Novel : Ku Relakan Segalanya 3

Nama Pena : Puteri Selendang Biru

BAB 6

Maya memicit-micit belakang tengkuknya yang terasa lenguh. Satu persatu buku-buku anak muridnya diperiksa. Macam-macam yang tertulis. Ada juga yang melukis. Dia menggelengkan kepalanya.
‘Lain yang diajar, lain yang dibuat.’
Baru sebulan Maya bergelar guru tadika di Sri Permai. Maya senang mendidik anak-anak kecil. Baginya, mendidik mereka lebih mudah berbanding mereka yang telah pandai berfikir. Dia mengajar di tadika itu sekadar untuk mengisi masa lapangnya buat sementara. Sebenarnya, dia mempunyai agenda lain untuk masa depannya.
Kehidupan Maya lebih tenang sekarang. Sedikit sebanyak, dia sudah melupakan kisah cinta yang lalu. Dia lebih senang menghabiskan masa bersama anak-anak muridnya yang nakal tetapi pintar. Hatinya terhibur melihat keletah mereka walaupun adakalanya mencabar kesabaran.
“Bagaimana kau sekarang?” soal Zila pada suatu hari sewaktu mereka beriadah bersama di pantai Seagate. Zila dapat melihat perubahan pada diri Maya. Sahabatnya itu kelihatan lebih ceria. Dia hairan bagaimana anak-anak kecil itu mampu membuat hidup Maya labih bermakna sedangkan lima tahun berada di Johor Bahru Maya belum mampu untuk melupakan kenangan silam.
“Aku gembira. Hidup aku lebih bermakna berbanding dulu.” Maya tersenyum sambil memandang jauh keindahan pantai yang terbentang di depan matanya. “Aku tak sangka aku betul-betul bahagia sejak aku kenal pelajar-pelajar cilik di Sri Permai. “
“Baguslah kalau macam tu. Aku pun tumpang bahagia,” ujar Zila.
Maya mendepakan tangannya. Membiarkan angin pantai yang bertiup melanggar tubuhnya. Begitu juga dengan Zila.
“Tapi….takkanlah kau nak terus mengajar di tadika tu?” soalan Zila menyebabkan Maya membuka matanya dan berpaling menghadap Zila.
“Tak. Aku dah ada perancangan sendiri. Cuma…..aku perlukan waktu lebih sikit,” balas Maya. “Mungkin…..hujung bulan depan aku akan berhenti dari mengajar di tadika tu. Kau macam mana pulak?” tanya Maya kembali.
“Macam mana apa?”
“Maksud aku……pernikahan kau dengan Johan. Macam mana?” tanya Maya. Zila tersenyum.
“Minggu depan keluarga Johan akan datang,” ujarnya dengan penuh makna. “Berdebar-debar rasanya.”
“Yelah. Tak lama lagi nak jadi tunang orang. Lepas tu isteri orang,” usik Maya.
“Eiii…..jahat.” Zila mencucuk pinggang Maya. Maya menjerit kegelian lalu mengejar Zila yang telah pun melarikan diri darinya.

BAB 7

Wes membawa dulang yang berisi dua gelas air lalu diletakkan di hadapan sahabat yang telah lama tidak ditemuinya.
“Minumlah Shid. Air kosong je,” pelawanya.
“Tak pe. Aku datang ni bukan nak minum. Nak melawat kau,” ujar Rashid, teman baik Wes sewaktu di Universiti Sains Malaysia. Rashid meneguk sedikit air putih yang dihidangkan.
“Macam mana kau tahu aku ada di sini?” tanya Wes.
“Tengahari tadi aku jumpa dengan Laila. Dia yang beritahu aku kau ada kat sini,” jelas Rashid. “Aku ingatkan kau takkan balik semula kat sini.”
“Aku pun tak pernah terfikir nak datang Penang lagi. Kebetulan dah ada peluang, aku tak lepaskan,” beritahu Wes. Rashid memandang sekeliling.
“Besar juga rumah kau.”
“Ini bukan rumah aku. Rumah syarikat. Aku ni tumpang je,” jelas Wes.
“Kau datang nak cari Emma?” tanya Rashid lagi. Wes menganggukkan kepalanya. Tentu Laila telah menceritakan segalanya pada Rashid.
“Tapi aku sendiri tak tahu nak cari dia kat mana. Walaupun Penang ni kecil je, manusia kat sini dah macam ikan sardin.” Rashid ketawa kecil mendengar kata-kata Wes. Memang benar, kesesakan lalu lintas yang sering berlaku adalah buktinya.
“Aku pun dah lama tak jumpa dengan Emma. Sejak dia pindah. Tapi….. aku pernah terserempak dengan dia seminggu sebelum dia berangkat ke Negeri Sembilan. Dan selepas itu…..” Rashid menggelengkan kepalanya.
“Negeri Sembilan?!” Wes mengerutkan keningnya. “Untuk apa?”
“Sambung belajar.” Rashid meneguk air kosong yang dihidangkan.
“Emma sambung belajar?” tanya Wes perlahan lalu menghembuskan nafas yang panjang. “Mungkin dia kecewa dengan aku. Sebab itu dia ke sana.” Wes diam seketika. “Tapi, Laila ada beritahu aku yang baru-baru ni dia berjumpa dengan Emma.”
“Aku tahu. Dia ada beritahu aku juga,” terang Rashid. “Mungkin dia dah habis pengajian. Inilah peluang kau.”
“Ya. Inilah peluang aku untuk tebus kembali kesalahan aku meninggalkan Emma dulu,” kata Wes. “Tapi….aku takut kalau-kalau……. apa yang aku inginkan tak menjadi kenyataan.”
“Kenyataan masih jauh. Yang penting hampirinya dulu. Soal yang lain tu, kita serahkan pada takdir,” ujar Rashid. “Aku dengar bakal datuk mentua kau meninggal setahun sebelum majlis akad nikah kau dan Manisa. Betul ke?” Wes menganggukkan kepalanya mengiakan kebenaran.
“Ya…..setahun sebelum hari sepatutnya aku disatukan dengan Manisa. Sebulan selepas tu, aku ditawarkan untuk uruskan syarikat di sini.”
“Pernikahan kau dengan Manisa ditangguhkan hingga bila?” Wes mengangkat kedua-dua bahunya.
“Entah. Aku harap aku dapat jumpa dengan Emma secepat yang mungkin. Kalau terlewat……aku terpaksa,” ujar Wes lemah.
“Aku tak fahamlah. Kalau kau tak mahu, kenapa kau ikutkan juga kehendak keluarga kau?” tanya Rashid. Wes terdiam.
“Sebab……” dia menarik nafas. “…..aku dah berjanji dengan ibu aku yang aku akan kahwin dengan gadis pilihannya. Aku tak sangka pula ibu aku benar-benar mencari seorang calon untuk aku. Aku pernah beritahu tentang Emma pada ibu. Tapi ibu tak setuju sebab dia dah berjanji dengan Aunty Mary, ibu Manisa. Dia malu kalau tak dapat menunaikan janjinya.”
“Habis tu, untuk apa kau cari Emma pula?”
“Aku nak cari Emma untuk bersama dengan dia semula. Tapi aku takkan putuskan pertunangan aku dengan Manisa. Bila aku dah jumpa dengan Emma aku akan pujuk dia berkahwin dengan aku. Lepas tu aku akan berterus terang dengan Manisa. Terpulang pada dia sama ada dia nak jadi isteri nombor dua atau putuskan pertunangan kami.”
“Kenapa kau tak berterus terang saja dengan Manisa yang kau tak cintakan dia?”
“Dah! Tapi katanya, kalau aku tak mahu pada dia, aku yang kena putuskan hubungan kami sedangkan aku sendiri dah janji dengan ibu aku.”
“Jadi itulah perancangan kau.” Kini Rashid mengerti. “Dengarnya macam mudah. Tapi sebenarnya tak mudah seperti yang kau bayangkan. Kalau dibuatnya Manisa setuju jadi isteri nombor dua, apa perasaan Emma?”
Wes mengeluh mendengar pertanyaan Rashid. Jika itu terjadi, pasti Farahymma akan menyesal berkahwin dengannya.
“Aku hanya mampu berdoa agar Manisa putuskan hubungan kami.”
“Lima tahun lepas, kau pulang ke Sabah kerana keluarga kau dah uruskan penikahan kau dengan Manisa. Yang peliknya, macam mana hingga sekarang kau dengan dia masih belum berkahwin?” tanya Rashid yang hairan apabila mendapat tahu Wes dan Manisa masih belum mendirikan rumahtangga.
“Sewaktu sampai di sana, aku diberitahu aku akan ditunangkan dengan Manisa selama setahun. Selepas setahun, salah seorang pengurus di sana letak jawatan jadi aku dinaikkan pangkat. Kerja aku dah semakin bertambah dan ditambahkan lagi dengan kerja-kerja yang tertunggak. Sampai dah over limit.”
“Sebab tu aku minta pernikahan kami ditangguhkan hingga aku dapat stabilkan kerja-kerja aku. Lepas tiga tahun, datuk Manisa meninggal dunia,” cerita Wes.
“Sebulan lepas tu, aku ditawarkan kenaikan pangkat dan akan ditukarkan ke sini. Aku terima tawaran tu.” Rashid mengangguk-anggukkan kepalanya tanda memahami cerita Wes.
“Baru aku faham sekarang. Takdir Tuhan. Mungkin kau dan Emma akan dipertemukan sekali lagi.”
“Ya……aku pun harap begitu.”
“Sekarang aku nak kau ikut aku.” Rashid menggenggam tangan Wes sambil menariknya bangun.
“Nak pergi mana?” tanya Wes yang kelihatan ragu-ragu sambil mengusap dagunya yang dipenuhi rerambut. Rashid memandang saluruh wajah sahabatnya. Rimas!
“Dah…….tak payah banyak soal ikut je.” Dia terus menarik tangan Wes.
“Oiii, kau nak bawa aku pergi mana?” Rashid terus menarik tangan Wes tanpa memperdulikannya.
“Salon!”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: