Novel : Aku Qasihmu 1

Nama Pena : Fara Farina

“Tak nak! Qasih tak nak!” bangkang Qasih sebaik mendengar hajat ibu bapanya. Air matanya sudah berjurai membasahi pipi.
“Qasih, ibu harap Qasih setuju demi ibu dan ayah.” Hajah Safira memujuk lembut anak perempuan tunggalnya itu. Qasih merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.
“Angah tak setuju.” Kedengaran suara abang kedua Qasih mencelah perbualan Hajah Safira dan Qasih.
“Angah?” Hajah Safira menoleh.
“Qasih muda lagi, ibu. Zaman sekarang mana ada perkara macam ni lagi.” Arman menyebelahi adik bongsu kesayangannya itu.
Hajah Safira memandang sepi wajah suaminya, Haji Mustafa yang berdiam diri sedari tadi. Dia tahu suaminya turut merasai perasaan yang sama sepertinya. Perasaan bersalah. Mana mungkin mereka mengorbankan kebahagiaan anak sendiri dan tidak mungkin juga dia menghampakan hajat rakan baik yang sedang bertarung nyawa.
Arman memeluk bahu Qasih untuk menenangkan perasaan adiknya itu. Sambil itu dia memerhati ibu bapanya yang saling berpandangan.
“Ayah tetap dengan keputusan ayah. Qasih tetap akan dinikahkan dengan anak Uncle Shahrin.” Haji Mustafa bangun dari tempat duduk dan mula melangkah ke biliknya.
“Ayah tak boleh buat keputusan macam ni,” Arman membangkang.
“Keputusan ayah muktamad. Noktah.” Tegas Haji Mustafa sebelum kelibatnya hilang dari pandangan.
“Ibu?” Arman meminta simpati ibunya pula.
Hajah Safira mengesat air mata. “Jangan bantah keputusan ayah, angah. Ini untuk kebahagiaan Qasih juga.”
Qasih berlari menuju ke biliknya. Dia menangis, meraung sepuasnya mengenangkan nasib malangnya. Dia tidak menyangka ibu bapanya tergamak menggadaikan kebahagiannya sendiri. Jauh di sudut hati Qasih, dia sedar walau dia menangis air mata darah sekalipun tetap tidak dapat mengubah pendirian bapanya.

“Ash, boleh ummi cakap sikit?” Datin Azizah menepuk lembut peha anak sulungnya yang sedang termenung jauh.
Tiada reaksi daripada Ashwad.
“Ummi tahu ini merupakan suatu tempoh yang sukar bagi Ash. Tapi, Ash pertimbangkanlah keadaan walid sekarang. Ini hajat walid dan…” kata-kata Datin Azizah terhenti apabila air matanya mula menitis laju.
Ashwad pantas memeluk tubuh umminya. “Ummi, Ash cuba untuk memenuhi hajat walid. Ash sanggup, ummi. Tapi perkara ni bukan setakat berkaitan dengan Ash…tapi begitu juga Qasih. Qasih is too young, ummi. Jiwa dia masih muda dan banyak lagi perkara dia perlu belajar. Dia masih belum puas menikmati zaman remaja dan tiba-tiba dia kena berkahwin?”
Datin Azizah mengangguk faham.
“Ummi faham. Ummi yakin sebelum buat keputusan sebesar ini, walid dah fikir masak-masak dan dah berbincang dengan Uncle Mustafa dan Aunty Safira. Ash dah berbincang dengan Fida?”
Ashwad menggeleng lemah. “Malam esok Ash akan jumpa dia.”
“Ummi dan walid minta maaf pada Ash dan Fida sebab…” Datin Azizah tidak dapat meneruskan kata-kata apabila Ashwad mencelah.
“Ummi, kebahagiaan ummi dan walid adalah lebih penting bagi Ash. Ash percaya Fida boleh memahami situasi Ash. Dia berhak dapat lelaki yang lebih baik daripada Ash.”
Ashwad dan Datin Azizah berpelukan sesama sendiri. Datin Azizah mengucap syukur ke hadrat Illahi kerana dikurniakan anak sebaik Ashwad. Dia bersyukur kerana Ashwad sanggup mengorbankan kebahagiaannya sendiri demi menunaikan hajat walid yang kini terlantar sakit.

Qasih berkurung dalam bilik sejak peristiwa semalam. Puas dipujuk oleh ibu bapa dan abangnya, namun dia masih berkeras untuk terus berkurung dalam bilik. Panggilan telefon daripada rakan-rakan langsung tidak dijawab. Sehinggakan kuliah turut tidak dihadiri. Terluka betul dirinya apabila dipaksa berkahwin dengan lelaki yang dianggap abang selama ini.
“Uncle Shah sakit tenat. Dia teringin sangat nak lihat Abang Ashwad berkahwin …
dengan Qasih.”
“Tiga malam berturut-turut Uncle Shah mimpikan Qasih dan Abang Ashwad. Itu satu petanda Qasih jodoh terbaik buat Abang Ashwad.”
“Tunaikanlah permintaan terakhir Uncle Shah.”
Kata-kata ibu bapanya terngiang-ngiang di telinga. Qasih pantas menutup telinganya dan menjerit sekuat hati. Dia tidak mahu berkahwin muda. Dia ingin melalui zaman remajanya dengan gembira tanpa ada halangan. Ya, memang dia memasang angan-angan untuk berkahwin tetapi bukan pada usia ini. Usianya baru menjangkau 20 tahun dan dia masih lagi menuntut di sebuah universiti swasta di mana Ashwad merupakan pensyarah di universiti yang sama. Mana mungkin dia berkahwin pada usia ini?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: