Novel : Cintaku satu 6

Nama Pena : sofi

Nurul Hana sempat juga berbual-bual dengan beberapa orang wanita yang turut berada di lobi ketika dia ingin memasuki bilik wad bunga mawar itu. Seperti dirinya, wanita-wanita itu juga hadir di IJN ini untuk menemani pesakit. Sama ada yang sakit itu suami atau anak, jauh atau dekat, yang pasti di sinilah, semua pesakit jantung dirawat.

Ketika dia sampai, Irfan sudah berbaring di atas katil. Demi melihat Ana, anak kecil itu menghulur senyum. Ana segera menghampiri lantas memaut tubuh kecil itu ke dalam pangkuan. Dapat dihidu haruman bedak Johnson yang menyaluti Irfan.

“Mmm, wanginya anak mama ni. Dah mandi, ya?” Soal Ana. Irfan mengangguk.

“Sayang dah makan?” Soalnya lagi sambil memeluk tubuh kecil itu. Dahi dikucup, penuh kasih sayang.

“Dah. Ifan akan acik. Inum cucu…”

Ana tergelak kecil mendengar jawapan anak saudaranya itu. Masih lagi pelat sebutannya.

“Sedap?”

“Awuk cedap. Ayam o..eng..”

“Oh..Ifan makan nasi dengan lauk ayam goreng, ya. Sayur?”

Irfan menggelengkan kepala. Memang tipikal bagi kanak-kanak. Tidak ada yang menyukai sayur.

“Ifan tak makan sayur? Ifan lupa ya, pesan mama? Budak kecil mesti makan sayur banyak-banyak. Baru sihat!” Ana berpura-pura marah.

Terkebil-kebil sepasang mata Irfan memandang wajah ibu saudaranya. Dia kemudian menudingkan jari ke arah almari. “Nak tu!”

Di atas permukaan almari itu ada sebiji limau sunkist. Ana ketawa kecil. Gembira kerana Irfan tahu bahawa khasiat sayur yang tidak dimakan boleh juga diperolehi daripada buah-buahan. Dia segera memotong buah itu. Dengan tertib, dia menyuapkan Irfan sehingga habis.

“Mama, mak ane?”

Argghhh sudah! Pertanyaan itu bermaksud Irfan sudah mula merindui neneknya.

“Nanti bila Ifan dah sihat, kita balik jumpa mak, ya!” Ana memujuk. Jari-jemarinya menyisir rambut hitam lebat anak saudaranya. Irfan dibaringkan di atas ribaan.

“Ifan nak mak! Nak ain ngan Eda. Ifan nak alik!” Irfan mula hendak menunjuk perasaan. Meronta-ronta di dalam dakapan Ana.

Aww… dia dah mula nak mengamuklah pulak!

“Syyy! Fan jangan nangis, k!” Ana memujuk sambil mengelap sepasang mata yang berkaca. “Mama ngan ayah bawak Fan kat sini sebab Ifan sakit. Nanti bila Ifan dah sihat, mama akan bawak Ifan balik jumpa mak, jumpa alang ngan acu.”

“Ifan nak alik gak!”

Aik…angin apa pulak dah menyerang nih?

“Ok! Kita balik tapi….Ifan kena dengar cakap doktor dulu! Kalau doktor suruh makan ubat, Ifan mesti makan. Barulah cepat baik. Bila baik dan sihat, baru kita boleh balik kampung!”

Melihat anak kecil itu yang akhirnya mengangguk, hati Ana menjadi sayu. Irfan memang comel dan baik. Ramai yang berkata bahawa anak yatim biasanya degil tetapi tidak Irfan. Dia sentiasa mendengar cakap. Dia anak yang baik!

Ayahnya masuk kira-kira 20 minit kemudian. Di tangannya ada bungkusan nasi lemak dan teh tarik, seperti yang dijanjikan oleh lelaki itu tadi. Ana menjenguk ke luar bila dilihatnya lelaki itu tidak ada di sisi ayahnya.

“Taufik pi sembang ngan doktor pakar kat bilik doktor tu. Kebetulan kami bertembung dengan Dr Ng di tempat makan tu tadi. Doktor tu pernah rawat ayah dia dulu.” Abdullah memberitahu tanpa dipinta.

Patutlah lelaki itu kelihatan seperti sudah biasa dengan tempat ini. Arwah ayahnya pernah dirawat di sini. Bermakna, arwah ayahnya pernah mengidap sakit jantung juga, fikir Ana.

“Hang makanlah nasi tu, Ana. Taufik belikan untuk hang tu!” Kata ayahnya sambil tersenyum.

Ana kehairanan melihat perangai ayahnya. Tersenyum tiba-tiba. Kena sampuk dengan mamat tu agaknya?

“Awat yang ayah tersenyum tu?” Ana tidak dapat mengawal mulutnya daripada bertanya.

“Saja! Tapi sebenarnya ayah ni heran! Yang sakit, Irfan. tapi budak Taufik tu bukan banyak tanya hal Irfan. Dia lebih banyak nak tahu fasal hang. Pelik jugak!!” Kini Abdullah bukan sahaja tersenyum malah sudah tergelak-gelak.

Ana mula geram. “Hmm, ayah layanlah dia tu! Otak dia mereng sikit. Nanti ayah pun jadi tak betul macam dia!” Marahnya.

Pada ketika itu Taufik masuk ke dalam bilik. Pastinya dia mendengar apa yang Ana katakan kepada ayahnya. Wajah Ana direnung tetapi dia tidak berkata apa-apa. Senyumannya itu menyembunyikan seribu makna. Kini perhatiannya beralih kepada anak kecil yang sedang duduk di atas katil.

“Ini Irfan ya?” itulah soalan pertama kepada anak saudaranya. Ada getar dalam nada suaranya itu.

“Irfan, salam dengan pakcik ni. Ini ayah saudara Irfan, abang ayah Irfan. Nama dia Taufik. Salam, sayang.” Abdullah berkata dengan lembut kepada cucunya.

Malu-malu, Irfan menghulurkan tangannya. Taufik menyambut dan kemudian mencium pipinya. Selepas itu dia memeluk tubuh kecil itu sebelum mendukungnya mesra dan penuh kasih sayang. Ana yang sedang makan terpesona melihat mereka berdua. Terhenti suapannya.

“Nak ayah!” Suara Irfan memanggil Abdullah dengan sebutan ‘ayah’ nampaknya mengejutkan Taufik.

“Masa Irfan mula-mula belajar bercakap dulu, dia asyik dok ikut anak-anak pakcik ni. Depa panggil pakcik, ayah, dia pun sama panggil camtu. Nenek dipanggilnya mak. Puas kami nak perbetul, tak mahu dia!” Abdullah menerangkan.

Taufik mengangguk-anggukkan kepalanya. “Itu siapa?” Tanya dia kepada Irfan. Dia ingin tahu apa pula gelaran yang diberikan Irfan kepada gadis manis itu.

“Mama!” jawab Irfan.

“Ini?” Taufik menyoal lagi. Dia sedang menuding jari ke arah dirinya. Maknanya dia ingin tahu apakah yang Irfan ingin memanggil dirinya.

Entah kenapa, dada Ana berdebar-debar menunggu jawapan anak saudaranya. Kenapa mesti berdebar?

Sebenarnya, Taufik juga sedang berdebar. Dalam hati dia mengharapkan agar panggilan itu boleh seiring dengan panggilan mama untuk Ana…….

“Papa?” Irfan menjawab.

Yes! Taufik melonjak keriangan namun tentulah dalam hatinya sahaja. Wajahnya tentu sahaja sedang control macho!

Ana terhenti menyuap. Hisy, kenapa pulak dengan budak Irfan ni? Apa pulak papa? Sejak bila lelaki ini jadi ayah dia?

“Irfan, kenapa nak panggil papa pulak? Ini bukan papa Irfan. Ini pak long, tahu?”

Suaranya yang sedikit keras meraih senyuman di bibir jejaka itu. “Biarlah dia panggil saya, papa. Apa salahnya? Betul tak, pakcik?”

Abdullah tersenyum. Tingkah Taufik yang nakal dan gelagat Ana yang menggelabah mengusik hatinya. Dia mengangguk. Melihat Taufik, dia dapati ada perbezaan sikap yang ketara dengan Roslan. Lelaki di hadapannya ini begitu yakin dengan kata-kata dan tindakannya.

“Tapi…”

“Ana, biaq pi la! Ifan tu kan kecik lagi. Dia bukan tau apa dia cakap!” Abdullah cuba memujuk.

Ana tahu dia sudah kalah bila ayahnya sendiri menyokong lelaki itu. Dia diam, menyambung suapannya. Sempat juga dia menjeling si Taufik. Wajah Taufik yang selamba membuat dia rasa tidak selesa.

“Irfan nak jumpa nenek tak?” Taufik menyoal anak kecil itu.

Hisy….dia dah mula dah. Nak beli hati si Irfan agaknya? Ana menuduh dalam hati.

“Emak papa. Dia tak sihat. Tak boleh jalan!” Ujar Taufik lagi.

Agaknya lelaki ini sedang meraih simpati Irfan, fikir gadis itu lagi.

“Mama?” Soalan Irfan menggegarkan dada.

Ouch…apa kena mengena aku dengan emak si Taufik ni? Irfan ni biar betul! Ana mendengus kasar.

“Mama, mama nak ikut papa dengan Irfan tengok nenek, tak?” Taufik bertanya.

Arrghh..geramnya! Kenapa si Taufik ni tanya soalan tu?

Wajah Ana merona merah. Hangatnya pipi ketika itu. Dia malu bila lelaki itu bertanya begitu di hadapan ayahnya. Apa yang tidak kena dengan si Taufik ni? Baru hari ini mereka kenal namun sikap lelaki ini betul-betul melemaskan Ana. Malunya dia!

“Mama tak jawab pun!” Suara itu lagi. Riangnya bunyi. Ada ketawa dalam getarannya.

“Mama? Mama nak itut Ifan tak? Ifan nak engok nenek!” Kini giliran Irfan menagih jawapan. Mahu tidak mahu Ana terpaksa menjawab soalan itu. Matanya garang merenung Taufik yang tersengih.

“Irfan kena sihat dulu.” Jawabnya ringkas.

Dan sekali ini mujurlah, Taufik menyetujui pendapatnya. “Yalah! Anak papa kena sihat dulu.”

Taufik menoleh ke arah Abdullah. “Pakcik, pakcik jangan bimbang. Saya dah aturkan semuanya dengan doktor. Bayarannya pun dah saya buat. 5 hari lagi, Insya-ALLAH, pembedahan itu akan dijalankan.” Dia memberitahu.

Ternganga mulut Ana mendengar.

“Pakcik kata tadi, kalau boleh, pakcik nak makcik dan semua adik-adik Ana datang, kan? Beri saya alamat rumah pakcik. Nanti saya suruh pemandu saya pergi ambil mereka.”

Ana terpegun. Dia tidak menyangka semudah ini lelaki itu memutuskan untuk membantu. Tiba-tiba dia rasa amat bersyukur kepada TUHAN. Doanya dimakbulkan. Rupa-rupanya, abang kepada abang iparnya ini bukanlah jahat orangnya. Air mata bagaikan ingin mengalir. Gembira kerana selepas ini pastilah anak saudaranya dapat menjalani kehidupan dengan lebih sempurna.

“Terima kasih. Tidak terbalas rasanya budi yang Taufik taburkan ini.” Jawapan Abdullah menyebabkan Taufik merenung tepat ke arah Ana.

“Sebenarnya, saya buat semua ni sebab Ana. Saya nak tolong dia. Lagipun, Ana dah berjanji dengan saya. Dia kata, kalau saya tolong, dia akan buat apa sahaja untuk Irfan. Tak begitu, Ana?”

Ana kebingungan. Betulkah dia ada mengatakan begitu tadi? Betulkah dia berjanji seperti itu? Namun, Ana tidak mahu memikirkannya. Asalkan Irfan dapat menjalani pembedahan, tidak mengapalah. Apa sahaja yang Taufik inginkan, akan dituruti!

Sepasang matanya kini merenung lelaki itu yang sedang beria-ia bercerita sesuatu kepada Irfan. Irfan pula nampaknya cepat benar mesra dengannya.

“Papa nak keluar sekejap. Nanti petang papa datang dengan nenek. Irfan nak papa belikan apa-apa tak?”

“Ifan nak….”

“Irfan, papa nak ke pejabat tu. Jangan kacau!” Segera Ana memintas kata-kata Irfan.

“Mama, papa boleh belikan apa saja yang Irfan nak, tahu!” Taufik jelas tidak menyukai sikap Ana yang kasar tadi. “Ok, Irfan nak apa?”

Taufik tidak mempedulikan Ana yang sedang menjegilkan mata kepadanya. Dia terus duduk di sisi Irfan.

“Nak bola cepak.”

“No problem! Nanti papa belikan!” Ujar Taufik sambil tersenyum. Kepada Abdullah, dia berkata, “Pakcik berehatlah, ya. Sebenarnya, saya dah tukarkan wad. Kejap lagi mereka akan letakkan Irfan di bilik yang lebih selesa. Selesa untuk Ana dan pakcik jugak. Jangan fikir yang bukan-bukan. Saya ikhlas membantu.”

Yalah tu! Tapi kenapa aku rasa macam dia ni nak menunjuk-nunjuk pula?

“Ana, boleh tak awak temankan saya ke kereta?”

Ana benar-benar tidak menyangka lelaki itu mahukan begitu. Dia merenung wajah ayahnya. Abdullah hanya mengangguk.

Tanpa sepatah kata, dia mengekori lelaki itu keluar. Bila mereka sudah berjalan seiringan dia merenung wajah Taufik sambil berkata dengan marah, “Nampaknya awak nak mengambil alih semuanya, ya? Awak memang dah merancang ini dalam kepala awak tu sejak awak tahu awak ada Irfan, tak gitu? Apa lagi kejutan yang awak nak berikan kepada kami?” Soalnya.

Taufik tersenyum. “Sememangnya ada lagi. Saya akan beritahu awak bila saya bawa awak keluar makan malam dengan saya nanti.” Bisiknya.

Makan malam? Bila pulak aku janji nak makan malam dengan dia? Bulat mata Ana memandang Taufik.

“Tak payahlah nak jegilkan mata tu, Ana! Bukan saya takut pun. Lagi tergoda adalah!” katanya.

Mak! Lelaki ini memang pandai membuat perasaan seorang gadis menjadi tidak tentu hala! Menjadi gelabah. Hisy, geramnya!

“Awak ni memang menyakitkan hati betul!” Marah Ana lagi.

Taufik ketawa.

“Eh, awak! Awak jangan pandai-pandai nak beli hadiah itu ini untuk Irfan, k! Kami orang susah tak biasa bagi-bagi hadiah! Tak payah nak beli dia bola sepak tu!” Ana berkata tegas.

Taufik menarik nafas panjang sebelum membalas, “Irfan tu anak adik saya! Bila adik saya dah tak ada ni, sayalah papa dia! Saya ada banyak duit untuk saya belanjakan kepada anak saya. Tidak awak dan tidak sesiapapun berhak halang saya daripada memberikan dia hadiah atau apa sahaja yang Irfan nak. Faham?”

“Yalah tu! Habis tu nanti, apa terjadi bila dia balik dengan kami semula ke Kulim? Hidup kami tetap macam dulu, miskin. Atau…..awak ada niat lain agaknya?”

Ana mula risau. Ya, mungkin lelaki ini sedang merencanakan sesuatu. Mungkin…

“A…awak nak rampas dia daripada kami? Itu ke niat awak? Awak nak ambil dia! Awak nak pisahkan dia daripada kami semua? Sebab itu awak…..”

Taufik menarik Ana ke suatu penjuru, jauh daripada pandangan orang lain. Tempat yang sedikit tersorok.

“Awak ni kalau nak menjerit, tak peduli orang di sekeliling langsung!” Marah Taufik.

“Habis tu, awak….” Ana tidak dapat meneruskan kata-katanya bila dia menyedari lelaki itu kini sedang memegang tangannya. Tubuhnya dihimpit ke dinding.

“A…awak nak buat apa ni?” Soalnya bila Taufik semakin merapatkan wajahnya.

“Hah, tau takut!” Taufik tiba-tiba ketawa sambil melepaskan Ana. “Lain kali, kalau nak marah saya, fikir dua tiga kali. Jangan ikut sedap mulut awak aje!” Bisiknya.

Meremang bulu roma Ana dibuat begitu. Pengalaman pertama yang mengejutkannya. ‘Dia ni nak buat apa tadi? Dia nak? Hisy…..’

“Jangan nak buat kerja gila, encik Taufik!” Marahnya.

Taufik menjungkitkan keningnya. “Lain kali, fikir dulu sebelum cakap. Jangan main tuduh aje!”

Ana segera memintas, “Dengar sini, encik Taufik! Irfan anak saudara saya! Sepanjang hidup dia, kami saja yang dia ada. Awak dengan mak awak, tak ada hak atas diri dia, faham tak?”

Dahi Taufik berkerut seribu. Mengapa ada kemarahan dalam nada suara Ana? Masihkah berbuku di hati dengan kisah lama?

“Saya tak mahu bergaduh dengan awak, Ana. Kalau masih ada kemarahan dalam diri awak atas perbuatan kami dulu pada kakak awak, saya harap awak lupakan aje. Semua tu dah lepas. Kakak awak pun dah tak ada!” Ujarnya.

Ana semakin sakit hati. Lupakan? Eh, mudahnya?

“Lupakan? Amboi! Senangnya awak cakap? Awak dan keluarga awak buat macam-macam pada kakak saya, sampai hidup dia tak menentu, asyik menangis, asyik bersedih… senang-senang awak nak suruh saya lupakan?” Marahnya.

Taufik menggelengkan kepala. “Setiap yang berlaku ada sebabnya! Mak saya marah kakak awak pun ada sebabnya. Awak cuma nampak dan dengar cerita sebelah pihak kakak awak aje, jadi awak tak boleh menghukum kami. Lagipun, tak guna diungkit-ungkit semua tu. Yang penting sekarang ialah Irfan. Irfan dan masa depan dia!”

“Hah, betul tu! Yang penting bagi saya sekarang ialah Irfan. Irfan aje. Sebab itu saya tak nak awak mewah-mewahkan dia! Manjakan dia. Sebab dia anak saudara saya. Dari kecik saya dan keluarga bela dia. Dia hanya ada kami selama ini dan sampai bila-bila pun, keadaan akan kekal macam tu. Faham?”

Taufik melepaskan keluhan. Keras kepala juga rupanya si Nurul Hana ni, bisik di hati. Namun dia membiarkan sahaja Ana melepaskan geram. Membiarkan Ana menyangka dirinya sudah menang dengan kebisuannya. Nanti akan tiba giliran dia pula untuk bertepuk tangan riang. Ya, Ana. Kau belum kenal dengan siapa engkau berlawan. Engkau belum lagi mengenali siapakah Taufik Azhari. Lelaki di hadapanmu ini bukan seorang yang mudah menyerah kalah. Aku akan pastikan bahawa, Irfan akan kembali ke pangkuan aku dan umi. Tempat Irfan di sisiku, bukan di pondok burukmu itu!

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: