakim tiba awal pagi itu. Beberapa orang pelajar yang bertembung dengannya memberi salam. Setiap pelajar yang berselisih jalan dengan Hakim pasti berbisik-bisik memperkatakan ketampanan Hakim yang menjadi idaman sesetengah pelajar. Ada yang cuba menarik perhatian Hakim dan ada juga yang cuba merapati Hakim. Semuanya dipandang sepi. Hakim bukan tidak sedar akan hal itu, padanya, setiap pelajar adalah sama. Mana yang patut dipuji, dipuji. Mana yang patut ditegur, ditegur. Kalau sudah keterlaluan, Hakim terpaksa memarahinya. Hakim terus ke biliknya. Pelajar-pelajar yang mengambil kursus Pembikinan Vidio Klip telah sedia dalam kumpulan masing-masing. Hari ini, kelas akan berjalan dalam keadaan lebih formal. Encik Hakim mahu melatih pelajarnya bagaimana bekerja dalam produksi serta bagaimana pembentangan kertas kerja dijalankan seperti yang dilakukan oleh produksi luar. Kesemua kumpulan dijadualkan masuk ke kelas bergilir-gilir seperti masuk berbincang dengan mereka yang terlibat dalam syarikat penerbitan dan artis.

Hakim yang memakai kemeja biru, bertali leher dan membawa sebuah fail, melintasi para pelajarnya yang sedang membuat perbincangan akhir terus masuk ke dalam bilik kuliah. Setiap orang berdebar-debar. Kumpulan pertama dipanggil masuk. 30 minit berlalu, kumpulan kedua pula mengambil tempat. Setiap kumpulan mempunyai nama tersendiri. Akhirnya, tibalah masa bagi Cemara Pictures untuk membentangkan kertas kerja mereka.
Mila telan liur apabila produksinya dipanggil. Dengan debaran kian hebat, Mila dan ahli produksi lainnya melangkah masuk. Tiga jawatan penting iaitu penerbit, pengarah dan jurukamera duduk di kerusi yang disediakan di hadapan Hakim. Manakala ahli produksi lain duduk di kerusi, jauh sedikit dari Hakim.

Hakim memerhati para pelajarnya yang baru masuk. Zana yang dipertanggungjawabkan menjadi penerbit berjabat tangan dengan Hakim. Diikuti oleh Suzi sebagai pengarah dan Fandi selaku jurukamera. Yang lainnya hanya memerhati. Hakim memerhati sekali lagi para pelajarnya. Satu persatu wajah pelajarnya ditatap. Mila Sofia Hani! Ya, wajah itu menarik perhatiannya. Gadis bertubuh langsing, berkulit kuning langsat, cantik sekali apabila memakai kurung berwarna merah jambu. Tudung bawal bersulam tepi, bertatahkan berlian tiruan menyerlahkan keayuan wajah bujur sirihnya. Bibir merah delima yang sering memekarkan senyuman manisnya menambahkan seri wajah. Patutlah ramai yang memuji kejelitaannya. Bukan saja lelaki, perempuanpun ada yang terpesona dengan kecantikan miliknya. Rakan-rakan sejawatannya turut mengakuinya. Malah, mereka turut bercerita tentang halus budi pekerti gadis tersebut. Kadang-kadang Mila menjadi topic perbualan rakan-rakannya terutamanya rakan-rakan lelaki. Jika dibandingkan dengan Afirapun, dia tetap juara. Ah! Apa aku peduli, aku mahukan orangnya bukan parasnya. Walau apapun, Afira tetap nombor satu dalam hatiku. Kadang-kadang terlintas juga di hatinya ingin mengetahui sejauh manakah kebenaran kata-kata yang didengarnya. Projek video klip ini sedikit sebanyak telah mendekatkan gadis itu dengannya. Ya, Hakim senang berurusan dengannya. Dia lembut, tapi tegas dan berdisiplin serta amat menepati masa. Berdedikasi dalam menjalankan tugasnya. Tidak melenting apabila ditegur. Mengikut kata, senang diajar. Tuturnya juga lembut dan sopan.

Pembentangan kertas kerja pagi itu, berjalan lancer. Penerbit menerangkan hal-hal berkaitan produksi. Pengarah menjelaskan tentang jalan cerita, scene, pelakon yang digunakan dan perkara-perkara berkaitan. Manakala Fandi membentangkan teknik-teknik kamera dan shot yang akan digunakan sewaktu penggambaran.

Tidak lama kemudian, nama Mila dipanggil. Hakim bertanyakan persiapan yang dibuat serta budget. Mila menjawab setiap soalan yang dilontarkan dengan tenang. Hakim berpuas hati dengan jawapan Mila. Perbincangan seterusnya, membawa kepada rickey. Encik Hakim akan turut serta dalam tinjauan lokasi tersebut.

“Awak semua ada kereta?”
“Kami bercadang, masa rickey nanti, kami pergi dengan kereta Mila,” Jawab Zana lalu memandang Mila. Mila angguk mengiakan.
“Kalau macam tu tak ada masalahlah. Saya akan tunggu awak semua di sana hari Ahad ni,”
“Semua kena pergi ke, Encik Hakim?” Tanya Johan yang diam sedari tadi.
“Kalau nak pergi semuapun tak apa. Cuma… Yang wajib pergi, PM, pengarah, penerbit, jurukamerapun pergilah, Senang sikit awak nak tengok pemandangan dan sesuaikan dengan shot yang akan diambil nanti. Satu lagi art director.” Lantang suara Hakim menjawab pertanyaan pelajarnya.

Setelah selesai pembentangan, Mila ditemani Erin ke bilik Hakim untuk menunjukkan surat-surat yang telah siap ditulis. Hakim membaca surat-surat tersebut dan membetulkan mana yang patut. Beberapa orang pelajar lelaki yang masuk ke bilik Hakim pasti tidak melepaskan peluang untuk menatap wajah Mila dari dekat. Muka Mila merona merah bila ditenung. Mila membelek-belek fail yang dibawanya agar tidak ketara malunya. Erin senyum melihat telatah Mila. Sejurus kemudian, Fauzi, rakan Hakim masuk ke bilik Hakim. Fauzi juga tidak melepaskan peluang menatap Mila. Mila cepat-cepat keluar apabila urusannya selesai.

“Mak oi, lajunya kau jalan Mila,” Tegur Erin yang ketinggalan beberapa langkah di belakang.
“Yalah, aku dah lapar ni,” Jawab Mila bersahaja.
“Eleh, lapar konon, cakap jelah yang kau tu malu. Memang kau nak cepat-cepat tinggalkan bilik Encik Hakim tu kan?” Nada suara Erin mengusik. Dia mengulum senyum nakal.
“Merepeklah, mana ada,”
“Dahlah Mila, macam aku tak tahu, nasib baiklah muka kau tu tak boleh cabut, kalau tidak, dah lama kau tanggalkan muka kau kan?” Erin masih belum puas mengusik.
“Mujurlah, pembentangan kita tak ada apa-apa kan?” Mila membuka tajuk perbualan baru. Dia rimas diusik Erin.
“Yalah, aku takut juga. Encik Hakim tu kan panas baran. Aku dengar group Nita teruk kena tadi.” Mereka beriringan keluar dari fakulti.
“Eh, Encik Hakim tu hansem kan?” Erin bersuara setelah mendiamkan diri beberapa ketika.
“Rizal kau nak letak mana?” Giliran Mila mengusik.
“Aku kata dia hansem je. Lagipun… Aku dengar Encik Hakim tu dah ada calon isteri,” Erin merendahkan suaranya.
“Pandai je kau ni,”
“Betul, Nita cakap. Hari tu kan dia orang sembang-sembang dengan Encik Hakim.”
“Baguslah tu, aku dengar umur Encik Hakim tu dah 30 lebih dah. Lagi cepat lagi bagus… Nanti… Jadi bujang terlajak pula,” Ada tawa mengiringi kata-kata Mila.
“Siapalah bertuah sangat jadi pilihan Encik Hakim tu kan?”
“Tanyalah, dia.” Mila kurang berminat dengan cerita tersebut.
“Kau gila? Nak suruh dia kata aku ni busy body? Lepas tu nak suruh dia tengking aku. Harap-harap, bakal isteri Encik Hakim tu baiklah. Encik Hakim kan baik. Selalu aku tengok dia pergi solat,” Ngomel Erin antara dengar dan tidak. Mila tertawa. “Yang kau ni kenapa, Mila?”
“Yalah, yang kau tu beria-ia benar tu kenapa?” Mila tergelak kecil.

*

“Budak tu student kau ke, Kim?” Tanya Fauzi berminat.
“A… Ah… Kenapa?” Hakim memandang muka Fauzi.
“Tak ada apa-apalah,”
“Aku tengok… Bukan main lagi kau pandang dia tadi? Macam nak telan je?” Hakim merenung tepat mata rakan sekerjanya.
“Aku Cuma menikmati keindahan yang Tuhan ciptakan, salah ke?” Fauzi membalas sambil tersenyum lebar penuh makna.
“Bukan aku tak tahu kau tu,” Hakim kembali menumpukan perhatian terhadap buku di depannya.
“Siapa nama dia?”
“Mila Sofia Hani,”
“Wau, sedap nama tu. Macam dalam novellah pula. Bila dia nak jadi student aku ni?”
“Entah-entah, kalau Tanya diapun dia tak nak jadi student kau. Takut kena ngap,” Hakim gelak kecil.
“Hei, tengok oranglah, silap-silap dia asyik repeat je sebab sayang nak berpisah dengan aku,” Fauzi senyum nakal.

Hakim geleng kepala dengan sikap rakannya. Hakim sudah masak dengan perangai Fauzi yang pantang tengok perempuan dahi licin. Patutlah sahabatnya, Azhar selalu berselisih faham dengan Fauzi bila masuk bab perempuan. Geli hati Hakim melihat muka Mila merah merona bila ditenung Fauzi. “Padanlah, Azhar suka kacau budak tu,” Desis hatinya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: