Novel : Jangan offline cinta kita, sayang 1

Nama Pena : Azrie Idzmeer

“Excuse me, awak ni Nizar ke?”.
Nizar menoleh ke arah suara yang tiba-tiba menyapanya.
“Awak ni, Jiji?” Nizar bertanya pada gadis yang menegurnya tadi.
Gadis itu tersenyum lebar. Kemudian dia mengangguk-anggukkan kepalanya laju.
“Ya. Saya Jiji. Nice to meet you. Akhirnya, kita jumpa juga,” Jiji menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Nizar.
Nizar membalas senyuman Jiji dan mereka berdua saling bersalaman.
Tidak disangka-sangka. Selama lebih kurang tiga tahun berkenalan melalui internet, mereka akhirnya dapat bertemu mata buat kesekian kalinya.
“Dah lama tunggu?” Jiji bertanya pada Nizar.
“Taklah lama sangat. Saya faham. Awak naik LRT. Waktu sekarang ni, mesti ramai orang,” Nizar memaniskan bicaranya supaya Jiji tidak terasa hati.
Jiji tersenyum mendengar kata-kata Nizar itu. Sungguh bermakna dan manis sekali!
Nizar turut terikut senyum. Entah kenapa, pertama kali matanya memandang Jiji, ada satu perasan debar dalam hati.
“Jiji, cantik sungguh wajahmu,” detik Nizar di dalam hati.
Masih segar lagi dalam ingatan Nizar sewaktu awal perkenalannya dengan Jiji tiga tahun lepas.
Nizar seorang yang buta IT. Tidak pernah sekali cuba untuk menyentuh komputer di rumahnya. Bila kawan-kawan mengajaknya pergi ke cyber cafe untuk bermain online games, Nizar akan segera menolak. Nizar pernah ditertawakan rakan-rakannya kerana tidak tahu apa maksud software. Lebih melucukan, apa maksud keyboard pun, Nizar tidak tahu.
Desakan demi desakan dan tekanan demi tekanan yang dihadapi oleh Nizar akhirnya membuatkan Nizar terpaksa belajar juga selok-belok tentang komputer. Mujur adiknya membantu. Nizar banyak belajar tentang komputer dan juga penggunaan internet.
Semenjak itu, Nizar semakin mahir dalam penggunaan komputer. Setiap hari, kalau tidak disentuh komputer di rumahnya itu, memang tidak sah. Malah, Nizar lebih tahu tentang selok-belok komputer berbanding kawan-kawannya. Bila ada komputer kawan-kawannya mengalami masalah, Nizar orang pertama yang dicari. Nizar sudah tidak buta IT lagi. Malah celik secelik-celiknya!
Minat Nizar dalam bidang komputer dan kebijaksanaannya menggunakan internet membuatkan dia bertemu dengan laman sesawang paling popular masa kini. Myspace.com. Nizar adalah antara orang pertama yang menggunakan laman sesawang itu sebagai sumber untuk mencari kenalan baru di serata dunia.
Nizar masih ingat lagi. Jiji adalah antara orang pertama yang menjadi kenalannya dalam laman sesawang Myspace. Waktu itu mereka masih belajar di tingkatan dua. Gambar yang digunakan juga bukanlah gambar sebenar. Nizar menggunakan gambar David Beckham manakala Jiji menggunakan gambar Hello Kitty.
Pun begitu, Nizar dan Jiji tetap berkawan. Daripada perkenalan biasa-biasa, akhirnya lahir hubungan istimewa antara mereka. Kalau sehari mereka berdua tidak online bersama dan berbalas komen dalam Myspace, rasa macam ada yang tidak kena. Ada sahaja cerita yang hendak dikongsikan.
Banyak rahsia dan kisah suka duka saling mereka kongsi bersama. Jiji langsung tidak berasa kekok untuk menceritakan masalahnya kepada Nizar. Malah, Jiji suka menjadikan Nizar sebagai tempat mengadu nasib daripada kawan-kawan sekolahnya sendiri. Bagi Jiji, Nizar seorang lelaki yang baik dan jujur dalam persahabatan. Jiji sentiasa boleh bergantung pada Nizar.
Hubungan mereka berdua semakin lama semakin rapat. Gambar yang mereka gunakan juga bukan lagi gambar orang lain. Nizar tidak menyangka bahawa Jiji adalah anak orang kaya yang cantik dan pintar. Nizar pula orang-orang biasa dan tidaklah kacak sangat.
Nizar pernah cuba untuk memutuskan persahabatannya dengan Jiji kerana perasaan kekok hendak berkawan dengan anak orang berada. Jiji tidak berhenti daripada memujuk Nizar untuk tetap berkawan dengannya. Bagi Jiji, bukan pangkat dan harta yang menjadi ukuran. Sebaliknya, keikhlasan yang sepatutnya dititikberatkan. Atas alasan itu, Nizar semakin serasi dengan Jiji sehingga kini.
“Ni kamera yang awak nak pinjam tu,” Jiji menghulurkan sebuah kamera Canon EOS miliknya kepada Nizar. Kamera itu diambil dari beg yang dijinjit.
Nizar mengambil kamera tersebut dari tangan Jiji dengan penuh hati-hati. Kamera orang. Kalau rosak atau pecah nanti, habislah! Kamera Canon EOS itu paling murah pun mencecah sehingga seribu ringgit. Manalah Nizar mampu untuk membayar balik duit kamera itu kalau apa-apa berlaku nanti.
Nizar mahu meminjam kamera tersebut daripada Jiji kerana hari itu Nizar akan pergi ke jamuan pengawas sekolahnya bertempat di Restoran Bossa Nova, Parkroyal Hotel.
Pada mulanya, Nizar berasa berat hati hendak meminjam barang mahal daripada orang yang tidak pernah dia jumpa depan-depan. Namun, disebabkan Nizar bakal menamatkan persekolahannya nanti, rasa tidak seronok pula tiada kamera untuk mengabadikan kenangan terakhirnya bersama rakan-rakan sekolah.
Nizar cuba meminjam kamera Canon EOS milik abang sepupunya. Namun, abang sepupu Nizar tidak percaya akan Nizar. Katanya, Nizar bakal merosakkan kamera miliknya nanti. Disebabkan itu, Nizar terpaksa menebalkan muka untuk meminjam kamera tersebut daripada Jiji.
Mujur Jiji tidak kedekut dan percaya akan Nizar. Nizar hanya akan meminjam kamera itu untuk satu minggu sahaja. Selepas itu nanti, Nizar akan pulangkan semula.
Jiji tersenyum melihat Nizar yang takut-takut memegang kameranya.
‘Kalau pecah, papa boleh gantikan dengan yang baru,’ Jiji sekadar berbisik dalam hati.
“Terima kasih sebab pinjamkan saya kamera ni. Minggu depan saya pulangkan,” Nizar memberitahu Jiji. Jiji sekadar mengangguk tanda faham. Nizar sudah pun memberitahunya bila hendak dipulang kameranya itu dalam Myspace dua hari yang lepas.
“Awak jangan lupa janji awak pada saya, okey?” Jiji mengingatkan Nizar dengan janji yang telah dibuat.
Nizar cuba mengingat kembali apa janjinya kepada Jiji. Setahu Nizar, dia tidak berjanji apa-apa dengan Jiji. Janji apa, ya?
Jiji mula memuncungkan bibirnya. Sampai hati Nizar tidak ingat janji yang dibuat padanya dua hari yang lepas. Masa hendak pinjam kamera, kata-kata Nizar begitu manis sekali. Bila diungkit tentang janji yang sudah dibuat, tidak ingat pula.
“Jiji, janji apa?” Nizar bertanya. Hatinya sedikit rasa bersalah kerana Jiji sudah menarik muka masam. Silap hari bulan, kamera yang ada di tangannya itu terpaksa dipulangkan kembali.
“Kan awak dah janji nak keluar dengan saya minggu depan. Macam mana awak boleh lupa?” Jiji bertanya dalam nada yang seakan-akan hendak merajuk.
Nizar menepuk dahinya. Macam mana dia boleh terlupa janjinya itu? Sebagai membalas budi Jiji yang baik hati meminjamkan kameranya, Nizar telah berjanji untuk menghabiskan masa bersama Jiji minggu hadapan. Nizar sendiri yang membuat janji tersebut. Jiji langsung tidak mengharap apa-apa balasan atas kebaikan yang dilakukannya. Tapi, kalau Nizar sudah berjanji hendak keluar dengannya, Jijilah orang yang paling gembira sekali.
Maklumlah, selama tiga tahun perkenalan, baru hari itu mereka berjumpa. Itu pun kerana Jiji mahu menyerahkan kamera miliknya kepada Nizar. Kalau tidak, tiga tahun lagi baru mereka boleh berjumpa agaknya. Nama sahaja tinggal di Kuala Lumpur. Bila diajak berjumpa, masing-masing tiada masa.
Seronok juga bila dapat habiskan masa bersama Nizar. Jiji sudah mula berkira-kira dalam hati. Tengok wayang, jalan-jalan, window shopping, makan-makan. Seronoknya! Jiji makin teruja.
“Okey. Saya tak lupa. Kan saya dah janji?”.
Jiji tersenyum lagi mendengar kata-kata Nizar. Jiji sendiri tidak tahu kenapa. Pertama kali dia bertentang mata dengan Nizar, ada satu perasaan yang membuatkan hatinya tidak senang duduk. Berdegup kencang macam hendak ribut. Adakah Jiji sudah terpikat dengan Nizar? Tidak! Masih awal lagi untuk mereka saling jatuh cinta. Tapi, hati ini…
“Jiji, saya rasa saya dah lambatlah. Saya kena pergi sekarang,” Nizar mengerling ke arah jam tangannya. Sudah pukul dua belas tengah hari. Jamuan pengawasnya akan bermula jam satu nanti.
“Jamuan awak dekat mana?” Jiji bertanya.
“Parkroyal Hotel. Dekat BB,” Nizar menjawab.
“Oh BB. Saya nak pergi sana jumpa kawan-kawan. Bolehlah kita jalan sama-sama pergi sana ya?” Jiji bercadang. Sebenarnya dia sengaja mencari alasan untuk dapat meluangkan sedikit lagi masa bersama Nizar.
“Awak tak kisah berjalan kaki pergi sana? Awak boleh naik monorail,” Nizar memberi pendapat kepada Jiji. Rasanya lebih senang kalau Jiji naik sahaja monorail.
Jiji dan Nizar sekarang berada di stesen LRT Hang Tuah. Hanya bersebelahan dengan stesen monorail Hang Tuah. Lebih elok rasanya kalau Jiji pergi ke Bukit Bintang dengan menaiki monorail. Berhenti sahaja di stesen Bukit Bintang. Kasihan Nizar tengok Jiji. Tidak sampai hati rasanya melihat Jiji berjalan kaki sejauh satu kilometer dengan memakai kasut tinggi.
“Kalau awak naik monorail, baru saya naik ikut awak,” kata-kata Jiji itu seolah-olah mahu memerangkap Nizar.
Nizar sudah mula mengerutkan dahinya. Apa yang perlu dia buat? Jamuan sudah hendak bermula. Nizar ditugaskan menjadi jurufoto pada jamuan tersebut. Sebab itu Nizar beria-ia mendapatkan kamera Jiji.
Nizar meraba-raba poket seluarnya. Nizar cuba berkira-kira. Masih cukupkah wang belanjanya kalau hendak naik monorail? Nizar cuba mengingat semula.
“Saya belanja,” tanpa disuruh, tiba-tiba sahaja Jiji dengan rela hati hendak membelanja Nizar.
Alhamdulillah. Rezeki Nizar.
“Tak apa ke?” Nizar mahukan kepastian.
“Tak apa. Bukan selalu saya dapat belanja awak kan?” Jiji tersenyum nipis memandang Nizar. Nizar mengangguk-anggukan sahaja kepalanya bersetuju dengan kata-kata Jiji.
Tanpa membuang masa, mereka segera berjalan menuju ke stesen monorail Hang Tuah. Jiji dan Nizar seiring menaiki eskalator menuju ke kaunter tiket. Jiji terperasan Nizar sedang merenung wajahnya. Merah padam pipi Jiji bila Nizar memandangnya begitu. Jiji tidak berani menegur. Takut dia terperasan. Entah-entah Nizar melihat ke arah lain.
Nizar sememangnya sedang merenung wajah Jiji ketika itu. Nizar sendiri tidak tahu kenapa dia tidak bisa mengalihkan pandangan matanya ke tempat lain. Jiji benar-benar menawan hatinya.
Wajah Jiji seakan-akan bidadari. Kulitnya putih gebu. Matanya bulat bercahaya. Rambutnya beralun bagai ombak sesuai dengan gayanya yang feminin. Hidungnya mancung bak seludang. Bibirnya tidak pernah berhenti dari mengukir senyuman. Tubuh badan Jiji dari atas ke bawah cukup menawan. Potongan badannya tidak ubah seperti seorang peragawati. Pendek kata, Jiji sempurna pada mata Nizar.
Lamunan Nizar terbantut apabila dia dan Jiji sudah tiba di hadapan kaunter tiket. Jiji pantas mengeluarkan sekeping not berjumlah lima ringgit.
“Satu tiket Bukit Bintang,” kata Jiji kepada kakak yang menjaga kaunter ketika itu.
“Satu je?” Nizar bertanya pada Jiji.
Jiji mengangguk laju. “Satu je,”.
“Untuk siapa?” Nizar bertanya lagi.
“Untuk awaklah,”.
“Habis awak?”.
“Saya guna Touch ‘n Go,” Jiji menayang-nayangkan kad Touch ‘n Go-nya kepada Nizar. Nizar tersenyum malu melihat Jiji. Nizar lupa. Ramai yang menggunakan Touch ‘n Go sekarang. Tidak terkecuali Jiji. Nizar menepuk dahinya laju. Sepatutnya dia pun membeli satu kad Touch ‘n Go untuk dirinya.
“Terima kasih sebab belanja saya ya?” ungkap Nizar kepada Jiji.
Jiji tersenyum sahaja sambil menganggukkan kepalanya.
“Tak apa. RM 1.20 je. Tak luak pun duit saya,”.
Jiji dan Nizar berjalan ke arah mesin pengimbas tiket monorail. Nizar berdiri di belakang Jiji. Jiji meletakkan kad Touch ‘n Go-nya di atas pengimbas. Jiji berasa pelik apabila tiada bunyi ‘beep’ yang keluar dari mesin tersebut.
“Rosak ke?” tanya Jiji sendiri.
Nizar cuba melihat posisi tangan Jiji pada mesin tersebut.
“Salah tu,” Nizar berkata.
Nizar memegang lembut tangan Jiji dan membetulkan kedudukan kad Touch ‘N Go Jiji pada mesin tersebut.
Beep!
“Sekarang baru boleh masuk,” kata Nizar sambil tersenyum manis.
Jiji masih tidak berganjak lagi. Saat Nizar menyentuh lembut tangannya tadi, hatinya berdebar-debar. Perasaannya bercampur-baur. Adakah ini namanya cinta pandang pertama? Atau cinta sentuhan pertama? Jiji tidak pasti. Fikiran Jiji masih kusut dengan tanda tanya.
“Jiji? Awak tak nak masuk ke?”.
Lamunan Jiji terhenti apabila dia tersedar yang Nizar sudah pun berjalan menuju ke arah platform menunggu tren.
Jiji pantas berjalan mengekori Nizar dari belakang.
Sewaktu sedang berdiri di atas platform, Jiji langsung tidak bersuara. Nizar mula berasa pelik melihat perubahan yang mendadak dalam diri Jiji. Gadis ceria dan periang yang dikenalinya tadi tiba-tiba sahaja sunyi sepi tidak mengeluarkan bicara. Malah, senyumannya juga sudah mula mengendur.
“Jiji, are you okay?” Nizar bertanya.
Jiji berpura-pura mengukir senyuman untuk Nizar.
“I’m fine,”.
“Habis, kenapa awak diam?” Nizar bertanya lagi.
“Tak ada apa-apa. Sorry. Mesti bosan keluar dengan saya kan?”.
“Mana ada. Saya rasa selesa. Lagipun saya dah lama kenal awak. Cuma ni je first time berjumpa. Sebab tu kut, awak rasa kekok,” Nizar membuat andaian sendiri.
Jiji bersetuju dengan kata-kata Nizar itu. Mungkin Jiji sendiri yang berasa kekok. Bukannya Jiji tidak pernah disentuh oleh lelaki lain sebelum ini. Cuma, bila Nizar memegang tangannya tadi, hatinya terus berdebar-debar. Jiji berharap sangat perasaan debarnya itu boleh pergi.
Tidak lama kemudian, tren yang dinanti muncul. Jiji dan Nizar berpusu-pusu masuk ke dalam tren itu kerana ramai orang dari belakang yang menolak-nolak mereka.
Nizar dan Jiji saling memandang antara satu sama lain dalam tren. Mereka berdiri sahaja memandangkan tiada tempat kosong yang perlu diisi. Lagipun, stesen Bukit Bintang tidaklah jauh sangat dari Hang Tuah. Tidak perlu duduk. Berdiri sekejap sahaja.
Apabila tren mula bergerak, Nizar hilang keseimbangan dan hampir terjatuh menghempap Jiji. Mujur Jiji sempat menahan dan memeluk Nizar. Masing-masing tersentak dengan kejadian yang tidak disengajakan itu. Nizar segera melepaskan diri dari pelukan Jiji. Nizar membetulkan rambutnya. Orang ramai melihat sahaja adegan mereka tadi.
Jiji sudah semakin rasa tidak selesa. Apabila dia memeluk Nizar tadi, debar dalam hatinya terus hilang. Cuma sekarang ini, Jiji berasa bersalah. Apa pandangan Nizar kepadanya nanti? Jiji tidak mahu Nizar fikir yang bukan-bukan tentang dirinya.
Nizar berdehem.
“Sorry,” ungkap Nizar takut-takut. Dia turut merasa bersalah kerana hampir-hampir terjatuh menghempap Jiji tadi. Nizar takut Jiji akan menganggap perkara tadi sebagai gangguan seksual. Nizar memang tidak sengaja memegang Jiji tadi.
“Tak apa. Awak tak sengaja,” Jiji akhirnya meredakan keadaan dengan sedikit senyuman diberi kepada Nizar.
Nizar gembira kerana Jiji tidak marah padanya. Keadaan dalam tren yang sesak dengan orang ramai itu menyukarkan pergerakan Nizar dan Jiji. Malah, mereka berdua diam sahaja tidak bercakap. Bila bercakap nanti, pasti orang di sebelah dapat mendengar. Kurang privasi kalau hendak berbual dalam monorail. Jadi, lebih baik mereka mendiamkan diri saja. Tunggu sampai sudah tiba ke destinasi yang dituju.
“Bukit Bintang,” pengumuman dibuat melalui pembesar suara dalam tren itu.
Nizar dan Jiji bersiap sedia untuk keluar dari tren yang sudah seakan-akan seperti tin sardin itu. Mereka berdua menarik nafas lega kerana akhirnya dapat keluar dari tren yang begitu sesak tadi.
Nizar dan Jiji berjalan seiring menuruni anak tangga menuju ke Bintang Walk. Hari Sabtu begini, kawasan sekitar Bukit Bintang sesak dibanjiri ramai orang. Tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda, pelancong atau warganegara sekalipun, Bukit Bintang tetap menjadi tumpuan setiap kali tiba sahaja hujung minggu.
“Ada gula, adalah semut,” Nizar yang agak tersentak melihat keadaan penuh sesak di Bukit Bintang berperibahasa.
Jiji sekadar mampu tersenyum mendengar kata-kata Nizar. Boleh belajar peribahasa hari ini. Harap-haraplah peribahasa tadi keluar dalam SPM. Senang sedikit Jiji hendak jawab.
“Kerana gula tu manis, semut pun datang berhurung. Apa yang manis dekat BB ni sampai semua orang ke sini?” sengaja Jiji hendak menguji Nizar. Jiji ingin lihat sejauh mana daya pemikiran Nizar akan pergi. Kalau Nizar bijak, pasti dia mampu menjawab pertanyaan Jiji tadi.
“BB tak manis tapi awak ya,” dengan selambanya Nizar menjawab. Senyuman sinis sengaja diberikan kepada Jiji.
Merona merah pipi Jiji apabila Nizar berkata begitu. Lain jawapan yang hendak didengar, lain pula yang dijawab oleh Nizar.
Nizar tertawa kecil melihat Jiji sudah tersipu malu dengan kata-katanya tadi. Siapa bilang aku tidak mampu mencairkan seorang perempuan? Hana sudah silap besar! Nizar tiba-tiba teringat akan teman rapatnya di sekolah, Hana.
Dari dulu hingga sekarang, Hana tidak henti-henti memperlekehkan Nizar. Katanya, Nizar seorang yang tidak pandai memikat hati perempuan. Kata Hana lagi, mana-mana perempuan pun tidak akan tersangkut dengan Nizar. Ternyata Hana silap. Nizar akhirnya bisa mencairkan hati seorang perempuan. Hati Jiji.
“Err, mana hotel yang awak kena pergi tu?” Jiji cuba mengalihkan topik perbincangan. Jiji tidak berani bertentangan mata dengan Nizar.
“Dekat sebelah sana,” Nizar menunjukkan ke arah sebuah bangunan besar tidak jauh dari Lot 10.
Jiji mengangguk-anggukkan sahaja kepalanya tanpa memandang Nizar. Jiji masih berasa kekok lagi ketika itu selepas apa yang Nizar kata padanya.
“Awak nak jumpa kawan-kawan awak dekat mana?” Nizar pula yang bertanya pada Jiji. Nizar langsung tidak berasa apa-apa mengenai apa yang dikatakannya tadi kepada Jiji. Nizar cuma bercakap tentang apa yang dia rasa sahaja. Jadi, dia tidak perlu rasa kekok.
“Kita orang nak jumpa dekat Kitaro,” Jiji pula menunjukkan ke arah bangunan BB Plaza kepada Nizar.
Nizar menganggukkan kepalanya melihat bangunan itu.
“Kitaro? Tempat budak-budak hot,” Nizar bercakap dalam nada yang sinis. Keningnya dijongketkan sedikit.
Melalui pengamatan Nizar, Kitaro adalah sebuah restoran mamak yang terdapat dalam kawasan BB Plaza. Setiap hari Sabtu, hampir kesemua remaja yang masih bersekolah akan turun ke Kitaro untuk menghabiskan masa bersama. Nizar tidak suka ke situ. Kata Nizar, tempat itu kelihatan tidak ubah seperti pusat masalah sosial. Dengan tiada perasaan malu, para remaja yang melepak di situ merokok dan mengenakan pakaian-pakaian yang terdedah serta menjolok mata. Ada juga yang menghisap shisha. Kononnya, kalau hisap shisha, mereka akan kelihatan bergaya.
Nizar tidak menyangka yang Jiji juga merupakan salah seorang dari remaja yang suka lepak di Kitaro. Kalau Nizar tahu dari awal lagi, pasti Nizar menghentikan niatnya untuk terus berkawan dengan Jiji.
“Kenapa awak cakap Kitaro tu tempat untuk budak-budak hot?” Jiji yang masih tidak faham cuba bertanya.
Nizar pun menceritakan segala-galanya kepada Jiji. Dari awal hingga akhir. Nizar turut meluahkan rasa kesalnya kerana Jiji turut terlibat dalam gejala sosial yang berleluasa di Kitaro. Jiji tunduk malu apabila Nizar berkata begitu.
“Nizar…” Jiji memanggil Nizar.
“Awak tak perlu bela diri awak. Mungkin kehidupan awak di sana. Mungkin itu cara hidup awak…”
“Tidak! Bukan cara hidup saya. Cuma awak perlu tahu satu benda ni. Saya tak hisap rokok dan saya bukannya budak bermasalah. Saya ke sana sebab saya nak jumpa kawan-kawan saya. Salah ke? Awak ingat saya mudah terpengaruh dengan kawan-kawan saya yang bermasalah? Awak silap, Nizar! Awak silap!” Jiji memangkas kata-kata Nizar dan meluahkan pula perasaannya kepada Nizar.
Nizar terkedu mendengar apa yang Jiji katakan. Mungkin benar. Tidak semua orang yang ke Kitaro terlibat dalam gejala sosial. Nizar juga pernah ke sana. Kawan-kawannya semua merokok. Semua bergaul bebas tanpa ada rasa segan silu. Tapi Nizar tidak pernah merokok. Nizar sekadar melepak sahaja di situ. Mungkin Jiji juga seperti Nizar. Nizar mengeluh. Dia tidak sepatutnya menghakimi Jiji. Cara pemakaian Jiji pun tidaklah begitu menjolok mata dan menunjukkan yang Jiji itu seorang yang suka bersosial. Nizar dihimpit rasa bersalah kini.
“Jiji, saya minta maaf. Saya tak patut judge awak sampai macam tu,” Nizar bercakap dalam nada kesal.
Jiji diam sahaja. Jiji langsung tidak mahu memandang Nizar ketika itu. Orang ramai yang lalu lalang memerhatikan sahaja mereka membuat drama sebabak.
Jiji turut merasa bersalah sebenarnya. Jiji tidak sepatutnya terlalu emosional dan memarahi Nizar yang bukan-bukan.
“Saya pun minta maaf. Marah-marah awak masa first time kita jumpa. Macam budak-budak je, kan?” Jiji sudah mula mengukir senyuman. Senyuman yang menyejukkan pandangan Nizar.
Buat seketika, Jiji dan Nizar terdiam. Nizar memandang Jiji dan Jiji memandang Nizar. Tiada siapa yang dapat merungkaikan bagaimana perasaan mereka ketika itu. Ada rasa cinta yang tersemat dalam hati. Namun, mereka takut untuk meluahkan apa yang terbuku.
Telefon bimbit Nizar yang berdering membuatkan mereka terus terhenti dari lamunan. Jiji membetulkan rambutnya kerana cuba menutup perasaan malu merenung lama Nizar tadi. Nizar pula tergesa-gesa menjawab panggilan yang masuk itu.
“Helo?”

“Aku dah sampai. Kejap lagi aku datang,”

“Ok, bye!”.
Klik!
Talian dimatikan.
“Siapa yang call?” Jiji bertanya. Perasaan malunya tadi sudah hilang.
“Hana. Dia tanya saya ada dekat mana. Katanya, jamuan dah nak mula,” sambil tersenyum, Nizar bercerita. Telefon bimbitnya kembali disimpan di dalam kocek seluar.
Melihat senyuman yang melebar yang diukirkan oleh Nizar dan nama Hana yang disebut oleh Nizar tadi membuatkan Jiji sedikit berasa kecewa. Siapa perempuan itu? Kenapa aku tidak tahu Nizar sudah berpunya? Jiji cemburu.
“Siapa Hana tu?” sambil menyilangkan tangannya, Jiji bertanya. Lagaknya tidak ubah seperti dia teman wanita Nizar.
Nizar mengerutkan dahinya melihat Jiji. Kenapa Jiji berkelakuan seperti orang cemburu?
“Awak cemburu ya?” Nizar cuba memerangkap Jiji.
Jiji mula tersedar yang dia sudah tersalah cakap. Sekarang ini, Nizar sudah terperasan yang Jiji cemburu. Aduh! Malunya! Gumam Jiji dalam hati.
“Eh, mana ada! Saya cuma tanya saja,” Jiji cuba membela diri. Matanya masih takut untuk bertaut pada pandangan Nizar.
Nizar tersenyum mendengar kata-kata Jiji itu. Nizar tahu Jiji sebenarnya cemburu. Terasa bangga pula melihat Jiji yang sudah kelihatan seperti menyimpan perasaan terhadapnya.
“Awak jangan risau. Saya belum berpunya. Hana tu kawan saya,” kata-kata Nizar sedikit sebanyak melegakan perasaan Jiji. Jiji cuba menyembunyikan rasa gembiranya bila Nizar berkata begitu.
Nizar mengerling lagi ke arah jam tangannya. Tinggal lagi beberapa minit sebelum jamuan pengawas berlangsung. Nizar memandang Jiji dan mengukir senyuman yang melebar.
“I gotta go. I’ll see you next week okay?” Nizar menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Jiji.
Jiji membalas senyuman Nizar dan buat kali keduanya mereka bersalaman.
“Jangan lupa janji awak nak keluar dengan saya, ya?” Jiji berpesan lagi kepada Nizar.
Nizar mengangguk laju. “Jangan risau. Saya tak lupa,”.
Nizar kemudian meminta diri untuk pergi ke jamuan pengawasnya. Jiji ditinggalkan seorang diri di hadapan stesen monorail Bukit Bintang. Jiji memerhatikan sahaja Nizar membawa kameranya pergi. Jiji gembira dapat berjumpa dengan Nizar. Akhirnya, tercapai juga hajat mereka. Semoga minggu hadapan, pertemuan mereka akan lebih manis dan harap-harap, romantis!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: