Novel : Endless Love 3

Nama Pena : Hana Kimi

DIA berjalan perlahan menyusuri pantai. Air laut melimpahi kakinya saat ombak menjengah ke pantai. Dia melihat sekelilingnya. Tidak ramai orang di pantai pada pagi-pagi begini. Ji Hoon alih pandangan ke belakang. Rumah yang baru sahaja dibelinya masih lagi kelihatan walau dari jauh. Dia tersenyum sendirian.

Ji Hoon melabuhkan punggung pada pasir pantai yang memutih itu. Dia menebar pandangan pada lautan yang luas terbentang. Pak Cik Nam Gil sudah pulang ke Seoul. Lelaki tua itu akan mengabari ibunya bahawa dia meninggalkan Pak Cik Nam Gil sendirian selepas kerjanya selesai dan tidak memberitahu ke mana dia ingin pergi. Lantaklah kalau ibunya mahu marah sekalipun. Kini, tinggal dia sendirian di pulau yang indah ini tanpa teman. Jiran sebelah rumahnya juga masih belum dikenali. Dia masih belum mengenali siapa-siapa lagi di pulau ini kecuali… kecuali Eun Hee dan si kecil Ryu Min itu.

Dia masih teringatkan gadis itu. Kadang kala, Ji Hoon sendiri hairan dengan dirinya sendiri. Jatuh cinta? Dalam masa satu hari je? Akhirnya, dia juga yang akan khayal dalam mimpinya. Raut wajah Eun Hee sentiasa bermain dalam mindanya.

” Aku ni dah tak waras ke? Terkena cinta pada pandangan pertama,” katanya sendirian. Tubuhnya direbahkan ke pasir. Kaca mata hitam Rayban dibawa ke tepi. Matahari pada pagi ini masih belum terik lagi. Ji Hoon memejamkan matanya. Deru angin menyapa tubuhnya. Dia tersenyum senang. Bagus juga dia memilih Pulau Jeju untuk ‘menyorokkan’ diri daripada orang lain. Terutamanya ibunya dan juga Chae Rin yang masih mengejarnya. Selain dapat merehatkan minda, pantai di Pulau Jeju ini juga cantik.

” Eun Hee, Eun Hee,” katanya perlahan. Langit yang terhidang di hadapan matanya direnung. Tangan kirinya diangkat, seolah-olah ingin menggapai langit biru itu. Camar-camar berterbangan meredah langit.

” Bila lagi kita boleh jumpa, ye?” tanyanya lagi.

Angau benar dia dengan gadis itu. Ji Hoon ketawa kecil. Dia mula bersiul. Gembira sungguh dia sekarang. Langsung tidak memikirkan apa reaksi ibunya yang masih berada di Seoul jika mendapat tahu tentang khabarnya sekarang.

” APA?”

Bergema suara Presiden Park, pemilik rangkaian Royal Imperial Hotel itu dalam pejabatnya. Pak Cik Nam Gil tertunduk mengejut. Terkejut dengan suara wanita itu. Setiausaha Presiden Park, Shim Na turut terkejut. Wajah wanita awal 50-an itu merah padam. Hanya Da Wei sahaja yang kelihatan tenang.

” Dia tak cakap dia pergi mana?” tanya wanita itu lagi. Nada suaranya masih tidak berubah. Pak Cik Nam Gil mengangguk. Dia langsung tidak memandang wajah majikannya itu. Takut. Shim Na turut kaku pada tempatnya.
” Di… dia kata, puan jangan bimbang dengan dia. Dia akan kembali semula nanti. Cuma dia tak beritahu bila je,” tutur Pak Cik Nam Gil terketar-ketar. Presiden Park merengus.

” Budak ni suka betul kalau mak dia bimbangkan dia. Pergi manalah dia ni?”

” Mungkin hal Ji Hoon hilangkan diri ni ada kaitan dengan rancangan perkahwinan dia dengan anak Encik Lee tak?” usul Da Wei. Dia merupakan sepupu Ji Hoon dan turut bekerja bersama Presiden Park.

” Kalau betul pun, cakaplah terus terang yang dia tak nak kahwin dengan Chae Rin,” kata Presiden Park. Dia memicit kepalanya. Sakit kepalanya mula menyerang. Bagaimana kalau ada perkara buruk menimpa Ji Hoon? Ji Hoon satu-satunya pewaris yang dia ada.

” Apa kata kalau mak cik cuba telefon Ji Hoon. Mungkin dia angkat,” cadang Da Wei. Dia dan Ji Hoon membesar sama-sama dan Ji Hoon hanyalah setahun lebih tua daripadanya. Jarak rumah mereka yang dekat menjadikan Da Wei dan Ji Hoon seperti adik beradik. Apatah lagi Ji Hoon merupakan anak tunggal.

Presiden Park berdiri bercekak pinggang. Betul juga apa yang dikatakan oleh Da Wei itu. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Nombor telefon bimbit Ji Hoon didail. Mukanya berkerut menahan marah.

” Bertuah punya budak! Dahlah telefon pun tak diangkat!” Nombor Ji Hoon yang didail langsung tidak diangkat. Kalau tidak pun, suara operator sahaja yang menyambut di hujung talian. Telefon bimbit yang digenggam hampir hancur. Wajah wanita itu semakin merah. Marah yang ditahan semakin meningkat dan ingin meletus bagaikan gunung berapi.

” Park Ji Hoon!!!”

” ADUH!”

Ji Hoon segera bangun daripada baringnya. Dia melihat sikunya yang sakit terkena sesuatu. Ada tanda merah pada sikunya. Dia melihat pada pasir itu. Seekor ketam kecil sedang berada di tepinya. Ji Hoon tersenyum. Ketam kecil itu diangkat naik sama paras dengan matanya.

” Encik ketam rupanya. Kau tak nak pulang ke laut ke?” tanyanya sambil matanya fokus pada ketam kecil itu. Sepit ketam itu bergerak-gerak. Ji Hoon ketawa. Ketam kecil itu kembali diletak pada pasir. Sebaik sahaja mencecah pasir, terus sahaja ketam itu bergerak meninggalkannya. Rayban kembali dipakai.

” Hai, masa aku tengah khayal nilah ada halangan. Hai…” keluhnya lagi. Mentari di langit ditenung.

” Kau tentu tak ada masalah tentang perasaan, kan?”

Ji Hoon mengeluh. Tiba-tiba dia teringatkan Chae Rin. Teringat bagaimana gadis manja itu curang dengannya. Mereka bercinta ketika Ji Hoon berusia 21 tahun. Chae Rin manja orangnya malah dia lebih banyak berkawan dengan lelaki daripada perempuan. Pada mulanya, Ji Hoon tidak kisah apatah lagi dia sudah mengenali Chae Rin sejak kecil lagi. Ketika Chae Rin meluahkan perasaannya tidak lama dulu, Ji Hoon terus menerima gadis itu tanpa teragak-agak walaupun pada ketika itu tidak pernah terlintas cinta dalam hatinya. Dia cuba mencintai gadis itu. Namun, semuanya musnah sebaik sahaja Chae Rin melanjutkan pelajaran di luar negara. Dia bertemu dengan seorang pemuda Korea kacukan Jepun di sana dan sentiasa meluangkan masa bersama. Malah, Chae Rin juga yang memutuskan hubungan mereka.

” Emph! Aku tak perlukan perempuan yang tak setia dalam hidup aku. Mereka cuma akan menambah luka di hati je,” kata Ji Hoon sendirian. Dia tersenyum jengkel. Kini, Chae Rin kembali mengejarnya setelah dia berjaya melupakan gadis itu. Chae Rin jugalah yang beria-ria dengan perkahwinan mereka berdua.

” Walau aku sendirian seumur hidup pun aku takkan kembali pada perempuan macam tu,” katanya keras.

Ji Hoon bangun daripada duduknya. Jeansnya yang terkena pasir pantai ditepuk-tepuk sedikit. Dia mula berjalan meninggalkan pantai itu. Ingin kembali ke rumahnya.

TUBUHNYA ditolak kasar ke dinding. Lelaki itu mengerang kesakitan. Wajahnya dipaut kasar. Wajah bengis di hadapannya menggerunkan dia.

” Mana duit tu?” tanya lelaki berwajah bengis itu kasar.

” Aku… aku tak ada duit lagi. Tolong…”

Satu tumbukan hinggap di perutnya. Lelaki itu terduduk di atas lantai. Dia memegang perutnya yang senak. Lelaki berwajah bengis itu duduk mencangkung berhadapan dengan dia. Rambut lelaki itu ditarik kuat.

” Aku beri masa satu bulan untuk kau. Itu pun sebab aku dah lama kenal kau! Tapi, ingat! Lepas tempoh tu dan kalau kau tak bayar balik, aku akan ambil dia sebagai gantinya,” kata lelaki berwajah bengis itu lagi.

” Aku akan bayar! Aku akan bayar! Tapi, tolong… jangan libatkan dia dalam hal ni. Tolong, aku rayu pada kau,” rayu lelaki itu.

Lelaki berwajah bengis itu mendengus. ” Jangan lupa. Aku akan ambil dia sebagai gantinya kalau kau tak mampu bayar! Aku nak kau cuba bayangkan apa yang aku akan buat pada dia!”

Lelaki berwajah bengis itu menghentak kuat kepala mangsanya itu sebelum berlalu pergi. Raungan sakit mangsa tidak dihiraukan. Lelaki itu ditinggalkan dalam kesakitan. Dia cuba bangun tetapi tidak berdaya. Akhirnya dia terkapai-kapai sendirian.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: