Novel : Andai itu cinta 1

Nama Pena : Dhiya Arissa

CHAPTER 1

“Hazriq, bangun! Dah pukul 10.00 ni. Kamu dah lewat ke pejabat.” Datin Marina menarik kain selimut yang menyelimuti tubuh Hazriq.
” Ermm…. Mama ni kacau daun betullah. Haz sedang syok bermimpi tadi.”
” Mimpi kamu tu tak ke mananya. Sekarang pergi mandi. Papa kamu dah tunggu kamu di pejabat sekarang ni. Nanti dia bising pulak,” beritahu Datin Marina sambil melipat kain selimut itu.
” Apa?!! Habislah Haz kali ni.” Hazriq terus sahaja meluru masuk ke dalam kamar mandi. Dalam keadaan tergopoh-gapah dia mengambil tuala di sidaian di tepi almari pakaiannya itu. Sebenarnya, tadi dia sudah bangun mengerjakan solat subuh tetapi oleh kerana keletihan dia terlelap.
Datin Marina tersenyum melihat gelagat anak bongsunya itu. Dia mengemas katil anaknya yang bersepah itu. Dia kemudiannya keluar dan terus menuju ke halaman rumah melihat pokok-pokok bunganya itu lalu menyiramnya.
Tidak beberapa lama kemudian, Hazriq tergesa-gesa menghampiri Datin Marina yang begitu asyik dengan pokok bunganya itu lalu menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya dan terus berlalu pergi menaiki Honda Accord Silver. Sempat lagi dia bersiul kecil.
” Bertuah punya anak!” Geleng Datin Marina. Dia menyambung kembali kerjanya tadi selepas kelibat kereta anaknya hilang dari pandangannya.
Berlainan pula berlaku di pejabat, Datuk Hanafi sibuk meneliti fail-fail di atas mejanya tetapi fikirannya asyik tertumpu pada sikap Hazriq. Dia mengeluh kecil. Dia meletakkan pen lalu bangun menghadap pemandangan di sebalik tingkap pejabatnya. Tiba-tiba, dia terdengar ketukan di pintu pejabatnya.
” Masuk,” suruh Datuk Hanafi. Dia sudah mengambil tempatnya semula.
” Selamat pagi Datuk,” ucap Rita, setiausaha Datuk Hanafi dengan mesra.
” Selamat pagi. Macam mana jadual saya hari ni?”
” Emm…ada satu appointment je hari ni. Meeting dengan Tan Sri Razak.”
” Tan Sri Razak? Bila tu?”
” Tengah hari nanti. Lebih kurang jam 12 tengah hari di Hotel Crown. Hmm…..ada apa-apa lagi, Datuk?
” Tak ada. Terima kasih. Awak boleh keluar sekarang.”
Selepas setiausahanya keluar, Datuk Hanafi menelefon setiausaha Hazriq untuk bertanya tentang Hazriq. Seperti kebiasaannya Hazriq lewat ke pejabat. Datuk Hanafi merengus kemarahan. Dia sudah tidak tahan dengan kerenah Hazriq.
Di lobi syarikat, semua mata asyik memandang terutama sekali pekerja-pekerja perempuan apabila Hazriq baru sahaja bertapak di syarikat papanya itu. Hazriq hanya membiarkan sahaja mata-mata tersebut menyoroti hayunannya. Dia cepat-cepat naik ke pejabatnya di tingkat tiga. Sebelum sempat dia duduk, telefon di mejanya berdering nyaring.
” Ya Su, ada apa? ” sapa Hazriq mesra.
” Maaf kalau saya menganggu. Datuk nak jumpa Encik Hazriq sekarang,” beritahu Suhana, setiausaha Hazriq melalui interkom.
” Okey. Saya akan datang sekarang. Terima kasih.” Hazriq mula risau. Dia menuju ke pejabat papanya itu di tingkat bawah. Terdengar suara papanya memberikan arahan supaya dia masuk.
” Sekarang baru kamu sampai ke pejabat. Apa nak jadi dengan kamu ni, Haz? Papa dah tak tahu nak buat apa lagi dengan perangai kamu ni. Tak berubah langsung,” tegur Datuk Hanafi sebelum sempat anaknya itu duduk. Pening dibuatnya apabila memikirkan perangai anaknya itu.
” Alah papa ni, Haz bukannya datang lambat sangat. Cuma sejam je. Itu pun papa nak bising.” Hazriq dengan selambanya menjawab.
” Apa kamu kata? Sejam? Cuba kamu tengok dah pukul berapa sekarang. Letih papa nak melayan kerenah kamu tu. Pening dibuatnya. Sekarang kamu boleh keluar tapi kamu kena ingat yang kita ada lunch dengan Tan Sri Razak hari ni. Pukul 12.00 nanti papa nak kamu ada kat bawah. Kamu jangan nak melencong ke tempat lain pulak.”
” Mana ada, pa? Baiklah, nanti Haz jumpa papa kat bawah. Haz keluar dulu.” Hazriq menghayunkan langkahnya menuju ke pintu.
Datuk Hanafi memerhati langkah Hazriq dengan sorotan matanya sambil mengeleng-gelengkan kepala melihat tingkah anak bongsunya itu. Dia sudah tidak mampu melayan kerenah anaknya itu. Tetapi, hanya Hazriqlah satu-satunya anak lelaki yang menjadi harapannya untuk menguruskan syarikatnya kelak. Dia pening memikirkan anaknya itu terutama apabila dia tiada nanti.
” Baiklah, aku setuju dengan kontrak ni. Aku gembira sangat-sangat dengan kerjasama kali ni,” kata Datuk Hanafi sambil berjabat tangan dengan Tan Sri Razak. Mereka sudah lama berkawan sejak masih belajar lagi. Mereka mula berkenalan ketika sama-sama melanjutkan pelajaran di kota teknologi Jepun. Sehingga kini mereka masih berhubung dan tanpa disangka mereka menjadi rakan kongsi dalam syarikat besar itu.
” Aku pun. Emm….kau tak beritahu aku pun pasal si Haz ni dah balik dari U.K. Mujurlah dia turut serta hari ini. Kalau tak sampai bila pun aku tak tahu,” ujarnya sambil tersenyum.
” Bukannya aku tak nak beritahu. Kau pun tahu aku sibuk sejak kebelakangan ni.”
” Kau tu memang macam tu. Sibuk memanjang je. Cubalah cari waktu untuk berehat. Kan si Haz ni ada sekarang. Dia sudah mampu menguruskan syarikat kamu tu.” Tan Sri Razak memandang Hazriq. Hazriq hanya diam tidak menyampuk perbualan papanya dengan Uncle Razak.
” Nantilah aku fikirkan.”
” Haz, kenapa diam je? Haa…macam mana kerja dengan papa kau sekarang? Okey tak?” soal Tan Sri Razak.
” Setakat ni okey je, uncle. Haz pun dah dapat sesuaikan diri dengan keadaan syarikat tu. Haz tengok uncle dah nampak berisi sikit. Dulu masa Haz nak pergi U.K uncle taklah macam ni.”
” Ya ke ? Uncle rasa macam biasa je. Sejak balik dari U.K ni dah pandai sakat uncle ya!” Tan Sri Razak tersenyum mendengar gurauan Hazriq. Lama mereka berbual sehingga tidak sedar masa berlalu. Akhirnya Tan Sri Razak meminta diri. Katanya ada hal yang perlu diselesaikan.
Selepas Tan Sri Razak berlalu, Hazriq mula bangun. Datuk Hanafi faham benar dengan perangai Hazriq. Dia menahan anaknya itu daripada pergi. Dia perlu membincangkan sesuatu yang penting dengan anaknya itu.
” Haz, tunggu dulu!”
” Kenapa pa? ” tanyanya sambil mengerutkan keningnya.
” Papa nak Haz yang uruskan projek ini. Papa harap Haz dapat melakukannya dengan terbaik.” Datuk Hanafi meyerahkan fail projek tersebut kepada Hazriq.
” Apa? Papa suruh Haz kendalikan projek di Cyberjaya tu? Papa kan tahu projek tu Uncle Lokman yang uruskan. Nanti tak pasal-pasal dia bergaduh dengan kita.”
” Itu biar papa uruskan. Tetapi sekarang projek tu ada masalah besar.”
” Masalah besar?”
Datuk Hanafi menerangkan segala-galanya kepada Hazriq. Hazriq seakan-akan tidak percaya apa yang diterangkan papanya itu. Tambahan pula, Uncle Lokman adalah pekerja lama di situ sejak dia masih kanak-kanak lagi dan dipercayai oleh papanya. Papanya pun dah menganggap Uncle Lokman sebagai ahli keluarga mereka sendiri. Takkan Uncle Lokman sanggup buat begitu! Bisiknya di dalam hati.
” Kalau begitu baiklah. Nanti Haz akan cuba siasat hal ni dulu. Sambil-sambil tu, kita anggap tak ada apa-apa yang berlaku supaya tak ada seorang pun mengesyaki perkara ni.” Datuk Hanafi mengiyakan apa yang dicadangkan oleh anaknya itu. Mereka sempat berbincang serba-sedikit pasal projek tersebut sebelum bertolak pulang ke pejabat.
Seperti biasa, Datin Marina tercegat di pintu menunggu kepulangan suami dan anaknya. Dia hairan kerana selalunya mereka dah sampai tetapi sekarang dah setengah jam dia menunggu, batang hidung mereka pun tak nampak. Hatinya mulai risau tetapi cepat-cepat dia menafikannya. Mungkin banyak kerja agaknya! Ujarnya dalam hati.
” Datin! ada panggilan,” beritahu Rosnah, pembantu rumah keluarga Datuk Hanafi. Datin Marina tersentak dengan panggilan Rosnah dan perlahan-perlahan mengaturkan langkahnya ke hujung sudut ruang tamu Villa Seri Cinta. Villa ini merupakan hadiah perkahwinan Datuk Hanafi kepadanya sebagai bukti cinta suaminya yang tidak pernah padam sejak 30 tahun mereka merasai alam bahagia itu. Dia tersenyum di dalam hati.
” Datin, kenapa ni? Mengelamun, ya?” Rosnah ketawa kecil.
Datin Marina tersedar. Hilang segala kenangan itu. Dia tersenyum simpul sambil mencapai gagang telefon daripada tangan Rosnah. Rosnah berlalu pergi dan kembali meneruskan tugasnya di dapur.
” Assalamualaikum, mama. Ni Zura.” Terdengar suara lunak wanita memberi salam di corong telefon.
” Waalaikummussalam. Zura apa khabar?”
” Baik, alhamdulillah. Mama dan lain-lain pulak apa khabar?”
” Mama sihat. Semuanya sihat. Radzi dan cucu mama pulak?”
” Mereka baik-baik je.”
” Syukurlah. Emm…dah lama mama tak tengok cucu mama tu. Jadi ke Zura balik masa cuti pertengahan semester nanti?”
” Jadi. Memang jadi. Tapi berdua je. Abang Radzi sibuk, ma. Pada mulanya, memang abang Radzi nak ikut serta tapi at last dia terpaksa kena pergi outstation. Dah la jauh pulak tu”
” Ya ke ? Sibuk memanjang menantu mama tu, ya!. Nak buat macam mana? Berdua pun berdualah.”
” Okeylah mama, Zura nak letak telefon ni. Kirim salam kat semua, ya!. Assalamualaikum.”
” Insyaallah. Waalaikumussalam.” Datin Marina meletakkan gagang telefon dan menuju ke laman rehat. Mendengar air pancutan membuatkan dia rasa tenang dan selesa.
Selepas maghrib, Datuk Hanafi dan Hazriq sampai di rumah. Mereka nampak keletihan. Tanpa memberi salam, Hazriq terus sahaja meluru masuk ke dalam rumah. Dia terus mencari kelibat mamanya.
” Mama! Kami dah balik ni.” Matanya meliar mencari Datin Marina. Hazriq melabuhkan punggungnya di atas sofa sambil mengeluh kecil. Penatnya!
Seketika kemudian, Datin Marina muncul bersama minuman dari ruang dapur. Dia tersenyum melihat suami dan anaknya sudah pulang. Dari petang tadi, dia dilanda kerisauan.
” Dah balik pun. Penat mama tunggu petang tadi. Kenapa balik lewat sangat hari ni?” celah Datin Marina lalu meletakkan minuman di atas meja. Dia mengambil minuman dan memberikannya kepada suami dan anaknya.
” Ada banyak kerja kat pejabat tadi. Papa pulak ada hal nak dibincangkan dengan Haz. Ma…kami belum makan lagi. Laparlah,” rengeknya manja.
” Jomlah, mama dah sediakan dari tadi lagi. Dah solat ke belum ni?” tanya Datin Marina.
” Dah. Kami solat kat masjid tadi,” kata Hazriq sambil berlalu ke meja makan. Datin Marina dan Datuk Hanafi masih membatu di ruang tamu itu. Mereka tersenyum melihat tingkah anak teruna mereka.
” Abang, apa yang abang bincangkan dengan Haz tadi? Masa ini baru nampak batang hidung. Ada apa-apa masalah ke?”.
” Tak ada apa-apalah. Hal pejabat je. Jomlah makan. Abang dah lapar ni.” Datin Mahani mencebik tanda tidak berpuas hati dengan jawapan suaminya itu. Kalau tiada hal penting, masakan suaminya tidak akan beritahu sesiapa.Haz! Mesti dia beritahu Haz ni! Gumannya. Dia kemudiannya pergi mendapatkan mereka berdua di meja makan.
” Kenyang betul perut ni. Tadi bukan main berkeroncong perut ni,” kata Hazriq sambil berehat di ruang tamu. Datin Marina memerhatinya dengan senyuman manis di bibir.
” Kalau begitu pergi naik atas, bersihkan diri dan solat isyak sekali. Dah lewat ni,” suruh Datin Marina.
” Alah Mama ni, Haz nak berehat dulu pun tak boleh. Ini tak adil. Mama tak suruh papa pun. Tengok tu. Bukan main sedap papa baca paper.”
” Haz, kalau kamu nak tahu yang papa kamu ni tak payah suruh. Mama cubit je, dia terus tahu apa yang perlu dibuatnya.”
Haz membuntangkan matanya dengan kata-kata yang baru diucapkan oleh mamanya. Dia bersyukur melihat kebahagiaan mama dan papanya. Dia ketawa kecil.
” Ouch! Sakitlah, Ina. Abang nak pergilah ni. Jom Haz kita pergi sebelum ada apa-apa yang berlaku pulak.” Datin Marina ketawa dengan gelagat suami dan anaknya itu.
Selepas solat isyak, Hazriq ingin meneruskan kerjanya namun fikirannya terganggu dengan apa yang dibincangkan oleh papanya tadi. Dia mengambil keputusan untuk lepak di beranda untuk mengambil angin malam sambil berfikir tentang hal yang diberitahu papanya tadi. Dia perlu mencari jalan untuk mengetahui siapa yang ingin mensabotaj syarikat papanya itu. Dia yakin mesti ada dalang di sebalik perkara ini. Hanya dia sahajalah yang dapat membantu papanya buat masa ini.
Dia meraup mukanya beberapa kali dan mengelus rambutnya yang lebat itu. Dia tahu hal ini merupakan sesuatu perkara yang berat buat dirinya tetapi demi menyelamatkan syarikat papanya, dia sanggup melakukan apa sahaja. Lagipun Syarikat Seri Impian Sdn. Bhd. merupakan hasil titik peluh papanya selama ini. Sudah tentu papanya akan rasa terkilan dan sedih dengan masalah yang dihadapi apatah lagi jikalau kehilangan hasil yang diusahakannya. Terbit rasa kagumnya terhadap kegigihan dan usaha papanya dalam menerajui syarikat itu.
” Bang, tadi Zura ada telefon. Dia kirim salam kat abang. Katanya, nanti cuti pertengahan semester ni dia dan Irfan akan balik ke sini,” beritahu Datin Marina sambil memandang ke arah suaminya itu. Maizura adalah kakak Hazriq. Dia sudah mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihannya dan sekarang menetap di Pahang. Apabila cuti sahaja, pasti dia balik ke sini.
” Baguslah. Riuh sikit rumah ni. Abang pun dah rindu sangat dengan cucu kita tu. Radzi pulak? Kenapa tak balik sekali?” tanya Datuk Hanafi.
” Macamlah abang tak tahu. Dia macam tulah. Sibuk memanjang je. Kata Zura tadi Radzi kena pergi outstation.”
” Outstation? Berapa hari?”
” Tak tahulah saya pulak. Saya tak tanya Zura tu. Alah abang ni biasalah tu. Dia kan bekerja bukannya buat benda tak senonoh.” Datin Marina tersenyum dengan kerisauan tak bertempat suaminya itu.
” Itu abang tahulah tapi selalu ke dia outstation?” soal Datuk Hanafi.
” Bang, Manalah saya tahu. Ina bukannya jenis suka ambil tahu sangat hal rumah tangga Zura tu,” ujar Datin Marina.
” Yalah, Cik Ina sayang oitt! Jomlah tidur. Dah lewat ni,” Datuk Hanafi menepuk-nepuk bantalnya itu.
Datin Marina tersenyum dengan kata suaminya itu. Tetapi di sudut hatinya, dia masih terganggu dengan kejadian tadi. Dia pelik dengan telatah suami dan anaknya itu. Naluri hati tidak akan tersilap. Dia amat yakin ada perkara yang disembunyikan oleh suami dan anaknya itu. Dan ini bukanlah sesuatu perkara yang biasa. Aku harus selidik perkara ni! Azam Datin Marina dalam hati.
Sementara Hazriq masih lagi berada di beranda. Memikirkan apa yang patut dilakukannya bagi menyelamatkan syarikat papanya. Angin yang sejuk menjamah kulit sehingga meresap ke tulang menganggu tumpuannya. Dia terus berlalu ke ruang tidurnya setelah matanya hampir kuyu tanda mengantuk. Pintu cermin ditutup. Dia membaringkan badannya lalu tertidur dengan lenanya kerana penat bekerja sejak pagi tadi. Semua masalah terus tenggelam bersama tidurnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: