Novel : Aurabidadari 6

Nama Pena : Nazrina Hussin

Penulis sudah menulis 3 buah Novel di pasaran sejak tahun 2000 – 2005, antaranya Sepenuh Hati Sepenuh Jiwa, Mencintaimu dan Janjimu Kepadaku terbitan rhythm publishing

“Pakcik pun tidak tahu Mil. Setiap kali ditegur pasti dia akan menjawab. Ditegah makin ligat dia keluar malam. Sakit hati pakcik melihat perangai Audra tu. Dibawa bercakap dengan lembut dia cuma mendiamkan diri. Makcik kamu sepatah haram pun dia tidak bercakap. Cuma dengan adik-adiknya dia mahu bercakap,” keluh Datuk Azri. Besar hatinya sekiranya Muzammil dapat membantu masalahnya ini.
Dibiarkannya Datuk Azri bercakap. Dia tahu orang tua itu kecewa lantaran sikap biadap Audra itu. Memang dia ingin membantu. Lebih-lebih lagi kerana Datuk Azri banyak membantu mereka sekeluarga. Mungkin sehingga kini dia masih lagi menganggur kerana tidak mendapat kerja.
Wajah teman baik bapanya itu ditatap. Kalau tidak kerana bapanya pernah menjadi menyelamatkan Datuk Azri sudah tentu dia tidak akan bertemu insan yang berhati luhur dan baik itu. Kenapa Audra memusuhi ayahnya? Bila Datuk Azri bercakap tidak pernah Audra memandang wajah ayahnya itu. Wajah Audra penuh dengan rasa kebencian apabila Muzammil bertanya tentang hubungan Audra dengan Datuk Azri. Ringan mulutnya hendak bertanya lebih lanjut pada gadis itu tapi terpaksa dipendamkannya. Keluar angin puting beliung lagi susah nanti.
Sejak kecil lagi dia berpendapat orang kaya dan berharta ini sombong. Bukan salahnya, buku-buku cerita yang pernah dibaca selalunya memaparkan kisah orang kaya kedekutlah, jahatlah, itulah dan inilah.
“Pakcik tidak tahu apa lagi yang harus pakcik lakukan agar Audra dapat menerima pakcik sekeluarga. Hmmm, sejak keluar dengan siapa tu? Si Reena, tidak pernah dia lekat di rumah. Keluar dari rumah selamba saja dia melangkah pakcik yang ada di depannya pun tidak dihiraukannya. Mahu saja pakcik biarkan dia tidur di luar rumah, kunci pintu biar dia tidak dapat masuk. Bila diingatkan bertambahlah meluap-luap perasan bencinya terhadap pakcik ni nanti.”
“Entahlah pakcik…kalau dengan saya ni tidak pernah sekali pun Audra meninggikan suara. Ditegur dia cuma mendiamkan diri,” terangnya memberitahu. Malah bila dipujuk gadis itu akan tersenyum manis. Eh…aku pujuk Audra? Selalunya Audralah yang memujuknya. Nasiblah dapat kekasih jiwa balada macamnya ni. Retak, karat,bersepai.
“Pakcik kalau boleh tidak mahu bermusuh dengannya. Hendak bertengkar pun kalau boleh pakcik hendak elakkannya. Audra tu kalau sudah benci dengan pakcik ni, tidak mustahil dia bungkus semua bajunya terus balik ke Ireland semula. Perangai degilnya itu menurun daripada sebelah emaknya.”
Anak temannya itu dipandangnya. Sejak Audra balik dia ditugaskan menjadi pemandu Audra. Padahal Muzammil adalah Akauntan di syarikatnya. Muzammil yang dilihatnya itu memang baik, hormatkan orang tua dan yang selalu diperhatikannya anak muda itu tidak pernah meninggalkan sembahyang. Niat di hatinya hanya satu biarlah Muzammil dan Audra bersatu, agar Audra tidak jauh pergi meninggalkannya lagi. Atas sebab itulah dia mengarahkan Muzammil menjadi drebar Audra buat sementara waktu ini. Pada mulanya Muzammil menolak rancangan yang dirancangkan oleh Datuk Azri yang ingin menyatukannya dan Audra. Soal jodoh biarlah datang sendiri bukannya dipaksa-paksa. Akhirnya Muzammil akur dengan permintaan Datuk Azri itu.
Muzammil dibenarkannya mengunakan bilik belakang agar memudahkan pergerakannya. Cuma Muzammil meletakkan syarat agar merahsaiakan tentang latarbelakangnya kepada Audra. Biar kasih dan sayang itu dapat berputik. Nampaknya usahanya itu sedang meniti ke arah itu.
“Pakcik tahu Audra masih lagi menyalahkan pakcik di atas kematian emaknya. Dia menuduh pakciklah yang menyebabkan emaknya terjatuh dari tangga,” terngiang-ngiang di telinganya ketika Audra mahukan emaknya kembali. Orang yang sudah tiada tidak mungkin akan kembali.
Muzammil membetulkan tempat duduknya. Hampir setengah jam dia mendengar keluhan hati seorang ayah yang kecewa dengan sikap anaknya. Dibiarkannya Datuk Azri menyambung ceritanya. Walaupun sudah berkali-kali dia mendengar dan mengetahui sebab isteri pertama Datuk Azri terjatuh tapi dibiarkan orang tua itu terus bercerita.
“Pakcik begitu sayangkan arwah Salmah begitu juga dengan Audra.”
“Kenapa pakcik tidak berterus terang? Saya rasa Audra tentu dapat menerima kenyataan. Bercakap menerusi hati ke hati. Insya-ALLAH semuanya akan dapat diselesaikan,” nasihat Muzammil. Orang yang dahulu makan garam meminta nasihat daripadanya.
Datuk Azri mengelengkan kepala. Hendak bercerita hal yang sebenar sudah tentu Audra tidak mempercayainya. Selama ini rahsia itu sentiasa dalam lipatan yang kemas. Silap haribulan pasti Audra akan mengatakan dia mereka-reka cerita demi kepentingan diri. Dia tidak mahu Audra pergi meninggalkannya. Bukan mudah untuknya memujuk Audra balik ke tanahair. Berbuih mulutnya memujuk.
“Pakcik mahu Mil memperisterikan Audra,” katanya mengharap. Bukan semalam dia memikirkan permintaannya itu. Malah sebelum Audra sampai lagi. Sekiranya dulu dia yakin Muzammil menolak akan permintaannya itu tapi sekarang ni Datuk Azri yakin Muzammil akan menerimanya. Matanya belum kabur melihat kemesraan Muzammil dan Audra. Renungan mata Muzammil ketika bertetangan dengan Audra sudah cukup membayangkan perasaan Muzammil terhadap anak perempuannya itu.
“Manalah Audra mahukan Mil ni pakcik,” katanya merendah diri sedangkan hatinya berdegup pantas. Siapalah dia jika dibandingkan dengan anaknya yang jelita itu? Macam kopi dengan susu. Audra tu cantik orangnya, putih gebu manis menawan. Sedangkan dia macam hero tamil tapi tetap ada manisnya.
Ditenungnya wajah yang suram di hadapannya itu. Anak gadis seorang yang buat masalah, macam menghadapi masalah negara. Dia yang adik beradik seramai lapan orang ni tidak pun mendatangkan masalah kepada ibu dan bapa.
“Berilah saya masa berfikir. Ini tentang masa depan dan kehidupan bersama. Kata orang kahwin biarlah sekali.” Bukannya dia tidak setuju, kalau setuju sekarang ni juga nampak sangatlah dia kemaruk sangat hendak memperisterikan anak Datuk Azri yang cantik jelita itu.
“Baiklah. Mil fikirkanlah permintaan pakcik ni. Dua tiga hari ni biarlah Mil buat kerja di pejabat. Ada projek besar menanti dan syarikat perlukan pertolongan Mil. Lagi pun Audra semakin ligat dengan aktiviti malamnya.”
Muzammil mematuhi arahan bosnya itu. Jadi drebar dia ikut, titah dikeluarkan agar dia buat kerja di pejabat dituruti. Beginilah keadaannya kalau kerja makan gaji dengan orang. Nampaknya seumur hiduplah, saya yang menurut perintah.
Audra! Sudah seminggu dia tidak bertemu dengan perempuan itu. Kalau dulu dia rajin bangun awal semata-mata hendak bersarapan bersama tapi kebelakangan ini batang hidung pun langsung tidak nampak. Malam keluar subuh baru balik. Seharian tidak pernah lekat di rumah.
Perempuan macam itukah yang akan menjadi suri hidupnya? Alamat ibu dan bapa tidak berkenan. Dugaankah ini? Agar dia menjadi penyuluh jalan bagi Audra. YA-ALLAH, tunjukkanlah jalan yang harus aku pilih, doanya di dalam hati.
Dilihatnya Datuk Azri senyap. Agaknya kehabisan kata-kata.
“Saya keluar dulu pakcik,” Muzammil memohon diri untuk meneruskan perkerjaannya. Sebulan lebih dia jadi drebar barulah hari ini dia menjejakkan kaki ke pejabat. Nasib baiklah ada pembantu yang cekap kalau tidak semuanya kelam kabut jadinya.

MUZAMMIL duduk mengadap kolam renang itu sebaik saja selesai solat maghrib. Tenang air di kolam tidak dapat menahan debar rasa hatinya. Sejak petang tadi dia menantikan Audra tapi Mak Senah memberitahu sejak pagi lagi Audra sudah keluar dan hingga sekarang belum balik lagi. Ke mana saja gadis itu menyukat jalan? Entah hari ini kedai mana dia tawaf? Ini pun sudah pukul tujuh malam. Ke mana saja agaknya dia pergi?
“Oiii abang Mil,” sergah Suhaila terkekeh-kekeh. Suraya dan Hazri turut ketawa sebaik saja melihat wajah terkejut Muzammil itu.
“Apadah abang Mil itu pun boleh terkejut. Sue tengok abang Mil termenung? Ini mesti ada problem besar ni?” celah Suraya.
“Kak…Ari hendak mandilah,” Hazri menarik lengan Suraya.
“Sudah malam ni Ari. Esok sajalah kita berenang,” Suhaila memujuk adiknya. Hazri tidak mengendahkan kata kakaknya itu lalu duduk di tepi kolam sambil mengocak air kolam itu dengan kakinya.
“Degillah. Ayah nampak mesti dia marah,” Suraya menjeling ke arah adiknya yang duduk di tepi kolam itu.
Dua tiga hari ni angin ayah mereka bertiga tidak elok. Audra buat perangai habis satu rumah kena tempiasnya. Hendak marah, marahlah pada Kak Audra. Ini tidak sampaikan hendak berenang pun ayahnya menegah. Suraya memendam ketidakpuasan hatinya itu. Mahu saja dihalaunya kakaknya itu keluar dari rumah. Tidak habis-habis buat perangainya yang teruk tu. Balik ke Ireland lagi baik. Buat menyemak saja di rumah ni.
“Elok-elok Ari jangan sampai jatuh…” ucap Muzammil sebaik saja melihat Hazri semakin kuat mengocak air kolam. Heee…budak ni pantang berjumpa air.
“Abang Mil rindukan Kak Audra ni?” duga Suhaila menyiku Muzzammil. Meledak tawa Muzammil mendengarkannya. Amboi, budak-budak sekarang bukan main lagi mahir meneka soal rindu-merindu ni.
“Abang Mil cakaplah. Sue dan Ila pasti akan membantu. Betul kan Ila? Abang Mil happy kami semua pun tumpang happy. Manalah tahu abang Mil boleh menyelamatkan perangai Kak Audra tu. Rupa saja cantik macam bintang filem hollywood tapi perangai…Opsss sorry abang Mil, Sue terkutuk kekasih abang Mil,” celoteh Suraya.
Semakin melebar senyuman Muzammil. Sue…Sue, ingat abang Mil ni Superman hendak jadi penyelamat kakak kamu tu. Entah apa yang ada di kepala batu kakak kamu tu? Tingkah lakunya berubah-ubah. Sejak berjumpa dengan Reena hari itu, semakin panjang langkahnya.
Muzammil berasakan tindakan Audra itu menjerut perasaannya sendiri. Bagaikan berlakon hanya semata mata hendak menyakitkan hati ayahnya sendiri. Kedukaan Datuk Azri bagaikan kemenangan di pihak Audra. Seolah-olah gadis itu sengaja hendak menyakiti Datuk Azri.
“Kamu berdua setujulah ni kalau abang Mil jadi abang ipar kamu berdua?” sejak tadi dia membiarkan kedua anak yang meningkat remaja itu berceloteh di hadapannya.
“Setuju!” serentak mereka berdua menjawab.
“Doakan abang Mil berjaya,” Katanya mencuit pipi Suraya dan Suhaila. Eh! Betulkah aku hendak kahwin? Mesti ibu dan bapa di kampung terkejut dengan keputusan yang dibuatnya ini.
“Mil…tolong hantarkan Audra ke rumah Reena,” Audra berdiri di belakang Muzammil. Terkejut Muzammil mendengarkannya. Segera dia menoleh ke belakang. Bila dia balik?
Muzammil membetulkan duduknya mengadap Audra. Suraya dan Suhaila berpandangan. Baru saja sampai ke rumah dia hendak keluar lagi. Suraya memandang pakaiaan yang dikenakan oleh Audra itu. Skirt separas lutut dan baju yang melekap ikut badannya. Lekuk tubuh badan kakaknya itu memang kelihatan.
“Audra hendak ke mana ni? Baliknya entah bila, tiba-tiba hendak keluar lagi,” melengking sedikit suara Muzammil. Audra tersengih. Pandai pula dia hendak menegur aku.
Audra mengerling jam di tangannya. Mesti Reena ternanti-nantikannya. Mereka sudah berjanji hendak menonton wayang. Tayangan akan bermula pada pukul lapan malam.
“Audra hendak ke mana tu?” tanya Muzammil yang mula menapak.
“Telefon Reena. Minta ambil sebab malas hendak menyusahkan orang,” perlinya tergesa-gesa pergi.
Amboi pedasnya bahasa. Agaknya darah tengah mengelegaklah tu. Bukannya Muzammil tidak mahu menghantarnya tapi dia tidak mahu Audra keluar malam dan balik subuh.
Bilalah agaknya perangai Audra tu akan berubah? Mampuslah Muzammil kalau perangainya itu berterusan sampai ke tua. Alamat setiap malam dia akan jadi tunggul kayu menanti Audra balik ke rumah. Makan, pakai pula macamana? Harapkan Mak Senah? Kalau macam tu baik dia meminang Mak Senah. Susahlah kalau dapat isteri yang educated macam Audra ni. Lagi pun dia sudah biasa dengan hidup bebas di negara luar tu. Hmmm… sanggupkah aku melayan kerenah Audra itu?
“Audra sebenarnya hendak ke mana? Pagi keluar, malam keluar. Anak dara tidak elok keluar malam,” cetus Muzammil sambil menumpukan perhatian memandu. Walaupun Audra tidak mahu dihantar,setelah dia berkeras akhirnya gadis itu mengalah. Iskk…sakit biji matanya melihat gadis itu berpakaiaan.
“Mil…kalau hendak hantar, hantar sajalah. Jangan banyak tanya,” balas Audra radang. Ayah tidak pernah ambil tahu. Alih-alih dia pula yang sibuk bertanya itu dan ini. Audra bukannya hendak sangat ikut Muzammili tapi bila dia buat muka seposen, kesian pula Audra melihatnya.
“Baiklah lain kali Mil tidak akan bertanya,” jawabnya berjauh hati.
“Merajuk?” tanya Audra sambil memandang Muzammil. Muzammil mengelengkan kepalanya. Saja aku tunjuk muka monyok depan Audra.
“Mil cuma menasihatkan. Audra bijak dan tahu berfikir mana yang baik dan buruk. Siapalah Mil hendak menasihati Audra?. Kekasih pun bukan jauh sekali suami. Buatlah apa yang Audra hendak, semua tu bukannya ada kena-mengena dengan Mil,” biar ayat tu pedas sikit. Biar dia terasa. Kekadang seronok juga sindir-menyindir ni.
“Memang pun kehidupan Audra tidak ada kena mengena dengan Mil. Mil janganlah susahkan diri ambil tahu hal Audra. Cukuplah Mil buat kerja Mil dan Audra dengan diri Audra sendiri” dengus Audra. Dia tidak pernah meminta agar Muzammil berat tentang dirinya. Masing-masing dengan hal sendiri sudahlah.
“Huh, tidak kena mengena Audra kata? Ayah Audra cukup sengsara memikirkan perangai anak gadisnya yang keras kepala ni. Datuk Azri meluahkan pada Mil rasa sedihnya melihat kebencian Audra terhadapnya yang tidak pernah surut itu. Audra kata tiada kena mengena dengan Mil? Kenapa Audra? Sampai begitu sekali Audra bencikan ayah Audra sendiri.”
“Mil jangan masuk campur hal Audra dan Datuk Azri!” Bentak Audra marah.
“Sejak Audra berjumpa dengan kawan Audra yang bernama Reena tu Audra tidak pernah lekat di rumah. Berpeleseran entah ke mana dari pagi sampailah ke subuh baru sedar hendak balik. Dulu baju Audra yang pakai tidaklah seksi macam ni.” Muzammil melirik ke arah Audra. Dilihatnya Audra berlagak selamba seakan tidak mendengar apa yang diucapkan oleh Muzammil sebentar tadi.
“Jangan memandai hendak komen kawan Audra pula,” balasnya agak marah. Sudah bertahun dia berkawan dengan Reena dan Muzammil tiada hak hendak mengutuk kawannya itu.
“Mil hairan…Apa selama ini Audra tidak belajar cara sopan apabila bercakap dengan orang yang lebih tua? Audra….”
Audra mendiamkan diri. Biarlah Muzammil cakap apa yang dia hendak cakap. Sindiran itu tidak separah luka yang aku alami selama ini.

“KENAPA kau macam tiada bersemangat ni? soal Reena yang melihat sejak sampai tadi Audra sedikit pun tidak tersenyum. Malah temannya itu tidak banyak bercakap.
“Aku bergaduh dengan Muzammil. Macam-macam dia cakap pada aku. Pasal aku selalu balik ke rumah, cara aku berpakaiaan. Aku paling sakit hati bila dia menegur cara aku bercakap dengan Datuk Azri…” Audra menyelak majalah di tangannya dengan kasar. Hilang mood apabila Muzammil menegurnya.
Reena membiarkan sahabatnya itu meluahkan apa yang di hatinya ketika itu. Bila mood Audra tidak elok dia akan akan menyebut nama ayahnya itu. Sudah reda nanti akan bertukar kepada ayah pula. Reena sudah masak dengan situasi Audra yang tidak sebulu dengan ayahnya.
“Aku bukannya ke mana pun. Lepak di rumah kau dari pagi ke petang hingga ke subuh. Kalau kau ajak ke disko pun kadang-kadang saja aku ikut sama.”
“Kau keluar dengan pakaiaan macam ni mesti orang di rumah kau berperasangka yang bukan-bukan. Lain kali kau datang rumah aku pakailah baju kurung.” Gurau Reena. Audra tersenyum pahit. Reena memandang ke arah Audra yang sedang termenung jauh itu. Reena tahu semua yang dilakukan oleh Audra ini semata-mata hendak menyakitkan hati ayahnya.
“Kau pun sama dengan Muzammil.”
“Sebenarnya apa yang kau hendak daripada ayah kau Audra? Kalau kau bencikannya buat apa kau balik ke sini? Elok kau di Ireland tu, kerja kau di sana pun cukup bagus untuk menampung keperluan kau sendiri. Aku nampak kau lebih gembira berada di sana daripada tinggal bersama ayah kau. Kenapa mendera perasaan sendiri?” pertanyaan demi pertanyaan dilontarkan oleh Reena. Sekiranya Audra tidak gembira balik ke rumahnya lebih elok dia berada di kampung halaman arwah emaknya. Semua saudara-mara sebelah arwah emak Audra mengambil berat dan menyayangi Audra.
“Entah…Aku pun sendiri tercari-cari jawapan pada soalan yang kau beri tadi Reena. Bila aku dapat kerja masa di Ireland dulu memanglah aku gembira sangat tapi aku sering teringatkan ayah. Aku sering teringatkan rumah yang pernah menjadi tempat aku, emak dan ayah tinggal dengan penuh kasih dan sayang. Aku rindukan suasana yang dulu Reena. Aku rindukan emak aku. Semuanya aku tidak perolehi di sana. Semuanya ada di sini Reena…” Audra menahan tangisnya.
“Emak kau sudah tiada Audra…” Reena menyedarkan Audra. Seolah-olah Audra tidak merelakan pemergian emaknya selama ini. Audra sering bercerita kepadanya dan Jesnita bahawa emaknya terlalu memanjakannya. Apa saja keinginan Audra pasti akan dipenuhi oleh emaknya. Reena belas melihat keadaan temannya. Akibat terlalu menyalahkan ayah sendiri Audra menjadi seorang insan yang pendendam.
“Aku tahu emak aku sudah tiada lagi tapi bayangannya sentiasa ada di mata aku Reena. Berada di rumah aku seakan-akan ternampak dirinya,” akhirnya Audra tidak dapat membendung kesedihan hatinya. Airmatanya mengalir laju. Reena turut hiba melihatkan keadaan Audra itu. Pantas dia menghampiri temannya itu dan memeluk Audra yang tersedu-sedu itu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: