Novel : Khilaf Semalam 3

Nama Pena : pena biru

Motosikal Yamaha 125z sudah bersih dicuci. Malah sudah dikeringkan sejak pagi lagi. Dua buah topi keledar sudah berada di atas bangku di anjung rumah. Beberapa minit tadi enjinnya dihidupkan lalu berderuman sementara menanti penunggang dan pemboncengnya datang. Asap-asap putih mula berterbangan di udara.
“Qiss pergi dulu ye, bu.”
“Yelah. Kirim salam dengan mama ye. Abul duduk sana jangan membuta aje.”
Hasbul Warits angguk sambil tersengih lalu dia menyalami ibunya selepas isterinya berbuat begitu. Dia kemudian menggalas begnya di depan. Topi keledar disarungkan ke kepala. Sebuah lagi dihulurkan kepada isterinya. Liyana Balqis tidak kekok memakai topi keledar sendiri. Selama ini dia juga menunggang motosikal.
“Ibu, jalan dulu ye.”
Sebaik sahaja Liyana Balqis duduk di atas motosikal, Hasbul Warits mula menggerakkan motosikal kesayangan. Tanpa disuruh Liyana Balqis memeluk pinggang suaminya. Keadaan tempat duduk yang agak senget menyebabkan Liyana Balqis terdorong ke depan dan rapat ke tubuh suaminya.
“Jangan laju-laju.”
“Tak sempat nak laju pun dah sampai.”
Liyana Balqis mencebik. Memang tidak dinafikan perjalan antara rumah kedua-dua mereka tidak jauh. Tetapi sebuah jalan besar cukup untuk menunjukkan bahawa untuk pergi ke rumah mereka terpaksa melalui sebuah jalan yang sibuk. Tetapi untuk mengatasi kesibukan ini, ada jalan pintas lain yang lebih selamat. Jalan kampung. Tetapi agak lama masa yang perlu di ambil untuk tiba ke destinasi.
“Nak beli gula-gula kat Yaya. Tapi tak nak kat kedai kampung tu.”
“Nak pergi pekan sekejap? Boleh beli buah ke apa-apa.”
“Okey.”
Hasbul Warits membelok motosikalnya menuju ke pekan. Memang niatnya mahu ke pekan dahulu membeli sedikit buah tangan buat keluar mertua. Walaupun ibunya ada mengirimkan sedikit makan, baginya itu tidak mencukup. Dia mesti menambah sedikit buah-buahan bersama makanan itu.
Tidak berapa lama kemudian Hasbul Warits memberhentikan motosikalnya di depan sebuah pasaraya. Liyana Balqis turun lalu membuka topi keledar dan menyerahkan kepada suaminya. Selepas memakir motosikal dan menyimpan topi keledar mereka melangkah masuk ke dalam pasaraya bersama-sama.
“Wow, pengantin baru datang shopping.”
Pasangan suami isteri ini terserempak. Sergahan dari teman sekelas membuatkan Liyana Balqis segera melajukan pergerakan kakinya ke bahagian makanan ringan. Hasbul Warits terperangkap dengan dua gadis yang menyapanya. Hendak melarikan diri, ke mana? Hendak melayan, dia tidak tahu apa harus dia katakan kepada dua gadis ini.
“Abul, janganlah malu. Kami berdua aje la.”
“Bukan malu. Tapi segan. Macam mana pulak boleh jumpa korang kat sini?”
“Hello brother, kami kan partime sini.”
Lelaki itu menggaru kepala. Walaupun hampir setiap minggu dia terserempak dengan mereka berdua di sini tetapi ingatannya agak kabur. Semuanya gara-gara menjadi suami Liyana Balqis. Dia jadi kelu apabila bertemu rakan-rakan sekelasnya dahulu. Lain dengan Liyana Balqis, isterinya itu akan melarikan diri. Seperti pada hari perkahwinan mereka, apabila mendapat peluang masuk ke dalam bilik dia pasti akan terus menguncikan diri di dalam. Tiada seorang pun di antara mereka dapat bertemu dengan isterinya itu.
“A’ah lupa pula aku.”
“Kau cakap dengan isteri kau, jangan sombong sangat. Nampak kami pun lari. Padahal dulu BFF kot. Kirim salam kat dia.”
Sekali lagi Hasbul Warits tersengih sambil menggaru kepala. Sukar untuk dia memberi komen berkenaan dengan isterinyan itu. Lalu dia memohon untuk beredar. Dia mahu mencari Liyana Balqis yang sudah menghilang di sebalik rak-rak di dalam pasaraya itu. Mujurlah pasaraya ini agak tersusun dan mempunyai lorong-lorong yang tidak disekat dengan barang-barang yang belum disusun.
“Qiss…”
“Nak beli apa lagi? Gula-gula Yaya dah dapat.”
“Buah. Budak berdua tu kirim salam. Katanya jangan sombong.”
Liyana Balqis mencebik. Kalaulah dia ada kekuatan untuk bersemuka dengan mereka, pasti dia akan terangkan satu persatu apa yang sebenarnya berada di benak fikiran. Tidak terlintas langsung di minda mahu menyombong dengan rakan sekelas apatah lagi sahabat-sahabat baiknya yang sentiasa bersama.
“Waalaikumsalam. Cepatlah ambil buah, jom pergi bayar.”
“Okey.”
Menonong Hasbul Warits menuju ke tempat buah-buahan. Kemudian dia memilih beberapa jenis buah untuk kelurga mertuanya. Selepas selesai membuat pilihan dia segera menuju ke kaunter untuk membuat bayaran. Liya Balqis turut meletakkan gula-gula yang diambilnya tadi. Mulanya dia mahu membayar sendiri, tetapi suaminya terlebih dahulu membayar untuk setiap barangan yang diambilnya. Dia akur lalu menyimpan kembali wang ke dalam dompet.
“Qiss, jangan lupa sehari sebelum tahu keputusan SPM kita makan-makan tau.”
Senyuman kelat menghiasi wajah Liyana Balqis. Tidak sangka masih bertemu dengan Kazrina dan Diera. Tanpa banyak bicara Liyana Balqis mengambil barang yang dibeli dan terus melangkah meninggalkan kaunter. Tidak sanggup hendak berdepan dengan mereka lama-lama. Dia malu.
“Sorry, maybe dia malu dengan kau.” Ujar Hasbul Warits membela isterinya.
Apabila sampai ke tempat meletakkan motosikal segera lelaki itu mengambil topi keledar dan dihulurkan kepada isterinya. Barang-barang yang dibeli dimasukkan ke dalam beg yang digalas. Manakala bungkusan buah-buahan dipegang oleh Liyana Balqis. Bungkus itu agak besar sedikit. Tidak muat untuk dimasukkan ke dalam beg yang digalas oleh Hasbul Warits.
“Qiss malu. Selepas kita kena tangkap dengan Tok Aki, Qiss dah tak jumpa lagi dengan mereka. Qiss tahu mesti mereka fikir bukan-bukan.”
“Kita je tau apa kita buat.”
Berderuman enjin kedengaran. Kepulan asap putih teringgal dibelakang. Liyana Balqis memeluk pinggang suaminya. Dia bersandar pada tubuh lelaki itu sambil menongkat dagu pada bahunya. Sesekali dia terasa sangat selesa menjadi isteri Hasbul Warits. Tetapi adakalanya dia merasakan pernikahan mereka adalah satu kesilapan.
“Abul…”
“Ye…”
Agak lama Hasbul Warits menanti kalau-kalau isterinya itu mahu berbicara, tetapi tiada sepatah pun perkataan yang terbit. Lantas dia membiarkan sahaja semuanya tergantung. Mungkin Liyana Balqis masih mencari-cari ayat yang sesuai untuk diucapkan kepanya. Mungkin juga Liyana Balqis terlupa apa yang mahu dikatakannya.
Sedar tidak sedar, Hasbul Warits sudah membelok ke halaman rumah Cikgu Luth Bakri. Kelihatan si kecil Yaya sedang bermain buaian manakala bapanya pula sedang menikmati minum petang bersama keluarga yang lain. Sebaik sahaja enjin dimatikan, salam diberi. Senyuman dari ibu mertuanya terukir sambil menjawab salam.
“Dah sampai pun.”
“Pergi pekan dulu tadi.”
Hasbul Warits membongkok menyalami ibu mertuanya. Kemudian beralih kepada Cikgu Luth Bakri. Lelaki itu tidak menyambut tangannya menyebabkan dia cemas seketika. Liyana Balqis juga turut kaget melihat tindakan bapanya. Puan Asyikin juga turut buntu melihat tingkah suaminya.
Seketika sunyi sepi, Cikgu Luth Bakri tertawa kecil melihat wajah anak menantunya. Dia menyambut salam Hasbul Warits sambil tergelak. Senyuman turut terukir pada wajah si menantu. Terasa lega apabila bapa mertuanya hanya bergurau dengannya.
“Abah gurau aje. Bawa beg ni simpan dulu kemudian turun minum. Mama buat karipap sambut menantu balik sini.”
Terkekeh-kekeh dua adik perempuan Liyana Balqis melihat telatah mereka. Lisa Diana dan Lina Azreen sejak tadi diam melihat orang dewasa berdrama. Selepas gurauan secara selamba bapanya barulah mereka mengekek tergelak.Bukan mudah melihat Cikgu Luth Bakri bergurau dengan orang yang pernah bersalah dengannya. Mungkin Hasbul Warits lain dari yang lain. Jadi marahnya kepada lelaki itu tidak berlanjutan. Malah Liyana Balqis juga tidak dilayan sedingin dahulu.
“Abah ni macam Raja Lawak.” Ujar Lisa Diana.
“Sikit-sikitlah.”
“Abah Qiss naik dulu.”
Hasbul Warits membontoti isterinya. Terasa tenang sedikit melihat keluarga ini bergelak ketawa. Dia terlalu risau akan penerimaan keluarga ini. Namun semuanya berbeza. Seperti mana Liyana Balqis diterima dalam keluarganya, begitu juga dia. Pesanan ibu dan ayah sentiasa dia ingtan. Dia harus mengambil hati keluarga Liyana Balqis jika tidak mahu salah faham berlaku.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: