Cerpen : Antara aku, kau, dia dan mereka

Nama Pena : orang kampung

Aku, kau dan dia…

Aku masih ingat lagi sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke kota kosmopolitan, Kuala Lumpur. Waktu itu aku, kau dan dia sama-sama mendaftarkan diri sebagai salah seorang penuntut di kolej multimedia di ibu kota. Kita semua saling tidak mengenali antara satu sama lain. Di bawah dewan Sri Budiman, aku dan kau berkenalan. Melihatkan ramai orang yang berpakaian hitam putih, aku terus menegur kau sebaik sahaja kau melangkah masuk ke dewan yang menjadi tempat berhimpun pelajar-pelajar baru untuk mendaftar. Mungkin juga kerana kau tidak berpakaian seperti mereka, aku begitu berani menegur kau. Begitu cara kau dan aku berkenalan. Memandangkan aku dan kau datang dari luar Kuala Lumpur, aku dari Terengganu dan kau sendiri dari Kedah, maka kita sepakat untuk tinggal serumah. Dan aku sesungguhnya amat bertuah apabila kau mempelawa aku untuk tinggal di rumah yang mak cik kau amanahkan untuk kau menjaganya. Sekurang-kurangnya kau tidak mengenakan bayaran yang terlalu tinggi, lebih-lebih lagi aku sendiri bukan datang dari golongan yang berada. Selepas sesi taklimat daripada pihak pengurusan kolej selesai, entah macam mana datang dia menyapa. Mungkin melihatkan barang-barang yang aku bawa agak banyak, dia bertanyakan aku kalau-kalau aku mencari orang untuk tinggal di rumah sewa. Aku serba salah untuk menjawab. Mujur kau terdengar perbualan aku dengan dia dan kau terus mempelawa dia tinggal bersama-sama. Tidak cukup dengan itu kau turut membantu aku dan dia mengangkat barang-barang kami ke rumah ibu saudara kau, rumah yang bakal kita bertiga duduki sepanjang menuntut di kolej. Sungguh mulia hati kau. Mulai dari hari itu, aku, kau dan dia jadi kawan.
Tiga bulan bersama, aku, kau dan dia sudah dapat mengenali sedikit demi sedikit hati budi masing-masing. Walaupun aku tidak begitu rapat dengan dia, tapi aku dan dia tidak pernah bergaduh atau bermasam muka. Tapi aku tabik dengan kau. Kemahiran intrapersonal kau cukup tinggi. Kau bukan sahaja dapat bergelak ketawa dengan aku yang sering menambah huruf ‘g’ apabila bercakap malah kau bijak berkomunikasi dengan dia yang agak pendiam dan lebih suka berkurung di dalam bilik. Kadang-kadang, kau menyindir dia dengan gelaran ‘hantu YM’ kerana dia begitu kemaruk bersembang dengan lelaki –lelaki di alam maya, yang tidak pasti tahap kejujurannya. Walaupun karakter aku, kau dan dia berbeza, itu semua tidak pernah menjadi penghalang untuk kita menghabiskan hujung minggu di pusat beli-belah di Kuala Lumpur. Kebiasaannya tempat yang menjadi tumpuan kita ialah di Jalan Tunku Abdul Rahman, Sogo dan kadang-kadang singgah ke Bukit Bintang mencari perkakasan komputer. Ada juga kau dan dia mengajak aku masuk ke panggung wayang, tapi aku menolak dengan lembut walaupun kau dan dia begitu beria-ia mengajak aku malah sanggup membayar harga tiket. Apabila kau bertanya aku sebab aku tidak mahu masuk panggung, aku menjawab ustaz sekolah menengah aku kata haram masuk panggung. Kau dan dia hanya tersenyum dan mengiyakan kata-kataku. Tapi, itu tidak pernah menghalang kau dan dia menonton wayang setiap kali cerita baru ditayangkan, baik dari dalam mahupun luar negara. Begitu juga aku tidak pernah menghalang kau dan dia masuk panggung. Tidak pernah ada tazkirah, dalil mahupun nas yang aku keluarkan untuk memberitahu kau hukum masuk panggung. Bagi aku, kau dan dia ada fahaman dan prinsip tersendiri.

Mereka…

Benar kata orang,Kuala Lumpur adalah kota yang penuh dengan cabaran, dugaan dan godaan. Kalau tidak kena cara dan gaya, orang kampung macam aku, kau dan dia akan mudah tumbang. Dalam hal ini, mungkin gaya aku agak kekampungan berbanding kau dan dia. Namun, kita semua sentiasa menjaga batas pergaulan kita. Sepanjang kita bersama, aku masih ingat, kita seringkali “mengumpat” orang kampung yang tidak tahu membawa diri apabila bertandang ke ibu kota. Oleh sebab, kita semua tinggal di kawasan kondominium, maka hampir setiap minggu malah setiap hari aku, kau dan dia melihat pelbagai watak manusia. Dan hampir setiap hari jugalah aku, kau dan dia bercerita apa-apa sahaja tentang mereka terutama sekali ketika makan. Kau begitu bersungguh-sungguh mengutuk mereka. Kau katakan gejala sosial yang tinggi di Kuala Lumpur disebabkan oleh orang-orang luar Kuala Lumpur yang membuat kecoh dan tidak tahu membawa diri di tempat orang. Aku dan dia hanya mengiyakan. Mungkin sebab kau sudah biasa dengan suasana dan persekitaran Kuala Lumpur. Namun, aku dan dia tidak nafikan kata-kata kau. Mereka yang kau maksudkan memang majoritinya orang luar. Mereka seperti rusa yang baru masuk kampung, baru kenal menara KL dan KLCC sebab di kampung mereka, mereka hanya kenal menara masjid . Pernah sekali aku, kau dan dia menjamu selera di kedai makan berhadapan dengan Petronas dekat Jalan Sembilang, hampir segenap ruang kedai makan dibanjiri dengan pasangan-pasangan yang sedang hangat bercinta. Menyampah aku menyaksikan adegan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka-mereka yang belum ada apa-apa ikatan. Aku hanya menggeleng kepala dan sesekali tergelak melihat aksi perempuan yang rela diperlakukan apa sahaja oleh lelaki yang bukan muhrimnya. Lalu, kau mengatakan perbuatan itu baru sedikit. Ada banyak lagi yang aku tidak nampak. Aku secara seloroh menjawab biarlah setakat ini sahaja kepala otak aku tercemar. Kau dan dia hanya tersenyum. Itu baru perwatakan mereka yang berada berhampiran dengan komuniti kita, tidak termasuk lagi aksi-aksi terlampau dan tidak tahu malu yang dilakukan oleh mereka di tempat-tempat awam seperti stesen bas, dalam LRT, pusat beli belah atau dalam panggung wayang yang biasa kau dan dia pergi. Setiap kali kita bercerita tentang mereka, aku, kau dan dia beristighfar panjang dan minta Allah menjauhkan “peel” yang tidak senonoh itu dari kita semua. Maklum sajalah takut apa-apa yang kita perkatakan akan berbalik kepada diri sendiri. Dan yang paling banyak mengata ialah aku dan kau. Dia pula lebih banyak mengangguk dan sesekali ketawa apabila aku berjenaka.

Dia…

Masuk 6 bulan usia perkenalan kita, dia mula berubah. Mula-mula aku sangka, hanya aku sahaja yang perasan akan perubahan dia, rupa-rupanya kau juga seperti aku. Lalu, aku dan kau membuat pelbagai spekulasi berkaitan dengan perubahan tingkahlaku dia. Kau mengesyaki dia berubah laku kerana sudah menemui jejaka idaman hati yang dikenali di alam siber. Aku keliru. Takkan sebab lelaki manusia boleh berubah. Apabila aku menyoal sebegitu kepada kau, kau kata aku bertanyakan soalan bodoh. Kau membalas kata-kataku dengan mengatakan aku begitu naïf tentang cinta. Kau betul. Seumur hidup aku, aku mana pernah bercinta, bercakap dengan lelaki pun payah. Kalaupun aku bercakap, aku hanya bercakap berkaitan dengan pelajaran semata-mata. Oleh sebab itu, aku banyak mendengar dari berkata-kata apabila kau bercakap tentang dia. Dari mulut engkaulah aku mengetahui dia begitu terdesak mencari pasangan. Dia rasa rendah diri kerana masih belum mempunyai “seseorang” berbanding rakan-rakan sekelasnya. Kau juga mengatakan lelaki “YM” itu merupakan cinta pertama dia menyebabkan dia seperti kerbau dicucuk hidung, mengikut segala telunjuk lelaki tersebut. Aku ada juga menyuarakan pandangan aku supaya kau menasihati dia, malah aku tahu kau sudah pun berbuat demikian. Namun, segala tindakan kau itu sia-sia. Mungkin cinta itu telah membutakan hati dia. Cuma, aku dan kau kasihan melihat dia. Kelihatan seperti orang lurus bendul dikawal oleh lelaki, dari kunci kereta, duit sehinggalah kepada penampilan dia turut berubah. Pendek kata, dia tidak ubah seperti yang kita perkatakan kepada mereka dulu. Aku dan kau cuba untuk memberitahu keluarga dia, tetapi belum sempat aku dan kau bertindak, kakak dia terlebih dahulu menyerang rumah sewa kita. Waktu itu aku lihat kau begitu bersungguh-sungguh menceritakan perihal dia. Dari mula-mula kau kenal dia yang ayu bertudung ala-ala Wardina sehinggalah kepada dia yang hanya berseluar pendek apabila keluar pada waktu malam, sedikit pun kau tidak tertinggal. Kadang-kadang aku rasa kau agak keterlaluan apabila bercerita, tapi aku tidak berani berkata demikian. Lagipun siapalah aku. Sebaik rahsia dia terbongkar dalam pengetahuan keluarga, dia terus diarahkan pindah dan tinggal bersama kakaknya yang turut menetap di Kuala Lumpur. Tinggallah kita berdua. Selepas dia pergi, aku mengimbau kembali kenangan sewaktu dia masih bersama dengan kita sehinggalah aku mengatakan dia sekarang tidak ubah seperti mereka. Kau Cuma memandang aku dengan muka ‘confius’.

Kau…

Apabila tinggal berdua, aku dan kau lebih banyak membuat hal masing-masing. Aku lebih banyak menghabiskan masa menonton televisyen manakala kau pula lebih suka berkurung di dalam bilik. Aku kira kau lebih mirip kepada dia sekarang. Sejak kau berjinak-jinak dengan laman sembang, kau mula berubah. Dulu bukan main kau mengutuk dan mengata kepada dia, sekarang semua yang kau katakan berbalik sendiri kepada diri kau. Aku lihat kehidupan kau mula tidak terurus. Mana tidaknya kau asyik mengadap “laptop” 24 jam. Terkadang aku ada terpandang gambar lelaki menerusi “webcam” yang mana perantara yang sering kau gunakan untuk bersembang semasa menggunakan Yahoo Messengger. Kadang-kadang terlintas di fikiran jahat aku keadaan kau apabila “berchatting” dengan lelaki itu tapi aku tidak menyuarakannya terhadap kau. Lagipun aku masih lagi memikirkan kebaikan yang yang pernah taburkan untuk aku. Kau juga sering keluar malam. Hujung minggu sering kau tiada di rumah, sedangkan sebelum ini kau amat bimbang apabila aku keseorangan. Kau memang sudah banyak berubah. Dan semua perubahan itu disebabkan lelaki. Pada aku, kau sekarang sama seperti dia dan mereka yang kau pernah mengutuk, mengumpat dan pandang serong dulu. Tapi yang paling menyedihkan aku ialah apabila kau terlibat dengan kemalangan dengan lelaki asing, maksud aku yang tiada pertalian darah dengan kau. Sungguh aku tidak percaya teman istimewa yang kau ceritakan pada aku merupakan kawan yang kau kenali dalam internet. Sedih aku melihat keluarga kau yang datang dari utara, menjaga kau siang dan malam selama 2 minggu kau koma di hospital. Dan apa yang menyedihkan aku lagi ialah kemalangan itu disebabkan oleh kecuaian lelaki yang kau baru kenali itu, yang tidak pernah mempunyai lesen memandu. Aku cukup keliru bagaimana kau boleh membiarkan kereta kau dipandu oleh seseorang yang tidak mempunyai lesen sedangkan kau seorang yang cukup menjaga peraturan. Sampai sekarang aku masih lagi tertanya-tanya mengapa kau memilih untuk menjadi seperti dia dan mereka.

Aku…

Hampir setahun aku tinggal di Kuala Lumpur, aku menjadi semakin takut. Selepas kau berhenti dari kolej, maka aku terpaksa keluar dari rumah yang kita pernah duduki bersama. Walaupun ibu saudara kau tidak pernah menghalau aku malah beliau menyuruh aku menjaga rumah itu sementara dia bekerja di luar negara. Namun, dengan lembut aku menolak kerana aku tidak sanggup lagi tinggal dengan kenangan kau dan dia di rumah itu. Aku bernasib baik kerana kakak aku mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur. Kami sepakat untuk menyewa sebuah rumah flet di pinggir kota yang tidak berjauhan dengan kolej tempat kita belajar dan tempat kerja kakak aku. Aku kira apabila tinggal dengan darah daging sendiri aku akan terhindar dari gejala yang tidak sihat. Alhamdulillah, aku semakin kalih dengan kehidupan kota dan aku rasa setakat ini aku mampu untuk menahan godaan kota yang penuh dengan tipu daya ini. Sejak peristiwa kau dan dia di rumah ibu saudara kau, aku banyak muhasabah diri dan merenung nasib sendiri. Walaupun sedih mengenangkan nasib kau dan dia yang menjadi seperti mereka, aku bersyukur kerana aku masih lagi dapat mengekalkan jatidiri aku walaupun kau dan dia seringkali mengatakan aku akan mudah hanyut dengan keindahan Kuala Lumpur sebagaimana mereka yang pernah terleka sebelum aku. Cuma sekarang ini aku tertanya-tanya pada diri sendiri, aku atau kau dan dia yang menjadi seperti mereka.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: