Cerpen : Intermeso Kirana

Nama Pena : iNtRiNsIk CiNtA

Dia terpaku di luar jendela. Pertama kali dia melihat mutiara jernih itu tertumpah di tubir mata seorang insan bergelar kakak. Candranya mula dipagut rasa sayu. Bagai kedengaran satu intermeso liris yang melatari kesunyian lewat malam itu.
“Kirana…” Namanya dihimbau oleh gadis manis yang sedang berteleku sendirian di birai katil. Hujung jemarinya menyentuh permukaan bingkai gambar yang tergenggam kemas di pegangan. Matanya terpejam lama. Perasaan sebak mula menerjah ke sanubari. Dia tewas denganjanjinya pada Kirana. Janji untuk tidak lagi mensia-siakan air matanya.
“Kakak…”
Semangatnya bagai direntap saat itu. Kaisara pantas menoleh. “Siapa?”
Aneh. Baru sebentar tadi, dia merasakan ada sesuatu yang menyentuh lembut bahunya. Seolah-olah cuba mendamaikan sekeping jiwa yang kini sedang berduka. Namun, tiada sesiapa di kamar itu selain dirinya. Pandangan segera dialihkan pada foto di tangan. Kaisara nanar seketika.
“Kirana?” Kaisara terpempan. Hanya deru angin menampar tubuhnya yang menjawab pertanyaannya tika itu. Sekilas, matanya menangkap kelibat objek yang melayang di luar jendela kamarnya. Dia terpaku seketika.
Kirana segera melarikan tubuh lesunya ke tempat lain. Terlalu sebak untuk terus berada di situ. Dia tidak mahu Kaisara melihatnya dalam keadaan sedemikian. Kirana meredah kepekatan malam tanpa arah tuju. Perasaan takut terpaksa ditepis. Dia tidak mempedulikan salakan anjing-anjing liar yang ditujukan kepadanya. Dia meneruskan perjalanannya yang masih bersisa. Akhirnya, dia terhenti di situ. Di deretan bangunan yang berdiri gah di seberang jalanraya. Perlahan, dia cuba menghampirinya.
“Argghh!!!” Teriakan demi teriakan saling bersahut-sahutan. Beberapa orang penghuni asrama perempuan yang sedang mengulangkaji pelajaran mula menjerit ketakutan. Di luar, kelihatan satu lembaga sedang merayau-rayau di blok bangunan. Kirana tersenyum melihat gelagat mereka. Situasi yang acapkali berlaku bila menjelangnya musim peperiksaan. Fenomena histeria adalah sesuatu yang bersifat global dan boleh berlaku di mana-mana, khususnya di bangunan-bangunan lama seperti di sekolahnya itu.

Semua pelajar telah berhimpun di tapak perhimpunan. Masing-masing berdebar menantikan arahan untuk masuk ke dalam dewan peperiksaan. Sebentar lagi, bermulalah peperiksaan yang bakal menentukan hala tuju dan masa depan mereka selepas ini.
“Kamu semua sila perhatikan rakan-rakan yang berdiri di hadapan dan belakang kamu. Siapa yang tak ada lagi, sila maklumkan pada saya dengan segera.”
Kaisara menoleh ke belakang dengan perasaan hampa. Dia berharap agar sesusuk tubuh itu ada di belakangnya. Dia merindui kehadiran adik kembarnya yang satu itu.
“Kaisara… ada yang tak kena? Siapa yang sepatutnya duduk di belakang kamu nanti?” tegur Puan Jannah yang kebetulan lalu di sebelahnya. Ada mega mendung yang berarak di wajahnya saat ini.
“Kirana, cikgu…” Perlahan, tapi cukup untuk meruntun hati setiap insan yang mendengarnya. Tubuh itu didakap erat. Rasa syahdu menyelinap ke segenap kalbu guru muda itu.
“Berjuanglah bersungguh-sungguh. Demi Kirana.” Hanya itu yang mampu diucapkan sebelum melepaskan gadis itu pergi. Kaisara melangkah longlai ke dalam dewan peperiksaan. Sesekali dia menoleh ke belakang, mengharapkan kehadiran seseorang yang tidak mungkin akan berlaku.
“Kamu, jangan lari!” Terkocoh-kocoh lelaki tua itu berlari, cuba mendapatkan gadis yang sedang lari berselindung di belakang bangunan. Dia pasti ada seseorang di situ. Pandangannya masih jelas meskipun tidak memakai kaca mata saat itu.
“Kenapa, Pak Ali?” soal Puan Jannah yang kebetulan lalu di kawasan tersebut.
“Ada seorang pelajar perempuan, cikgu. Saya nampak dia lari ke sana tadi.”
“Pelajar perempuan? Dia pakai baju sekolah?” Pak Ali menganggukkan kepala dengan penuh yakin. Puan Jannah segera mengajak lelaki tua itu untuk mendapatkan pelajar yang dimaksudkan.
“Tak ada sesiapa pun.” Puan Jannah mengerutkan dahi sambil memandang tepat ke arah pengawal keselamatan sekolah itu.
“Sumpah, cikgu. Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri.”
“Aneh. Saya dah periksa senarai kehadiran calon-calon SPM. Semuanya hadir dan berada di dalam dewan peperiksaan sekarang. Kalau bukan mereka, siapa pula yang merayau waktu cuti sekolah macam ni?”
Puan Jannah melangkah menuju ke dewan peperiksaan, meminta agar ketua pengawas yang bertugas memeriksa jumlah calon SPM yang berada di dalam dewan besar itu.
“137 orang calon, cikgu.”
“Hah? Calon kami cuma ada 136 orang saja, cikgu. Tuan Haji cuba kira betul-betul.” Puan Jannah bertambah bingung. Dia menyangkakan jumlah calonnya kurang, tetapi kini apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dia melihat saja ketua pengawas itu mengulangi perkiraannya.
“Memang 137 orang, cikgu. Saya sendiri yang kira tadi.”
“Memang calon kami ada 137 orang, Tuan Haji. Tapi salah seorang daripada mereka dah meninggal dunia minggu lepas.”
Giliran Tuan Haji Zailani pula mempamerkan riak bingung di wajahnya.
“Siapa nama pelajar tu?”
“Kirana.”

Lututnya menggeletar saat menghampiri meja calon yang satu itu. Matanya jelas menangkap sesusuk tubuh yang sedang terpaku dan menundukkan kepala di meja Kirana.
“Assalamualaikum…” Masing-masing berpaling ke arah ketua pengawas peperiksaan yang sedang memberi salam ke arah salah sebuah meja calon yang kosong itu.
“Waalaikumsalam…” Dia masih menundukkan kepalanya, enggan bertentang mata dengan lelaki warak itu.
“Pulanglah ke tempat persemadianmu. Kehidupanmu di dunia ini sudah berakhir. Biarkan mereka yang masih hidup meneruskan perjuangan masing-masing.”
“Tapi saya punya cita-cita, punya impian yang belum tertunai. Izinkanlah saya untuk menamatkan perjuangan yang belum selesai.”
“Tempat kamu bukan di sini. Pulanglah.”
Kirana mengangkat wajahnya. Kosong. Hanya seraut wajah kosong yang dilihat oleh Tuan Haji Zailani. Tanpa mata, hidung ataupun mulut. Dia masih cuba bertahan.
“Saya tak boleh tinggalkan kembar saya keseorangan di sini. Dia perlukan saya untuk menemaninya.” Jari telunjuknya dihalakan ke arah seorang pelajar perempuan yang sedang duduk di hadapannya. Kaisara menoleh ke belakang. Sedari tadi, hatinya digayuti dengan perasaan tertanya-tanya. Seolah-olah, lelaki berkumis lebat merangkap ketua peperiksaannya itu sedang berkata-kata dengan seseorang di belakangnya.
“Kirana?” soal Kaisara, seolah-olah tidak percaya. Dia memandang tepat ke wajah lelaki itu, cuba mencari kepastian. Tuan Haji Zailani lantas mengangguk.
“Kembar kamu tak mahu pulang ke tempat asalnya. Dia mahu menemani kamu di sini.”
“Kirana… pulanglah. Kakak boleh jaga diri sendiri. Pulang ya, dik.”
Kirana bangun dari tempat duduknya. Dia sempat memeluk erat tubuh saudara kembarnya itu sebelum menghilang. Kaisara dapat merasakan ada sesuatu yang melingkar di tubuhnya. Dia tersenyum.

Sebak. Matanya terpaku tatkala melihat sekujur tubuh yang terbujur kaku di situ. Melihat pada bentuk fizikalnya, gadis itu baru berusia belasan tahun. Spontan, fikirannya menerawang kepada peristiwa yang berlaku tidak lama dulu.
“Kirana. Gelang tangan tu pemberian kekasih kakak, tau tak? Kalau bukan Kirana, siapa yang hilangkan? Siapa lagi yang keluar masuk dalam bilik kita ni?”
“Sumpah, kak. Kirana tak ambil. Kirana sanggup buat apa saja, tapi sumpah bukan Kirana yang ambil gelang tangan tu.”
“Kalau macam tu, pergi matilah sana. Kakak tak nak tengok muka Kirana lagi!”
Kirana terkesima. Begitu mudah seorang kakak membuang adiknya, hanya kerana cintanya pada seorang lelaki. Hati kecilnya begitu terkesan dengan kata-kata tersebut. Lantas, Kirana membawa dirinya yang lara ke suatu tempat yang jauh dan sunyi, sekadar ingin bersendiri mengenangkan nasibnya.
“Sara, ada nampak Kirana? Dah petang ni, manalah budak tu pergi?” soal si ibu dengan nada gusar.
“Entah!” Keras saja nada suara si gadis itu. Rasa sebal yang merajai hati kerana baru putus cinta dengan kekasih hatinya. Semua ini gara-gara gelang kristal sempena ulang tahun perkenalan mereka yang dihilangkan oleh Kirana.
“Owh… mak terlupa. Ini gelang tangan kamu kan? Tadi Boboy ambil buat main. Lepas tu, dia sepahkan merata-rata.” Gelang tangan kristal itu bertukar tangan. Kaisara benar-benar menyesal saat ini. Menuduh si adik tanpa usul periksa.
“Mak… Kirana!” Dia seolah-olah dapat merasakan ada sesuatu yang buruk bakal berlaku ke atas saudara kembarnya itu. Nafasnya sesak tiba-tiba. Pandangannya menjadi kabur. Dia rebah di sisi ibunya.
“Tolong!!!” Bau cecair klorofom pada tuala basah yang menerjah deria baunya membuatkan gadis itu terus terlena. Ada suara sumbang yang bercenerul di sisinya saat itu.
“Maaf menganggu. Ini rumah Encik Karim bin Majid?” Seorang lelaki berpakaian seragam polis mengetuk pintu teratak usang mereka kala lewat malam.
“Ya… ini rumah saya. Encik dah jumpa anak kami ke?”
Terpisat-pisat Kaisara bangun dan menghampiri kedua orang tuanya yang tercegat di muka pintu.
“Maafkan saya, encik. Encik diminta pergi ke hospital untuk melakukan proses pengecaman.”
“Pengecaman?” Kain pelikat yang hampir terlondeh itu dinaikkan segera. Mereka tiga beranak saling berpandangan. Kirana sedari tadi setia menjadi pemerhati dari jauh. Takut untuk menemui keluarganya dalam keadaan dirinya yang tidak sempurna.

“Mangsa mungkin mati akibat dicekik, berdasarkan kepada corak fingernail abrasion di bahagian ni.” Jari telunjuknya pantas menunjuk ke arah kesan lecetan berbentuk bulan sabit yang terdapat di leher mangsa.
“Terdapat beberapa ante mortem injury pada tubuh mangsa. Melihat kepada perubahan luka dan pembentukan scab dan scar, kecederaan ini dianggarkan berlaku sehari yang lalu.” Kaisara merujuk kepada keadaan luka yang membengkak dan darah beku yang terhasil. Sekali lagi, dia terpaku melihat tubuh kaku itu. Berdasarkan penurunan suhu pada badan, gadis itu sudah meninggal dunia kira-kira 8 jam sebelum mayatnya ditemui oleh orang awam di tempat pembuangan sampah. Entah mengapa, dia berkeras untuk turut serta dalam proses autopsi ke atas mangsa tersebut meskipun tugasnya telah berakhir beberapa jam yang lalu.
“Dr. Kaisara, awak pasti nak terus ikuti prosedur ini?” soalan daripada Dr. Rajendran membantutkan lamunannya. Sedari tadi, doktor pelatih itu hanya mendiamkan diri. Kaisara pantas mengangguk dan menghampiri pakar patologi berbangsa India itu. Tumpuan mereka kemudian difokuskan pada salah satu bahagian pada tubuh mangsa. Kaisara membiarkan Dr. Rajendran menjalankan pemeriksaannya.
“Terdapat satu koyakan pada selaput dara.” Bergegau dunianya saat itu tatkala mendengarkan penjelasan daripada rakan setugasnya.
Spontan, dia menjerit. “Tidak!!!”
“Sara… Mengucap, Sara.” Encik Karim mengelus lembut bahu anak gadisnya itu. Kelihatan isterinya sudah rebah di sisi pegawai polis yang turut hadir di situ. Dia sendiri hampir rebah saat melihat wajah si mati itu buat pertama kalinya. Suasana di bilik mayat itu hening seketika. Masing-masing tergamam dengan apa yang baru dilihat oleh mereka sebentar tadi.
“Seorang gadis berusia 17 tahun ditemui mati di Petaling Jaya, lewat malam tadi. Siasatan awal polis mendapati, mangsa telah dirogol dan dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dibuang ke dalam semak yang berhampiran. Sehubungan dengan itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut, supaya tampil ke hadapan untuk membantu siasatan.”
Suiz televisyen dimatikan. Ada segaris senyum yang yang tercalit di bibir lelakinya saat melihat berita yang dipaparkan sebentar tadi. Ada euforia yang menjalar di segenap sukmanya. Tangannya pantas mencapai gugusan kunci yang terletak di atas meja. Langkahnya diatur keluar dari bilik hotel yang dihuninya sejak beberapa hari yang lalu. Enjin kereta dihidupkan. Dia akan meninggalkan bandar yang telah menjadi saksi terhadap kebinatangan yang telah dilakukannya. Keretanya meluncur laju di atas permukaan jalan raya yang basah dan licin, menuju ke destinasi baru. Sekali lagi, perbuatan kejinya itu tidak dapat dijejak oleh sesiapa pun.

“Kirana nak jadi macam Gill Grissom dan Catherine Willows.” Kirana mula memasang angan-angannya ketika pertama kali menonton drama bersiri Crime Scence Investigation yang disiarkan di saluran AXN. Ternyata, lakonan hebat yang dipersembahkan oleh dua pendukung utama drama tersebut berjaya mempengaruhi Kirana.
“Bekerja dengan mayat? Tolonglah…” Kaisara mencelah. Perkataan ‘mayat’ sahaja sudah cukup untuk meremangkan bulu romanya, apatah lagi menghampiri tubuh tidak bernyawa itu.
“Tapi kak, orang-orang macam inilah yang akan menjadi suara bagi si mati untuk menuntut keadilan mereka. Islam pun mengharuskan pembedahan mayat ni, tau kak. Untuk menjaga maslahat dan mengambil mudarat yang paling ringan.”
Dia tersenyum. Impiannya untuk terbang di awan yang tinggi kini tinggal menjadi lipatan kenangan. Di dalam bilik berhawa dingin itu, dia memulakan tugasan hariannya. Sebuah bilik yang dilengkapi dengan peralatan-peralatan seperti body freezer, bone electric saw, meja autopsi dan troli hidrolik mayat, setia menantikan kehadiran penghuni-penghuni baru.
“Tuan, saya gagal memadankan profil DNA pemilik rambut yang ditemui dalam kes rogol dan bunuh tempoh hari dengan mana-mana profil DNA dalam data. Tapi saya dapati ada sesuatu yang menarik dalam kes ini.” Linda dari bahagian Kriminalistik menyerahkan laporan analisis bukti surihan kepada Asisten Supritendan Zainal Mat Zam, pegawai penyiasat yang mengendalikan kes tersebut. Dr. Rajendran dan Kaisara hanya memasang telinga dan mendengar penjelasan seterusnya.
“DNA pada rambut itu sama dengan DNA yang terdapat dalam beberapa siri pembunuhan sebelum ini. Anehnya, kes pembunuhan itu tidak berlaku di sesuatu kawasan sahaja. Berdasarkan rekod yang saya perolehi, kes-kes pembunuhan tersebut berlaku di beberapa buah negeri. Kes pertama direkodkan berlaku di Baling, Kedah kira-kira 10 tahun yang lalu. Sehingga kini, siasatan masih dijalankan.”
Dr. Rajendran memandang tepat ke wajah Kaisara yang sedari tadi hanya diam membisu. Dia sendiri tertanya-tanya mengapa doktor pelatihnya itu begitu teruja untuk mengetahui maklumat terbaru mengenai perkembangan kes yang masih dalam siasatan polis. Mereka sepatutnya tidak mencampuri urusan siasatan tersebut.
“Kaisara? Kamu okay ke?”
Mata gadis itu kelihatan mencerlung ke arah laporan yang sedang diteliti oleh pegawai penyiasat di sebelahnya. ‘Kirana binti Karim’.
“Pembunuh ini mungkin pembunuh profesional kerana dia tidak meninggalkan sebarang jejak bukti dalam kes ini. Tapi, encik sekeluarga tak perlu bimbang. Pihak polis berjanji akan meneruskan siasatan hingga tertangkapnya individu yang bertanggungjawab dalam kes pembunuhan anak encik.”
‘Huh. Janji-janji manis!’ Kaisara mendengus kasar tatkala mendengarkan penjelasan tersebut, sebelum menghilangkan di balik pintu kamarnya. 3 bulan telah berlalu, namun pembunuh tersebut masih belum dapat diberkas. Tangannya mencapai sepucuk surat yang disimpan di dalam laci. Lama dia menatap kandungan surat itu. Dia menghela nafas berat sebelum mengoyakkan surat tawaran tersebut. Cita-citanya untuk menjadi seorang pramugari berkubur begitu sahaja. Pandangannya kini dialihkan pada poster drama CSI yang ditampal di dinding biliknya.
“Kakak berjanji akan menegakkan kebenaran demi Kirana!”

Tenang. Lelaki itu kelihatan tenang sekali, meskipun dikelilingi beberapa orang pegawai polis yang mengawal ketat pergerakannya. Sempat dia menghadiahkan senyuman dan melambaikan tangan ke arah pihak media yang hadir untuk membuat liputan. Berwajah tampan, berkaca mata dan berpakaian kemas, sesiapa pun tidak akan percaya dengan dakwaan yang dijatuhkan ke atasnya.
“Berhenti.” Lelaki itu memberikan arahan kepada para pegawai yang mengiringinya. Di antara ratusan manusia yang membanjiri perkarangan mahkamah itu, dia tertarik pada seseorang.
“Tengok… buah hati pengarang jantung aku pun ada kat sini? ” Lelaki itu maju beberapa langkah, cuba menghampiri Kaisara yang sedang berpeluk tubuh dan menjeling tajam ke arahnya. Namun, dia sempat ditarik oleh pegawai polis yang mengawalnya. Segera dia dibawa masuk ke kandang pesalah. Kaisara menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia cuba melupakan ucapan yang terluah di bibir lelaki itu saat mereka berada di dalam bilik soal siasat tempoh hari.
“Kan aku dah kata, aku cuma nak sayang kau je. Tapi kau hina aku, kau malukan aku. Sakit hati aku, tau tak? Kau kan tahu, aku dah lama perhatikan kau. Sejak dari zaman sekolah lagi. Tapi kau sombong, kau masih berkepit dengan ketua pengawas tak guna tu. Dia buruk-burukkan nama aku depan pengetua. Akhirnya, aku dibuang kerja. Tapi masa tu, aku masih boleh bersabar lagi. Bila aku tengok kau menangis kat tepi tasik hari tu, aku dah tak boleh tahan. Aku nekad nak bawa kau lari dan hidup bersama dengan aku. Sekurang-kurangnya, aku takkan buat kau menangis macam apa yang jantan keparat tu dah buat pada kau. Tapi kau degil. Kau terjerit-jerit minta tolong. Jadi aku terpaksa buat sesuatu.”
“Binatang. Kau bunuh adik aku!” Kaisara memaki hamun bekas tukang kebun sekolah lamanya itu yang disyaki terlibat dalam 10 siri pembunuhan selama sedekad ini. Siapa sangka, lelaki yang pernah ditolak cintanya suatu ketika dahulu sanggup melakukan perbuatan keji tersebut.
“Entah kenapa, lepas apa yang aku dah buat selama ni, aku masih rasa tak puas. Aku berpindah dari satu negeri ke satu negeri yang lain, tapi aku masih boleh nampak kelibat kau dengan jelas. Tiap kali aku pandang wajah perempuan-perempuan tu, aku terbayangkan wajah kau. Bila aku bersama dengan mereka, aku teringatkan kau. Susah juga nak hilangkan bahan bukti pada badan mereka. Bila aku tengok berita tempoh hari, baru aku tau kenapa aku asyik terfikirkan kau. Sebab kau masih hidup, kan? Dia orang cakap mangsa pertama aku bernama Kirana, bukan Kaisara. Pelik. Kirana mati-mati mengaku yang dia tu Kaisara. Mungkin sebab nak selamatkan kau kot. Sumpah Sara. Kalau aku tau itu Kirana, sumpah aku tak sentuh dia walau secuit pun. Sebab cinta aku hanya untuk kau seorang je.”
Kaisara bingkas bangun. Dia sudah tidak betah lagi untuk terus berada di situ, mendengar satu-persatu pembongkaran yang dilakukan oleh lelaki bernama Tajul itu. Belum sempat kakinya melangkah keluar dari bilik itu, Tajul menyambung semula percakapannya.
“Hari tu, aku nampak muka kau kat TV. Aku tahu, Kaisara aku belum mati. Kau masih cantik macam dulu. Aku rindukan kau. Sudah terlalu lama aku bersembunyi. Kawan-kawan kau pun tentu dah penat nak berteka-teki tentang siapa aku. Semalam, aku ambil keputusan untuk menyerah diri. Aku sanggup gadaikan nyawa aku, semata-mata untuk berjumpa dengan kau. Aku letakkan satu syarat. Aku hanya akan bercakap dengan kau seorang je. Mungkin kau tak kenal aku tadi, kan? Maklumlah, aku dah segak, dah tampan. Tak macam Tajul, si tukang kebun yang kau pernah hina dulu.”
Kaisara terpaku di muka pintu. Dia memberikan isyarat kepada pihak polis. Dia mahu perbualan mereka segera ditamatkan di situ.

“Sara… kau jangan risaukan aku. Aku akan selamat. Mereka tak boleh jatuhkan hukuman pada orang gila macam aku. Aku hanya akan dimasukkan ke hospital sakit jiwa. Lepas tu, bolehlah kita bersama buat selama-lamanya. Sara, aku cintakan kau!”
Black Maria yang membawa penjenayah paling dikehendaki itu meluncur laju meninggalkan perkarangan mahkamah. Keputusan hakim adalah muktamad. Pihak pendakwaraya akan membawa kes itu ke mahkamah rayuan. Pembunuh kejam seperti Tajul seharusnya dijatuhkan hukuman mati mandatori.
“Kirana… selama ni kakak seringkali berperang dengan persoalan mengenai siapakah yang bertanggungjawab atas kematian Kirana. Hari ni, semuanya nampak jelas. Kakaklah yang harus dipersalahkan. Kakak yang bunuh Kirana.” Kaisara membuang pandangannya jauh ke arah tasik buatan manusia yang terletak tidak jauh dari taman perumahannya. Kaisara berdiri betul-betul di tempat, di mana mayat Kirana ditemui.
“Kakak… semua yang terjadi telah ditakdirkan oleh Allah S.W.T. Kirana redha, kak. Kirana gembira dapat berkorban demi kakak.”
“Kakak dah tak sanggup untuk hidup lagi,” kakinya melangkah menghampiri gigi tasik. Kirana pantas menghalang Kaisara daripada meneruskan niatnya.
“Kakak… nyawa kakak terlalu berharga untuk disia-siakan. Kalau kakak bunuh diri, kakak dah sia-siakan pengorbanan yang Kirana lakukan.”
“Kakak minta maaf, Kirana.” Kaisara menundukkan kepalanya.
“Kakak… masih ramai lagi insan yang tidak berdosa di luar sana yang memerlukan bantuan kakak. Berjanjilah yang kakak akan menegakkan keadilan untuk mereka.”
Genggaman tangan mereka bersatu. Masing-masing saling berpelukan antara satu sama lain.
“Kakak… dah sampai masa untuk Kirana pergi. Mungkin, lepas ni kita tak akan berpeluang untuk bersua muka lagi. Tapi Kirana harap, kakak tak akan patah semangat. Kirana sayang kakak.” Tubuh gadis itu kian menghilang.
“Kirana!!!”
Kaisara terjaga daripada lenanya. Terlalu letih hingga dia tertidur di dalam kereta. Dia memandang ke arah sekeliling. Gelap. Segera dia menghidupkan enjin kereta dan beredar dari kawasan tasik itu. Dia menukar siaran radio satu-persatu. Hatinya tertarik dengan sebuah lagu yang sedang dikeudarakan di corong radio. Melawan Kesepian. Bibirnya ikut sama melagukan bait-bait lagu itu.

Apapun yang yang terjadi
Berjalanlah tanpa henti
Air mata tertahan
Waktu untuk dijatuhkan

Nanti kita kan tahu
Betapa bijaknya hidup
Sepahit apapun ini
Pelajaran yang bererti

Semoga kepergianmu
Tak akan mengubah apapun
Semoga mampu ku lawan
Kesepianku

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: