Novel : Terasing 1

Nama Pena : sofi

Sufiah menyanyi-nyanyi kecil ketika memasuki pekarangan rumah berkembar dua tingkat milik keluarganya. Hari terakhir persekolahan penggal pertama telah tamat. Sekolah akan mula bercuti selama tiga minggu sebelum dibuka semula pada bulan Jun nanti. Waktu itu, dia dan sahabat-sahabatnya akan memperolehi markah dan keputusan bagi Peperiksaan Pertengahan Tahun yang baru sahaja selesai diduduki.

Untuk sehari dua, Sufiah ingin berehat dahulu. Ingin melupakan buku buat seketika. Dia dan sahabat karibnya, Adilah, telah berangan-angan untuk mengisi masa terluang dengan berjalan-jalan ‘window shopping’ dan menonton wayang bersama-sama!

Dia masuk melalui pintu dapur seperti kebiasaannya. Di dapur, dia melihat emak sedang menggoreng sesuatu di dalam kuali. Sufiah tersenyum, kerana dia tahu, tentulah emak sedang menggoreng cucur badak, kuih kesukaannya, seperti yang dijanjikan pagi tadi.

Mak Nab menoleh ke arah Sufiah. Gadis sunti itu sedang membuka stokin sambil menyanyi-nyanyi kecil. Tersenyum dia melihat gelagatnya.

“Amboi-amboi! Senang hati nampak? Macam baru lepas jumpa buah hati aje!” usiknya sambil mengangkat beg sekolah Sufiah dan diletakkan di atas kerusi.

Teguran Mak Nab mengejutkan Sufiah. Gadis itu segera tersengih. Barisan giginya yang cantik dan teratur, kelihatan. Manis sekali. Apatah lagi senyuman itu menghadirkan lekuk lesung pipit di pipi kanan. Memang menarik!

“Pandailah, mak. Sufi ni kan budak kecik lagi? Masih sekolah! Baru tingkatan lima. Jadi mana mungkin Sufi ada buah hati! Macamlah mak tak tahu!”

Mak Nab ketawa mendengar jawapan itu.

Sufiah memerhati sekeliling.

“Senyap aje rumah ni, mak? Mana dia orang semua pergi?”

Lehernya dipanjangkan ke ruang tamu. Biasanya petang-petang begini mama akan berada di situ membaca majalah. Mama akan duduk di atas sofa dengan gaya yang cukup memikat menunggu papa balik dari pejabat. Sebaik papa sampai, mereka berdua akan ke ruang makan sebelum kedua-duanya naik berehat di atas. Tetapi pada hari ini kelibat mamanya tidak kelihatan seperti selalu. Ke mana pula dia telah pergi?

“Mama demam ke, mak? Kenapa dia tak duduk di situ macam selalu?”

Sebagai anak, Sufiah bimbang bila keadaan sedikit berbeza hari ini. Hati semakin resah menunggu jawapan yang tidak kedengaran dari bibir Mak Nab. Lama dia menanti tetapi suara Mak Nab tidak juga didengari. Dahi dikerutkan bila dia menoleh ke arah wanita tua itu semula.

“Mak, kenapa diam? Sufi tanya mak ni. Mama mana? Kan ke dia selalu duduk di sofa tu petang-petang begini?”

Mak Nab melepaskan keluhan. Hatinya tidak tergamak untuk memberitahu ke mana mama anak gadis ini telah pergi bersama-sama papa dan kakaknya. Dia bimbang gadis comel berumur 17 tahun ini akan berkecil hati bila mendapat tahu apa yang telah keluarganya lakukan. Dia kasihankan Sufiah.

Sufiah dapat mengesan keresahan emaknya. Keluh kesah emak dapat difahami. Emak tidak mahu bertentang mata dengannya. Tentu ada sesuatu yang disorokkan. Tentulah tentang papa, mama dan Linda. Dan hati sudah dapat meneka!

“Dia orang dah pergi, kan! Papa, mama dan Linda dah pergi dulu. Dia orang tak tunggu Sufi pun!” Katanya dalam nada sedih.

Wajah orang gaji yang dipanggil emak itu direnung tajam. Melihat wajah emak yang kelat, dia tahu tekaannya tepat. Mak Nab kegelisahan. Mak Nab tidak mahu membalas renungannya!

Mak Nab ialah orang gaji papa dan mamanya namun bagi Sufiah, Mak Nab ialah ibunya. Dia memanggil orang tua yang berumur lima puluh tahun itu mak, kerana sejak kecil perempuan ini yang memelihara dirinya. Wanita tua di hadapannya inilah yang telah membesarkan dia selama ini. Wanita tua inilah yang menumpahkan seluruh kasih sayang kepada dirinya. Kasih sayang seorang ibu!

“Mama tu takut kalau-kalau Sufi nak ikut dia orang bertiga. Macamlah Sufi teringin sangat nak pergi.” Nada bertukar pula kali ini. Kalau tadi bunyinya sedih kini ia menjadi marah pula.

“Kali ini, dia orang pergi ke mana pulak, mak?”

Soalnya lagi sambil membuka peti ais. Dia tunduk, pura-pura mencari sesuatu di dalam bekas yang sejuk itu walaupun sebenarnya, dia sedang menahan diri supaya tidak menangis.

‘Sufi, jangan nangis! Malu kalau mak nampak! Sabarlah! Lagipun buat apalah nak sedih-sedih. Ini bukan kali pertama mama, papa dengan Linda tinggalkan ko!” kata hati memujuk diri.

“Maafkan mak, sayang. Mak pun baru tahu pagi tadi. Itupun sebab mama kamu suruh mak telefon teksi. Nak tanya, diaorang tengah kelam kabut mengemas. Bila teksi sampai, baru papa bagi tahu mak yang dia orang nak ke Itali. Entahlah, Sufi. Kalau mak tahu lebih awal…….”

“Apa yang mak nak buat? Paksa dia orang bawak Sufi? Hai, mak ni! Sejak bila mereka tu nampak Sufi kat dalam rumah ni?”

Sufiah adalah anak majikannya. Anak mereka yang nombor dua. Yang bongsu! Namun kehadirannya tidak pernah diendahkan. Sejak dia dilahirkan, Sufiah bagaikan bukan anak Syed Nazri dengan Syarifah Rahmah. Sufiah seolah-olah adalah anak kandung Mak Nab. Anak kepada orang gaji!

“Sufi memang dah tahu dia orang nak pergi cuti sebab Linda ada jugak cakap. Tapi Sufi tak tanya pulak dia orang nak pergi mana. Malaslah nak ambil pot. Lagi pun mak bukan tak tahu si Linda tu. Lain yang Sufi cakap, lain yang dia beritahu mama. Sudahnya mama marahkan Sufi tak tentu fasal pulak.”

Sufiah cuba menenangkan hati. Memujuk agar tidak kecewa. Dia tahu Mak Nab sedang memandang dirinya dengan wajah sayu. Entah apalah yang emaknya sedang fikirkan, dia tidak tahu.

“Mak, cuba mak cakap pada Sufi. Cakap betul-betul! Sufi ni bukan anak kandung papa dengan mama ke?”

“Sufi, kenapa tanya soalan macam tu?” Soalnya.

Sufiah ketawa melihat telatah Mak Nab yang kalut.

“Habis tu, nak tanya soalan macam mana lagi? Tentulah Sufi hairan, mak. Dah 17 tahun umur Sufi ni. Tapi seingat Sufi, mama tu tak pernah cium pipi ni walaupun sekali. Nak peluk? Jangan harap! Nak cakap baik-baik dengan Sufi? Langsung tidak! Sebab itulah Sufi tanya. Manalah tahu kut-kut Sufi ni anak pungut ke?”

Mak Nab menjawab dengan tegas. “Tentulah Sufi anak mama, anak papa, sayang! Sufi darah daging diaorang! Hisy kamu ni! Ada ke tanya mak soalan merapu macam tu!”

“Tapi, mak. Sufi tak pernah rasa diri Sufi ni anak mama. Mak tahu tak?” Rintih Sufiah hiba. “Dalam hidup Sufi, dalam rumah ni, mak aje yang rapat dengan Sufi. Dari kecik, Sufi tidur dengan mak. Dari kecik, mak yang suapkan Sufi makan. Mak yang bagi Sufi mandi. Mak yang siang malam berjaga bila Sufi demam. Mak yang buat semua yang sepatutnya mama buat untuk Sufi.”

Suara menjadi perlahan bersama getar tangisan.

“Mama? Mama tak pernah mahu bercakap dengan Sufi. Penting macam mana pun, dia tak akan cakap. Kalau ada yang dia nak komplen, mesti dia cakap melalui mak. Tapi bab mengamuk bagi pada dia. Macam-macam keluar daripada mulut dia tu bila dia nak maki Sufi. Habis tu, macam mana pulak Sufi ni jadi anak dia bila semuanya mak yang buat untuk Sufi? Bila Sufi ni macam musuh dia?”

Hati memang sentiasa sedih. Mama tidak pernah bersikap adil kepadanya. Kasih sayang tidak pernah ditunjukkan. Salahkah kalau dia berfikir yang bukan-bukan?

Melihat mak Nab yang terkedu, Sufiah menyambung rintihannya.

“Papa pun sama. Kalau mama tak nampak, barulah nak tanya khabar. Kalau tidak, jangan harap. Kalau mama ada, langsung tak pedulikan Sufi. Macamlah Sufi ni ada AIDS. Si Linda tu pun satu hal jugak. Dari kecik lagi, Sufi dah jadi musuh dia. Tempat dia membuli. Seingat Sufi lah, dia selalu menjerit-jerit beritahu kawan-kawan dia yang Sufi ni bukan adik dia.”

Air mata cuba ditahan walau dada terlalu sebak. Sudah terlalu lama soalan-soalan ini bermain di benaknya. Sejak dia boleh berfikir lagi. Semakin hari, semakin dia merasakan dirinya jauh daripada keluarga. Semakin hari, diri dirasakan bagai anak yang terbuang. Semakin hari, dia merasakan betapa dirinya tidak diperlukan dalam rumah ini.

Apa salahnya? Apa dosanya? Apa kecacatannya sehingga menyebabkan sampai begitu sekali sikap papa, mama dan Linda kepadanya? Dia cuma ingin tahu satu jawapan yang mudah untuk soalannya.

Mengapa dirinya bagai orang asing di sini?

“Syarifah Sufiah! Janganlah fikir yang bukan-bukan. Sufi memang anak papa dengan mama. Bukan anak orang lain. Bukan anak angkat! Bukan anak pungut!” pujuk Mak Nab sambil mengusap rambut Sufiah. Cuba mententeramkan perasaan anak manjanya itu.

“Dalam rumah besar ni, Sufi tak ada bilik pun, mak! Kadang-kadang sedih jugak bila Sufi naik mengemas bilik Linda yang besar tu! Dalam bilik dia tu ada banyak teddy bear, ada banyak anak patung tapi Sufi tak dapat semua tu!”

“Sufi…..”

“Sejak kecik, Sufi tidur dengan mak dalam bilik tu!” Pintas Sufiah sambil ibu jari menuding ke arah bilik orang gajinya. Dalam bilik itulah dia tidur bersama Mak Nab. Dalam bilik itulah dia membesar.

Ini ialah mahligai keluarganya. Namun sebagai anak, dia tidak punya bilik semewah Linda. Salahkah kalau dia merasa iri? Salahkah?

“Mak jangan salah sangka. Sufi bukan marahkan mak. Sufi cuma ingin sangat nak tahu sebab itu. Sebab mengapa mama dengan papa buat Sufi macam orang asing. Itu aje! Mungkin bila Sufi dah tahu sebabnya nanti, Sufi tak lagi persoalkan tindakan diaorang yang tak adil pada Sufi.” Desahnya.

Mak Nab tidak tahu apa yang harus disahutnya. Tidak juga tahu bagaimana hendak memujuk.

“Sejak lama, Sufi sentiasa pujuk hati ni. Sufi selalu ingatkan diri bahawa tak apa kalau Sufi tak dapat semua yang Linda ada. Tak apa kalau Sufi tak dapat semua tu sebab selama ini pun papa tak pernah lupakan Sufi. Dalam diam dia tu, dia tetap masukkan RM300 dalam akaun Sufi setiap bulan. Duit Sufi cukup banyak. Tapi, duit aje tak kan dapat menandingi kasih sayang papa dengan mama. Betul kan, mak?”

Dari kecil, kehadirannya tidak diendahkan sesiapa kecuali Mak Nab.

Linda, kakak sulungnya ditatang bagaikan minyak yang penuh. Dia? Tiada kata-kata dapat menggambarkan kelukaan.

Linda memiliki segala-galanya. Dia? Tidak ada satu pun dalam rumah ini adalah haknya.

Kakaknya dihantar ke sekolah ternama di ibu kota. Dia? Berjalan kaki ke sekolah biasa di pinggir taman.

Keputusan peperiksaannya mungkin tidak sebaik keputusan yang diperolehi Linda tetapi dia masih antara pelajar yang cemerlang di sekolah namun tidak ada kucupan untuknya malah tidak ada ucapan tahniah juga. Mama tidak pernah ambil tahu. Tidak pernah peduli apa pun juga keputusan yang dia dapat!

Sufiah rasa terpinggir. Dirinya bagaikan melukut di tepi gantang dalam rumah itu. Kehadiran tidak dirasai, kehilangan tidak memberi erti!

“Sufi bukan sesiapa kepada dia orang, mak!” Katanya dan pada ketika itu, air jernih sedang menitis jatuh menuruni pipi. Walau cuba ditahan, ia turun juga, menangisi nasib diri.

Dia anak orang kaya yang malang!

Mak Nab amat memahami perasaan Sufiah. Setiap yang berlaku disedarinya. Memang sejak lahir, dialah ibu kepada gadis ini. Mamanya tidak pernah peduli. Mamanya tidak menyayangi. Mamanya membenci. Memang sesuatu yang ganjil bila difikirkan tetapi itu adalah kenyataan yang pahit untuk seorang gadis bernama Syarifah Sufiah Syed Nazri.

“Mak tentu tahu rahsia itu!” Sufiah merenung tajam ke arah Mak Nab. Satu renungan yang ingin mencungkil rahsia.

Mak Nab gelisah.

“Rahsia apa, Sufi? Janganlah tuduh mak macam tu. Dah berapa kali mak beritahu, mak tak sembunyikan apa-apa daripada Sufi. Percayalah!” Katanya sambil menutup api gas. Dia ingin membancuh kopi untuk mereka berdua minum.

Sufiah mengeluh. Setiap kali itulah yang Mak Nab jawab.

Dia tak tahu. Tak ada rahsia tentang Sufiah yang disembunyikan. Betulkah?

Melihat Mak Nab yang masih membisu, dia cuba berlagak bagaikan soalan yang dikemukakan tadi tidak lagi penting baginya.

“Tak apalah kalau mak tak nak beritahu. Sufi tak kisah. Lagi pun, Sufi dah besar. Sedikit sebanyak, Sufi dah lali dengan sikap mereka bertiga pada Sufi. Sufi dah malas nak fikir. Sufi yakin, suatu hari nanti pasti Sufi akan tahu juga rahsia yang tersembunyi tu. Satu hari nanti, Sufi tentu akan tahu siapa diri ni. Masa tu Sufi akan tau kenapa mama, papa dan Linda benci Sufi.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: