Novel : Jiranku Kekasihku 16

Nama Pena : Mel Mellisa

Aku pulang ke kampong hari ini untuk berbincang dengan emak mengenai aku dan ‘menantu’pilihannya itu. Mengenai keputusan kami yang merancang untuk hidup bersama. Kepulangan aku ini juga adalah memberi ‘kezutan’ kepada emak mengenai status sebenar ‘menantu’ pilihan dia. Aku akan ceritakan tentang susur galur…eh, bukan susur galur! Tapi keturunan dan asal usul ‘menantu’ pilihan dia. Aku sebenarnya takut kalau emak tak terima disebabkan abang tu keturunan berdarjat begitu. Daripada menjadi menantu pilihan, terus tidak jadi disebabkan perbezaan darjat kami. Malah, aku juga takut emak terkejut dan tidak percaya mendengar berita ini. Emak aku tu sudahlah ada penyakit lemah jantung. Nanti tidak pasal-pasal aku berkampung di hospital pulak. Ish! Minta simpang.! Tapi, hati aku tetap berdebar-debar juga aku menanti apakah reaksi emak atas apa yang aku cakapkan itu.

Aku ingatkan emak akan terkejut mendengar berita yang aku nak sampaikan ni, sebaliknya aku yang terperanjat beruk. Macam nak bersilat aku bila mak katakan yang dia sudah lama mengetahui tentang siapa abang, dari mana dan keturunan apa. Semua dia dah tahu. Apa lagi, melopong selopong-lopongnya mulut aku ni dengan mata yang terbeliak tidak percaya.

“Macam mana mak tahu?”
Aku bertanya inginkan kepastian. Aku hairan juga, siapa yang beritahu emak pasal abang. Takkan dia bagitahu sendiri kot sedangkan dia yang beriya-iya suruh aku beritahu emak cepat.
Emak tersenyum simpul padaku. Bersimpul-simpul aku tengok senyuman dia tu.

“Siapa lagi, cik abang awaklah yang bagitahu.”
Balas emak sambil menepuk bahuku. Dia terus berlalu ke sinki untuk membasuh cawannya. Terkejut lagi aku. Kali ini terus meniti sehingga ke tahap maksima bila emak mengatakan dia sendiri yang bagitahu emak. Ni yang aku baran ni. Mulalah hidung aku kembali nak kembang kempis. Hsnnfftt…

“Bila dia bagitahu mak?”
Aku bertanya tidak puas hati. Memang aku tidak puas hati dengannya. Semalam bukan main melenting lagi bila aku cakap aku belum bagitahu emak. Beriya-iya serius mukanya bila memarahi aku semalam. Tengok, rupa-rupanya dia sudah beritahu emak siapa sebenarnya diri dia yang sebenar. Ish, pandai betul dia berlakon dengan aku semalam. Kalau dia ada dekat depan mana aku sekarang, mahu aku silambam muka dia tu.

“Mak tahu mak, punyalah dia mati-mati marah kat akak bila akak cakap akak belum beritahu mak pasal kami. Rupa-rupanya dia dah beritahu emak dalam diam. Bengangnya akak mak! Ya Allah Ya Tuhanku!”
Emak ketawa mendengar luahan amarahku pada menantu pilihannya itu. Makin lama makin meleret tawanya. Sambil itu, kepalanya digelengkan juga. Aku hanya memandang emak sekilas. Dalam hati bergunung-gunung perasaan tidak puas hati pada abang. Mereka berdua ni berkomplot rupanya nak kenakan aku. Ish! Tak puas hatinya aku! Aku membentak keras dalam hati. Eii…memang betul Dr. Sharizal sorang ni. Aku debik jugak dia karang!

Mak juga beritahu sebenarnya si Dr. Sharizal tu dah melamar aku secara senyap dengan mak. Kiranya dia dah cakap dulu dengan mak yang dia berniat untuk mengambil aku sebagai suri hidupnya. Dan pada masa yang sama dia juga memperkenalkan dirinya yang sebenar agar tiada perkara berbangkit di kemudian hari. Semua ini berlaku bila dia ikut aku balik Melaka sebulan yang lepas. Cis! Memang geram betul aku dengar cerita emak. Bertambah dan berganda-ganda geram aku pada dia. Mesti sekarang dia tengah ketawakan aku. Ada yang kena makan kasut karang. Gumamku sendiri.

Emak katakan juga, pada mulanya dia ingat abang main-main bila dia cakap mengenai siapa dirinya, tapi bila dia datang ke sini buat kali kedua dengan membawa pangasuhnya sedari kecil iaitu Pak Cik Ismail dan Mak Cik Zaiton, barulah emak percaya. Orang tua berdua itu telah menceritakan hal sebenar mengenai abang sebenarnya memang berketurunan diraja dan serentak dengan itu, mereka merisik aku. Emak memberiku cincin merisik yang diberi wakil abang itu. Cincin di dalam kotak warna keemasan itu aku ambil dan sekali aku terkejut bila cincin itu ialah cincin berlian lagi cuma ia bertinta huruf F dan S. Pangkal huruf namaku dan namanya. Aku pandang emak dengan pandangan tidak percaya.

“Dia betul-betul mahukan akak menjadi miliknya, kak. Mak tengok dia bersungguh-sungguh. Dia juga berjanji dengan mak untuk tidak mensia-siakan akak walaupun jauh di sudut hati, emak tetap risaukan tentang penerimaan keluarga dia terhadap akak. Tapi, dia memberi jaminan pada emak yang perkara itu tidak akan berlaku. Kak, kebahagiaan sekarang sedang menuju ke arah akak. Mak rasa, dialah pasangan yang paling cocok untuk akak dan boleh buat akak bahagia. Naluri mak merasakannya.”
Ujar emak dengan senyuman yang meleret meniti di bibirnya. Aku terkesima bila mendengar kata-kata emak. Aku dapat melihat sinar kegembiraan yang terpancar melalui matanya bila dia mengucapkan kata-katanya tadi. Aku tertunduk memandang meja dan membelek cincin berlian yang bertinta pangkal huruf namaku dan nama abang yang masih berada di dalam kotak berwarna keemasan itu. Perasaan panas dan amarahku pada abang yang menyala-nyala terus terpadam apabila mendengar kata-kata emak. Manik-manik jernih dari mataku tiba-tiba gugur dan mengenai cincin pemberiannya itu. Aku terharu bercampur gembira sebenarnya. Tidak menyangka rupanya dia ingin memberiku kejutan bila beriya-iya menyuruh aku balik kampong dan beritahu emak. Ini rupanya rancangan dia. Aku menangis. Aku sendiri tak pasti kenapa aku menagis?

“Mak hanya mahu anak mak gembira saja. Mak gembira bila lihat akak gembira”
Sambung emak lagi. Kali ini, aku tidak tertahan lagi perasaan. Aku memeluk emak erat-erat dan menangis di bahunya. Emak turut sama menangis terharu bersamaku. Terima kasih, mak! Terima kasih, Ya Allah!

………………………….

Aku kembali ke Melaka dengan perasaan yang berbunga-bunga. Rasa macam mahu nyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta saja. Tak dapat digambarkan perasaan aku saat ini betapa gembiranya aku mendapat ‘kejutan’ yang dan dia berikan. Ingatkan, emak yang terkejut tapi rupanya aku yang terkejut. Nasib baik aku tiada penyakit jantung. Walau apa pun, aku gembira mendengar berita ini. Hati aku bernyanyi riang. Rasa aku ingin terbang pergi mendapatkan cik abang aku dan mengucapkan ungkapan cinta yang membara kepadanya. Aku dapat rasakan perasaan cintaku padanya semakin teguh dan membuak-buak di dalam hati. Tidak sabar untuk berjumpa dengannya. Terasa rindu menggigit-gigit tangkai hatiku. Puas sudah aku mendail nombornya. Asyiknya line sibuk. Mungkin betul dia tengah sibuk sekarang. Aku pandang cincin berlian yang baru aku dapat dari kampung. Aku senyum sendiri. Tanda bahagia.

Dalam pada aku berangan itu, tiba-tiba seseorang melintasi keretaku. Aku menjerit dan menekan brek mengejut. Aku terkejut. Aku langgar orang ke? Betul ke aku langgar orang? Panik! Aku tanggalkan tali pinggang keselamatan dan keluar dari perut kereta. Lutut aku dah meggigil dah ni.

Ya Allah! Aku sudah melanggar orang! Aku telah melanggar seorang Pak Cik. Apa aku nak buat ni? Aku pergi mendapatkannya dan memangku kepalanya yang sedikit berdarah. Pipinya aku tepuk perlahan. Niat hati ingin mengejutkannya kalau-kalau dia masih sedar. Tapi, tiada respons. Aku panic. Orang ramai sudah datang berkerumun. Bertambah panic aku dibuatnya. Peluh sudah menitik di dahi. Seketika, aku seakan terpaku dengan rupa Pak cik itu. Tidak! Tak mungkin! Aku mimpi ke ni? Oleh kerana terperanjat, kepalanya yang aku pangku terus terlepas dari tangan. Ya Allah! Aku menekup mulut dengan tangan.

“dik, bawa dia ke hospital cepat! Dia masih bernafas lagi ni!”
Arah seseorang padaku. Bagaikan tersedar dari mimpi, aku terus meminta bantuan orang ramai mengangkat tubuh Pak cik ‘misteri’ dan dimasukkan ke dalam keretaku. Tanpa membuang masa dan berfikir apa-apa lagi, aku terus memecut laju menuju ke Hospital. Dalam hati aku berdoa agar Pak Cik ‘misteri’ ini selamat dan tiada sebarang kecederaan serius yang dialami. Walaupun aku keliru dengan apa yang aku nampak aku tetap berdoa agar nyawa Pak Cik ini dapat diselamatkan. Aku benar-benar takut.

……………………….

Aku menunggu di luar bilik kecemasan dengan perasaan yang takut dan berdebar-debar. Jantungku sudah menendang kuat dada. Aku terketar-ketar. Perasaan seram sejuk melingkari ke segenap tubuh. Belum pernah aku mengalami situasi sekarang iaitu melanggar orang semenjak aku mendapat lesen ketika berusia 18 tahun. Ini adalah kali pertama aku melanggar orang. Sebelum ini, aku ada melanggar lembu dan kucing ketika di kampung. Itupun ketika baru pertama kali aku membawa kereta arwah ayah setelah mendapat lesen memandu. Tapi kali ini aku telah melanggar orang! Ya Allah! Aku menyalahkan diriku kerana terlampau banyak berkhayal dan berangan semasa memandu. Cuai! Aku memeluk tubuh untuk menghilangkan rasa takut. Tapi wajah Pak Cik, seakan…? Aku keliru! Mungkin aku terlalu teringatkan arwah ayah.

“Faiz?”
Aku mendongakkan muka apabila mendengar suara itu. Segera aku bangun bila ternampakkan abang yang sedang berdiri di depanku.

“Abang, Faiz takut bang! Faiz takut! Faiz dah…dah…Faiz dah…bang..Faiz dah…”
Aku tidak dapat meneruskan kata-kataku. Dadaku semacam sesak dan sukar untuk bernafas bila teringatkan kejadian itu. Nafasku juga tercungap-cungap. Tanganku menarik-narik baju jubah putih yang dipakainya.

“Faiz, cuba bawak bertenang. Bertenang…”
Dia menenangkanku tapi aku tidak boleh bertenang sekarang kerana aku dah langgar orang! Aku bukan langgar kucing ke, lembu ke! Aku dah langgar orang! Mana boleh bertenang!

“Faiz…tadi…dah…langgar…tadi…Pak Cik tu…Dah…pak cik…”
Entah apa yang aku cakap pun aku tidak tahu. Lidah aku seakan mengeras bila nak berkata-kata kerana terlalu takut, panic dan macam-macam lagi. Dia menangkap kedua-dua tanganku yang terawang-awang di udara. Abang memegang kedua-dua bahuku pula.

“Faiz…Faiz, bawa bertenang. Bertenang. Cuba tarik nafas…”
Arahnya padaku. Matanya merenung ke mataku. Aku menurut saja katanya dengan menarik nafas dan menghembusnya seperti yang dipinta sehingga tiga kali.

“Hembus….”
Aku menghembusnya perlahan. Rasa lega sedikit saluran pernafasanku. Sudah mula teratur seperti biasa dan kembali kepada sedia kala.

“Lega?”
Aku menganggukkan kepala dan tersenyum sedikit kepadanya. Dia membalas senyumanku dan meleraikan pegangan tangannya di kedua-dua belah bahuku.

“Okay, sekarang cuba cerita apa sebenarnya yang terjadi? Kenapa panic semacam saja? “
Soalan terus diajukan padaku. Kedua-dua tangannya menyeluk poket jubah putihnya. Aku menggigit-gigit bibir. Sesekali pandangan mata aku halakan ke bilik kecemasan. Melihat kalau-kalau lampu kecemasan sudah terpadam. Aku kembali merenungnya.

:Faiz dah langgar orang”
Balasku perlahan dan terduduk di kerusi. Aku bersandar pada kepala kerusi. Jari-jemariku memicit-micit kepala yang seakan berdenyut kembali. Abang membeliakkan mata. Berkerut sedikit dahinya memandangku.

“What?”
Dia melabuhkan punggungnya di sebelahku. Ada kerutan halus di dahinya.

“Faiz dah langgar orang”
Ulangku lagi dan memandang ke muka berkerutnya. Aku menghempaskan satu keluhan. Aku menekup muka dengan kedua-dua belah tangan. Perasaan takut kembali menerjah.

“Faiz tak perasan bila tiba-tiba dia melintas. Nasib baik masa tu Faiz tak bawak laju. Kalau tak…”
Aku menelan liur. Aku tak dapat membayangkan kalau aku pandu laju kereta tadi, agaknya apa nasib Pak Cik itu. Mungkin nyawanya sudah melayang saat itu. Aku pulak? Akan didakwa kerana memandu dengan cuai. Penjara? Mungkin aku dipenjarakan juga. Membayangkan itu semua, tiba-tiba aku kecut perut.

“Faiz tak sengajakan…sudahlah. Doakan saja Pak Cik itu selamat. Insya’Allah.”
Tuturnya lembut. Seakan cuba memujuk dan mengusir kegusaran yang menguasai diriku kala ini. Dia tersenyum nipis kepadaku. Aku tersenyum hambar.

“Tapi bang, muka Pak cik tu…”
Lampu bilik kecemasan terpadam. Kata-kataku mati disitu. Aku dan dia serentak bangun selepas muncul wajah Dr. Zarif di sebalik pintu.

“How’ he?”
Terus aku bertanya pantas. Mataku sedikit terjegil memandang ke muka Dr. Zarif.

“He’s ok. Cuma cedera sedikit di kepala.”
Aku menarik nafas lega mendengar jawapan dari Dr. Zarif. Syukur Alhamdullilah Pak cik itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“So?”
Abang pula mencelah.

“Hmm…keadaan dia masih lemah lagi sebab dia ada penyakit jantung. So, kita kena tahan dia dulu untuk buat pemantauan”
Terang Dr. Zarif lagi. Kelihatan abang terangguk-angguk tanda faham.

“Did you know him, Faiza? Your uncle?”
Soalnya pula. Pantas aku menggeleng. Menidakkan andaiannya.

“No. I…saya jumpa dia.”
Balasku berbohong. Enggan menceritakan hal sebenar. Dr. zarif mengangguk. Tak lama selepas itu, Dr. Zarif beredar meminta diri. Tinggal aku dan abang berdua di luar bilik kecemasan itu. Aku mengurut tengkuk yang terasa sakit. Dalam hati, aku teramatlah bersyukur sangat-sangat Pak Cik yang aku langgar itu tiada apa-apa. Sekurang-kurangnya aku berasa lega dan lapang dada.

“Apa yang Faiz angankan sampai tak nampakkan Pak Cik itu? Berangankan abang ke?”
Aku menoleh kepadanya ketika kami berjalan beriringan. Dia mengukir senyuman nakal padaku. Aku mencebik. Memang aku sedang berangan pasal dia tadi sehingga terlanggar orang.

“Abang tipu Faiz, ye?”
Ujarku padanya tanpa menjawab soalannya terlebih dahulu. Dia kerutkan dahi tanda tidak faham apa yang aku katakan. Aku buat muka serius.

“Abang tipu? Tipu apa?”
Soalnya tidak mengerti. Aku menjelingnya sekilas wajahnya yang kelihatan terpinga-pinga. Aku mengukir senyuman mengejek padanya.

“Pura-pura tak faham pulak”
Tukasku pula. Menjeling mukanya yang berkerut.

“Ni apa?”
Aku menunjukkan cincin merisik pemberiannya kepada emak di kampung tanpa pengetahuan aku yang aku sarungkan di jari manis tangan kanan. Aku sengaja untuk melihat reaksinya. Ternyata raut wajahnya berubah. Merona merah. Perlahan-lahan dia tersengih sambil menggaru belakang kepalanya.

“Apa? Terkemut-kemut.”
Sergahku pula. Aku pura-pura marah dengan menjelingnya tajam. Seterusnya, aku berlalu meninggalkannya. Yang pasti, dia menjeritkan namaku dan mengejarku dari belakang. Aku membiarkan saja dia mengejarku.

…………….

“Abang bukan nak tipu, tapi abang…”
Tekemut-kemut (terkulat-kulat) dia mencari alasan. Sesekali dia menghalakan pandangan ke luar. Ketika ini, kami sedang menjamu selera di KFC. Dah lama aku tak makan KFC. Kali ini, aku memaksanya untuk belanja aku makan KFC dengan alasan dia dah tipu aku lonjong-lonjong. Bukan bulat-bulat macam yang selalu orang kata tu. Aku tersenyum bila melihat dia berusaha untuk mencari alasan atas soalanku tadi. Biarkan dia.

“Ok, macam ni. Abang sebenarnya sengaja nak buat kejutan untuk Faiz. Abang tak bermaksud pun nak tipu Faiz.”
Aku hanya memandangnya dengan pandangan bersahaja ketika dia cuba untuk menyusun ayat lagi. Mengeluh kesah. Selebihnya aku mencebikkan bibir dan memandang ke arah lain ketika matanya merenung ke mataku. Dia tidak tahu, aku rasa saat ini mahu saja aku memeluknya kerana terlalu gembira dengan kejutan yang dia berikan. Bahkan perasaan ini telah dibawa bersama ketika aku bertolak dari kampong tadi. Namun, aku mengerti. Aku dengannya tidak ada ikatan yang sah lagi. Mana mungkin aku boleh memeluk dia sesuka hati aku. Walaupun dia pernah memeluk aku dengan tidak sengajanya ketika arwah ayah meninggal, itu bukan tiket untuk aku memeluknya pulak, kan?

“Sayang, janganlah macam ni. Abang minta maaf, ok. Abang ingat Faiz sukakan kejutan ini dan tak marah dekat abang.”
Dia mengeluh hampa bila melihat tiada apa-apa reaksi dariku. Mungkin dia masih anggap aku memarahinya. Aku ketawa dalam hati. Aku buat muka bodoh saja dengannya. Kentang goring terus aku sumbatkan ke dalam mulut.

“Hari tu, bukan main suka suki abang marahkan Faiz ye bila tak beritahu mak. Sesedap rasa nak marah orang sampai orang kecik hati dengan dia. Tup-tup, dia dah berkomplot dengan mak pulak nak kenakan orang”
Bicara aku pula. Buat-buat muka orang sedang kecewa dan marah. Buat muka serius yang kononnya sedang marah. Padahal, dalam hati aku rasa macam nak ketawa bila lemihat reaksi mukanya.

“Abang sebenarnya…”

“Enough. Faiz tak mahu dengar apa-apa alasan dari abang. Sekarang ni Faiz nak balik. Badan pun dah letih sebab memandu dari kampung. Faiz rasa nak tidur. Ok, Faiz nak balik. Enjoy your meal.”

“Hah?!”
Melopong dia bila mendengar ayatku. Dia kematian kata-kata. Hati aku menggeletek kuat bila melihat kerutan seribu satu dinar di mukanya.

Aku sudah mengangkat punggung setelah menghabiskan sisa air mirinda strawberry aku. Dia juga turut bangun.

“Faiz, please…jangan buat abang macam ni. Please…”
Rayunya padaku. Aku buat tidak endah. Menjual mahal kononnya. Aku sempat mengejeknya sebelum berlalu. Dan seperti tadi, dia mengejarku dari belakang. Aku mempercepatkan langkah supaya dia tidak dapat mengejarku lagi. Setelah melihat dia semakin jauh ketinggalan, aku berhenti dan menoyorok di satu sudut dan ketawa geli hati melihat gelagatnya yang mencari kelibatku.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: