Novel : Anaknya, Anakku Jua 20

Nama Pena : anarif

“Irfan?”

“hmm,”

“saya risaulah.”

“risau apa?”

“risau apa yang kita buat ni tak baik untuk ibu dan ayah awak, dan Mak Su. Mereka benar-benar mengharapkan kita bersama. Jadi, kalau kita bercerai seperti yang dirancangkan, saya takut mereka patah hati.”

“tak apa, taulah saya uruskan keluarga saya. Awak jangan risau, ok? Lagipun, hanya ini saja jalannya untuk awak dapatkan Hana, unless, awak nak lepaskan Hana ke tangan orang lain.”

“tak, saya nak Hana sentiasa bersama saya, tapi, agak-agak, ada tak jalan lain selain dari kita berkahwin dan bercerai ni? saya betul-betul rasa susah hati.”

“ada, kita kahwin, dan jangan cerai. Kahwin untuk selama-lamanya,”

“tapi, kekasih awak…”

“saya cintakan awak Nisa’, kenapa awak tak mengerti hati ini?”

“Irfan?”

“Irfan?”

Irfan terpisat-pisat, matanya dibesarkan namun silau lampu kalimantang menghalangnya dari membuka matanya sebesar yang mungkin. Dia menghalang cahaya lampu itu dengan tangannya, dan pandangannya menangkap wajah Nisa’. Nisa’?

Nisa’ mengukir senyum.

“kenapa awak tidur kat sini? bilik awak kan ada?” soal Nisa’ pelik.

Irfan meraup wajahnya, bingkas begitu pantas sehingga bantal di pelukan terjatuh. Dia mengeluh dalam mamai. Aduh, mimpi rupanya.

Tadi, dia menonton televisyen sehingga tertidur di sini.

“awak buat apa tak tidur lagi?” soal Irfan mamai tanpa menjawab soalan Nisa’.

Nisa’ mengangkat tangannya, menampakkan botol susu di tangan.

“ada anak kecil macam ni lah. Saya ke dapur dulu.” Nisa’ meminta diri. Irfan angguk faham. Digosok matanya, menguap panjang.

Irfan angkat punggung, melangkah ke dapur.

Nisa’ yang sedang membancuh susu mengerling Irfan.

“sekarang pukul berapa?” Irfan bertanya tanpa memandang Nisa’. Dia mengambil sebiji mug dan diisi air masak. Tekaknya terasa kering, mahu meneguk air masak seteguk dua.

“dah pukul dua pagi.” Jawab Nisa’.

Irfan angguk, diteguk air masak di dalam mugnya. Alhamdulillah.

Nisa’ yang sudah selesai membancuh susu Hana memusingkan badannya. Mahu beredar.

“Hana dah tidur?” soal Irfan tiba-tiba, membuatkan langkah Nisa’ terhenti. Nisa’ berpaling sekilas.

“tengah mamai. Irfan, pergilah tidur, awak pun dah macam orang tak betul dah saya tengok.” Seloroh Nisa’ seraya meneruskan langkahnya.

Irfan senyum kelat. Saya tak betul kerana awak Nisa’.

Mug diletakkan di atas kaunter, dia mengeluh panjang.

Lama dia termenung di sisi kaunter apabila matanya menangkap bayang-bayang di atas lantai. Irfan mengangkat muka, melihat Nisa’ yang bersandar di muka pintu dapur.

“Irfan, thanks.” Ucap Nisa’.

Irfan kerut dahi.

“for what?”

“sebab awak sudi membantu saya dan Hana, untuk semuanya,” untuk kali ke-berapa dia berterima kasih, Nisa’ tidak pasti.

Irfan menunduk seketika.

“don’t mention it, go to sleep, ok?”

Nisa’ angguk.

‘night.’ Nisa’ berlalu pergi.

Irfan meraup wajahnya. Irfan, tell her the truth!

********

“macam mana?” Mala terus menerjah dengan soalan itu sebaik dia masuk ke dalam rumah Nisa’.

Nisa’ angkat kening.

“macam mana apa?” Nisa’ bertanya kembali, pura-pura tidak mengerti.

Mala menjuihkan bibirnya.

“cheh, kura-kura dalam perahu. Macam mana penerimaan mak dan ayah Irfan?” soal Mala lagi.

Nisa’ senyum nipis. Mengambil tempat di atas lantai, di sisi Hana yang dibaringkan di atas tilamnya di atas lantai.

Mala turut duduk.

“ok.” Jawab Nisa’ ringkas.

Dia memegang lehernya, diurut perlahan. Sebenarnya, dia baru beberapa Jam sampai dari rumah ibu bapa Irfan. Kepenatan memangku Hana sepanjang perjalanan. Seketika, ingatannya menerjah ke peristiwa sewaktu mereka hendak berangkat pulang.

“Nisa’, datang lagi ya?” sayu suara Puan Hasanah berpesan. Nisa’ menguntum senyum tawar.

“baik ibu.” Disalaminya tangan lembut seorang ibu itu.

Mereka berpelukan lama. Puan Hasanah turut tidak ketinggalan mengucup Hana semahu-mahunya, seakan-akan sukar untuk dilepaskan mereka pergi.

Pandangan Nisa’ singgah di wajah Encik Khalid pula. Kali ini, mereka tidak berpeluang berbicara dari hati ke hati namun dia tahu, Encik Khalid juga seorang yang berhati mulia, seperti isterinya.

“Nisa’!” Nisa’ tersentak mendengar suara kuat Mala.

“apa?”

“kau ni, aku panggil pun tak dengar. Teringatkan sapa? Irfan ke?” tekaan Mala membuatkan Nisa’ tersenyum, teringatkan sesuatu.

“kau tau Mala, sebenarnya, Irfan dah balik kampung beberapa hari lepas. Dia balik seorang semata-mata untuk melihat reaksi ibu dan ayah dia terhadap aku dan Hana.” Ujar Nisa’ tenang, dilirik Hana yang mempunyai sepasang mata bulat, mata Badri.

Mala mengerutkan dahi.

“maksud kau?”

Nisa’ menarik nafas dalam. Pandangannya dialihkan pada Mala.

“I warned him. Kalau latar belakang Hana menjadi ungkitan lagi, aku takkan teragak-agak untuk tarik diri dari semua ni. jadi, mungkin dia bimbang ibu dan ayah dia akan menolak aku dan Hana, so dia balik seorang untuk melihat reaksi mereka. Kiranya, aku pergi rumah dia tu sebab kami dah diterima Mala. Dan tak ada sesiapa pun yang mencemuh atau mempersoalkan status Hana.” Terang Nisa’.

Mala angguk. Dia menarik satu bantal dari atas sofa dan dipeluk erat.

“hmm, beruntung betul Hana. Dia yatim piatu tapi dia ada ibu dan ayah yang amat sayangkan dia. Sekarang ni, Hana dah dapat atuk dan nenek baru, yang jelas sayangkan dia.” Ujar Mala, lebih kepada keluhan.

Nisa’ terdiam seketika. tiba-tiba, dia memusingkan badannya menghadap Mala. Bertentang mata dengan Mala.

“Mala, kau rasa betul ke apa aku buat ni? aku risaulah. Ibu dan ayah dia memang mengharapkan kami berkahwin, dan tentunya mereka tak nak kami bercerai. Tapi, aku dan Irfan berkahwin untuk bercerai. Aku jadi takut nak menghancurkan harapan diorang Mala.” Nisa’ meluahkan kerisauannya.

Mala senyum lebar.

“aku ada penyelesaiannya. Senang je. Kau jangan bercerai.” Selamba Mala berkata-kata.

Nisa’ menepuk bahu Mala perlahan, menegur geram.

“kau ni, aku serius, kau main-main pulak.” Marah Nisa’.

Mala sengih lebar.

“betullah Nisa’, kau ni, aku tak taulah, nak kata buta, tak buta. Irfan tu sebenarnya sukakan kau lah!” tekan Mala.

Bulat mata Nisa’ merenung Mala.

“kau ni gila apa? Irfan tu dah ada kekasih lah!” tingkah Nisa’ pantas. Tak mungkin Irfan sukakannya.

Mala terdiam.

“ya tak ya jugak, tapi, betul ke dia ada kekasih?” soal Mala tidak percaya. Rengekan kecil Hana kedengaran.

Nisa’ angguk pantas.

“betul. Dia sendiri mengaku. Ish, dahlah. Hana nak tidur. Bersembang dengan kau, sampai bila anak aku tak tidur.” Nisa’ bingkas ke dapur, membancuh susu. Irfan suka aku? Tak mungkin. Dia menggeleng bersama senyum.

********

“Irfan, ummi saya tak sama dengan ibu awak tau. Saya harap, awak bawak bersabar banyak-banyak dengan ummi.” Awal-awal lagi Nisa’ memberi peringatan.

Minggu ini, mereka akan bertemu keluarga Nisa’ pula. Irfan senyum nipis. Dikerling Nisa’ sekilas.

“tak apa. Saya dah bersedia. Saya dah lama berlatih untuk berjumpa bakal mak mertua.” Ujar Irfan yakin, dan bicaranya nampak ikhlas, tidak dirancang.

Nisa’ senyum tawar. Irfan kelihatan yakin, namun dia tetap tidak yakin.

Umminya begitu mudah menyukai dan membenci. Dahulu, Badri menjadi mangsa umminya. Kerana itulah, umminya menerima Daniel dengan mudah, kerana Daniel kelihatan lebih bagus serba-serbi berbanding Badri. Dan Nisa’ menjadi mangsa percaturan umminya. Apabila Badri memintanya pergi, dengan berat hati Nisa’ menjauhkan diri dan menerima Daniel.

Semuanya berlaku bagai dalam mimpi. Dan kini, Badri telah pergi meninggalkan amanahnya pada Nisa’. Walau sekuat mana ummi mencuba, walau setabah mana Daniel, Badri tetap menggugat mereka dalam bentuk Hana.

“Irfan, saya harap awak tak ambil hati kata-kata ummi saya nanti, kalau ada yang menyinggung perasaan awak. Awak pun faham kan, saya tak pernah pandang status awak, tapi ummi mungkin akan mengungkit kelak. Saya benar-benar nak awak bersedia untuk sebarang kemungkinan.” Ujar Nisa’ lagi.

Irfan senyum nipis.

“Nisa’, jangan bimbang sangatlah. Saya percaya kita akan Berjaya tempuhi semuanya, ok?” bicara Irfan lagi, meyakinkan Nisa’.

Nisa’ angguk perlahan. Nafas ditarik dalam dan dilepaskan.

Dia bimbang Irfan akan dimalukan oleh umminya. Jika mereka benar ingin berkahwin atas dasar cinta, rasa takut itu mungkin tak sekuat ini, tapi kerana Irfan Cuma ingin menolongnya, ketakutan Nisa’ benar-benar mengganggunya, kerana baginya, Irfan tidak patut menerima dan menghadapi semua kesusahan ini semata-mata kerana Hana. Dia Cuma ingin membantu.

Allah, lembutkan hati ummi.

Irfan menongkat kepala. Dia tahu pertemuan kali ini bukan sekadar pertemuan kosong. Dia perlu memenangi hati ummi Nisa’. Seluruh jiwa raganya tertumpu pada pertemuan ini. Demi Hana, dan Nisa’.

********

“ummi,” Nisa’ menghulurkan tangan, bersalaman dengan umminya. Hajah Rubiah menarik tangannya pantas sebaik bibir Nisa’ menyentuh kulit tangannya.

Sebaik mereka tiba, bagai hendak gugur jantung Nisa’ melihat umminya sedang menyapu halaman yang dipenuhi daun kering. Dikerling Irfan yang nampak tenang.

“Irfan, tu ummi saya.”

Hajah Rubiah pula terhenti kerjanya melihat kereta asing memasuki halaman rumah mereka. Pandangannya bertambah tajam melihat lelaki yang memandu kereta itu, dan Nisa’ di sisinya, Hana di dalam kendongan.

“siapa ni?” soal Hajah Rubiah tegas, melirik pada Irfan yang tersenyum nipis, di sisi Nisa’.

“saya Irfan.” Irfan pantas memperkenalkan diri.

Nisa’ menelan liur melihat pandangan tajam umminya yang jatuh pada Irfan.

“ummi, abah mana?” pantas Nisa’ mengubah topic, mahu mengendurkan suasana.

Irfan menggaru dahi, resah.

Hajah Rubiah memandang Nisa’ kembali, dan Hana sekilas.

“jom naik. Abah kat atas.” Hajah Rubiah tidak menanti lagi. Nisa’ dan Irfan berpandangan seketika sebelum mereka menurut langkah Hajah Rubiah ke atas rumah.

“pakcik, saya Irfan,” Irfan menghulurkan tangan dan dia melepaskan nafas lega apabila tangannya bersambut mesra. Nisa’ dan umminya sudah hilang ke dapur.

Haji Bustaman menarik Irfan ke sofa, senyum mesra.

“duduk Irfan, duduk.”

Irfan angguk hormat, melabuhkan punggung di sofa. Fazil yang baru keluar dari biliknya terpaku di depan pintu melihat Irfan. Lambat-lambat dia mendekati.

“siapa ni bah?” soal Fazil.

Haji Bustaman yang sudah mengambil tempat di sofa tunggal memandang Fazil.

“salamlah, ni abang Irfan, kawan kak Nisa’ kamu.” Arahnya.

Fazil angguk, menghampiri Irfan dan berjabat mesra.

“Fazil, adik kak Nisa’.”Ujar Fazil bersama senyum nipis. Irfan turut membalas senyuman itu.

“Irfan.”

Fazil kemudian mengalih pandang pada abahnya.

“mana kak Nisa’?” soal Fazil.

Haji Bustaman melirik ke arah dapur.

“bawah, dengan ummi kamu. Pergilah.” Arah Haji Bustaman, dan Fazil beredar selepas satu lagi senyuman dihadiahkan kepada Irfan, tanda hormat.

“ummi dah kata kan, jangan balik lagi dengan budak ni?” suara marah umminya jelas menyapa telinga Fazil sebaik dia menghampiri ambang pintu.

Fazil meneruskan langkahnya, dan matanya menangkap tubuh kak Nisa’ bersama Hana di dalam kendongan. Wajah Nisa’ sayu. Fazil mengeluh kecil. Ummi, ummi.

“kak Nisa’,” Nisa’ menoleh, senyum tawar melihat Fazil menghampirinya.

“Zil,” direnung adiknya yang baru sahaja mendapat keputusan SPM seminggu lalu. Keputusannya agak memuaskan juga.

“tahniah,” ucap Nisa’. Buat seketika, dia terlupa umminya sedang memarahinya. Hajah Rubiah merengus kasar. Bercekak pinggang.

“Zil, ambil budak ni, bawak pergi tempat lain. Ummi nak cakap dengan kakak kamu,” arah Hajah Rubiah tegas.

Nisa’ melirik wajah umminya sayu. Dia memusingkan badannya ke Fazil, menyerahkan Hana. Fazil menyambut patuh dalam geram, dan dengan wajah tidak puas hati, dia berlalu pergi.

Nisa’ mengeluh panjang. Dia mengangkat mukanya, menatap wajah marah umminya.

“ummi, dia anak yatim. Tak baik ummi cakap macam tu,” tegur Nisa’, berhemah.

Hajah Rubiah merengus lagi.

“apa ummi peduli? Bila kamu nak bagi dia pada orang lain, ha Nisa’? ni, dah dekat 3 bulan sejak kamu balik hari tu. Takkan tak ada yang nakkan anak angkat kot? Atau kamu tak cari?” sinis nada suara Hajah Rubiah.

Nisa’ menunduk. Menekur lantai simen rumah yang sudah berusia hampir 15 tahun itu.

“Nisa’ tak perlu cari orang lain ummi,” jawab Nisa’ tenang.

Membulat mata Hajah Rubiah mendengan jawapan Nisa’.

“kenapa kamu ni hah? Nak jadi anak derhaka ke?” tengking Hajah Rubiah. Nisa’ pasti, amat pasti Irfan mendengar suara tinggi umminya.

Nisa’ angkat muka, cuba menentang pandangan tajam umminya.

“ummi tak nak Nisa’ jaga Hana sebab ummi takut Nisa’ takkan berkahwin kan? Nisa’ balik ni, sebab Nisa’ nak kenalkan ummi dengan Irfan, dan minta izin ummi. Nisa’ dan Irfan, nak berkahwin ummi.” Akhirnya, terluah juga sebaris ayat itu. Nisa’ tenang menatap wajah umminya.

Bulat mata Hajah Rubiah.

“kamu nak kahwin? Dengan Irfan tu?” soal ummi, tidak percaya.

“betul kamu nak kahwin dengan Nisa’?” soal Hajah Rubiah tegas. Sebaik Nisa’ menyatakan hajatnya, Hajah Rubiah terus naik ke kembali ke ruang tamu, menyerang Irfan pula.

Irfan angguk yakin. Matanya tidak lari dari menentang pandangan tajam Hajah Rubiah. Mahu menyatakan keikhlasan dan kesungguhannya.

Haji Bustaman tenang di duduknya. Sebenarnya, dia menanti Nisa’ yang belum kembali dari dapur. Hajah Rubiah masih tidak mengaku kalah. Merenung Irfan tajam.

Derap langkah kedengaran. Nisa’ kembali bersama minuman di dalam dulang. Diletakkan dulang di atas meja kopi. Dia sedikit menggigil. Bimbang dengan penerimaan ummi dan abahnya.

“Nisa’, duduk.” Arah Haji Bustaman. Nisa’ mengambil tempat di sisi Irfan, namun agak berjarak.

Irfan berpaling ke arahnya, menguntum senyum. Nisa’ membalas, namun jelas senyumnya tawar.

Haji Bustaman memandang Irfan.

“kamu, nak berkahwin dengan Nisa’?” soal Haji Bustaman pula.

Irfan angguk yakin.

“ya pakcik. Saya berhajat nak menyunting Nisa’ sebagai isteri saya yang sah.” Ujar Irfan yakin. Nisa’ menunduk. Untuk seketika, ayat Irfan membuatkannya terharu.

Haji Bustaman angguk. Hajah Rubiah memalingkan mukanya. Irfan menyedari reaksi itu, namun tidak diendahkannya.

“kamu kenal Nisa’ macam mana?” soal Haji Bustaman lagi, menyelidik. Matanya masih pada Irfan.

Irfan berdehem kecil.

“Nisa’, hantar anak dia pada Mak Su saya untuk dijaga di hari kerja. Kami berjumpa di rumah Mak Su.” Jawab Irfan tenang.

“jadi, kamu dah tau semuanya tentang Hana?” soal Haji Bustaman ragu-ragu.

Irfan angguk.

“ya pakcik.”

“semuanya?”

“semuanya.” Jawab Irfan yakin.

Hajah Rubiah merengus perlahan sebelum berpaling pada Irfan.

“kamu kerja apa?” soal Hajah Rubiah kasar.

Irfan berdehem perlahan.

“saya buat bisnes lori, makcik.”

Berkerut dahi Hajah Rubiah.

“bisnes lori?”

“ya, saya sewakan lori pada orang. ada juga yang digunakan untuk kegunaan sendiri.” Jelas Irfan.

Hajah Rubiah mencebik.

“berapa biji lori kamu ada?”

Irfan tersenyum nipis.

“15 buah lori makcik.”

Nisa’ bermain dengan jemarinya. Berpeluh dia menanti. Kebenaran itu perlu diberitahu. Kebenaran tentang status Irfan.

Hajah Rubiah tidak menyoal lagi. Kedengarannya seperti dia berpuas hati dengan jawapan Irfan.

“mak dengan ayah kamu, dah setuju kamu nak berkahwin?” soal Haji Bustaman pula, mengambil alih dari Hajah Rubiah.

Irfan angguk.

“ya pakcik. Pakcik, makcik, sebenarnya, sebelum tu, saya ada sesuatu nak cakap.”

Haji Bustaman angguk. Mata Hajah Rubiah mencerlung melihat Irfan.

“apa dia?” soal Hajah Rubiah terus. Haji Bustaman menggeleng melihat isterinya sebelum dia memandang Irfan kembali.

Irfan menelan liur.

“saya duda pakcik, makcik.”

Bulat mata Hajah Rubiah mendengar bicara Irfan. Sebelum sempat Hajah Rubiah berkata apa-apa, Haji Bustaman terlebih dahulu memegang tangan isterinya, tanda mahunya berdiam. Hajah Rubiah mengunci mulut dengan terpaksa.

“Nisa’, bawak Irfan ke bawah, ummi dan abah nak berbincang dulu.” Arah Haji Bustaman.

Nisa’ angguk pantas. Dia bingkas, dan Irfan menurut tindakannya.

“turun dulu bah,” Nisa’ meminta diri.

Pantas dia keluar dari pintu dan menuruni tangga.

Irfan setia di belakangnya.

Nisa’ menyarung selipar, memandang Irfan.

“see? Saya dah kata, ummi saya dan ibu awak lain.” Ujar Nisa’ seraya mengerling ke atas, dan mengeluh kecil.

Irfan senyum kecil.

“tak apa. Kita akan berkahwin juga macam mana pun,” ujar Irfan yakin.

Nisa’ mencekak pinggangnya, menggeleng bersama senyum. Irfan, kenapa kau terlalu yakin?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


%d bloggers like this: